Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Kuasa pemikat Tomok & Syarul
PADA mulanya, langkah kaki mereka tidak sama. Laluannya juga jelas berbeza. Masing-masing punya acuan tersendiri. Biar berlainan medium dan warna, namun, di satu titik, mereka bertemu di lembah yang sama. Lembah dramatik yang memacak tubuh untuk menjadi bahan rakaman. Berdiri atas entiti bakat dan peluang, mereka bertembung membentuk rencah kehidupan yang sama untuk dikenali sebagai pelakon. Itu lakaran yang dilalui oleh dua nama, daripada dua rangka masa berbeza. Boleh dianggap senior, Tomok yang berjinak-jinak dalam dunia lakonan terlebih dulu sudah memacu ke depan seiring bersama pelakon yang kian membina nama, Syarul Ridzwan. Biarpun masih berstatus pelakon amatur, kerja mereka sudah menjentik pesona ramai. Buktinya, kedua-duanya diberi tanggungjawab membawa peranan besar menjayakan sesebuah naskhah. Sudah pasti apabila masing-masing diberi peranan menggalas watak utama, semestinya mereka ada daya pemikat tersendiri. Jika Tomok menjadi teraju utama drama Suamiku Jururawat, Isteriku Doktor, Syarul Ridzwan yang digandingkan sebagai muka depan Sensasi Bintang minggu ini pula mengemudi plot cerita Romi Cinta Julia. Suatu masa dahulu, dua nama itu mungkin tidak pernah terlintas untuk diberikan watak hero, namun, peluang yang mereka ada kini digenggam erat. Masakan tidak, Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, pada awalnya dikenali menerusi bakat suaranya. Begitu juga dengan jejaka yang berdiri sebagai Mohd. Saharul Ridzwan Hashim bermula dengan dunia peragaan sebelum berjinak dalam pengiklanan komersial. Tomok terbuka dikritik Apa yang pasti, masing-masing ada rencana tersendiri dalam mengatur kerjaya seni yang menjadi periuk nasi mereka sekarang. Bagi Tomok, dia merasakan bidang seni ini cukup luas untuk diteroka. Tidak mahu meletakkan diri hanya sebagai penyanyi, bapa kepada putera sulung, Arrianshah Akid, 2, itu mengakui dia ingin dilihat sebagai anak seni yang versatil. "Kalau boleh saya nak orang kenal saya bukan sebagai penyanyi sahaja. Bidang seni ini mempunyai cabang yang cukup luas. "Selain menyanyi, saya mahu orang juga kenal saya sebagai pelakon dan komposer," tuturnya yang menginjak usia 30 tahun. Tempoh lebih sedekad dalam industri muzik tanah air sudah cukup bulat untuk Tomok dikenali sebagai penyanyi. Namun, itu bukan penghalang buatnya untuk mencipta label baharu sebagai anak seni serba boleh. Tidak pernah menganggap diri sebagai 'tamak' apabila mencuba semua bidang, Tomok merasakan peluang itu merupakan pintu rezekinya sekeluarga. Pelakon filem Istanbul Aku Datang itu memberitahu, pada mulanya, ada rasa ragu-ragu yang menyelubungi diri sewaktu diberikan watak utama dalam sesebuah karya. "Saya dikira agak baharu dalam dunia lakonan. Apabila digandingkan dengan pelakon yang lebih lama dengan saya menjadi hero dalam sesebuah drama, saya terkejut. "Tapi, macam dalam drama Suamiku Jururawat, Isteriku Doktor, pelakon Yana Samsudin banyak membantu saya daripada segi cara menyampaikan sesuatu watak itu," kongsinya yang lebih suka belajar daripada pelakon yang berpengalaman. Bercerita mengenai wataknya sebagai jururawat dalam drama arahan Eyra Rahman itu, Tomok berkata, watak itu agak mencabar. "Watak saya dalam drama itu memerlukan saya tampil sebagai seorang yang kelakar sedikit. Ia agak berat untuk dilakonkan sebab saya sebenarnya agak pendiam dan serius orangnya," kongsinya. Ditebak mengenai penerimaan penonton terhadap lakonannya, Tomok menjawab, respons yang diterimanya bersifat positif. Malah, katanya, jika ada kritikan sekalipun, dia menerima dengan hati terbuka. Malah, kritikan itu dapat dijadikan panduan untuk dia memperbaiki segala kelemahan. "Kalau ada orang mengkritik saya, itu bermaksud orang ambil kisah pasal saya. Daripada situ kita boleh perbaiki diri dan lakonan. Saya pun masih dalam fasa pembelajaran," jelasnya. Biar seaktif mana sekalipun Tomok dalam bidang lakonan, nyanyian yang sudah meresap sebati terlebih dulu dalam jiwanya tidak akan diketepikan. Jika diberi peluang dalam kedua-dua bidang lakonan dan nyanyian, nyanyian tetap menjadi keutamaannya. "Kalau boleh saya nak kedua-duanya bergerak seiring. Tapi kalau perlu membuat pilihan, saya akan utamakan nyanyian," katanya yang mahu menjadi anak seni serba boleh seperti Seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Dahulu model sekarang pelakon Berbeza pula kisahnya dengan hero drama Romi Cinta Julia, Syarul. Berjinak-jinak sebagai model remaja dan pelakon iklan, si pemilik nama komersial Syarul Ridzwan itu sudah ada momentum tersendiri. Bergiat dalam bidang seni sekitar dua tahun lalu selepas menyertai pertandingan Hero Remaja 2012, namanya kini kian meniti di bibir peminat. Segala-galanya bermula sebaik pelakon berusia 25 tahun itu memegang watak Faizal menerusi drama Love You Mr. Arrogant. Tatkala ramai lagi bintang yang jauh berpengalaman daripadanya untuk menjadi teraju utama sesebuah drama, Syarul menganggap peluang yang diberikan sebagai satu penghargaan buat dirinya. "Saya terkejut sewaktu ditawarkan untuk bawa watak utama. Maklumlah, jika kita gagal bawa satu-satu watak itu, maka seluruh cerita itu tak akan menjadi. Bimbang watak dan mesejnya tak sampai kepada penonton pula," ujarnya yang wajahnya dikatakan mirip pelakon Aaron Aziz. Anak kelahiran Kuantan, Pahang yang menjadikan Rosyam Nor sebagai idola itu memberitahu, biarpun masih baharu, dia bersyukur kerana dalam setiap produksi, dia banyak dibantu oleh kekuatan tenaga kerja yang berada di sekelilingnya. Lebih-lebih lagi dengan heroin yang digandingkan bersamanya, katanya, perlu ada gandingan yang serasi. Tidak pernah kisah jika digandingkan dengan mana-mana pelakon, Syarul mendedahkan, dia mahu bersikap profesional kerana baginya keserasian boleh dibentuk. "Biasanya sebelum memulakan sesuatu babak, saya akan berlatih terlebih dulu. Kena saling berkomunikasi terutamanya dengan pelakon gandingan saya. "Saya bertanya cara bagaimana watak itu hendak dibawa, baru boleh ada keserasian," jelasnya yang mengakui agak sukar membawakan watak romantik. Menyentuh mengenai populariti yang diraihnya, Syarul berkata, khalayak lebih mengenali wataknya dalam drama berbanding nama sebenarnya. "Pernah sewaktu saya keluar bersiar-siar, orang menyapa saya dengan nama Romi, bukan Syarul. "Itu sudah dikira baik sebab orang mula cam muka saya menerusi watak yang saya bawa," tuturnya yang menamakan Shila Rusly sebagai individu yang bertanggungjawab membuka peluang kepadanya memegang watak utama menerusi drama Hujan. Biar apa sekalipun watak yang diberikan, ujar Syarul, dia tidak pernah memilih. Sama ada watak utama atau pembantu, katanya, masing-masing ada fungsi dan perlu dipersembahkan dengan baik. "Setiap watak yang wujud itu ada sebab dan peranannya. Watak itu tak akan ada kalau tak penting, walaupun sebagai cameo sahaja," tutupnya Syarul. | ||
Posted: Penghormatan Anuar Zain
SEPULUH tahun Anuar Zain menjadi anak kapal. Selama 10 tahun juga usia dewasanya dihabiskan di awan biru menjadi sebahagian daripada keluarga besar Penerbangan Malaysia (MAS). Atas kedekatan rasa dan pertalian yang kekal tersemat dalam sanubarinya itu, dia tidak sanggup untuk meneruskan agenda persembahan Minggu Setiausahanya yang sepatutnya dijadualkan minggu depan. Perasaan itu terdetik di hatinya sejak hari-hari terawal pesawat MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu. Sejak itu, setiap teori atau apa sahaja spekulasi mengenai pesawat yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal itu akan memberi tekanan emosi yang cukup kuat terhadap dirinya. "Emosi saya dan rasanya kita semua macam yoyo, ada masa menjunam jatuh ada masa melonjak. Walaupun kita boleh jalani hari-hari macam biasa, tapi setiap kali mengenangkan nasib pesawat berkenaan, kita akan sedih. "Dalam tempoh sekarang, saya tak rasa untuk berhibur atau mampu menghiburkan orang. "Saya tak mampu untuk tolong apa-apa kecuali terus berdoa dan ini cara saya untuk memberi penghormatan kepada keluarga penumpang terlibat," jelas Anuar Zain yang secara kebetulan membuat sidang media penundaan persembahannya itu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pesawat berkenaan mengakhiri penerbangan di Lautan Hindi, Isnin lalu. Tambah Anuar: "Keputusan ini baru sahaja dibuat setelah mendapat lampu hijau daripada semua pihak termasuk pihak hotel. Berita itu cukup menyedihkan namun kita semua harus terus berdoa." Berkongsi pengalamannya sebagai pramugara, kata Anuar, biarpun tidak rapat dengan Ketua Pramugara, Andrew Nari dan penyelia, Patrick Francis Gomes yang berada dalam penerbangan MH370, dia pernah mengenali dan bekerjasama ketika sama-sama bertugas dahulu. "Saya kenal Andrew tetapi kami tidaklah rapat. Sampai sekarang saya masih ramai kawan yang bekerja dengan MAS. "Menurut kawan-kawan saya, semua anak kapal MH370 merupakan pekerja yang berkaliber, berdedikasi dan baik hati. "Sebagai anak kapal, keselamatan penumpang memang perkara nombor satu," jelas Anuar yang buat pertama kali berkongsi perasaannya mengenai tragedi yang menimpa MH370. Bagi Anuar, pasukan mencari dan menyelamat yang masih tidak putus harapan mencari jawapan berhubung MH370 harus terus diberi sokongan. Sebagai rakyat Malaysia, Anuar merasakan inilah masanya untuk semua pihak bersatu sebagai satu team, iaitu Team Malaysia. "Ketika semua orang sedang bersedih, setiap kecaman dan lawak mengenai MH370 sepatutnya tidak dipedulikan. Bayangkan perkara itu terjadi kepada ahli keluarga kita sendiri. "Saya sebenarnya cukup marah dan sensitif dengan perkara itu. Ini bukan masa untuk buat lawak," reaksi Anuar mengenai jenaka dan teori yang mengisi debat media sosial sepanjang dua minggu kehilangan pesawat MH370 menjadi bualan hangat. Kembali bercerita tentang penganjuran persembahan Minggu Setiausahanya, Anuar berasa lega. Dia berharap peminat juga dapat menerima perubahan tarikh konsertnya yang bertemakan Terindah...Anuar Zain itu. "Setidak-tidaknya tarikh 29 April nanti agak jauh daripada tarikh sekarang. Buat masa ini, kami di Anuar Zain Network akan mengikuti perancangan asal dari segi persembahan. "Kalau ada perubahan, masih ada masa. Latihan juga belum dijalankan," jelas Anuar yang belum memikirkan sebarang segmen khas mengenang MH370 semasa persembahannya kelak. Setakat ini, hampir 70 peratus tiket persembahannya yang bertempat di One World Hotel, Petaling Jaya, Selangor itu sudah terjual. Tiket-tiket persembahan Anuar Zain boleh dibeli menerusi www.tiketcharge.com.my manakala tiket untuk VIP boleh diperoleh terus dengan menghubungi Anuar Zain Network atau Nor di talian 019-3177476 atau 012-4642030. | ||
Susahnya berlakon dengan Izzue - Anzalna Posted: Susahnya berlakon dengan Izzue - Anzalna
KETERBUKAAN Anzalna berkongsi perang emosinya bersama Izzue Islam sepanjang penggambaran drama bersiri Aku Isterinya bukan lagi satu kejutan. Desas-desus masalah antara Anzalna Nasir dan Izzue Islam sebenarnya sudah kedengaran ketika drama yang mulanya menggunakan judul Aku Bukan Mistress itu menjalankan penggambaran pada Februari lalu. Kehadiran Anzalna yang membawa watak perempuan simpanan Izzue dikatakan telah membakar cemburu Awin Nurin, isteri yang juga pengurus Izzue. Cerita itu sudahpun dinafikan Awin dan Anzalna. Namun, ketidakhadiran Izzue pada majlis ramah mesra drama yang diadakan awal minggu baru-baru ini memanggil semula ingatan media terhadap kisah bermasam muka antara kedua-dua pelakon itu. Anzalna yang menjadi titik fokus akhirnya mengakui, permasalahan itu sedikit sebanyak mengganggu konsentrasi sewaktu di lokasi. "Saya tidak nafikan laporan akhbar sebelum ini, tapi apa yang saya mahu katakan, perkara itu bukan berpunca daripada saya. "Kalau dia cuba mengelak daripada bertemu dengan saya, ingatlah bahawa industri hiburan ini kecil saja," jelas Anzalna secara terbuka. Sensasi Bintang cuba mendapatkan kepastian daripada pihak Izzue mahupun Awin, namun pasangan yang bernikah pada Jun 2013 itu tidak melayan sebarang panggilan telefon. Anzalna ditanya lagi tentang tuntutan kerjasamanya bersama Izzue yang masih belum dihabiskan. Hari ini, Anzalna dan Izzue berlepas terbang ke Perth, Australia untuk menyiapkan baki penggambaran drama berkenaan.
Selama enam hari di sana juga, Anzalna dan Izzue dikatakan banyak terlibat dalam penggambaran babak romantik. "Saya tiada masalah untuk bekerjasama dengan sesiapa saja termasuk Izzue. Masalah yang timbul bukan datang daripada saya, jadi biar dia yang selesaikan. Saya buat kerja secara profesional," ujar Anzalna. Membiarkan senyuman bergayut tenang di bibirnya, wanita sensasi yang pernah terlibat dalam perbalahan bersama Neelofa itu ada pendirian yang teguh dalam soal profesionalisme. Selain Izzue, dia juga pernah berlakon untuk babak-babak yang lebih romantik dan berani ketika bersama Aaron Aziz dan Adi Putra. "Ketika itu watak saya lebih jahat dan menggoda tapi tidak pula timbul sebarang isu. Saya cuba mengelak daripada babak berpegangan tangan kerana menghormati orang yang sudah berkahwin, kalau ada pun saya perlu kawal agar tidak berlebih-lebih," ujarnya. Tambah Anzalna juga, melakonkan babak romantik tidak semestinya harus ada adegan berpeluk. Cukup dengan lontaran dialog serta bahasa tubuh, kesan emosi akan dapat dirasai. "Sejak awal penggambaran saya sudah rasa susah berlakon dengan Izzue. Saya faham serta menghormati Izzue dan isterinya. Sebab itu saya berhati-hati apabila melakonkan babak berpegangan. "Saya juga ada keluarga dan teman lelaki, memang dari awal saya cuba jaga batas. Saya bukan nak goda suami orang," katanya. Menganggap kontroversi bermasam muka itu sebagai isu kecil, Anzalna sebenarnya enggan melayan perkara yang kebudak-budakan itu. Namun, sebagai wanita yang merasai sendiri bahang cemburu tanpa sebab, dia tidak akan berdiam diri sekiranya difitnah dengan cara mengaibkan. "Sudah pasti saya akan menegakkan perkara yang betul, tapi saya cuba elakkan bergaduh, jangan sampai berlaku perang mulut," tutup Anzalna mengenai kisah dari lokasi drama Aku Isterinya arahan Fairoz Loy itu. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan