Sabtu, 29 Mac 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


MH370 didakap Lautan Tebusan

Posted:

MH370 didakap Lautan Tebusan

MH370 didakap Lautan Tebusan

Oleh NOR IDAYU BOSRO

DASAR Lautan Hindi dipercayai berceranggah dan sentiasa berubah kerana aliran magma daripada gunung berapi. - Gambar hiasan


KETIKA Fernando Schnabl sedang menanti isteri dan anak lelakinya tiba di Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Perancis, dia dikejutkan dengan berita kehilangan pesawat Air France 447 (AF447).

Pesawat jenis Airbus A330 itu dinaiki pasangan anak-beranak tersebut untuk pulang daripada percutian mereka di Brazil.

Fernando bersama anak perempuannya, Celine terlebih dulu tiba di Perancis menerusi pesawat berasingan.

"Kami dalam perjalanan pulang apabila salah seorang anak kapal memberitahu sebuah pesawat yang berlepas dari Rio de Janeiro hilang daripada radar," cerita Fernando seperti dipetik portal Daily Mail.

Dalam kejadian pada 1 Jun 2009, pesawat berkenaan telah terhempas di Lautan Atlantik menyebabkan 228 penumpang terbunuh.

Turut terkorban ialah isteri Schnabl, Christine dan anak lelakinya, Philipe.

Operasi SAR dilakukan pada keesokan harinya namun harapan untuk menemui mangsa yang selamat adalah tipis meskipun dibantu dengan teknologi paling canggih.

Menurut jurucakap tentera laut Perancis, Hugues du Plessis d'Argentre, kedalaman Lautan Atlantik yang mencecah 3,926 meter (m) membuatkan misi mencari menjadi sukar.

"Kami terpaksa berhadapan dengan laut bergelora, angin kencang dan keadaan laut yang tidak menentu," katanya.

Selepas 25 hari, pasukan SAR menghentikan operasi mencari setelah gagal menemui kotak hitam pesawat itu.

Bagaimanapun, kotak hitam tersebut ditemui dua tahun kemudian.

Cabaran untuk mengesan kotak hitam AF447 yang terhempas enam tahun lalu itu hampir serupa dengan usaha mencari kotak hitam pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas.

Meskipun demikian, ada yang menyifatkan usaha mencari pesawat jenis Boeing 777 itu lebih sukar kerana ia hilang secara misteri, tidak seperti AF447 yang diketahui kedudukannya.

Paling menakutkan

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu sidang akhbar pada 24 Mac lalu mengesahkan perjalanan MH370 berakhir di Lautan Hindi.

Sejurus selepas berita sedih itu disampaikan, usaha pasukan SAR yang membabitkan 12 negara terus bertumpu ke arah mencari kotak hitam pesawat berkenaan di selatan lautan itu.

Pakar pencari bangkai pesawat dalam laut Amerika Syarikat (AS), David Mearns yang pernah terlibat dalam operasi mencari serpihan AF447 mengakui misi mencari komponen pesawat MH370 di Lautan Hindi tidak sama seperti yang disertainya di Lautan Atlantik sebelum ini.

"Berbanding Lautan Atlantik yang terletak di antara benua Afrika dan Amerika, Lautan Hindi sangat terpencil dan jarang dilalui kapal-kapal dagang," kata Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Jaringan Industri dan Masyarakat Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr. Rizal Arshad.

Maka tidak hairanlah, lautan ketiga terbesar di dunia itu terkenal dengan jolokan The Lonely Ocean atau Lautan Sepi.

Menurut Rizal, Lautan Hindi mempunyai kedalaman sembilan hingga sepuluh kali ganda berbanding ketinggian Menara Berkembar Petronas iaitu 420m.

Tambahnya, dengan kedalaman mencecah 4,000m, lautan itu turut mempunyai arus yang kuat selain dasarnya yang gelap dan kerap berubah.

"Di sesetengah kawasan seperti Jurang Jawa, kedalamannya mencecah 7,000m. Jika kotak hitam tersebut bergerak atau dilitupi pasir di dasar laut, ia akan merencatkan isyarat yang boleh diberikan," katanya.


KENDERAAN kawalan jauh dalam air (ROV) boleh digunakan pada kedalaman 6,000m. - Gambar hiasan


Perkara itu turut dipersetujui ahli oseanografi dari Universiti New South Wales di Australia, Erik Van Sebille yang menyifatkan Lautan Hindi sebagai kawasan yang paling menakutkan di muka bumi.

"Secara umum, bahagian selatan Lautan Hindi merupakan kawasan laut paling bergelora. Pada musim sejuk, jika berlaku ribut, anda boleh melihat ombak setinggi 10 hingga 15 meter.

"Cuaca tidak menentu, ombak ganas dan laut bergelora. Keadaan ini amat berbahaya walaupun untuk kapal-kapal besar.

"Malah, arus di bahagian itu merupakan antara yang paling deras di dunia," jelasnya sambil memberitahu, lautan itu juga dikenali dalam kalangan pelaut sebagai 'Lautan Tebusan' .

Cuaca buruk

Selain itu, keadaan cuaca dengan angin kencang yang dikenali sebagai Roaring Forties turut menambahkan kesulitan operasi SAR di kawasan tersebut.

Perkataan roaring merujuk kepada tiupan angin barat yang sangat kuat sehingga menyebabkan ribut kencang.

Istilah forties pula merujuk kepada lokasi kedudukan garis lintang selatan yang terletak pada latitud 40 dan 50 darjah di hemisfera selatan.

Bekas penasihat penerbangan tentera Universiti Newcastle, Martin Babakhan memberitahu, fenomena alam yang kerap terjadi di kawasan itu berpunca daripada lokasinya yang terletak di zon peralihan antara daerah subtropika yang tenang dengan kawasan pusaran sejuk di sekitar Kutub Selatan.

Menurutnya, kelajuan angin yang mencapai 200 kilometer sejam (kmj) menyebabkan laut bergelora dan ribut kuat di tengah lautan.

"Peralihan musim telah bermula dan ini bererti udara sejuk dari Antartika bergerak ke atas dan udara panas bergerak ke bawah mewujudkan cuaca yang buruk," katanya.

Dalam pada itu, Perunding keselamatan penerbangan, Geoffrey Thomas memberi amaran bahawa keadaan cuaca di lautan yang terletak berdekatan benua Antartika itu semakin buruk apabila tiba musim sejuk.

"Keadaan yang amat sejuk sedang menghampiri. Keadaan laut akan bergelora dengan hujan lebat serta awan rendah.

"Laut akan menjadi seperti sebuah kawah buih dengan warna putih melitupi sebahagian besar permukaan air. Ia sangat berbahaya untuk berada di sana," katanya



Thomas menambah, keadaan itu merupakan suatu petanda yang tidak menyenangkan.

"Ini adalah permulaan musim sejuk. Keadaan seperti ini adalah kejadian yang berlaku setiap hari di kawasan lautan Hindi. Ia adalah musim sejuk selama lapan bulan pertama untuk tahun ini dan sepanjang tempoh tersebut, lokasi ini adalah tempat paling dahsyat di dunia," jelasnya.

Thomas mengandaikan usaha mendapatkan semula bangkai pesawat mungkin mengambil masa berbulan-bulan dalam keadaan cuaca sedemikian.

"Sungguh malang jika serpihan pesawat MH370 ditemui di kawasan itu. Ia seolah-olah satu mimpi ngeri," ujarnya.

Apa pun situasi yang perlu dihadapi, pasukan SAR kian kesuntukan masa untuk mencari kunci utama bagi menyelesaikan misteri tragedi pesawat MH370 iaitu kotak hitam pesawat tersebut.

Jangka hayat bateri kotak elektronik yang berfungsi merekod data rakaman penerbangan hanya mempunyai masa kurang dari seminggu sahaja lagi untuk dikesan sebelum kuasa baterinya menjadi semakin berkurangan.

Untuk mengesan isyarat tersebut, pasukan SAR menggunakan alat pendengaran berteknologi tinggi yang dipinjamkan oleh Tentera Laut AS iaitu Towed Pinger Locator.

Situasi ini sama seperti operasi mengesan bangkai pesawat AF447.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Towed Pinger Locator akan dipasang pada kapal milik tentera laut Australia, Ocean Shield.

"Kapal itu akan menuju ke kawasan pencarian dan dijangka tiba pada 5 April depan," ujarnya.

Dibadai ribut tengah laut

Posted:

Dibadai ribut tengah laut

Dibadai ribut tengah laut


SEBUAH kapal Perancis menyelamatkan Sunderland (gambar) yang hanyut di selatan Lautan Hindi.


PENGALAMAN dipukul ombak setinggi hampir 10 meter ketika belayar di selatan Lautan Hindi merupakan antara detik-detik cemas yang dihadapi Abby Sunderland.

Dia yang berhasrat menjadi pelayar termuda mengelilingi dunia secara solo dibadai ombak besar sehingga kapal layarnya, Wild Eyes musnah.

Sunderland yang berasal dari California, Amerika Syarikat mula belayar dari Marina del Rey di Los Angeles dengan botnya pada 23 Januari 2010.

Remaja berusia 17 tahun itu telah belayar selama hampir lima bulan sebelum ditimpa kejadian malang itu.

Bagaimanapun, Sunderland bernasib baik kerana berjaya diselamatkan melalui operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran.

"Saya menghantar isyarat kecemasan menerusi telefon satelit pada 10 Jun 2010 dan diselamatkan dua hari kemudian," katanya.

Cerita Sunderland, dia terpaksa bertarung dengan ribut yang membawa angin selaju lebih 100 kilometer sejam (kmj) selama lima hari berturut-turut.

"Bot saya dipukul ombak beberapa kali sehingga layarnya jatuh ke dalam air," katanya seperti dipetik portal The Telegraph.

Operasi mencari Sunderland itu melibatkan pihak berkuasa Australia, Amerika Syarikat dan Perancis yang menghantar kapal serta pesawat ke kawasan berkenaan.

Sunderland ditemui kira-kira 3,200km dari barat Australia.

Pasukan SAR yang terlibat menyifatkan kawasan tersebut sebagai kawasan yang paling sukar bagi menjalankan operasi menyelamat.

Selfie undang kematian

Posted:

Selfie undang kematian

Selfie undang kematian


DANNY BOWMAN, 19, menghabiskan masa 10 jam sehari untuk mengambil gambar diri sendiri.


SEORANG remaja lelaki dari Neswastle, England, Danny Bowman, 19, menghabiskan masa hampir 10 jam setiap hari untuk mengambil kira-kira 200 keping gambar diri sendiri yang dikenali sebagai selfie menggunakan telefon bimbit.

Tabiat pelik yang membelenggu remaja lelaki itu pada tiga tahun lalu memakan diri apabila keadaan tersebut hampir meragut nyawanya.

Dia berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan gambar yang diambilnya hingga menyebabkan dia mengalami penyusutan berat badan sebanyak 20 kilogram.

"Ketika itu, saya begitu obses untuk mengambil gambar selfie kerana ingin mencuri perhatian rakan-rakan wanita di sekolah.

Seronok

"Setiap kali mengambil gambar, saya akan rasa seronok dan teruja lebih-lebih lagi apabila berjaya menonjolkan sisi saya yang berbeza," katanya.

Ujar Danny, kelakuan tersebut bertambah kritikal sehingga dia sanggup menyelinap keluar dari kelas sebanyak tiga kali iaitu pada setiap satu jam semata-mata untuk mengambil gambarnya sendiri.

Satu-satunya kebaikan hobi melampau tersebut ialah impian Danny untuk menjadi seorang model lelaki tercapai pada tahun 2011. Pada usia 16 tahun, Danny nekad berhenti sekolah dan menghabiskan seluruh masanya untuk mengambil gambar selfie.

Enam bulan pertama selepas berhenti sekolah, dia mengurungkan diri di dalam bilik tanpa melakukan sebarang aktiviti dan hanya mengambil gambar selfie.

Sebelum mengambil gambar, Danny akan merenung ke arah gambar idolanya, pelakon Hollywood terkenal Leonardo de Caprio untuk mendapatkan idea.

Namun begitu, apabila gambar tersebut gagal mencapai tahap kesempurnaan, dia akan cuba membunuh diri dengan mengambil dadah terlarang secara berlebihan.

Ibunya, Penny Bowman berkata, seluruh anggota keluarga terpaksa mendapatkan bantuan untuk menyelamatkan anak lelakinya terutamanya apabila ketagihan Danny berada di luar kawalan.

"Saya pernah cuba merampas telefon bimbitnya kerana menyangka ia mampu mengawal keadaan daripada menjadi lebih tegang.

"Namun, perkara sebaliknya berlaku apabila dia menjadi semakin agresif," ujarnya.

MERAKAM kenangan bersama seorang pengacara ketika membicarakan mengenai penyakit dismorfik.


Penyakit mental

Persepsi Danny mengenai ketaksuban terhadap gambar sendiri bagaimanapun berubah selepas dia menerima pelbagai komen negatif berkaitan fizikalnya sebaik memuat naik gambar tersebut ke laman Facebook.

"Pelbagai kata kesat dilemparkan kepada saya sehingga ada yang mengeji hidung saya bersaiz besar.

"Dari hari itu, saya mula sedar bahawa untuk mencapai kesempurnaan adalah mustahil. Setiap orang pasti ada kekurangan," katanya.

Setelah menyedari sukar untuk mengambil gambar yang sempurna, Danny nekad untuk berhenti daripada ketagihan tersebut dan mengambil masa selama tujuh bulan untuk mengatasinya.

"Kalau tidak saya pasti tidak boleh berenggang dengan telefon sampai sekarang.

"Disebabkan ketagihan itu, saya kehilangan rakan-rakan, zaman persekolahan, kesihatan dan paling tidak dapat dilupakan apabila saya hampir mati," luahnya kesal.

Perkara tersebut lantas menjadikan Danny sebagai penagih selfie pertama di Britain yang menghidap sindrom penyakit personaliti dismorfik, iaitu kebimbangan melampau terhadap penampilan peribadi dan gangguan obsesif kompulsif (OCD).

Seorang pakar psikiatri Britain, Dr. Linda Papadopoulos berkata, fenomena tersebut sering terjadi dalam kalangan golongan muda zaman teknologi kini.

"Budaya ini sama seperti reaksi kita ketika melihat diri sendiri terpampang di dada akhbar.

"Ia sama sahaja seperti memaksa orang lain untuk melihat kehidupan kita dan juga betapa hebatnya kehidupan kita berbanding orang lain," katanya.

Tambahnya, kegilaan individu untuk ber-selfie telah berkembang sejak lima tahun yang lalu.

Bukan sekadar orang biasa, gejala tersebut malahan turut merebak dalam kalangan selebriti, ahli politik dan atlet sukan.

Bagaimanapun, seorang pakar psikologi yang merawat Danny berpendapat, ketagihan individu mengambil selfie kini telah menjadi satu penyakit mental.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved