Kosmo Online |
- Lelaki dikhuatiri lemas ketika memukat ikan
- Malindo Air tawar tambang murah
- Thailand pelawa usahawan Malaysia sertai program pemadanan perniagaan
Lelaki dikhuatiri lemas ketika memukat ikan Posted: Lelaki dikhuatiri lemas ketika memukat ikan21/03/2014 8:47pm KUANTAN - Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh daripada sampan ketika memukat ikan di Lubuk Law, di Sungai Jelai dekat Lipis lewat petang semalam. Mohamad Mahmud, 52, dari Kampung Jeram Bungo, Kuala Lipis dikatakan keluar dari rumah pada pukul 6 petang bersama seorang rakannya untuk memukat ikan di sungai itu. Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, mengikut keterangan rakannya mereka telah berpecah sebaik tiba di lubuk berkenaan. "Selepas sejam memukat, rakan mangsa menyedari mangsa tiada di dalam sampan dan dia cuba mencari di sekitar kawasan itu namun gagal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Beliau berkata, rakan mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada penduduk kampung sebelum membuat laporan di Balai Polis Kuala Lipis kira-kira pukul 8.50 malam tadi. Abdul Razak berkata, sepasukan anggota polis yang dibantu Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat serta penduduk kampung menjalankan gerakan mencari mangsa sejak pukul 8 pagi hari ini. Bagaimanapun, katanya, sehingga kini polis hanya menemui sampan serta pukat milik mangsa tersangkut di tebing sungai itu dan operasi mencari mangsa akan disambung semula awal pagi esok. - Bernama |
Malindo Air tawar tambang murah Posted: Malindo Air tawar tambang murah21/03/2014 8:42pm KUALA LUMPUR - Malindo Air menyambut ulang tahun pertamanya dengan menawarkan tambang promosi istimewa, serendah RM69 bagi kesemua perjalanan sehala. Syarikat penerbangan hibrid itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, tambang promosi khas dari RM69 itu untuk destinasi tempatan manakala tambang ke destinasi antarabangsa bermula dari RM159. "Promosi itu sah untuk perjalanan antara 31 Mac hingga 20 Mei 2014 dan tiket boleh ditempah mulai sekarang sehingga 30 Mac 2014," katanya. Ketua Pegawai Eksekutif, Chandran Rama Murthy berkata, syarikat berbesar hati untuk berkongsi peristiwa penting itu dengan mereka yang telah membantunya. "Kami berterima kasih di atas sokongan yang diterima untuk tempoh satu tahun yang lalu dan kami berharap untuk mencapai lebih banyak kejayaan dalam tahun-tahun yang akan datang. "Kami berharap penumpang akan bersama-sama kami," katanya. Sehingga kini, Malindo Air membawa lebih dari 1.4 juta penumpang sejak penubuhannya pada Mac tahun lepas. Maklumat lanjut mengenai promosi itu boleh diketahui di www.malindoair.com. - Bernama |
Thailand pelawa usahawan Malaysia sertai program pemadanan perniagaan Posted: Thailand pelawa usahawan Malaysia sertai program pemadanan perniagaan21/03/2014 8:35pm KUALA LUMPUR - Thailand mempelawa usahawan Malaysia menyertai program pemadanan perniagaan dalam beberapa pameran perdagangan di negara itu. Duta Thailand di Malaysia, Krit Kraichitti berkata, usahawan-usahawan itu tidak perlu bimbang tentang pergolakan politik di Thailand kerana keganasan itu dijangka reda tidak lama lagi. "Kami percaya pergolakan politik itu akan selesai menjelang Mei," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara. Menurut laporan sebelum ini, kerajaan sementara telah menarik balik perintah darurat yang dikenakan sejak 22 Januari dan menggantikannya dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang kurang keras untuk membendung tunjuk perasaan antikerajaan dalam usaha meningkatkan keyakinan dalam kalangan penduduk tempatan serta masyarakat antarabangsa. Krit berkata, untuk memudahkan pengunjung pameran, beberapa program galakan telah disediakan. "Program-program itu termasuklah kempen 'Connect Businesses' iaitu kempen pengunjung kumpulan yang baru dilancarkan, yang amat berfaedah bagi negara-negara Asean. "Kempen itu bertujuan memberi galakan kepada usahawan menghadiri dan mengambil bahagian dalam program pemadanan perniagaan pada pameran-pameran perdagangan antarabangsa di Thailand," katanya. - Bernama |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan