Sabtu, 22 Mac 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


A Musical Affair barometer sedekad Il Divo

Posted:

A Musical Affair barometer sedekad Il Divo

A Musical Affair barometer sedekad Il Divo

IL DIVO kembali ke tanah Malaysia selepas enam tahun. Kali pertama kuartet popular itu bertandang adalah pada tahun 2007 sempena Il Divo Live in Concert di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Tahun ini, kumpulan vokal lelaki yang terdiri daripada David Miller, Carlos Marín, Urs Bühler dan Sébastien Izambard sekali lagi dijemput untuk Il Divo A Musical Affair: The Greatest Songs Of Broadway Live Concert di Genting Highlands, Pahang untuk persembahan dua malam berturut-turut pada 14 dan 15 Mac lalu.

Terlalu awal untuk penulis yang baru pertama kali bersua dengan empat nama berbakat besar itu meletakkan ekspektasi sebelum melabuhkan punggung di Arena of Stars, Genting Highlands pada malam kedua persembahan mereka.

Kalau sebelum ini pun, penulis hanya mendengar beberapa buah lagu yang digubah, dialih bahasa dan dinyanyikan semula oleh Il Divo dalam versi klasikal contohnya Regresa A Mi (Unbreak My Heart, Tony Braxton), Por Ti Sere (You Raised Me Up, Secret Garden) dan Solo Otra Vez (All By Myself, Eric Carmen), kali ini penulis dihidangkan santapan baharu daripada anak didik Simon Cowell itu.

Standard

Selepas 10 tahun bergelar kesatuan dalam sebuah kumpulan yang berpegang pada kekuatan genre pop, Il Divo memilih untuk tampil dalam nafas baharu iaitu muzikal Broadway yang sudah pasti sangat popular dalam kalangan masyarakat Barat sejak era 1950-an.

A Musical Affair barangkali cukup sinonim dengan gaya baharu yang disampaikan dalam album kali ini. Il Divo menyenaraikan lagu termasyhur sepanjang zaman yang dipetik daripada pementasan muzikal Broadway di Hollywood antaranya Camelot, Carousel, West Side Story, Evita dan Les Miserables.

Tepat pukul 8.45 malam, persembahan dimulakan. Walaupun lagu-lagu muzikal Broadway mungkin tidak menepati citarasa khalayak massa di Malaysia secara amnya, tapi 8,500 tempat duduk bernilai RM180 hingga RM980 berjaya dijual sepanjang dua malam dan menariknya, kedua-dua malam panggung penuh!

Tonight, sebuah lagu yang dipetik daripada pementasan West Side Story (1956) membuka pentas persembahan Il Divo kali ini. Sedikit goyah permulaan mereka kali ini, namun mereka perlahan-lahan mula menyesuaikan diri dengan ruang yang diberi.


IL Divo A Musical Affair: The Greatest Songs of Broadway Live Concert meraih sukses diadakan dua malam berturut-turut di Genting Highlands pada 14 dan 15 Mac lalu.


Sepertimana seloroh Urs: "Cuaca, sambutan dan atmosfera kali ini membuatkan kami tidak keruan. Sampaikan rambut saya pun sukar untuk kekal lurus sepanjang konsert. Tapi jangan bimbang, kami akan meletakkan satu barometer baharu untuk peminat kami."

Orkestra

Kuartet itu menyambung persembahan dengan lagu Some Enchanted Evening (muzikal South Pacific, 1949) seperti ironi untuk memanaskan suhu termometer mereka yang pada awalnya bermula sedikit pincang.

If Ever I Would Leave You dan Somewhere Over The Rainbow merupakan dua buah lagu yang penulis nanti-nantikan daripada awal persembahan mereka. Jujur, Il Divo membawa setahap ke depan bersama kehebatan vokal dan harmoni yang dinamik sepanjang dua buah lagu itu.

Malah, Il Divo membikin sedikit kejutan dengan menyanyikan kembali lagu hit mendiang Whitney Houston, I Will Always Love You dalam versi bahasa Sepanyol sempena memperingati keunggulan penyanyi pujaan ramai itu.

Tiga buah lagu berikutnya, Don't Cry For Me Argentina (Evita, 1978) dan Pour Que Tu M'aimes Encore (lagu duet bersama Celine Dion) dan Somewhere (West Side Story, 1956) telah membawa audiens larut dalam buaian muzik orkestra yang diiringi cemerlang oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan milik negara kita tercinta.

Berselang-seli setiap tiga buah lagu, keempat-empat jejaka itu diberikan peluang untuk berinteraksi dengan peminat. Antara butir bicara yang dikongsikan adalah perjalanan dan pengaruh muzik daripada pentas Broadway dalam kehidupan serta persekitaran mereka.

Kata David, kerjayanya sebelum bersama Il Divo sememangnya sebagai seorang penyanyi untuk pementasan muzikal di Amerika Syarikat tidak jauh bezanya dengan dunia Broadway.

"Saya dahulunya seorang pemalu dan sangat sukar untuk berdiri di hadapan orang ramai sehingga pada suatu hari guru kelab koir di sekolah memberikan galakan untuk saya mencuba ujibakat sebuah pementasan teater muzikal.

"Katanya saya ada suara yang mantap! Kemudiannya, pada ujibakat itu saya menyanyikan lagu If I Ever Would Leave You dan sepanjang dua kali ujibakat, dua kali juga saya tersalah lirik yang sama," katanya.


ALBUM studio keenam Il Divo mengetengahkan lagu yang dipetik daripada pementasan popular Broadway.


Sementara itu, kongsi anggota kumpulan Il Divo yang pernah menjadi penyanyi pop dari Perancis, Sebastien, hidupnya berubah setelah menyaksikan sebuah teater muzikal yang ditayangkan di televisyen suatu ketika dulu.

"West Side Story telah mengubah orientasi saya dalam muzik. Dahulu saya pencinta irama pop tapi selepas mendengar lagu daripada pementasan teater muzikal itu ketika di Perancis, saya bayangkan diri saya berada dalam notasi lagu-lagu Broadway.

"Sampaikan terbawa-bawa dalam mimpi dan bilik mandi. Muziknya sangat indah, karakter, vokal dan penyanyi yang terbabit dalam genre itu ada kredibiliti tersendiri dan saya cuba meletakkan diri saya di tempat itu," katanya yang meminati lagu Somewhere.

Repertoir

Sementara itu, ujar penyanyi bersuara tenor yang berasal dari Switzerland, Urs, teater muzikal Broadway bukanlah satu pilihan untuk dijadikan repertoir dalam kariernya. Bahkan, genre muziknya pada asal lebih berkiblatkan heavy metal.

"Kalau di radio saya hanya mendengar muzik heavy metal tapi apabila berlatih opera klasik di sebuah auditorium, saya mendapati muzik Broadway sebenarnya berada di tengah-tengah antara dua genre itu.

"Ia melucukan kerana muzik Broadway tidak pernah berada dalam radar saya dan peluang untuk meneroka muzik ini membuatkan saya menjadikan lagu-lagu sekitar era 1950-an dan 1960-an sebagai repertoir baharu saya sekarang. Melodinya indah, liriknya berinspirasi dan susunan orkestranya kaya dengan pelbagai rasa," jelasnya.

Bagi Carlos pula, vokal bariton yang dimilikinya sering menjadikan dirinya sasaran setiap kali sambutan Hari Natal. Malah, keluarganya akan memanggilnya untuk mengadakan 'konsert mini' setiap kali berkumpul.

"Muzik bagi saya seperti kehidupan dan ia adalah satu keghairahan. Biasanya kawan-kawan akan mengaitkan saya dengan muzik dan makanan.

"Ya, saya akui saya tidak boleh hidup tanpa muzik dan makanan, oleh kerana itu saya cuba melarikan diri setiap kali disuruh menyanyi di hadapan saudara-mara terutama Hari Natal," ceritanya selamba.

Tambahnya, dia mula menyanyi di pentas professional pada usia tujuh tahun lagi dan dia mengakui muzik Broadway antara genre paling susah yang pernah dinyanyikannya sepanjang hayat dalam dunia seni suara.

Il Divo terus menghiburkan penonton pada malam itu. Antara rangkaian lagu yang semakin didengar semakin memukau semua deria dan perasaan adalah Winner Takes It All (Mamma Mia!, 2008), Bring Him Home (Les Miserables, 1985), Love Changes Everything (Aspects of Love, 1989), Who Can I Turn To, (The Roar of the Greasepaint The Smell of the Crowd, 1964).

Menutup rapi tirai persembahan mereka kali ini, Il Divo sempat mendendangkan lagu-lagu seperti The Impossible Dream (Man of La Mancha, 1965), You Will Never Walk Alone (Carousel, 1945), My Way (nyanyian asal Frank Sinatra, 1969) dan Time To Say Good Bye (Sarah Brightman, 1996).

Malaysia rumah kedua Yuka

Posted:

Malaysia rumah kedua Yuka

Malaysia rumah kedua Yuka

Oleh MOHD. IZUAN ROSELI
izuan.roseli@kosmo.com.my


SEMASA remaja, Yuka pernah menetap di Sungai Petani, Kedah bersama ahli keluarganya.


PEMILIK nama Yuka Kharisma mungkin masih asing dalam kalangan peminat seni suara tanah air. Namun tidak ramai yang tahu bekas finalis Indonesian Idol telah mula bertapak di Malaysia sejak tiga tahun dahulu.

Menjadikan Malaysia sebagai medan untuk mencuba nasib, penyanyi kelahiran Acheh itu mengakui dia kini masih lagi berusaha untuk mendapat tempat dalam arus seni muzik tempatan.

Walaupun memperjudikan bakatnya di tempat orang, gadis genit ini berkata, dia kurang kekok berada di Malaysia memandangkan dia sudah biasa dengan cara hidup dan kehidupan di sini.

"Saya dan keluarga pernah menetap di Malaysia ketika belasan tahun dahulu di Sungai Petani, Kedah dan saya juga pernah mendapat pendidikan awal di sana.

"Daripada pengalaman itu, saya jadikan ia sebagai panduan untuk untuk saya meneruskan perjuangan di Malaysia.

"Ia juga tidak menjadi masalah kepada saya untuk membiasakan diri dengan persekitaran dan taraf sosial masyarakat di sini," ujar gadis yang berusia 26 tahun itu.

Dalam pada itu, Yuka berkata dia juga pernah menetap di beberapa kawasan di Indonesia termasuk Bandung, Jakarta, dan Aceh Timur memandangkan ayahnya merupakan seorang jurutera yang bekerja mengikut keadaan

Ketika ditanya sebab Yuka memilih Malaysia sebagai tempat untuk mengembangkan karier seninya, dia berkata ia berlaku secara kebetulan dan tidak dirancang.


YUKA dikatakan mempunyai raut wajah seperti artis popular Indonesia, Bunga Citra Lestari.


"Setelah selesai Indonesian Idol, saya telah dilamar oleh syarikat rakaman di Malaysia dan telah mengikat kontrak selama lima tahun dengan syarikat tersebut.

"Ia berlaku secara kebetulan dan Alhamdulillah, sekurang-kurangnya saya dapat mengembangkan bakat di kedua-dua negara dan ia merupakan bonus kepada saya," katanya

Tambahnya, Malaysia sudah menjadi rumah keduanya. Bagaimanapun, dia tetap tidak lupa akan tanah air dan seringkali pulang ke Indonesia untuk melakukan persembahan dan berjumpa ibu bapa yang kini menetap di Jakarta.

Mengulas mengenai perkembangan terbaharunya, Yuka Kharisma berharap single terbaharunya, Dengan Tiada Luka mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat di Malaysia.

Penyanyi kelahiran Acheh Indonesia itu yang baru saja menerbitkan album yang memuatkan single tersebut berkata, setakat ini sambutan daripada peminat Malaysia dan Indonesia sangat memberangsangkan.

"Alhamdulillah, single terbaharu yang mendapat sentuhan daripada komposer terkenal Malaysia Azlan Abu Hassan itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan saya masih dalam proses untuk mempromosikan single terbaharu ini.

"Saya juga berhasrat untuk memberi fokus di Malaysia memandangkan syarikat pengurusan saya iaitu Mentari Management merupakan sebuah syarikat Malaysia,"

Yuka yang tersenyum ketika ditanya mengenai sesetengah peminat yang menyamakan dia dengan isteri kepada pelakon tanah air, Asyraf Sinclair iaitu Bunga Citra Lestari, berkata ia tidak menjadi masalah kepadanya.

"Hal tersebut tidak menjadi masalah kepada saya malah saya rasa ia merupakan penghormatan kepada saya, namun pada masa yang sama saya tidak mahu dibayangi dia.

"Saya mahu peminat mengenali saya melalui bakat dan kebolehan saya," ujarnya.

Eja bongkar isu penderaan seksual

Posted:

Eja bongkar isu penderaan seksual

Eja bongkar isu penderaan seksual

Oleh IZWAN MOHD. ISA
izwan.mohdisa@kosmo.com.my


PERTAMA kali mengarah, Eja puas kerana dapat melempiaskan perasaannya terhadap isu penderaan seksual terhadap kanak-kanak menerusi naskhah Reflections.


ISU pencabulan serta penderaan seksual yang berlaku terhadap kanak-kanak perempuan sering menjadi bualan hangat dalam kalangan masyarakat tempatan. Lebih-lebih lagi apabila si pelaku mempunyai pertalian persaudaraan yang rapat dengan -mangsa yang terlibat. Perkara terkutuk ini bukan sahaja menjadi igauan ramai, malah ia turut dirasai oleh pelakon terkenal, Siti Shahrizah Saifuddin, 42, atau lebih mesra disapa Eja.

Justeru, sewaktu diminta oleh pertubuhan WOMEN: Girls untuk mengarahkah sebuah filem pendek berdurasi lebih kurang tiga minit sempena penganjuran Ikal Mayang bagi tahun yang kedua, Eja terus menerima pelawaan tersebut tanpa berfikir panjang.

Melalui penganjurannya pada tahun ini, penonton dibawa meneroka beberapa kisah mengenai wanita yang diarah berdasarkan tema Unspoken Truth. Selain itu, pembikinan filem-filem pendek ini turut direalisasikan bagi menyambut hari wanita sedunia yang berlangsung pada 8 Mac lalu.

Walaupun tidak disiarkan di mana-mana stesen televisyen buat masa ini, penonton boleh menyaksikan hasil kerja pengarah-pengarah ternama ini secara online di laman perkongsian video YouTube menerusi saluran Women Girls.

Ketika berpeluang bertemu dengannya pada majlis tayangan filem-filem pendek tersebut di GSC Signature The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini, aktres yang pernah popular menerusi drama bersiri Mya Zara itu dilihat mengangkat isu penderaan seksual sebagai tema utama filem pendeknya.

Mengakui mempunyai sebab yang tersendiri memilih tema tersebut, ibu kepada Nur Eishal Mohd. Silahuddin, 5, ini turut bercerita mengenai pembabitan pertamanya menggalas tanggungjawab sebagai seorang pengarah. Ikuti temu bual selanjutnya.


EJA memberitahu, tidak mahu mengarah lagi pada masa akan datang.


Kosmo!: Tahniah di atas filem pendek hasil pengarahan pertama anda. Boleh ceritakan sedikit mengenai penglibatan anda dalam Ikal Mayang pada tahun ini?

EJA: Alhamdulillah, terima kasih. Sewaktu menerima tawaran oleh pihak WOMEN: Girls melalui panggilan telefon, saya terus bersetuju untuk mengarah. Pada saat itu juga, isu penderaan seksual terus bermain dalam fikiran saya. Dari situ, saya terus mengambil keputusan untuk menggunakan isu tersebut sebagai tema filem pendek saya yang berjudul Reflections.

Mengapa anda memilih tema tersebut sebagai intipati utama pengarahan Reflections?

Sejak kebelakangan ini, kita sering disajikan dengan pelbagai berita tentang penderaan dan pencabulan seksual dalam kalangan kanak-kanak perempuan. Mereka yang terlibat pula kebanyakannya mempunyai pertalian darah antara satu dengan lain. Individu yang sepatutnya menjadi pelindung kepada anak-anak kecil ini menyalahgunakan kepercayaan tersebut dengan melakukan perbuatan terkutuk yang keji.

Apa kaitan isu ini dengan diri anda?

Saya mempunyai seorang anak perempuan yang masih kecil. Akibat kerap membaca tentang perkara-perkara sedemikian di dada akhbar, jiwa keibuan saya semakin kuat dan saya berharap agar filem ini dapat memberikan impak yang positif terhadap orang ramai.

Boleh ceritakan tentang perjalanan filem pendek ini?

Reflections berkisar mengenai seorang kanak-kanak yang telah dicabul secara seksual oleh pak ciknya sendiri. Dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa dan terus berdiam diri mengenai perkara tersebut sehinggalah dia dewasa. Filem pendek ini dilakonkan oleh Puteri Balqis dan wataknya dewasanya dipegang oleh Fouziah Gous.

Bagaimanakah anda merangkumkan mesej yang besar dalam sebuah filem pendek berdurasi dua minit?

Saya bersyukur kerana kru-kru serta pelakon yang terlibat begitu sepakat dalam menghasilkan filem pendek ini. Proses penyuntingan juga berjalan dengan lancar. Saya percaya, dengan adanya kerjasama yang baik, sesebuah produksi itu mampu untuk menghasilkan sebuah karya yang bagus.

Bagaimana pula dengan pengalaman mengarah buat kali yang pertama?

Sejujurnya, proses pengarahan berjalan dengan lancar. Ditambah pula dengan kesungguhan yang ditonjolkan oleh Puteri Balqis, penggambaran yang berlangsung dari awal pagi berjalan dengan baik.

Ada perancangan untuk mengarah drama atau filem?

Mungkin tidak. Saya menyertai Ikal Mayang kerana tertarik dengan tema yang ingin disampaikan oleh WOMEN: Girls iaitu Unspoken Truth. Pada pendapat saya, apa salahnya mencuba jika naskhah yang ditampilkan mampu untuk menjadi sebuah platform yang baik dalam mengubah persepsi masyarakat terhadap isu-isu yang berkaitan dengan penderaan seksual.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved