Selasa, 6 Mei 2014

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Alat keselamatan peribadi

Posted:

Alat keselamatan peribadi

Alat keselamatan peribadi

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI

SUASANA hentian bas berdekatan Pusat Remaja Antarabangsa (IYC), Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada tengah hari itu kelihatan tenang. Nor Hazalinda Ismail, 25, menunggu teksi di hentian tersebut yang terletak kira-kira 300 meter dari rumahnya untuk ke stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tun Razak.

Dia yang mesra disapa Linda ingin bertemu rakannya di pusat bandar raya Kuala Lumpur. Namun, dia tidak menyangka hari tersebut meninggalkan pengalaman pahit dalam hidupnya.

Teksi yang dinaiki melencong ke destinasi lain walhal lokasi yang ingin dituju hanya berjarak kira-kira dua kilometer dari tempat dia menunggu.

Tiba-tiba pemandu teksi warga asing itu memberhentikan teksinya di kawasan perumahan di Salak Selatan dan mengeluarkan pisau lalu menggertak Linda agar menyerahkan beg tangan miliknya. Kemudian, wanita tersebut ditinggalkan di bahu jalan sebelum teksi berkenaan memecut laju.

"Saya tidak percaya bahawa pemandu teksi itu merompak saya. Pada mulanya, saya ingatkan kejadian itu hanya gurauan, mujurlah saya tidak diapa-apakan," ujarnya kepada Kosmo! sewaktu mengimbau kembali kejadian yang berlaku Oktober tahun lalu.

Pastinya peristiwa sama pernah dialami individu lain. Lantas kejadian seperti ini memberi idea kepada sebuah syarikat perisian tempatan, 1337 Ventures Sdn. Bhd. (1337 Ventures) untuk mencipta alat keselamatan peribadi yang berhubung terus kepada telefon pintar pengguna. Ia direka dengan saiz kecil menggunakan sejenis cip transponder atau Beacon dan mudah dibawa ke mana-mana sahaja.

Penjejak pintar

Ketua Pegawai Eksekutif 1337 Ventures, Bikesh L. berkata, Beacon adalah satu sistem yang menggunakan teknologi bluetooth bertenaga rendah (BLE) yang juga dikenali sebagai bluetooth pintar.

Ia merupakan sistem penjejak kedudukan dalam bangunan yang menggunakan tenaga minimum dan kos rendah yang boleh mengesan alat peranti yang berada berhampiran dengan pengguna. Ia turut terdapat pada telefon pintar iPhone dan Android.


ARSYAN menunjukkan aplikasi Baucar yang boleh dimuat turun pengguna bagi mengetahui tentang promosi terkini dan mengumpul mata ganjaran.


Tahun ini sahaja sudah terdapat 370 juta telefon pintar dijual di dunia yang menyokong sistem Beacon. Ini adalah landasan yang baik untuk mana-mana syarikat memanfaatkannya.

"Tidak lama lagi, Malaysia akan melancarkan alat keselamatan peribadi menggunakan sistem ini yang dipanggil Warybee. Sememangnya ada usaha dari Amerika Syarikat yang berhasrat untuk melakukan perkara yang sama, namun mereka masih belum melancarkannya.

"Ini menjadikan Malaysia bakal negara pertama di dunia yang memasarkan alat tersebut yang dijangka menemui pengguna pada Jun ini. Spesifikasi penuh produk Warybee akan dipamerkan di Singapura bulan ini," jelasnya ketika ditemui di Pusat SME Technopreneur, Cyberjaya baru-baru ini.

Beacon menggunakan cip bersaiz mikro yang boleh direka menjadi aksesori kecantikan bersesuaian dengan cita rasa pengguna. Bagi peniaga pula, mereka boleh menetapkan jenis promosi yang hendak ditawarkan kepada pengguna berdasarkan lokasi di mana pengguna itu berdiri dalam premis mereka.

Katakan peniaga pakaian mempunyai beberapa seksyen baju dan seluar dalam premis mereka, setiap pelanggan akan menerima notifikasi berbeza bergantung kepada lokasi masing-masing. Ia menarik pelanggan untuk meluangkan lebih banyak masa dalam satu-satu premis. Teknologi tersebut bakal membawa teknologi perniagaan di Malaysia ke satu tahap yang lebih maju.

Buat masa ini, 1337 Ventures Sdn. Bhd. sedang bekerjasama dengan beberapa pusat beli-belah negara ini untuk memasang sistem Beacon dalam bangunan termasuk kawasan tempat letak kereta.

Ia bakal memudahkan pengguna mencari kenderaan mereka kerana sistem tersebut boleh menunjukkan arah ke lokasi tempat letak kereta dari kedudukan mereka berdiri.

Sementara itu, pengasas bersama Warybee, Ray Teng berkata, alat tersebut boleh dipakai sebagai aksesori kecantikan seperti jam, gelang atau rantai bagi mengaburi mata penyerang yang berniat melakukan perkara yang tidak diingini.


BIKESH menerangkan fungsi sistem Beacon yang digunakan untuk aplikasi mudah alih.


Maklumat

"Pengguna hanya perlu menekan butang kecil yang ada pada alat ini dan serta-merta telefon pintarnya akan membunyikan penggera kecemasan. Pada masa sama, anggota keluarga dan kenalan akan menerima notifikasi yang memberitahu mangsa dalam situasi bahaya.

"Bukan itu sahaja, ia turut menghantar maklumat lokasi di mana mangsa berada. Kadang-kadang, mangsa terlalu panik sehingga tidak tahu apa yang perlu dilakukan atau bagaimana ingin memaklumkan lokasi mereka kepada kenalan terdekat," jelasnya.

Alat tersebut yang turut dinamakan Warybee menggunakan teknologi rangkaian kawasan peribadi tanpa wayar di mana pengguna tidak perlu mengecas dengan kerap kerana ia mampu bertahan sehingga enam bulan.

Sekiranya telefon pintar anda dirampas, Warybee sentiasa menghantar isyarat kepada pengguna aplikasi tersebut yang berada berdekatan dengan anda supaya kedudukan anda boleh dijejaki. Selain itu, Warybee boleh digunakan sekiranya berlaku kecurian kereta atau kemalangan jalan raya.

Aplikasi tersebut dibangunkan berdasarkan komuniti sukarelawan di mana para pengguna dapat menghulurkan bantuan segera walaupun tidak mengenali. Rekaan lengkap Warybee akan dilancarkan pada Jun ini di seluruh negara.

Ia dipercayai bakal menjadi alat keselamatan peribadi pertama seumpamanya yang digunakan di dunia.

Sementara itu, pengasas WWW 1337 Tech Sdn. Bhd., Arsyan Ismail berkata, beliau turut menggunakan Beacon bagi membangunkan aplikasi Baucar yang membolehkan pemilik premis perniagaan melakukan pemasaran berdasarkan lokasi pelanggan, pembayaran tanpa sentuh, kupon daftar masuk, mengesan prestasi jualan dan mempromosikan mata ganjaran kepada pelanggan.

Promosi

Aplikasi tersebut yang sudah berada di Malaysia sejak enam bulan lalu berfungsi untuk menggabungkan iklan dan promosi perniagaan. Ia berdasarkan koordinat premis dan masa sebenar ketika seseorang pelanggan menggunakan aplikasi berkenaan.

PENGGUNA applikasi Baucar akan menerima notifikasi mata ganjaran apabila berada berhampiran premis yang mengambil bahagian.


Selain itu, ia mengesan lokasi pengguna dan memberitahu jenis-jenis promosi yang terdapat berhampiran mereka. Pada masa sama, pelanggan boleh mengubah lokasi premis yang ingin dituju bagi mengetahui tentang promosi menarik yang ditawarkan menerusi aplikasi Baucar.

"Sejenis alat diletakkan dalam premis yang mengambil bahagian

dan setiap kali pelanggan melalui premis berkenaan, mereka akan menerima notifikasi tentang promosi terkini dan mata ganjaran. Ini dapat menarik lebih ramai pelanggan ke premis tersebut.

"Pemilik perniagaan pun gembira kerana pelanggan semakin ramai ke premis mereka dan boleh menganalisis corak kegemaran pelanggan terhadap satu-satu promosi," jelas Arsyan.

Setakat ini, lebih 2,000 peniaga sudah menyertai Baucar dan WWW 1337 Tech Sdn. Bhd. menyasarkan separuh daripada jumlah peniaga di Cyberjaya akan turut menyertai program tersebut menjelang Jun ini. Ia akan diperluaskan lagi ke seluruh negara.

Aplikasi tersebut turut memiliki pangkalan data bagi setiap koordinat premis dan setiap tetapan boleh dilakukan mengikut kehendak peniaga. Setiap peniaga akan dikenakan caj RM1 bagi setiap pelanggan yang berjaya ditarik ke premis mereka, bagaimanapun pelanggan tidak dikenakan bayaran untuk memuat turun aplikasi Baucar ke gajet masing-masing.

Sistem Beacon ini disifatkan lebih mesra pengguna berbanding kaedah imbasan kod respon pantas yang diperkenalkan sebelum ini. Jelas Arsyan, tidak semua telefon pintar dibina dengan kaedah imbasan tersebut yang kadangkala menyulitkan pengguna untuk mengutip mata ganjaran atau promosi daripada premis kegemaran mereka.

Jeda masa yang dikemaskini oleh aplikasi Baucar pula sudah ditetapkan kepada empat minit bagi setiap notifikasi supaya pengguna tidak terganggu dengan kekerapan notifikasi yang diterima. Setiap data yang diterima dihubungkan terus kepada akaun Facebook pengguna bagi mendapatkan maklumat demografik mereka.

Menjaga 'kesihatan' sumber air

Posted:

Menjaga 'kesihatan' sumber air

Menjaga 'kesihatan' sumber air

Oleh HAFIZ AHMAD


DUA buah sekolah menyertai program yang diadakan bersempena Hari Bumi 2014.


SERAMAI 70 pelajar dan 10 orang guru dari dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Subang Bestari, Subang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chen Moh, Petaling Jaya, Selangor mengikuti Program Pendidikan Kesedaran Air dan Laut Salcon yang diadakan di Lembah Kiara Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ia dianjurkan bersempena Hari Bumi 2014 oleh Salcon Berhad dengan kerjasama Water Watch Penang (WWP). Objektif program tersebut adalah untuk memberi pengetahuan dan maklumat mengenai kepentingan menjaga sumber air kepada generasi muda.

Peserta yang berumur lingkungan 10 hingga 11 tahun diberi penerangan cara pemuliharaan alam yang merupakan tanggungjawab bersama.

Dikawal selia oleh beberapa orang fasilitator, mereka belajar cara menjalankan kajian kimia, biologi dan fizikal bagi menentukan tahap kesihatan air sungai.

Kajian

Kajian tersebut merangkumi tahap larutan keasidan dan kealkalian, pemantauan aliran air, kekeruhan air, ujian oksigen terlarut dan mengenal pasti organisma akuatik menggunakan kit pemantauan air.

"Program ini sangat menarik kerana saya dapat melakukan kajian dengan sendiri. Pada masa sama, kami menimba ilmu secara mendalam mengenai kepentingan sumber air dan sungai.

"Sudah pasti saya akan mempraktikkannya di rumah dan sekolah bersama rakan-rakan," kongsi pelajar SK Subang Bestari, Muhd. Danish Aiman ketika ditemui pada program tersebut.


HASIL kreativiti pelajar ketika melakukan salah satu aktiviti dalam program ini.


Bagi guru SJKC Chen Moh, Choon Wai Hoong, program kesedaran seumpama itu akan memberi impak positif dalam jangka masa panjang kepada generasi muda.

"Pelajar menunjukkan respons yang baik sepanjang aktiviti sekali gus mengubah persepsi mereka dalam tabiat penjimatan air," ujarnya.

Ia merupakan penyertaan pertama kali SK Subang Bestari manakala SJKC Chen Moh telah mengikuti program itu sejak tiga musim lalu. Mereka dipilih berdasarkan penyertaan di pertandingan Kuiz Air dan Sungai Antara Sekolah Falcon 2012.

Pengurus Kanan Salcon Berhad, Chern Meng Gaik berkata, penglibatan pelajar-pelajar dalam program tersebut diharap dapat membentuk pemikiran mereka sejak awal lagi.

"Kami percaya pelajar sekolah merupakan generasi yang menggerakkan negara pada masa hadapan. Maka, program sebegini dapat memberi kesedaran dan pendidikan kepada mereka," kata Meng Gaik.

Ia merupakan salah satu usaha tanggungjawab sosial Falcon yang telah diadakan sejak tahun 2010. Sepanjang penganjuran selama lima tahun, program ini telah disertai oleh 24 sekolah sekitar Lembah Klang dan empat rumah kebajikan.

Kamera SPECT bantu kesan barah payudara

Posted:

Kamera SPECT bantu kesan barah payudara

Kamera SPECT bantu kesan barah payudara

IQBAL bersama peralatan kamera SPECT yang boleh digunakan dalam rawatan kanser payudara.


UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan sebuah kamera diagnostik pengimejan nuklear mudah alih dipertingkatkan dengan kaedah pengesanan sinar gamma bagi membantu mengesan kanser payudara.

Kamera itu mampu mempamerkan tumor atau sista secara tiga dimensi (3D) bagi membolehkan doktor mendapat paparan yang lebih jelas dan besar sekali gus mudah mengambil sampel biopsi.

Dicipta oleh ketua Jabatan Kejuruteraan Komputer dan Sistem Komunikasi, Fakulti Kejuruteraan UPM, Prof. Madya Dr. Iqbal Saripan, peranti tersebut tergolong sebagai kamera Single-Photon Emission Computed Tomography (SPECT).

Sebelum ini, beliau banyak melakukan kajian-kajian asas mengenai peranti pengimejan nuklear yang menggunakan sinar gamma dua dimensi.

Dalam penyelidikannya, mesin tersebut boleh dipanjangkan hayatnya melalui ketepatan diagnostik secara 3D.

Jika mesin-mesin itu ditingkatkan, ia mampu mengurangkan kos pembelian peranti baharu yang mahal.

Menurutnya, secara perbandingan, mesin jenis sinar-X biasa tidak menggunakan tenaga sebanyak sinar gamma selain tidak mampu melihat melalui tulang.

"Bagaimanapun, sinar gamma hanya mampu mengesan tumor dan ketumbuhan luar biasa di dalam tubuh setelah seseorang pesakit disuntik dengan isotop radio berukuran lemah dalam tempoh tertentu," ujarnya.

Selepas berbincang dengan beberapa pihak termasuk syarikat pengeluar seperti Toshiba dan Siemens Iqbal berkata, penambahan kollimator membantu meningkatkan prestasi sinar gamma tersebut.

Melalui usaha tersebut, beliau berjaya mendaftarkan satu paten berkaitan kollimator kasa dawai dan memenangi beberapa anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Ketika ini, Iqbal dan pasukannya sudah bersedia untuk memasang kamera mudah alih sinar gamma prototaip ciptaannya atau SPECT untuk mengesan barah payudara.

Hasil maklumat yang dikumpul pasukan penyelidiknya, kamera mudah alih SPECT ini digunakan terhadap wanita muda dan ibu yang mempunyai susu badan.

Iqbal menerima Anugerah Saintis Muda daripada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Ewon Ebin pada November lepas, manakala pada bulan berikutnya, beliau menerima pengiktirafan daripada Akademi Sains Malaysia.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved