Kosmo Online |
- Thailand berusaha pulih keyakinan terhadap sektor pelancongan
- Misi mencari pesawat hilang diteruskan, Perancis bantu cari kotak hitam
- Jabatan Pendidikan Perak tunggu laporan penuh tragedi Gunung Bubu
Thailand berusaha pulih keyakinan terhadap sektor pelancongan Posted: Thailand berusaha pulih keyakinan terhadap sektor pelancongan19/03/2014 9:26pm BANGKOK - Thailand yang menghadapi kemerosotan jumlah pelancong dari Timur Jauh berikutan krisis politik berpanjangan, akan menghantar menteri-menterinya ke China, Jepun dan Korea Selatan untuk memulihkan keyakinan pelancong dari rantau itu. Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar, Surapong Tovichakchaikul berkata, beliau akan melawat tiga negara itu terlebih dahulu kerana ketiga-tiganya terjejas akibat gangguan politik di Thailand. Bercakap pada satu sidang akhbar selepas memberi taklimat kepada diplomat asing mengenai keadaan politik masa kini di Thailand berikutan penarikan darurat di sini hari ini, beliau berkata kempen memulihkan keyakinan itu adalah satu daripada langkah merangsang sektor pelancongan. Semalam, kerajaan sementara menarik balik perintah darurat yang dikuat kuasa sejak 22 Januari, dan menggantikannya dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang longgar sedikit dalam usaha menangani bantahan anti kerajaan dan sebagai usaha memupuk semula keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa. ISA yang berkuat kuasa mulai hari ini hingga 30 April, meliputi Bangkok, wilayah Nontaburi, kawasan Lat Lumkaew di Pratumthani dan di Bangphli dalam wilayah Sumutprakarn. Menurut Dewan Perniagaan Thai dan Lembaga Perdagangan Thailand, separuh daripada pelancong China telah membatalkan tempahan mereka ke Thailand, manakala bagi pelancong Jepun dan Korea ia adalah kira-kira 40 peratus dan 30 peratus. Surapong berkata, beliau akan melawat tiga negara itu dalam tempoh dua minggu bersama menteri-menteri industri, perdagangan dan pelancongan. Diplomat asing dan wakil dari 60 negara, termasuk 21 duta besar di samping wakil empat pertubuhan antarabangsa, hadir pada taklimat di kementerian luar itu. Tambahnya, diplomat asing itu memahami keadaan politik Thailand sambil menambah bahawa mereka yakin amaran melancong ke Thailand akan dikurangkan. - Bernama |
Misi mencari pesawat hilang diteruskan, Perancis bantu cari kotak hitam Posted: Misi mencari pesawat hilang diteruskan, Perancis bantu cari kotak hitam19/03/2014 9:18pm SEPANG - Usaha mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 kekal menjadi keutamaan Malaysia yang memasuki hari ke-12 dan tumpuan diberikan kepada dua koridor dengan pihak berkuasa serta pasukan penyiasat mendapatkan kepakaran dan pengalaman Perancis untuk mencari kotak hitam. Bercakap dalam sidang media harian di sini hari ini, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau mendapatkan pembabitan Pihak Berkuasa Penyiasatan Keselamatan Penerbangan Awam Perancis (BEA) yang bersetuju membantu pasukan mencari dan menyelamat. "Mereka ada pengetahuan dalam nahas Air France dan dua tahun diambil untuk jumpa kotak hitam. Maklumat dan pengetahuan mereka akan bantu kita. Kita akan buat keputusan selanjutnya dari situ," katanya ditanya tindakan yang akan dilakukan sekiranya pesawat itu masih tidak dijumpai selepas 30 hari. Tambahnya, pakar penerbangan percaya lampu isyarat perakam penerbangan akan berhenti menghantar isyarat selepas 30 hari. - Bernama |
Jabatan Pendidikan Perak tunggu laporan penuh tragedi Gunung Bubu Posted: Jabatan Pendidikan Perak tunggu laporan penuh tragedi Gunung Bubu19/03/2014 7:10pm IPOH - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menunggu laporan penuh daripada pihak sekolah serta pasukan mencari dan menyelamat sebelum membuat apa-apa keputusan berhubung tragedi pelajar maut di Gunung Bubu, Ulu Kenas di Kuala Kangsar semalam. Pemangku Pengarah JPN, Mohd. Idris Mohd. Ramli berkata, laporan penuh mengenai ekspedisi perkhemahan dan pendakian Gunung Bubu melibatkan 25 pelajar dan enam guru pengiring itu perlu disediakan oleh pihak pengurusan Kolej Vokasional Kuala Kangsar. "Selain itu kami juga mahu mendapatkan laporan penuh daripada pasukan penyelamat untuk melihat aspek lokasi dan bagaimana kejadian itu boleh berlaku," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013 negeri Perak di sini hari ini. Beliau berkata, pihaknya difahamkan aktiviti perkhemahan serta pendakian di Gunung Bubu merupakan kegiatan tahunan sekolah berkenaan. Mengikut prosedur operasi standard (SOP), pihak sekolah perlu mendapat kebenaran Pejabat Pendidikan Daerah serta pihak-pihak berkaitan sebelum melaksanakan kegiatan luaran, katanya. "Selain kebenaran ibu bapa, guru atau pegawai yang terlibat perlulah seseorang yang berpengalaman dan berkemampuan. Pihak sekolah juga perlu maklumkan kepada pihak berkaitan seperti polis dan pihak yang menjaga kawasan aktiviti," katanya. Mohd. Idris yang mewakili seluruh warga JPN Perak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dua pelajar Kolej Vokasional Kuala Kangsar iaitu Muhamad Amir Asyraff Baharuddin dan Adam Asraf Azman, kedua-duanya berusia 17 tahun. - Bernama |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan