Kosmo Online - Varia |
Muhasabah diri sempena tahun baru Posted: Muhasabah diri sempena tahun baru
TIRAI tahun 2013 telah ditutup. Kini, kita sedang berdepan dengan lembaran baharu tahun 2014. Sepanjang tahun lalu, kita tentu telah memperoleh banyak kejayaan. Selain itu, seperti kata pepatah, tidak ada bumi yang tidak ditimpa hujan, kita juga mungkin melakukan kesilapan atau perlu melalui beberapa kesulitan. Ia adalah hakikat sebagai manusia. Tidak ada salahnya melakukan kesilapan, sekiranya ia boleh menjadikan kita manusia lebih baik pada masa hadapan. Paling utama, kita tidak mengulangi kesilapan yang sama pada masa hadapan. Mungkin kita telah melalui liku hidup yang sangat mencabar sepanjang tahun 2013. Kita berprasangka buruk terhadap diri sendiri. Kita mungkin telah menilai diri sebagai manusia yang hina dan tidak berguna. Hakikat yang tidak kita sedari, ia akhirnya sekadar penafsiran minda kita sahaja. Kita telah membandingkan diri kita dengan manusia lain yang lebih baik, tetapi kita terlupa melihat manusia lain yang ditimpa nasib lebih malang. Umumnya, rakyat Malaysia dikatakan sebagai antara kelompok yang dianggap bahagia. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh World Happiness Report 2013, kita menduduki tangga ke-56 berbanding 156 negara lain. Walaupun laporan ini mungkin bersifat subjektif, bagaimanapun sekurang-kurangnya nasib kita lebih baik daripada beberapa negara lain. Kedudukan kita juga lebih baik daripada beberapa negara yang dianggap baik ekonominya seperti Hong Kong (64), Turki (77), Bahrain (79) dan China (93). Negara seperti Afghanistan, Syria, Senegal dan Togo misalnya, berada dalam kelompok yang paling teruk berdasarkan laporan ini. Tetapi, negara-negara di Eropah khususnya Denmark, Norway dan Switzerland berada dalam kategori paling atas dalam indeks yang dikeluarkan ini. Musibah Ini bermakna, seteruk mana sekalipun kita ditimpa musibah, pasti ada ribuan manusia lain yang sedang diuji dengan beban yang lebih berat lagi. Tatkala kita ditimpa sakit misalnya, kita akan berasa sangat putus asa dan kecewa. Bagaimanapun, apabila kita ke hospital dan melihat pesakit lain yang terlantar di katil, kita mula menyedari bahawa kita adalah manusia bertuah. Dalam pekerjaan, sesekali terdetik memikirkan betapa kita gagal naik pangkat atau mendapat tawaran yang lebih baik. Ia mungkin benar. Bagaimanapun, kita mungkin antara manusia yang paling berjaya sekiranya kita mengetahui bahawa masih banyak manusia lain yang bukan sahaja tidak mampu untuk bercakap soal pangkat dan gaji, malah masih berjuang untuk mendapatkan pekerjaan. SEIMBANGKAN pencapaian akademik anak-anak dengan sahsiah dan akhlak mulia agar mereka menjadi insan berguna apabila dewasa kelak. Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan, pada tahun 2013 sahaja, secara puratanya terdapat 400,000 orang yang menganggur setiap bulan. Ini bermakna, meskipun kita sedang menanggung ujian yang berat, masih ramai manusia di luar sana yang mungkin sedang diuji dengan tekanan yang lebih teruk. Begitu jugalah dengan ujian lain. Seperti yang kita tahu, beberapa negeri di Pantai Timur Semenanjung baru sahaja dilanda banjir teruk. Ia memusnahkan harta benda, bahkan ada juga kematian. Ia beban yang berat. Bagaimanapun, apabila melihat beberapa negara lain seperti kejadian taufan yang menimpa Filipina misalnya, kita tahu ujian tersebut adalah sesuatu yang sangat 'subjektif'. Begitu jugalah jika sekiranya kita merasakan kita ini manusia yang paling hebat dan berjaya. Pasti, ada manusia lain yang lebih baik daripada kita. Jadi manusia yang bersederhana dan bersyukur mungkin resipi terbaik memberikan kekuatan psikologi kepada kita semua. Mengharapkan Tahun baru ini juga, sekolah mula dibuka semula. Kita semua pasti mengharapkan anak-anak berjaya dalam pelajaran mereka. Kalau boleh, kita mengharapkan mereka semua mendapat A dalam setiap mata pelajaran. Ia sesuatu yang diharapkan oleh ibu bapa. Namun, tatkala kita menumpukan banyak perhatian terhadap A dalam mata pelajaran, hendaknya janganlah pula kita terlupa untuk memastikan anak kita mendapat A dalam akhlak dan sahsiah diri. Ia mungkin lebih utama daripada mendapat A dalam semua mata pelajaran. Sekiranya ada anak-anak yang tidak mampu memenuhi impian kita, janganlah pula hendaknya kita secara keterlaluan memarahi mereka. Ingatlah, seperti mereka, kita juga selalunya tidak berjaya dalam semua perkara. Adakalanya kita gagal dalam pekerjaan, dan pada waktu yang lain kita gagal dalam kehidupan. Berjaya dan gagal adalah rencah kehidupan manusia. Sebagai manusia, pada akhirnya kita semua hanyalah sekadar mencuba untuk menjadi manusia yang terbaik. Adakalanya kita gagal, adakalanya kita berjaya. Sekiranya kita gagal, kita tidak kecewa dan terus berusaha lagi. Sekiranya berjaya, kita tidak bongkak dan lupa diri. Kita hanyalah hamba Tuhan yang setiap hari diuji dengan nikmat dan musibah. Selamat Tahun Baru 2014 kepada semua pembaca. Marilah kita sama-sama berazam menjadi insan yang terbaik. | |
Mengingati kematian satu terapi Posted: Mengingati kematian satu terapiMENZIARAHI sanak saudara atau rakan yang meninggal dunia mampu membuatkan kita menginsafi diri. - Gambar hiasan KITA terpaksa menerima tahun 2014. Suka atau tidak ia pasti datang. Maka, lebih molek untuk menerima kedatangan Tahun Baru 2014 dengan nada yang sentiasa positif. Saya gembira menyambut tahun baru kerana umur akan bertambah setahun lagi. Ia mengingatkan saya betapa saat-saat kematian semakin hampir. Logiknya, kedatangan tahun baru menyebabkan kita perlu berfikir dengan pinjaman masa yang semakin singkat. Bayangkan, jika ditakdir saya meninggal seusia dengan Baginda SAW maka sisa umur berbaki hanya sekitar 13 tahun. Namun, jika diambil purata kematian rakyat Malaysia, sekitar 74 tahun, maka masa yang dipinjamkan-Nya sekitar 24 tahun. Namun, ajal maut ketentuan Allah SWT. Dia telah nyatakan secara jelas melalui ayat 4, surah Nuh yang bermaksud: "Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa yang tertentu; (maka segeralah beribadat dan bertakwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu segera beriman)." Kehidupan singkat Secara hakikat, kehidupan di dunia secara keseluruhannya merupakan masa yang sangat singkat. Jika kita mengenang masa yang telah berlalu, ia seolah-olah baru semalam ditinggalkan. Tahun demi tahun hadir tanpa henti. Alih-alih usia saya sudah mencapai angka 50. Saya masih dapat mengingati secara jelas zaman persekolahan rendah dan ketika menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Ia masih segar dalam ingatan. Tetapi, kini kesemua anak-anak telah akil baligh. AMALAN solat berjemaah perlu menjadi keutamaan umat Islam agar lebih mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa. Begitulah datangnya masa tanpa mahu mempedulikan kita. Ia sentiasa bergerak ke hadapan. Allah SWT berfirman melalui surah al-Mu'minun, ayat 114 yang bermaksud: "Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia)." Allah SWT masih memberi pinjaman masa untuk hamba-Nya agar kembali berada di landasan yang boleh membawa mereka bertemu-Nya di syurga Firdaus. Itulah impian dan harapan kami sekeluarga. Sungguh, Dia Maha Pengasih. Namun, kami juga berada di dalam ketakutan yang amat sangat. Mampukah masa berbaki ini dipergunakan sebaik mungkin yang melayakkan kami sekeluarga dipandu ke syurga Firdaus. Masya-Allah, Subhanallah, Allahu Akbar, kami memohon kepada-Nya agar janganlah baki masa kehidupan dunia yang sedikit ini dihanyuti dengan rasa terpesona dengan keseronokan yang tidak hakiki. Allah SWT menyifatkan mereka yang tidak sedar dengan masa singkat dunia sebagai tamak dan gila sehingga tidak mampu melihat lebuh raya kebenaran. Ia jelas dinyatakan melalui surah Yaasin, ayat 9 yang bermaksud: "Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). Lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar)." Masa berbaki Masa berbaki anugerah Allah SWT. Jika masa keseluruhan kehidupan di dunia dilihat masa yang singkat, bagaimana pula pandangan manusia terhadap masa berbaki? Bagaimana dengan mereka yang bercita-cita mahu mula solat berjemaah di masjid ketika tiba waktu pencen? Atau mereka memilih mahu menunaikan fardu haji ketika masa tua dan beruban? Bagaimana pula dengan orang tua yang memilih untuk berhibur dan bergembira di kelab-kelab persendirian atau menghabiskan masa di lapangan golf berbanding solat berjemaah di masjid. Masa berbaki, secara perbandingan merupakan ketika usia melepasi tahap fizikal terbaik. Ramai yang ditimpa bencana badan. Ada yang sudah telo dan tidak dapat berkata lantaran diserang angin ahmar. KEMATIAN berlaku tanpa mengira usia bahkan ia tidak terlewat atau tercepat walau sesaat. - Gambar hiasan Serangan penyakit jantung datang secara tiba-tiba. Kaki pula terpaksa dipotong akibat penyakit diabetes yang kronik. Ada juga yang menderita dengan pelbagai penyakit lain seperti kanser payudara, usus, pundi kencing, otak dan tulang. Kesemuanya terkumpul ketika waktu berbaki yang singkat. Ia menyebabkan manusia terlantar di pembaringan dan berdukacita dengan masa yang telah berlalu dan berkeluh-kesah dengan masa kini serta detik-detik kematian yang bakal tiba. Hakikatnya, ajal maut dalam masa usia berbaki juga tetap tidak dapat ditelah dengan tepat walaupun ia benar-benar sangat hampir. Nikmat Jika kita sihat sejahtera, bermakna Allah SWT telah memberi sekurang-kurangnya dua nikmat yang berbeza iaitu nikmat kesihatan dan nikmat masa. Lalu nikmat masa, walaupun tinggalnya sedikit sahaja, namun masih terdapat manusia yang tidak mahu berfikir dan menggunakannya dengan bermanfaat. Bayangan kematian tiada di minda. Ia masih jauh dan ada yang berfikir seolah-olah ia tidak akan muncul. Justeru, marilah kita raikan sambutan tahun baru dengan mengingatkan saat-saat kematian yang semakin hampir. Insya-Allah, ia bakal menjadikan kita lebih bertenaga dan bersemangat. Kita akan melakukan apa sahaja semata-mata kerana Allah. Moga Allah memberi keampunan-Nya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan