Jumaat, 21 Mac 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Wanita dan hak asasi

Posted:

Wanita dan hak asasi

Wanita dan hak asasi

WANITA mempunyai hak untuk hidup sama seperti lelaki.


PADA tarikh 8 Mac 2014, Hari Wanita telah disambut di seluruh dunia. Kebanyakan isu yang diketengahkan ialah berkaitan dengan hak dan diskriminasi terhadap wanita yang juga merupakan isu sejagat.

Tidak kurang juga dibangkitkan isu mengenai keganasan rumah tangga bagi menunjukkan perbezaan gender masih menjadi masalah dalam mewujudkan keharmonian dalam kehidupan berumah tangga.

Perbincangan tentang hak-hak wanita dalam Islam juga sentiasa mendapat kritikan negatif bukan hanya oleh masyarakat Barat tetapi juga oleh aktivis wanita Islam yang menganut pemikiran liberal.

Keluhan wanita Islam yang ditindas disebabkan amalan budaya dilihat bersifat berat sebelah dan sistem perundangan tidak praktikal sehingga interpretasi undang-undang yang dipakai memberikan impak negatif terhadap wanita.

Persepsi ini juga dipengaruhi oleh penulisan-penulisan orientalis Barat yang mentafsirkan kedudukan wanita Islam melalui kaca mata amalan budaya yang menyebabkan agama Islam dianggap sebagai agama yang menindas kaum wanita.

Kekeliruan ini ditambah pula oleh deklarasi antarabangsa seperti Committee on the Elimination of Discrimination against Women (CEDAW) yang dilihat mengutamakan konsep kesamaan gender dan menjadikan undang-undang Islam sebagai halangan utama bagi pelaksanaan inti pati deklarasi tersebut.

Adat

Pada masa yang sama, kebanyakan adat yang diamalkan oleh orang Islam, lebih-lebih lagi di negara-negara Islam seringkali menunjukkan layanan yang buruk terhadap wanita.

Ini termasuklah dalam pengamalan poligami yang tidak mengikut prinsip Islam dan perbuatan menceraikan isteri tanpa sebab yang munasabah.

Selain itu, amalan perkahwinan anak-anak perempuan yang belum mencapai umur perkahwinan dan menafikan hak asasi untuk mendapat akses kepada pembelajaran di sesetengah negara memberi persepsi negatif terhadap wanita Islam.


PERBINCANGAN hak-hak wanita Islam sentiasa mendapat kritikan negatif daripada Barat dan aktivis wanita Islam yang menganut pemikiran liberal.


Kesemua masalah yang disebutkan bukan ajaran Islam tetapi amalan budaya hidup sebahagian daripada masyarakat yang tidak mengamalkan prinsip Islam sebenar. Undang-undang Islam telah mengangkat darjat wanita dengan memansuhkan amalan tradisi membunuh anak perempuan hidup-hidup pada zaman jahiliah.

Al-Quran menyatakan bahawa wanita mempunyai hak untuk hidup sama seperti lelaki dan ini bertepatan dengan maqasid al-syari'ah, iaitu memelihara nyawa.

Tindakan membunuh anak perempuan disebabkan kebimbangan terhadap rasa malu, keaiban dan kemiskinan telah ditempelak oleh al-Qur'an dengan amat keras dalam surah al Nahl, ayat 57 hingga 59.

Daripada hadis yang telah diriwayatkan dalam himpunan Sunan Abu Dawud, Rasulullah SAW bersabda: "Jika sesiapa mempunyai anak perempuan dan tidak menanamnya hidup-hidup atau menghinanya, atau lebih mengutamakan anak lelaki berbanding dengan anak perempuan itu, Allah akan memasukkannya ke syurga."

Hadis ini tidak menyebut tentang anak lelaki. Malah, ulama menekankan kepentingan tanggungjawab keibubapaan bagi memberikan penjagaan kepada seseorang anak sejak dalam rahim ibu lagi.

Justeru, bapa sebagai penyumbang kewangan utama perlu memastikan ibu memperoleh makanan yang berkhasiat dan sihat pula daripada aspek rohani serta jiwanya.

Umur perkahwinan

Tugas ini berterusan sehinggalah anak tersebut lahir dan kedua-dua penjaganya bertanggungjawab untuk memberikan penjagaan dan perlindungan kepadanya sehinggalah mencapai umur perkahwinan (umur wanita boleh membuat keputusan terhadap kepentingan dirinya).

Selepas perkahwinan pula, hak penjagaan diserahkan kepada suaminya. Jika tidak, dia terus berada dalam penjagaan bapa atau penjaganya jika tidak berkahwin atau bercerai.

Prinsip yang diasaskan pada konsep kebajikan atau kepentingan anak (maslahah) telah diasaskan dengan sempurna dalam undang-undang Islam sebagaimana yang terkandung di dalam kitab-kitab Fiqah yang masyhur seperti tulisan alNawawi, Syed Sabiq dan sebagainya.

Ia mempertanggungjawabkan ibu bapa untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anak termasuklah perkembangan dan keperluan mereka.

Ibu bapa juga bertanggungjawab terhadap penjagaan harian, kawalan dan membuat keputusan dalam semua urusan disebabkan ketidakmampuan kanak-kanak tersebut untuk membuat keputusan bagi dirinya.

Selain itu, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam menggalakkan pemupukan minda dengan memberikan pendidikan yang sewajarnya sebagai persediaan kepada kanak-kanak tersebut pada masa hadapan.

Atas sebab inilah, Rasulullah SAW mengajar ibu bapa supaya mendidik anak mendirikan solat ketika berusia tujuh tahun, iaitu umur mumayyiz dan membimbing mereka dengan penuh kesabaran dan secara berterusan.

Setiap ujian pasti ada penyelesaian

Posted:

Setiap ujian pasti ada penyelesaian

Setiap ujian pasti ada penyelesaian


MANUSIA akan melalui beberapa fasa psikologi sekiranya ditimpa musibah. - Gambar hiasan




PERKEMBANGAN kes kehilangan pesawat MH370 sentiasa dinanti orang ramai.




TERDAPAT ujian yang boleh diselesaikan segera, tidak kurang pula menuntut kesabaran tinggi.


KEHILANGAN pesawat penumpang MH370 masih lagi menjadi misteri. Seluruh dunia masih tertanya-tanya mengenai punca kehilangan dan nasib yang menimpa penumpang dan kru pesawat terbabit.

Sekiranya persoalan seperti ini terus berlegar dalam pemikiran kita, bayangkan bagaimana pula perasaan ahli keluarga mangsa yang terlibat secara langsung dengan tragedi ini. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Bagaimanapun, pada akhirnya itulah kehidupan. Sebagai manusia, kita diuji dengan pelbagai cara. Ada perkara yang boleh diselesaikan dengan cepat tidak kurang pula ujian yang memerlukan kita lebih banyak bersabar.

Sesetengah insan diuji dengan kesakitan malah ada yang diuji dengan kehilangan ahli keluarga tersayang. Apa-apa pun bentuk ujian yang kita lalui, pada akhirnya ia bergantung kepada kekuatan psikologikal manusia untuk menghadapinya.

Teori

Seorang ahli psikiatri, Elisabeth Kübler-Ross mengemukakan satu teori bagaimana manusia secara kebiasaannya melalui beberapa fasa apabila diberikan ujian yang besar.

Pada peringkat awal, seseorang individu yang ditimpa sesuatu kecelakaan akan cuba menafikan hakikat bahawa mereka sedang ditimpa musibah. Peringkat penafian antara tahap paling teruk yang perlu dihadapi oleh mangsa.

Mereka seboleh-bolehnya akan mengatakan bahawa perkara buruk itu sebenarnya tidak terjadi.

Pada fasa kedua, mangsa yang terlibat akan dirundung perasaan marah dan cemas terhadap situasi yang sedang berlaku.

Dalam kebanyakan kes, mangsa akan mencari seseorang atau pihak untuk melepaskan rasa marah mereka. Ia bukan sesuatu hal yang pelik. Sekurang-kurangnya cara itu mampu meredakan sedikit tekanan perasaan yang mereka dialami.

Fasa ketiga pula, individu yang ditimpa musibah mula mempertimbangkan keadaan dan situasi yang sedang berlaku. Mereka mula menilai aspek positif dan negatif sesuatu kejadian.

Misalnya, mereka yang lumpuh akibat kemalangan jalan raya akan mula memberitahu diri bahawa sekurang-kurangnya mereka sekadar lumpuh tetapi masih diberikan peluang oleh Tuhan untuk terus bernyawa.

Fasa selanjutnya ialah individu terbabit akan mengalami perasaan kemurungan yang teruk. Sebenarnya, ia merupakan satu proses yang normal. Keadaan itu memberikan peluang kepada individu untuk menguruskan sesetengah perkara dalam mengharungi pengalaman buruk itu.

Pada peringkat terakhir, secara perlahan-lahan seseorang yang ditimpa musibah sudah mula boleh menerima hakikat dengan kejadian yang berlaku.

Kekuatan psikologi

Kekuatan psikologi seseorang amat dituntut dalam usaha untuk sampai ke peringkat itu. Sesetengah individu boleh menerima hakikat kejadian buruk dengan lebih cepat malah ada yang mengambil masa yang lebih lama.

Pengalaman seperti itu sebenarnya dialami oleh manusia setiap waktu terutamanya apabila kita menerima berita kematian atau ditimpa musibah. Bagaimanapun, ada perkara yang boleh kita hadapi dengan cara yang positif. Selain itu, terdapat juga perkara yang menyebabkan kita mengambil masa yang agak lama untuk menerima kenyataan.

Perkara itu bergantung kepada kekuatan mangsa yang pernah mengalami pengalaman yang sama sebelum ini. Sekiranya kita pernah melalui pengalaman seumpama itu, musibah yang terjadi mungkin dapat dihadapi dengan lebih tenang.

Oleh itu, bagi kebanyakan orang dewasa dan berumur, mereka lebih mudah menerima berita kematian saudara-mara atau kesakitan jika dibandingkan dengan golongan remaja. Pengalaman golongan dewasa yang banyak kali melalui perkara itu memberi kekuatan kepada mereka.

Dalam kes kehilangan pesawat MH370, ia merupakan proses yang sedang dilalui oleh ahli keluarga mangsa. Sesetengah mereka pastinya sedang mengalami tekanan psikologikal yang teruk dan ada juga yang melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pihak tertentu. Keadaan itu merupakan satu proses psikologikal yang dialami oleh semua manusia.

Sebagai manusia, kita perlu menerima hakikat bahawa setiap yang terjadi itu telah pun berlaku. Sekiranya kita mampu meramal apa yang akan berlaku pada masa hadapan, manusia pastinya menghindari diri daripada sebarang musibah.

Sekiranya kita semua tahu kejadian buruk yang akan menimpa pesawat MH370, pastinya tidak ada seorang pun yang menaikinya pada hari tersebut. Namun, perkara itu pastinya mustahil untuk dizahirkan.

Apabila setiap insan ditimpa musibah seperti ini, percayalah bahawa ada manusia lain yang mungkin sedang diuji dengan musibah yang lebih teruk. Bagaimanapun, dengan perkembangan dan perkhabaran yang sering dikemas kini mengenai pesawat tersebut, sekurang-kurangnya kita masih mempunyai harapan bahawa seramai 239 orang penumpang dan anak kapal berkemungkinan masih selamat.

Harapan itu pasti membuatkan kita semua mampu terus bertahan.

Kepada semua ahli keluarga yang terbabit, bersabarlah. Semua rakyat Malaysia dan seluruh dunia akan terus bersama-sama anda. Ia bukan hanya ujian untuk anda, tetapi juga ujian untuk kita semua. Semoga ada cahaya terang di hadapan sana.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved