Kosmo Online - Rencana Utama |
- Bakal wira sukan mencipta nama
- Stadium Frenz United bertaraf antarabangsa
- Budaya urbexer menular di Asia larangan
Bakal wira sukan mencipta nama Posted: Bakal wira sukan mencipta nama
DARI jauh kedengaran laungan semangat penuntut di Akademi Bola Sepak Frenz United menjalani latihan. Meskipun jam menunjukkan pukul 4 petang, namun terik matahari yang terpancar seolah-olah pukul 12 tengah hari, namun bahang yang dirasai sedikit pun tidak memperlahankan rentak latihan 55 penuntut berusia antara 13 hingga 17 tahun di padang latihan. Akademi yang terletak di Janda Baik, Pahang itu dikelilingi gunung-ganang dan bukit bukau merupakan medan melahirkan bakat baharu dalam arena bola sepak negara. Setakat ini, akademi tersebut berjaya mengumpulkan bakal wira-wira sukan bola sepak yang mencipta nama sehingga ke peringkat dunia. "Keluarga saya miskin, saya mahu menjadi pemain bola sepak kerana saya yakin kerjaya ini mampu membebaskan keluarga daripada belenggu tersebut," luah seorang penuntut, Mohammad Syafiq Abd. Halim, 16, penuh mengharap. Berasal dari Bagan Ajam, Pulau Pinang, anak sulung daripada tiga beradik itu tekad meneruskan pengajian di akademi tersebut bukan sahaja kerana mengejar cita-cita tetapi demi masa depan keluarganya. Semangatnya meneruskan latihan di akademi itu dibakar dengan perjuangan pasukan Frenz United selain ingatan terhadap keluarga. "Bapa saya bekerja sebagai nelayan. Kehidupan kami cukup sekadar cukup makan. "Sebagai anak sulung, fikiran saya tidak pernah berhenti bermimpi, suatu hari nanti bapa tidak perlu lagi turun laut dan adik-beradik tidak hidup susah," katanya yang terpilih menyertai akademi tersebut dalam satu sesi temu duga. KEHIDUPAN seharian penuntut akademi bermula seawal pukul 6 pagi. Mohammad Syafiq memberitahu, bapanya adalah individu pertama yang mengetahui kejayaannya menyertai akademi tersebut sebelum menyampaikan kepada ibu. "Alhamdulillah, sewaktu menunjukkan surat tawaran itu bapa tidak menghalang dan memeluk saya. Majoriti ahli keluarga tahu saya meminati profesion bola sepak," tuturnya. Bagi penuntut yang berasal dari Sarawak, Mohd. Haziq Hossain, 16, dia nekad menongkah arus dan menentukan kariernya. Wakili negeri Dilahirkan sebagai anak ketiga daripada enam beradik, majoriti adik-beradiknya melanjutkan pengajian dalam bidang sains dan perubatan. Apatah lagi, ibunya juga merupakan pensyarah dalam bidang sains dan perubatan mahu Mohd. Haziq melanjutkan pengajian dalam bidang yang sama. Pernah mewakili negeri Sarawak sebelum meneruskan pengajian di akademi Frenz United, ibu bapanya yang pada awalnya agak berat hati memberi keizinan, kini menyokong Mohd. Haziq. "Mereka gembira melihat saya mengejar cita-cita. Itu yang menjadi bukti kepada mereka bahawa saya mampu berjaya dalam bidang ini. "Sukan bola sepak memang sebati dalam diri saya," katanya mengatur bicara. Menempelak mana-mana pihak yang mengaitkan penuntut sekolah sukan mempunyai tahap kecerdasan intelektual (IQ) yang rendah, Mohd. Haziq membuktikan dia tersenarai antara pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun 2013 dengan memperoleh enam A dan dua B. Beliau berpendapat, kebijaksanaan dan kemahiran perlu seiring. Dia juga amat bersyukur kerana akademi tersebut menerapkan penggunaan bahasa Inggeris sama ada di dalam atau di luar kelas. Penuntut di akademi tersebut hanya mengambil tujuh subjek iaitu Matematik, Bahasa Melayu, Sejarah, Bahasa Inggeris, Pengajian Perniagaan dan Pengajian Pengurusan Sukan. Ketua Bahagian Penghayatan Jati Diri, Komanden Mohd. Sharif Ahmad berkata, subjek Pengajian Perniagaan dan Pengurusan Sukan menjadi keutamaan di akademi itu yang bertujuan meluaskan peluang kerjaya penuntut dalam sukan bola sepak. AKADEMI Frenz United menempatkan 20 asrama untuk 55 penuntut. Biasiswa Pihak akademi juga menanggung sepenuhnya perbelanjaan setiap penuntut dengan biasiswa selama lima tahun. Menurut beliau, setiap penuntut dipilih oleh pihak akademi Frenz United yang menghadiri beberapa perlawanan anjuran Majlis Sukan Negara dan sekolah sukan di Malaysia. "Kebanyakan penuntut di sini menerima tawaran daripada akademi selepas dua hingga tiga orang pakar kami menyaksikan mereka beraksi. "Kami akan menilai prestasi mereka sepanjang perlawanan sebelum memberitahu mereka layak untuk bersama dengan Akademi Bola Sepak Frenz United atau tidak," jelasnya ketika ditemui. Sebagai seorang komanden dan mempunyai perwatakan yang tegas, Mohd. Sharif memberitahu, setiap penuntut terikat dengan peraturan terutama melibatkan disiplin ketepatan masa. Mereka perlu menjalani setiap aktiviti secara berjemaah untuk mengeratkan silaturrahim. "Bermula daripada solat Subuh sehingga Isyak secara berjemaah, makan, bangun daripada tidur pun perlu dilakukan secara berjemaah. Jika ada seorang yang melanggar peraturan, yang lain juga akan dikenakan denda," jelas beliau. Perkara yang paling dititikberatkan di akademi ialah disiplin ketepatan masa. Mohd. Sharif yang sempat melakukan rondaan menyaksikan latihan setiap penuntut di akademi itu berkata, pada bulan Ramadan, penuntut tetap menjalani latihan bola sepak seperti biasa, bagaimanapun latihan tersebut hanya bermula pada pukul 5 petang hingga 7 malam. Walaupun baru memasuki usia dua tahun penubuhan akademi tersebut, Mohd. Sharif mendedahkan beberapa liga antarabangsa sudah mula menjengah penuntut untuk diserap ke dalam kelab mereka termasuk daripada Liverpool. TERLETAK di Janda Baik, Pahang, Akademi Frenz United merupakan medan melahirkan pemain profesional dalam sukan bola sepak. Pasukan bola sepak tempatan juga ada yang berminat untuk mengambil penuntut di akademi sebagai benteng memperkukuhkan pasukan sedia ada. "Kesemua penuntut didedahkan dengan corak permainan seperti di peringkat antarabangsa. Kita membawa mereka ke serata dunia seperti Thailand dan Timor Leste untuk berlawan. "Menang atau kalah itu adat permainan kerana perkara penting bagi akademi ialah pengalaman yang mereka peroleh sepanjang berentap," katanya. Bercerita lebih lanjut mengenai latihan penuntut akademi, Ketua Jurulatih Frenz Malaysia, Mat Dinos Talib memberitahu, tempoh maksimum latihan penuntut ialah dua jam dalam setiap sesi. Dalam setiap sesi latihan bermula pada hari Isnin hingga Jumaat, ia melibatkan tujuh sesi yang dibahagikan kepada dua sesi latihan persediaan dan lima sesi teknik serta strategi. Dalam tempoh seminggu, pemain akan didedahkan dengan perlawanan persahabatan pada setiap hari Sabtu. "Setiap pemain memerlukan latihan yang sangat konsisten kerana kita tidak mahu mereka kehilangan rentak ketika beraksi di padang. "Dalam sehari latihan mereka terbahagi kepada dua sesi iaitu pagi dan petang. Setiap latihan akan diselang-seli dengan sesi latihan persediaan, sesi teknik dan strategi," katanya. Pola pemakanan Memandangkan sukan ini melibatkan stamina, pola pemakanan juga turut dikawal untuk memastikan ujian fizikal dan Indeks Jisim Badan (BMI) penuntut berada dalam keadaan yang seimbang. "Kami mempunyai pakar terlatih untuk mengawal pemakanan para penuntut. Jika kami dapati ada dalam kalangan pemain yang mengalami peningkatan berat badan, antara langkah diambil ialah mengurangkan kuantiti pengambilan nasi," katanya. Ujar Mat Dinos, jika hampir dengan tarikh perlawanan penting, pihaknya akan meningkatkan latihan, namun memberikan masa secukupnya untuk mereka berehat sebelum beraksi. Bekas guru itu berkata, setiap kali sebelum latihan bermula, jurulatih akan menyampaikan kata-kata semangat untuk memastikan momentum mereka dalam mengejar impian bergelar pemain bola sepak profesional. | |
Stadium Frenz United bertaraf antarabangsa Posted: Stadium Frenz United bertaraf antarabangsaSTADIUM utama Frenz United mampu memuatkan sehingga 2,000 penonton pada satu-satu masa. "SESIAPA sahaja yang pertama kali berkunjung di stadium ini pasti terkejut kerana tidak sangka ada stadium bertaraf antarabangsa di sini," demikian menurut Pengurus Fasiliti Akademi Bola Sepak Frenz United di Janda Baik, Pahang, Hairul Azlee Mansor. Selain memiliki stadium utama yang berkeluasan 105 meter panjang dan 68 meter lebar, Akademi Bola Sepak Frenz United turut mempunyai dua padang yang lain untuk tujuan latihan. Stadium utama mampu menampung sehingga 2,000 penonton pada satu- satu masa di samping tempat duduk berbumbung. Dalam tempoh setahun, terdapat dua perlawanan peringkat dunia dan Asia di stadium itu. "Sepanjang perjalanan pemandangan mereka hanya disajikan dengan pusat peranginan dan jalan berbukit-bukau. "Apabila tiba di lokasi perlawanan, tiba-tiba wujud stadium sebesar ini di Janda Baik," selorohnya ketika ditemui di akademi tersebut. Menurut Hairul Azlee, antara perlawanan yang baru sahaja berlangsung pada Januari lalu ialah Kejohanan Bola Sepak Piala Antarabangsa Frenz Bawah 16 Tahun (FIC). Perlawanan tersebut turut disertai B-16 Slovakia, Internacional SC Brazil, Frenz United Malaysia, Besiktas (Turki), Incheon FC (Korea Selatan), Dalian Aerbin (China), B-16 Iran, Sporting Lisbon (Portugal), Chonburi FC (Thailand), Frenz United Indonesia dan Frankfurt (Jerman). Jelas beliau, kebanyakan jurulatih memuji infrastruktur di akademi tersebut yang turut menempatkan 20 asrama selain kemudahan gimnasium. Untuk memastikan rumput stadium dalam keadaan yang baik ia sentiasa diselenggara antara empat hingga enam minggu sebelum perlawanan berlangsung di stadium tersebut. Seminggu sebelum perlawanan, padang akan ditutup bagi memelihara keadaan rumput supaya tidak terjejas. "Saat yang paling mencabar ialah menjaga kualiti padang ini ketika musim kemarau kerana rumput akan mudah kering," katanya. Padang di stadium tersebut sentiasa dipantau oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan badan induk bola sepak dunia Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) sekali gus mengiktiraf padang di akademi itu setaraf padang antarabangsa. | |
Budaya urbexer menular di Asia larangan Posted: Budaya urbexer menular di Asia laranganBILANGAN bangunan pencakar langit yang banyak di Hong Kong menjadikan ia destinasi popular dalam kalangan urbexer. MESKIPUN kakinya terjuntai di puncak sebuah bangunan pencakar langit, seorang lelaki yang dikenali sebagai Jonathan Tsang kelihatan tenang. Bersantai di bumbung bangunan dengan ketinggian lebih 50 tingkat di Hong Kong itu bagaikan beristirehat di ruang tamu rumahnya. Bagi kebanyakan orang, pemandangan di tempat tinggi terbuka itu pasti mengundang rasa gerun dan gayat. Namun tidak kepada Tsang, 25, yang menganggap ia sebagai satu perkara yang menenangkan. "Terlalu ramai manusia di jalanan dan kadangkala ia menyesakkan fikiran sehingga anda berasa perlu untuk bersendirian seketika. Sebab itu saya kerap ke sini," ujar Tsang. Tsang merupakan antara individu daripada kumpulan pengembara urban atau dikenali sebagai urbexer. Ia merupakan subbudaya bagi penggemar aktiviti ekstrem, jurugambar dan pencinta sejarah yang menjadikan lokasi terpinggir dan kawasan larangan sebagai taman permainan peribadi mereka. Urbexer mula popular di Amerika Utara dan Eropah. Kini Asia melihat pertambahan urbexer dengan peralihan generasi baharu. Pada bulan Februari lalu, dua warga Rusia nekad memanjat bangunan tertinggi China hanya menggunakan tangan. Vadim Makhorov dan Vitaliy Raskalov mengambil kesempatan atas kelemahan sistem keselamatan ketika cuti Tahun Baru Cina ketika itu bagi menyelinap ke dalam Menara Shanghai yang sedang dalam pembinaan. Aksi berbahaya mereka dimuat naik dalam internet dan menjadi bualan hangat di seluruh dunia. Hong Kong, bandar yang dipenuhi bangunan pencakar langit berbanding bandar lain di dunia menjadi destinasi popular dalam kalangan pemanjat bangunan China dan antarabangsa. Pengamal hobi ekstrem itu rela berdepan risiko tangkapan, kecederaan dan kematian. AIRIN cenderung menjelajah ke kawasan perkampungan lama yang tidak dihuni penduduk. Puncak bangunan Menakluk puncak bangunan pencakar langit dan hotel mewah di daerah Kowloon sangat mudah. Tambah Tsang, dengan memperdayakan kaunter penyambut tetamu, dia bersama sahabatnya Airin T dapat menaiki lif ke tingkat teratas. Bagi mengelakkan bertembung dengan pengawal keselamatan atau staf sesebuah bangunan, tingkat-tingkat terakhir akan dinaiki menggunakan tangga menerusi pintu yang tidak berkunci sehingga sampai ke bumbung. "Anda perlu belajar selok-belok sesebuah bangunan terlebih dulu. Jika ada urbexer yang pernah ke bangunan tersebut, anda boleh mendapatkan tip dan nasihat daripada mereka cara-cara untuk naik ke bumbung. "Kebiasaannya bangunan dikawal ketat pengawal keselamatan tetapi anda perlu bersabar. Anda perlu menunggu waktu yang tepat. "Kejayaan menaiki bumbung bangunan mungkin antara 20 hingga 30 peratus. Ada ketika anda perlu menyerah kalah di tengah jalan. "Mungkin anda boleh naik sehingga 30 ke 40 tingkat dan akhirnya terkandas di pintu terakhir. Namun apabila anda berjaya berada di puncak, perasaan itu sukar diucapkan. Ia sangat cantik," ujar Tsang. Tanggapan bahawa menaiki bumbung bangunan sebagai hobi selamat adalah tidak benar. Tsang dan sahabatnya pernah berdepan detik genting ketika memanjat kubah sebuah bangunan. Tangga untuk naik ke puncak kubah terletak betul-betul di penjuru bangunan itu dengan laluan untuk berjalan hanya selebar kira-kira 30 sentimeter. Sekiranya tersilap langkah, ia pasti mengundang kematian. "Saya memang gayat dengan ketinggian. Ia mungkin kedengaran klise tetapi hobi ini bagaikan mengatasi ketakutan anda dan ia sangat membantu," tambah Tsang. Pihak berkuasa Hong Kong memberi amaran kepada kelompok urbexer bahawa mereka mungkin berdepan dakwaan jenayah dan mencuri sekiranya berlaku sebarang kerosakan harta benda. Setakat ini tiada sebarang tangkapan direkodkan. RUMAH dan bangunan tinggal mempunyai nilai sentimental yang tinggi kepada Airin. Rumah tinggal Begitupun tidak semua pengembara urban memilih untuk membahayakan diri di tempat tinggi. Airin, seorang pekerja pejabat berusia 25 tahun juga seorang pemanjat bumbung. Namun dia lebih banyak menghabiskan masa menjelajah tempat-tempat terbiar di sekitar Hong Kong. Rumah sakit mental yang telah ditutup, kilang-kilang lama dan apartment usang yang berantakan menjadi lokasi persinggahan pilihan Airin. Di dalam sebuah rumah, dia melintasi sebuah meja tradisional yang masih menempatkan sebingkai gambar penghuni lama. Airin kemudiannya menaiki tangga kayu rapuh menuju ke bilik tidur yang dipenuhi serpihan perabot usang. Bagi Airin yang telah menjelajah ke Rusia, Korea Selatan dan Jepun, kawasan tinggalan lama mampu membuka jendela ke masa lampau. Wong Chuk Yeung misalnya, adalah salah satu daripada kira-kira 100 kampung tradisional di Hong Kong yang dibiarkan tanpa penghuni. "Orang muda berhijrah ke bandar dan membina keluarga di sana. Hanya orang tua yang tinggal di kampung dan apabila mereka meninggal dunia, rumah mereka terbiar tanpa penjaga," jelas Airin. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan