Kosmo Online - Varia |
- Kecelaruan personaliti punca vandalisme
- Menu baharu The Chicken Rice Shop
- Giant tawar peluang pekerjaan
Kecelaruan personaliti punca vandalisme Posted: Kecelaruan personaliti punca vandalisme
PERBUATAN vandalisme atau merosakkan harta awam bukan satu fenomena yang aneh dalam konteks masyarakat kita. Pastinya, kita sendiri sudah terbiasa dengan keadaan telefon awam tidak dapat digunakan kerana dirosakkan oleh individu tidak bertanggungjawab. Begitu juga dengan perbuatan menconteng tandas awam, atau mencuri kemudahan awam lain. Ia bukan hal pelik, khususnya bagi mereka yang hidup di bandar. Bagaimanapun, perbuatan merosakkan 25 unit kedai di sekitar Kota Kinabalu, Sabah beberapa hari lalu menimbulkan persoalan yang sukar untuk dijelaskan. Berdasarkan laporan awal, ia dilakukan oleh sekumpulan remaja dengan menggunakan senapang angin. Sehingga artikel ini ditulis, belum dapat dipastikan sama ada remaja tersebut merupakan ahli kumpulan penjenayah atau pelampau bertujuan bagi menakutkan orang awam atau sekadar suka-suka. Motif Namun, secara psikologinya setiap perbuatan manusia ini dilakukan dengan motif tertentu. Inilah yang cuba dibincangkan oleh pengkaji psikologi. Manusia melakukan sesuatu kerana mereka ingin mendapatkan perhatian atau mencapai matlamat tertentu. Manusia normal tidak melakukan sesuatu tindakan tanpa mempunyai sebarang motif. Contohnya, kita tidak pergi ke sesuatu tempat tanpa mempunyai sebarang matlamat. Matlamat ini mungkin kecil, misalnya sekadar bersiar-siar atau bertemu seseorang.
Bagaimanapun, terdapat juga hal-hal yang sukar dijelaskan secara logik, terutama bagi individu yang tidak mempunyai personaliti normal. Mereka yang melakukan perbuatan vandalisme misalnya, dikatakan mempunyai kecelaruan personaliti. Mereka juga adakalanya dikaitkan dengan beberapa tindakan tidak rasional yang lain seperti melakukan tindakan jenayah atau menyakitkan individu lain. Bahkan, kajian-kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa personaliti pelik seumpama ini dapat dikesan sejak berumur 10 tahun dan biasanya tabiat itu mungkin dibawa sehingga ke peringkat dewasa. Di kawasan rumah pangsa yang didiami oleh pelbagai jenis manusia, kita akan melihat fenomena ini dilakukan oleh kanak-kanak. Mereka menconteng dinding bangunan, merosakkan kemudahan tertentu, malah ada yang membuang najis di laluan awam. Ia seperti satu keadaan yang tidak rasional, tetapi biasa berlaku terutama oleh kanak-kanak yang kita anggap sebagai masih mentah. Personaliti antisosial seperti ini tidak boleh dianggap sebagai hal biasa. Ibu bapa khususnya, perlu bertanggungjawab untuk memerhatikan anak-anak kecil mereka. Jangan dianggap ia sebagai tingkah laku biasa anak-anak. Kecelaruan personaliti Ini kerana, mereka yang melakukan tindakan janggal sebegini mungkin mengalami kecelaruan personaliti menyebabkan tingkah laku pelik ini terbawa-bawa sehingga dewasa. Dikatakan mereka yang mempunyai kecelaruan personaliti ini, besar kemungkinan akan terlibat dengan pelbagai masalah sosial lain ketika dewasa. Mereka gembira dengan apa yang mereka lakukan bagi menunjukkan 'keunikan' diri mereka sedangkan hakikatnya, apa yang dilakukan itu ialah sesuatu yang pelik dalam norma masyarakat. Dalam kes merosakkan sejumlah kedai di sekitar Kota Kinabalu, kumpulan remaja ini mungkin sekadar 'suka-suka' bagi menimbulkan ketakutan kepada orang awam. Mereka cuba menunjukkan bahawa mereka adalah manusia unik yang mampu melakukan hal yang tidak dilakukan oleh orang lain. Mereka juga berasa 'ghairah' sekiranya dicari oleh pihak berkuasa yang menjadikan mereka seolah-olah seperti hero. INDIVIDU yang mengalami kecelaruan personaliti berkemungkinan besar akan terlibat dengan pelbagai masalah sosial apabila dewasa. - Gambar hiasan Walaupun kejadian merosakkan kedai ini tidak melibatkan nyawa manusia, tetapi ia mesti ditangani. Kebiasaannya hobi yang aneh seperti ini akan membiak dan menular, khususnya kepada kumpulan remaja tertentu. Mereka akan berasa gembira sekiranya ada orang bercakap-cakap mengenai mereka atau ada orang yang berasa takut dengan apa yang mereka lakukan. Dalam psikologi, fenomena seperti ini dikenali sebagai boomerang effect, yakni semakin dilarang maka semakin seronok seseorang itu melakukannya. Kebanyakan kes hobi aneh yang berlaku di negara kita seperti kes simbah asid atau membakar motosikal beberapa tahun lalu, biasanya dilakukan untuk mendapatkan keseronokan. Ia dilakukan oleh manusia pelik yang bercelaru personalitinya. Semakin dibualkan, ia kemudiannya menjadi satu trend baharu pula. Mereka boleh mengubah cara dan sifat kerosakan. Bagaimanapun, apa yang mereka lakukan ialah untuk mendapatkan kepuasan. Mengapa pula ia dilakukan secara berkumpulan? Sebenarnya, manusia yang aneh ini biasanya mempunyai kelompok rakan sebaya yang mempunyai minat dan personaliti yang sama. Kebimbangan orang lain itulah yang mungkin menjadi keseronokan individu pelik ini. Sebagai ahli masyarakat, jangan cepat panik dan percaya dengan khabar angin. Berilah pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab mereka. Percayalah, manusia pelik ini ada di mana-mana sahaja. | ||
Menu baharu The Chicken Rice Shop Posted: Menu baharu The Chicken Rice ShopKAH LIN (dua dari kanan) bersama Chef Ismail (dua dari kiri) menarik reben sebagai tanda perasmian hidangan istimewa Tahun Baru Cina di restoran The Chicken Rice Shop di Kuala Lumpur baru-baru ini. BAGI menghangatkan sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang akan diraikan pada 31 Januari ini, rangkaian restoran halal keluarga, The Chicken Rice Shop (TCRS) memperkenalkan menu istimewa untuk para pelanggan. Dinamakan sebagai Golden Treasure Chicken, sajian ini pasti mampu memikat selera pelanggan. Ia diperap menggunakan herba dan rempah-ratus tradisional sebelum dipanggang di dalam kerajang aluminium. Ketua Pegawai Eksekutif TCRS Restaurant Sdn. Bhd., Wong Kah Lin berkata, menu berasaskan ayam merupakan hidangan wajib dalam meraikan Tahun Baru Cina kerana ia melambangkan penyatuan dan berkumpul bersama keluarga. "Oleh itu, saya percaya Golden Treasure Chicken adalah satu hidangan paling ideal untuk perayaan ini dan ia amat sesuai dinikmati bersama menu signatur nasi ayam di TCRS," ujar Kah Lin pada majlis memperkenal menu baharu tersebut di TCRS The Gardens, Mid Valley, Kuala Lumpur. Sajian ini boleh didapati dalam bentuk ala carte berharga RM11.88 untuk dua ketul ayam. Selain itu, pelanggan juga boleh memilih set Prosperity sama ada untuk hidangan seorang (RM17.88), dua orang (RM43.88) atau empat orang bernilai RM76.88. Setiap set Prosperity dilengkapi dengan kerabu mangga, nyonya pai tee, sup bebola ikan, pak choy bersos tiram dan air minuman dragon fizz. Pada majlis itu, buku panduan Visit The Chicken Rice Shop 2014 Passbook turut dilancarkan. Buku itu memaparkan fakta-fakta menarik mengenai kuisin dan kulinari warisan Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. SAJIAN Golden Treasure Chicken menggunakan herba dan rempah-ratus tradisional. Tidak ketinggalan, buku panduan tersebut menawarkan kupon diskaun bulanan untuk pelanggan menikmati pelbagai menu autentik kegemaran ramai di TCRS. Buku ini boleh didapati secara percuma di semua rangkaian restoran TCRS. Sementara itu, Duta TCRS, Datuk Chef Ismail Ahmad memberitahu, bagi tahun 2014, beliau sudah mempunyai senarai resipi baharu yang dicipta untuk diperkenalkan di rangkaian restoran tersebut. "Insya-Allah, pada penghujung Februari, TCRS akan tampil dengan menu ini yang tidak boleh saya umumkan sekarang. Tunggu sahaja jemputan pelancaran menu itu kelak," ujar Chef Ismail yang sudah lapan tahun bergelar duta dalam membawa jenama TCRS. Buat masa ini, TCRS mempunyai 59 cawangan di seluruh negara serta dua di Singapura dan Taiwan serta tiga di Filipina. Pada Januari ini, dua cawangan baharu di Seremban, Negeri Sembilan dan Miri, Sarawak akan dibuka. - KHADIJAH MOHAMAD NOR | ||
Posted: Giant tawar peluang pekerjaanDARI KIRI: Pengurus Besar Pembangunan Modal Insan GCH Retail, Azmin Abdul Aziz dan Norine menyerahkan replika cek bernilai RM500,000 kepada ahli lembaga amanah Yayasan MyKasih, Siti Khairon Shariff dan Pengarah Urusan Yayasan MyKasih, Jeffrey Perera. PRIHATIN dengan nasib sesetengah keluarga berpendapatan rendah, GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd. (GCH Retail), pemilik rangkaian pasar raya besar Giant meluaskan bantuan program MyKasih dengan menawarkan peluang pekerjaan dan latihan kepada yang memerlukan. MyKasih merupakan program kebajikan pengagihan bantuan tanpa tunai yang membolehkan penerima bantuan membeli barangan keperluan harian melalui MyKad mereka mengikut had nilai yang telah ditetapkan. Menerusi penawaran tersebut, Giant memberikan ruang kepada orang ramai untuk bekerja di bawah syarikat gergasi ini untuk memperbaiki taraf hidup. Menurut Pengurus Pemasarannya, Norine Erica Majaman, program tersebut dianjurkan bagi mendorong masyarakat Malaysia untuk menjadi lebih berdikari. "Kami berharap peluang pekerjaan ini dapat membantu golongan berpendapatan rendah mengecapi kehidupan lebih baik tanpa perlu bergantung kepada sumbangan kebajikan," jelasnya. Norine memberitahu, beberapa siri temu duga telah diadakan di tiga pasar raya besar Giant. "Kami mengadakan sesi temu duga di Giant Puchong, Batu Caves dan Cheras. Kira-kira lapan orang pemohon MyKasih daripada jumlah keseluruhan 40 yang ditemu duga telah ditawarkan pekerjaan mengikut kemahiran masing-masing. "Kesemua mereka telah mula bekerja dan ditempatkan di cawangan Giant yang terdekat dengan kediaman mereka," jelasnya. Bagaimanapun, Norine berkata, permohonan lain masih dalam proses untuk pengagihan. Bagi memudahkan pemohon, Giant turut menyediakan latihan kepada mereka yang berjaya dalam temu duga tersebut. Sehingga kini, Giant menawarkan peluang pekerjaan sepenuh masa dan separuh masa untuk bahagian juruwang, pekerja di kedai roti, pengawal keselamatan, pegawai teknologi maklumat dan pembancuh air. Mereka yang berjaya diberikan gaji bulanan antara RM900 sehingga RM2,500. Selain itu, manfaat lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Undang-undang dan Amalan Keselamatan Sosial dan kelayakan perubatan turut diberikan. Pengerusi Yayasan MyKasih, Dr. Ngau Boon Keat, turut berterima kasih kepada pihak Giant atas keprihatinan yang diberikan kepada ahli MyKasih. Dalam pada itu, Giant antara rakan niaga terawal yang menjalankan kerjasama bersama Yayasan MyKasih dengan memberikan bantuan makanan kepada golongan berpendapatan rendah. Terdahulu, Giant turut menyumbangkan dana sebanyak RM500,000 kepada Yayasan MyKasih sebagai tanda sokongan membantu misi bantuan makanan dan pendidikan kepada mereka yang kurang bernasib baik. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan