Kosmo Online - Rencana Utama |
Antara tabu, diskriminasi atau keterbukaan Posted: Antara tabu, diskriminasi atau keterbukaanCHARLIE CHAPLIN pernah berkata, kehidupan adalah satu tragedi kalau dilihat dekat-dekat tapi ia adalah satu komedi kalau diperhatikan dari jauh. Metafora yang cuba disampaikan adalah bagaimana seseorang pelawak boleh menggeletek deria rasa manusia, menukarkan subjek yang serius dan perihal berlaku sekeliling kepada indahnya nuansa kehidupan. Sepertimana kata pelawak stand up yang popular dengan gaya percakapan Hinglish (gabungan bahasa Hindi dan Inggeris), Appurv Gupta: "Humor merupakan kaedah terbaik untuk menyalurkan pandangan terhadap perkara yang serius." Mengecilkan skop komedi, salah satu cabang baharu yang kembali mendapat sambutan adalah komedi stand up. Komedi stand up adalah seni melawak yang disampaikan di hadapan penonton secara langsung secara berseorangan (solo). Dialog yang dilontarkan sama ada secara monolog atau kenyataan yang terkandung elemen humor. Biasanya, komedi stand up dilakukan dalam jangka masa 20 hingga 45 minit menerusi pelbagai cara dan menggunakan pelbagai alat bantu. Kompulsif Begitu pun, komedi stand up masih berdepan masalah ketidakseimbangan gender dan belum sepenuhnya diterima masyarakat. Ada tanggapan bahawa wanita yang melawak kurang sopan dan melanggar budaya serta tatasusila. Memetik pandangan daripada pengarang popular Britain, Christopher Hitchens, beliau menyarankan keperluan untuk meletakkan satu ruang pemisah antara jenaka antara gender lelaki dan wanita. Meneliti pandangan rangkuman beberapa penggiat seni popular, lelaki biasanya melihat sifat wanita suatu elemen yang provokatif dan tidak sesuai untuk berada di pentas apatah lagi berjenaka. Bagaimanapun, sikap diskriminasi melampau terhadap golongan wanita atau lebih dikenali seksisme semakin berkurangan saban tahun dan wanita yang memiliki aura serta pesona yang melucukan sudah semakin diterima khususnya dalam platform moden seperti YouTube, Twitter dan terkini Instagram. Hal itu sekali gus membuktikan diskriminasi gender (seksisme) dan kebencian terhadap wanita (misogini) tidak seharusnya wujud dalam dunia moden dan seni melawak membenarkan sebarang jantina atau bangsa untuk menghiburkan khalayak massa. SHAMAINE sering menterjemah sejarah hidupnya ke pentas lawak stand up. Joanne lawan kebencian Menyambut baik perkara itu, kata Joanne Kam Poh Poh atau popular sebagai Joanne Kam, survival wanita dalam dunia pelawak lebih banyak mengundang prejudis berbanding penerimaan. "Sepanjang 20 tahun bergelar pelawak stand up wanita, lebih banyak kelompok yang beranggapan wanita tidak sesuai untuk menjadi pelawak apatah lagi berdiri solo. "Tapi, sejak lima tahun lalu saya melihat ada perkembangan positif dalam dunia lawak stand up yang membabitkan golongan wanita. Semakin ramai berani berucap di depan orang ramai. "Melawak bergantung pada kecerdikan seseorang wanita untuk mengawal dan menakluk audiens di hadapannya. "Tiada formula khusus untuk berjaya melainkan banyak membaca dan mempraktikkan jenaka dengan berhemah. Nasihat saya, jangan sesekali memperlekehkan maruah wanita," kata penyampai radio Red FM itu. Langkah awal Joanne Kam, 41, bermula di sebuah kelab di Singapura sebelum kembali ke Kuala Lumpur dan pada masa sama berulang-alik ke Pulau Pinang sebelum betul-betul stabil. Joanne tidak terlepas daripada diherdik audiens. Katanya: "Enam bulan pertama adalah waktu paling sukar, harus saya akui saya pernah dihina, diherdik dan audiens mengejek saya. Tapi, itu pemangkin semangat saya untuk terus aktif sampai sekarang." Selepas kejayaan pementasan komedi stand up, Super Kam & The League of Extraodinary Femmes di Publika tahun lalu, Joanne kembali membuka tirai persembahannya bersama tiga pelawak stand up wanita tahun ini - Daphne Iking, Shamaine Othman dan Sharul Channa (Singapura). Persembahan Super Kam 2 - The Second Kamming akan berlangsung pada 26 hingga 30 Mac ini di PJ Life Art, Petaling Jaya, Selangor. Shamaine cuba dwibahasa Sementara itu, kata anak sutradara terkenal Othman Hafsham, Shamaine Othman, dia kini sedang berjinak-jinak untuk berjenaka dalam dwibahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. "Sejak tahun 2011 lagi saya mula menceburkan diri dalam bidang komedi stand up tapi semua persembahan saya menggunakan bahasa Inggeris. "Harith Iskander idola saya kerana dia bijak mengubah bahasa pertuturan ketika di pentas dengan mudah. "Saya tidak menolak kecenderungan saya bertutur bahasa Inggeris kerana kurang sambutan daripada audiens Melayu untuk melihat pelawak wanita," kata pemegang ijazah seni persembahan di Universiti Monash, Australia.
Pengarah filem Cuak itu memberitahu, kebanyakan jenakanya berkisar kehidupan lampau dan perihal dirinya yang masih solo. "Idea untuk melawak sama seperti menulis, apa saja yang saya tahu saya akan tulis dan biasanya apabila melawak kebanyakannya bercerita mengenai diri saya yang pernah gemuk suatu masa dahulu. "Saya banyak berpegang pada nasihat Joanne, untuk melawak tidak perlu kita bercakap lucah atau mencarut. Jika lawak itu kelakar, audiens akan gelak. "Pernah sekali saya cuba membuat lawak 'kotor' yang akhirnya audiens tidak ketawa pun. Tapi apabila pelawak lelaki buat lawak seakan-akan sama, reaksi penonton berbeza sama sekali," ujarnya yang pernah terbabit dengan teater Projek Disko Baldi. Shamaine mengakui pada mulanya dia berdepan kesukaran untuk berinteraksi dengan audiens memandangkan usianya di pentas lawak masih hijau namun lama-kelamaan kegusaran dan debaran itu hilang apabila usahanya berbalas gelak tawa. Jihan permulaan baharu Tidak kisah dijadikan penanda aras untuk generasi baharu tampil ke depan di pentas lawak, kata bekas peserta program realiti Raja Lawak musim ketiga, Jihan Musa, letak ke tepi rasa malu. "Audiens sekarang sudah matang dan berfikiran terbuka untuk menerima wanita yang bersaing dengan lelaki di pentas komedi. "Memang sifat azali perempuan pemalu dan takut untuk tampil ke depan tapi apa yang mampu saya lakukan adalah mengalu-alukan pembabitan wanita dalam dunia komedi. "Kalau saya boleh buat kenapa tidak orang lain? Biar saya yang jadi permulaan untuk golongan wanita sekarang tampil ke depan dan memberikan peluang untuk kami bersuara," jelasnya. Pentas Raja Lawak, kata Jihan, merupakan satu gelanggang emas untuk dia menjadi pelawak malah, untuk berdiri solo menghiburkan audiens bukan perkara mudah. Jihan percaya diskriminasi terhadap wanita kini bukan satu tabu dalam masyarakat. Namun pada masa yang sama, wanita juga perlu bijak mengawal situasi apabila berjenaka. "Kalau dahulu memang ada diskriminasi terhadap wanita yang membuat persembahan di atas pentas apatah lagi melawak. "Tapi asalkan kita pandai, tahu apa yang orang suka dan bijak mengawal keadaan rasanya tiada masalah untuk wanita berjinak-jinak dalam komedi stand up," simpulnya. | ||
Pelawak stand up wanita popular Posted: Pelawak stand up wanita popularSEBELUM nama meraih populariti, Ellen DeGeneres pernah menjadi pelawak stand up. PERDEBATAN pelawak stand up wanita tentang kesesuaian dan kesopanan untuk menterjemah karakter komikal di pentas lawak timbul sebelum abad ke-20 lagi. Ketika itu, wanita dianggap sebagai pekerja rencam yang bertugas atas landasan menuntut kebebasan politikal dan seks semata-mata. Kemudian, perlahan-lahan unsur lawak slapstik diselitkan dalam persembahan berkonsepkan 'concert saloon' yang menjadikan wanita sebagai penghibur dan mendukung peranan pelayan restoran. Revolusi membentuk jalinan baharu yang mengubah persepsi serta penerimaan terhadap wanita dan jenaka. Sinergi itu menempelak perbezaan gender sebagai satu halangan untuk wanita terus berkarya. Berikut disenaraikan pelawak stand up wanita yang terkenal di seluruh dunia: Ellen DeGeneres Sebelum dikenali sebagai pengacara program The Ellen DeGeneres Show, karier Ellen DeGeneres pada asalnya bermula dengan pentas lawak stand up di kelab dan bar pada awal tahun 1980. Ellen menjadikan Woody Allen dan Steve Martin sebagai inspirasi untuk mencipta jenaka. Terkenal dengan lawak yang tidak sensitif, ringkas dan informatif, Ellen juga berupaya melawak tanpa henti selama lebih satu jam. Joan Rivers Selepas memulakan kariernya sebagai pelawak stand up pada tahun 1960-an, Joan Rivers diangkat sebagai ikon komedi ala mean girls berbekalkan bakat secara solo. Joan tidak berdepan sebarang provokasi kerana kebanyakan lawaknya membabitkan sensitiviti semasa terutama seks. Ceritanya menjadi inspirasi, Joan muncul dalam pelbagai rancangan bual bicara, penulisan buku, pengarahan filem, memiliki rangkaian barang kemas dan sentiasa meletakkan diri dalam carta terbaik pelawak wanita. Shappi Khorsandi Shappi Khorsandi dilahirkan di Iran dan telah berpindah ke London bersama keluarganya apabila bapanya, penulis karya satira, Hadi Khorsandi dituduh sebagai musuh revolusi berdasarkan tulisannya. Kebanyakan komedi awalnya berkisar kisah hidup dan pengalaman ketika zaman kanak-kanak termasuk ancaman bunuh terhadap bapanya. Saloni Daini Digelar 'Gangubai of India', Saloni Daini merupakan gadis cilik yang dikagumi di negaranya, India. Dia antara pelawak wanita termuda masa kini yang sekali gus telah membuktikan bahawa kanak-kanak juga mampu melakukan apa saja. Saloni mula membuat persembahan di pentas ketika berusia tiga tahun dan telah menyertai pelbagai rancangan komedi termasuk Chothe Miyan.
Amy Schumer Selepas mendapat tempat keempat dalam rancangan realiti Last Comic Standing musim kelima, Amy menjadi antara pelawak stand up paling pantas popular mengatasi pemenang rancangan itu. Amy membuktikan seorang wanita boleh kelihatan menggiurkan, lucu dan boleh berdiri setaraf lelaki. Rancangan komedi satu jam yang dikendalikannya, Mostly Sex Stuff merupakan antara program yang paling banyak ditonton. Dilla Dill Dilla merupakan pelawak stand up wanita paling dikenali di Indonesia. Terkenal dengan kekuatan parodi dan meniru perlakuan, perbuatan dan percakapan individu tertentu, Dilla mampu melawak dalam tempoh 30 minit tanpa henti. Kebanyakan jenakanya berkisar tentang golongan penyanyi popular dan penyanyi jalanan memandangkan kebolehannya juga dalam bidang seni suara. Michelle Buteau Michelle Buteau menjadi idola golongan wanita kerana sering menyentuh aspek pemerkasaan wanita. Dia sering bercerita mengenai perkara yang wanita gemarkan contohnya makan malam, penggayaan rambut dan membeli-belah. | ||
Posted: Tablet di prasekolahAPLIKASI interaktif di dalam iPad menarik minat kanak-kanak prasekolah. SEORANG kanak-kanak berusia dua tahun berjaya menunjuk huruf-huruf yang terpapar pada skrin dengan menggunakan jari telunjuknya. Mesra dengan panggilan Mia, dia bertepuk tangan apabila keluar suara wonderful dari komputer itu yang turut diselangi dengan tepukan gemuruh. Pembelajaran menggunakan iPad merupakan satu kaedah yang digunakan murid-murid prasekolah di Sekolah Antarabangsa Tanto, Stockholm, Sweden. Setiap dua orang kanak-kanak dibekalkan sebuah iPad. Melalui perkongsian itu, suasana kelas amat bising dengan celoteh mereka. Guru sekolah itu, Helena Bergstrand memberitahu, kanak-kanak amat seronok bermain dengan aplikasi di dalam iPad dan ia merupakan kaedah pembelajaran terbaik untuk membantu sebutan perkataan mereka. Helena merupakan salah seorang daripada 90 peratus guru-guru di Stockholm yang percaya bahawa iPad dan tablet membantu mendorong kanak-kanak untuk belajar. "IPad merupakan kaedah pembelajaran yang pantas, amat interaktif berbanding menggunakan pen dan kertas di samping menyeronokkan kanak-kanak," ujarnya sambil bergerak berpusing di sekeliling meja untuk membantu kanak-kanak. Penyelidik di Universiti Uppsala, Petra Petersen yang telah membuat kajian berkenaan pula mendapati, penggunaan tablet merupakan cara terbaik untuk mengetahui cara anak-anak berinteraksi. Katanya, kanak-kanak akan duduk bersama dan melakukan aktiviti secara berkumpulan menggunakan tablet. Melalui kaedah itu, mereka banyak bersentuhan antara satu sama lain dan berkomunikasi secara lisan. "Variasi warna, bunyi, perkataan yang disebut dan perkara yang menarik minat kanak-kanak merupakan antara faktor sesebuah tablet mendapat sambutan," ujarnya. Alam persekolahan Seperti di kebanyakan negara lain, kanak-kanak di Sweden gemar bermain aplikasi permainan tablet dan komputer riba sebelum memasuki alam persekolahan. Majlis Media Kebangsaan Sweeden pula menganggarkan kira-kira 70 peratus kanak-kanak yang berusia dua hingga empat tahun bermain permainan video pada usia itu.
Selain itu, hampir separuh iaitu 45 peratus kanak-kanak berusia dua tahun telah menggunakan internet. Pakar teknologi maklumat Agensi Pendidikan Kebangsaan, Peter Karlberg memberitahu, penggunaan tablet dan komputer sekurang-kurangnya akan merapatkan jurang antara sekolah dan persekitaran kanak-kanak. Hasil kajiannya juga mendapati, seorang daripada dua guru perlu mendapat latihan khas untuk menggunakan tablet. Guru di Gothenburg, Felix Gyllenstig Serrao berkata, dia menggunakan permainan komputer Minecraft yang dicipta di negara itu untuk mengajar kanak-kanak mengenai tingkah laku dan masalah konsentrasi. "Permainan ini bagus kerana mengajar mereka untuk berfikiran terbuka dan kreatif. Kebiasaannya saya menggunakan permainan tersebut untuk menjadikan sesebuah topik itu lebih seronok," jelasnya. Teknik pengajaran Teknik pengajarannya itu juga merangkumi kaedah pembelajaran untuk kanak-kanak yang mengalami gangguan kekurangan perhatian dan sindrom Asperger. Felix yang juga penggemar permainan komputer mengajar subjek Matematik dan Sejarah kepada kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun. Dia menggunakan permainan blok bangunan atau lego digital sebagai kaedah penyelesaian jawapan subjek Matematik. Blok bangunan itu juga dibina untuk menggambarkan kejadian penting dalam buku Sejarah selepas sesi pembelajaran formal di bilik darjah berakhir. "Kaedah itu menguatkan ingatan pembelajaran mereka. Apabila mereka bermain permainan komputer dan melihat binaan piramid atau struktur bandar yang dibina, mereka akan mengingati pelajaran itu," ujarnya. Menurutnya, penggunaan permainan komputer dalam pembelajaran akan mengambil masa yang lama sebelum ia dilaksanakan secara menyeluruh di dalam kelas digital. "Apabila saya bercakap dengan guru-guru yang berumur mengenai perkara ini, dahi mereka pasti berkerut. Mereka berfikir permainan komputer tiada kaitan dengan proses pembelajaran," tambah Felix. Dalam usaha untuk menjadikan sekolah sebagai pusat digital, terdapat pihak yang mengkritik langkah tersebut. Penyelidik permainan video Fakulti Pendidikan, Universiti Gothenburg, Jonas Linderoth melihat beberapa kesulitan sekiranya tablet diberikan kepada seorang bayi. "Kebanyakan kanak-kanak mempunyai teknologi ini di rumah. Mereka juga boleh menekan pelbagai aplikasi yang terdapat di bahagian belakang tempat duduk di dalam kenderaan keluarga. "Namun, ibu bapa tidak dapat membaca apa yang anak-anak lakukan. Ibu bapa juga perlu mengawasi setiap tindak-tanduk anak prasekolah," ujarnya. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan