Kosmo Online - Infiniti |
- Karya tempatan di persada dunia
- Bahan terbuang jadi pelantar minyak
- Bahan api daripada sisa kumbahan
Karya tempatan di persada dunia Posted: Karya tempatan di persada duniaOleh SHAHRULANOOR ISHAK PARA ahli panel berkongsi ilmu bersama para peserta seminar. KEJAYAAN pereka animasi tempatan menggondol anugerah Oscar 2012 dalam kategori Kesan Visual Terbaik menerusi The Life of Pi terbitan Tau Films membuktikan tenaga kerja kreatif di negara ini mampu menghasilkan kualiti bertaraf dunia. Ia juga sekali gus membuktikan negara ini mempunyai tenaga kerja mahir yang mampu memberi impak terbaik terhadap industri animasi antarabangsa secara lebih kreatif dan inovatif. Presiden dan Pengasas Tau Films, John Hughes berkata, Malaysia mampu terus menghasilkan animasi dengan kualiti terbaik secara lebih aktif sekiranya tenaga mahir diberi latihan profesional secukupnya. "Saya melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai tenaga mahir dalam penghasilan animasi, mereka sudah sedia terlatih dan bakat itu wajar terus digilap. "Selain itu, saya juga percaya kemampuan mereka (tenaga terlatih tempatan) untuk terus bersinar di peringkat antarabangsa melalui penghasilan animasi inovatif dan kreatif. "Sejak itu, syarikat-syarikat penerbitan dari seluruh dunia kini tertumpu untuk bekerjasama dengan tenaga mahir di Malaysia," kata Hughes. PESERTA didedahkan kepada persembahan pentas kreatif wayang kulit moden. Bekerjasama Mengulas lanjut, Hughes menambah, pihaknya akan terus bekerjasama dengan tenaga mahir di negara ini untuk menghasilkan lebih banyak filem animasi bertaraf antarabangsa. "Pada 2013, Life of Pi juga mendapat tiga pencalonan Golden Globe Awards ke-85 dan memenangi kategori Skor Asal Terbaik. Bagi Anugerah Academy pula, ia memenangi empat kategori termasuk Pengarah Terbaik. "Kejayaan itu diperoleh daripada hasil kerja inovasi tenaga mahir di sini. Ia juga membuka mata lebih banyak pihak di peringkat antarabangsa untuk bekerjasama dengan tenaga-tenaga mahir animasi yang ada di negara ini. "Tenaga mahir di sini hanya memerlukan beberapa latihan minimum daripada profesional dalam tempoh kira-kira sembilan bulan. Kita yakin mereka mampu memberikan hasil menakjubkan selepas digilap," ujar Hughes. Hughes berkata demikian pada sidang akhbar Seminar Kreatif 2014 yang dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery di Pusat Seni Damansara, Damansara Perdana, Kuala Lumpur baru-baru ini. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Multimedia Development Corporation (MDeC) Berhad, Datuk Badlisham Ghazali.
Pendedahan Seramai 18 pakar animasi antarabangsa dan tempatan terlibat dalam seminar tersebut bagi memberi pendedahan serta panduan terhadap para peserta yang terdiri daripada penggiat animasi di negara ini. Dalam seminar dua hari berakhir pada 16 Mac itu, para peserta didedahkan mengenai kaedah penghasilan filem animasi mengikut standard kualiti Hollywood tanpa mengira genre, reka cipta serta pengembangan watak, penulisan skrip dan masa depan karya animasi di Malaysia. Dalam pada itu, Pengurus Besar Global Business Development (GBD) yang berpangkalan di Tokyo, Yoshi Okamoto pula berkata, para penggiat animasi di Malaysia dilihat memerlukan pendedahan lebih jelas mengenai perubahan-perubahan dalam industri penerbitan animasi. Ujar Okamoto, karya animasi yang dihasilkan rakyat Malaysia mampu mengorak langkah lebih jauh sekiranya mereka memahami perubahan-perubahan tersebut. "Pasaran (karya animasi) sentiasa berubah-ubah dan ia memerlukan pendekatan yang berbeza setiap kali perubahan itu berlaku. "Animasi yang dihasilkan wajar fleksibel terhadap sebarang perubahan dalam situasi permintaan dan ia memerlukan kreativiti serta daya inovasi yang mampu memenuhi kehendak pasaran. "Paling baik ialah mereka mendapatkan pasaran peminat (bagi penerbitan animasi) di sesebuah wilayah atau negara yang kecil terlebih dahulu sebelum pergi ke wilayah antarabangsa yang lebih besar," kata Okamoto. SIRI animasi tempatan, Upin dan Ipin antara paling berjaya menembusi pasaran antarabangsa termasuk di Indonesia. Bergiat aktif GBD bergiat aktif di Jepun dan rantau Asia Tenggara dalam penggunaan teknologi media bagi merangsang pertumbuhan potensi pasaran bagi sesebuah industri termasuk menggunakan teknologi animasi. Okamoto menambah, apabila semua keperluan bagi penghasilan sesebuah karya itu diambil kira secara menyeluruh dan kritis, tidak mustahil untuk para pereka animasi di negara ini mampu berdiri sama tinggi dengan pembikin filem atau siri animasi di Hollywood. Kenyataan Okamoto itu disokong pengasas Anima Point Malaysia, Jani Kuronen yang berpendapat bahawa para penggiat seni animasi di negara ini mempunyai peluang cerah untuk terlibat secara aktif di peringkat global. Anima Vitae merupakan antara studio animasi terbaik di Eropah dan sedang membangunkan teknologi animasi yang mantap di negara ini. "Mereka (pereka animasi tempatan) wajar menentukan destinasi pasaran yang mahu dan mampu ditembusi. Bagi menembusi destinasi pasaran, ia memerlukan inovasi yang berupaya memenuhi kehendak serta minat orang ramai. "Malah, sebagaimana yang diberitahu Hughes pula, kebanyakan studio penerbitan animasi antarabangsa sedang melihat ke arah kemampuan pereka animasi Malaysia. "Optimis dengan kemampuan tenaga mahir animasi di Malaysia, Anima Vitae yang berpangkalan di Finland membuka studio animasi di sini dan kita akan sama-sama mengorak langkah lebih jauh," kata Kuronen. Serentak dengan itu, Hughes, Yoshi dan Kuronen turut optimis kemampuan tenaga mahir Malaysia untuk menghasilkan animasi yang lebih baik di peringkat antarabangsa termasuk mereka cipta permainan video berkualiti tinggi. | |
Bahan terbuang jadi pelantar minyak Posted: Bahan terbuang jadi pelantar minyakOleh HAFIZ AHMAD KEKUKUHAN model pelantar minyak menjadi kunci utama yang perlu dititikberatkan oleh pelajar dalam rekaan mereka. MENGGUNAKAN bahan buangan seperti botol air, penyedut minuman dan pencungkil gigi, pelajar dari 45 buah sekolah menengah seluruh negara telah mereka cipta sebuah pelantar minyak yang kukuh dan tahan lasak. Pemilihan bahan buangan tersebut adalah disebabkan struktur yang utuh dan mudah dilenturkan mengikut bentuk yang diinginkan. Program yang dianjurkan oleh Direct Consulting & Services Sdn. Bhd. dengan kerjasama pelajar-pelajar dari Universiti Petronas Malaysia itu diadakan selama dua hari di Masjid Putra, Putrajaya baru-baru ini. Dalam tempoh masa tersebut, pelajar akan diberikan beberapa cabaran seperti sesi soal jawab, mereka bentuk pelantar minyak dan membentangkan produk mereka berdasarkan pemahaman mengenai sains fizik dan pembinaan. PERBINCANGAN yang terperinci antara peserta dapat menghasilkan model pelantar yang mengikut prosedur pertandingan. Kukuh Bagi membuktikan pelantar minyak yang dibina adalah kukuh, ia akan diletakkan dengan beban pada akhir sesi pembentangan. "Proses tersebut dilakukan untuk menilai sejauh mana pelantar minyak dapat menampung beban. Jika tidak kukuh, mereka dianggap tidak berjaya," ujar Ketua Projek, Azizi Shafian Aziz ketika ditemui Infiniti baru-baru ini. Dia menambah, peserta juga akan dinilai berdasarkan produk yang mempunyai kos yang berpatutan dan struktur seni bina yang menarik. "Peserta akan diberikan beberapa bahan asas dan sejumlah wang untuk kegunaan membeli barang-barang tambahan. Seni bina pelantar juga adalah berdasarkan idea asal mereka dengan merujuk kepada model sebenar," jelas Azizi. PEMENANG bergambar bersama Pengarah Projek, Azizi (berdiri kiri) Penasihat Projek, Muhammad Shafiq Shahrul Amar (berdiri tengah) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara, Ahmad Adnan (berdiri kanan). Salah seorang peserta dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping, Perak, Nur Shazlin Sheikh Daud berkata, kumpulannya seramai lima orang membuat persediaan selama seminggu sebelum pertandingan berlangsung. "Perbincangan kami lebih kepada soal-soal pembinaan pelantar minyak yang mudah dan kukuh untuk disiapkan dalam tempoh masa yang dihadkan," ujarnya yang mendapat tempat kedua dalam pertandingan tersebut. Idea kumpulan Tempoh masa selama tiga jam diberikan oleh setiap kumpulan dalam membina pelantar minyak dan menyediakan bahan untuk proses pembentangan. "Bagi menjimatkan masa, kami memecahkan kepada dua kumpulan kecil iaitu tiga orang akan membina pelantar secara langsung dan dua lagi membuat persediaan untuk pembentangan. "Namun begitu, secara keseluruhannya proses pembinaan dilakukan secara berkumpulan dengan memberikan idea-idea sepanjang proses tersebut," jelas gadis berumur 17 tahun itu. Menurut Azizi, pertandingan itu diadakan sebagai pendedahan pelajar kepada bidang sains, khususnya dalam bidang minyak dan gas.
"Malah dalam masa sama, mereka juga dapat meningkatkan keyakinan dalam berkomunikasi di hadapan orang awam. "Selain itu, memandang sesi pembentangan menggunakan bahasa Inggeris, ia akan membantu mereka bertutur dengan lancar dalam bahasa global tersebut," ujar Azizi. Dalam pertandingan itu, MRSM Taiping, Perak mendominasi kejuaraan dengan menduduki tempat pertama dan kedua. Tempat ketiga dimenangi oleh MRSM Kuantan, Pahang. Pelantar minyak yang dibina oleh Nabiel Mohd. Hamzah, Muhammad Arif Asyraf Samsudin, Adha Aiman Mustaqim Mustafa, Muhammad Hasif Kamil Mohd. Zainal dan Syed Muhammad Yamin Syed Yusainee itu, berjaya menampung berat sebanyak 27 kilogram. | |
Bahan api daripada sisa kumbahan Posted: Bahan api daripada sisa kumbahanPengkaji dari UiTM berjaya menghasilkan minyak bio daripada sisa kumbahan yang berpotensi digunakan sebagai bahan api alternatif. RUSNAH (kiri) bersama kumpulan penyelidiknya berjaya menghasilkan minyak bio mesra alam daripada sisa kumbahan di UiTM, Shah Alam, Selangor baru-baru ini. KAJIAN menunjukkan bahawa Malaysia menghasilkan sebanyak tiga juta meter padu sisa kumbahan setiap tahun dan jumlah itu akan meningkat kepada tujuh juta meter padu menjelang tahun 2020. Kos pengurusan bagi merawat sisa kumbahan menelan belanja melebihi RM1 juta. Menyedari masalah tersebut, sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengambil inisiatif meneroka potensi yang mampu dihasilkan daripada sisa kumbahan. Pensyarah dari Fakulti Sains Gunaan, Prof. Madya Dr. Rusnah Samsuddin bersama kumpulan penyelidikannya telah mengkaji sampel sisa kumbahan terawat dari loji rawatan Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. Hasilnya, mereka mendapati kewujudan minyak bio yang berpotensi digunakan sebagai bahan api alternatif. Mereka menggunakan suhu tinggi dalam persekitaran tanpa atau dengan oksigen yang minima untuk menyahkan sisa tidak diperlukan dan menukar sisa tersebut kepada produk yang bermanfaat seperti gas, cecair dan serbuk pepejal. "Kaedah ini juga tidak menghasilkan bahan atau sisa yang mencemarkan malah mampu menjimatkan tenaga," ujarnya. Dia menambah, setelah melalui proses ini, sebatian-sebatian kimia utama seperti alkana, alkena, alkuna, aromatik, alkohol, asid karboksilik dan sebatian-sebatian nitrogen telah dikenal pasti terkandung di dalam minyak bio tersebut. Bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti minyak bio yang dihasilkan, Rusnah telah menggabungkan sisa kumbahan dengan beberapa sisa pertanian seperti sekam dan batang padi, hampas tebu dan hampas kacang soya. Tambahan pula minyak bio yang terhasil mempunyai nilai sulfur yang lebih rendah daripada bahan api konvensional. Minyak bio yang terhasil itu mesra alam dan mampu menjadi bahan alternatif yang sesuai untuk menggantikan bahan api daripada petroleum seperti diesel. Minyak bio sangat ekonomi untuk digunakan kerana kos penghasilan yang rendah dan sumber penghasilan mudah diperoleh. Bahan mentah yang digunakan adalah daripada sumber bahan yang boleh diperbaharui. Permintaan tinggi bahan api menyebabkan harga bahan api konvensional semakin meningkat. Penggunaan minyak bio ini dilihat mampu mengurangkan kesan negatif terhadap ekonomi negara. Rusnah masih mencari rakan industri yang berminat untuk mengkomersialkan minyak bio ini kerana bahan tersebut mampu menjadi bahan api yang setanding dengan bahan api sedia ada. Inovasi itu telah meraih pingat gangsa di Pertandingan Rekacipta BioMalaysia 2011 anjuran Biotechnology Corporation yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Infiniti To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan