Sabtu, 18 Januari 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Bintang yang terus bergemerlapan

Posted:

Bintang yang terus bergemerlapan

Bintang yang terus bergemerlapan

PERWATAKAN yang bersahaja serta tutur bahasanya yang kedengaran 'lurus' membuatkan penampilan Jennifer Lawrence sering dinantikan oleh para peminatnya.

Gadis cantik berusia 23 tahun yang berasal dari Louisville, Kentucky, Amerika Syarikat (AS) ini bagaikan magnet komedi yang selalu tampil dengan lagak lucu setiap kali muncul di kaca televisyen mahupun anugerah-anugerah berskala besar.

Bagaimanapun, dia yang mula menceburi bidang lakonan sejak berusia 18 tahun tidak menggunakan kecantikan dan personaliti yang dimilikinya sebagai tiket untuk pergi dengan lebih jauh dalam industri hiburan.

Lihat sahaja mutu lakonannya melalui filem-filem seperti Winter's Bone, Silver Linings Playbook, The Hunger Games dan American Hustle, ternyata, bakat dan keterampilan Jennifer bergerak seiring bersama dengan pengiktirafan yang diberikan kepadanya.

Isnin lalu, aktres berbintang Leo ini mengulangi kejayaan yang diraihnya tahun lepas dengan membawa pulang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem American Hustle pada acara Anugerah Golden Globes ke-71 yang diadakan di Beverly Hilton Hotel, Beverly Hills, California, AS.

Anggun mengenakan gaun panjang berona hitam dan putih rekaan pereka terkemuka, Dior, dia kelihatan begitu gementar sewaktu namanya dipanggil untuk menerima anugerah tersebut.

Personaliti gila-gila

"Saya tidak tahu mengapa keadaan di sekeliling ketika ini sungguh menakutkan. Saya juga tidak tahu kenapa saya berasa sungguh cemas.

"Kemenangan ini merupakan sesuatu yang bagus, tetapi saya minta maaf kerana terlalu gementar. Saya tidak akan mengulanginya lagi," katanya yang pernah membawa pulang anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Silver Lining Playbook pada majlis anugerah yang sama tahun lalu.

JENNIFER LAWRENCE ada cara tersendiri bagi memastikan dirinya tidak hanyut dalam kemilau glamor Hollywood.


Mengulas lanjut mengenai anugerah yang diterimanya kepada portal hiburan People, Jennifer memberitahu, dia menegaskan, dia seperti mahu mengadakan sebuah parti yang besar bagi meraikan kemenangannya itu.

"Saya perlu adakan sebuah parti yang sangat besar untuk meraikan kemenangan saya ini.

"Mungkin sebab itulah saya sering dilabelkan sebagai pelakon yang 'gila-gila'," katanya sambil ketawa.

Namun, mengadakan sebuah parti bukanlah pilihan utama buat Jennifer.

Katanya, banyak pilihan lain yang boleh dipilih untuk menunjukkan rasa syukur terhadap kemenangannya itu.

"Oh tidak, itu bukanlah satu jawapan yang baik. Jangan risau, malam ini saya akan meraikan kemenangan yang saya raih dengan keluarga dan teman-teman rapat," ujarnya.

Menjadi inspirasi

Selain membina nama sebagai seorang pelakon yang hebat, gadis yang begitu sinonim dengan watak Katniss Everdeen menerusi siri filem The Hunger Games ini berharap agar kejayaan yang dikecapinya sekarang boleh dijadikan inspirasi oleh peminat-peminatnya yang rata-rata terdiri daripada golongan remaja perempuan.

Pesan Jennifer kepada peminatnya: "Jadilah individu yang kuat dan tabah dalam menghadapi dugaan.

"Jangan terikut-ikut untuk melakukan sesuatu yang bukan datang daripada diri sendiri.

"Jika anda diberi peluang untuk melakukan sesuatu perkara yang betul dan salah, pilih untuk melakukan perkara yang betul.

"Biasanya, perkara yang betul selalunya membuahkan hasil yang terbaik," katanya positif.

Walaupun dia kini boleh berdiri sama tinggi dengan pelakon-pelakon berkaliber yang lain, namun, Jennifer tetap tegas dalam mendisiplinkan diri untuk tidak hanyut dalam industri hiburan di Hollywood.

"Saya bersyukur kerana dikurniakan keluarga serta rakan-rakan yang baik yang gemar melakukan aktiviti bersama-sama.

"Walaupun ia nampak klise tetapi saya pasti majalah tabloid kurang gemar dengan hubungan baik ini.

"Tetapi, ahli keluarga saya sangat memahami. Mereka merupakan sekumpulan individu yang sangat mengagumkan. Cuma saya sahaja yang sangat sibuk dengan kerja," katanya lagi.


KEJAYAAN yang dicapai Jennifer seiring dengan populariti yang diraihnya.


Isu bentuk badan

Walaupun bakat yang ada padanya tidak perlu dipertikaikan, tetapi, bentuk tubuh Jennifer sering menjadi bualan media apabila dia tidak tampil kurus mengikut standard saiz badan aktres Hollywood yang lain.

"Kita sering disogokkan dengan gambar-gambar model yang menghiasi setiap majalah fesyen sebagai wanita yang sempurna.

"Kita seharusnya menerima apa yang dikurniakan kepada kita. Jika kita tidak gembira, apa yang perlu dilakukan?

"Berlapar setiap hari untuk memuaskan hati setiap orang? Itu adalah kerja bodoh," ujarnya tegas.

Jennifer dalam temu bualnya bersama Ketua Pegawai Eksekutif Yahoo!, Marissa Mayer turut berkata, media elektronik masa kini juga turut memainkan peranan dalam meletakkan standard yang tidak sepatutnya kepada golongan wanita.

"Program televisyen se perti Fashion Police dilihat seperti menggalakkan penonton terutamanya generasi muda untuk menghakimi individu lain berdasarkan nilai-nilai yang kurang baik.

"Panggilan seperti gemuk dan hodoh bagaikan permainan bersahaja buat mereka.

"Paling menyedihkan, mereka berkata begitu kerana mereka menganggap itulah realiti sebenar dunia glamor.

"Sedangkan realitinya, apa yang mereka perlu lakukan ialah berhenti menghina dan memanggil orang lain dengan kata-kata yang boleh mengguris perasaan," katanya lagi.

Anak tak tahu Raja Azura bercerai

Posted:

Anak tak tahu Raja Azura bercerai

Anak tak tahu Raja Azura bercerai

Oleh IZWAN MOHD. ISA

KAK ENGKU bakal bergandingan dengan Fathia dan Aiman menerusi teater Bidasari yang bakal dipentaskan di Istana Budaya dari 10 hingga 17 Februari depan.


NAMA Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin dalam bidang lakonan hampir dilupai. Namun, bakat yang dimiliki pelakon yang selesa menggelarkan dirinya sebagai Kak Engku ini begitu besar dan mampu meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati para penonton.

Bagaimanapun, kerana terikat dengan kerjaya utamanya sebagai penyampai radio dan pengacara, jarang sekali para peminat pelakon itu dapat melihat kelibatnya di layar perak mahupun kaca televisyen.

Terbaharu, ketika ditemui pada sidang akhbar bagi mengumumkan tarikh pementasan teater Bidasari di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini, wanita berusia 42 tahun itu ternyata ingin kembali ke bidang lakonan yang telah lama ditinggalkannya.

Justeru, setelah menerima tawaran berlakon teater oleh Istana Budaya menerusi pementasan Bidasari, Kak Engku tidak teragak-agak untuk terus menerimanya.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Kak Engku mengenai kariernya dalam bidang seni serta peranannya sebagai ibu tunggal dalam mendidik tiga orang cahaya mata.

Kosmo!: Sudah lama tidak melihat anda beraksi di kaca televisyen. Apa perkembangan terkini?

RAJA AZURA: Saya masih lagi bergelar penyampai radio di Sinar FM dan ke udara setiap pagi mengendalikan segmen Sinar Pagi bersama Khairil Rashid dan Salih Yaacob. Saya juga bakal muncul bersama Rozita Che Wan dan Erra Fazira untuk mengacarakan musim baharu rancangan bual bicara Primadona. Selain itu, saya akan kembali ke pentas teater menerusi teater Bidasari.

Mengapa terlalu lama mengambil masa untuk kembali aktif dalam bidang lakonan?

Sejujurnya, saya sungguh sibuk dalam membahagikan masa untuk karier dan anak-anak tetapi sejak kebelakangan ini, keinginan untuk berlakon begitu membuak-buak. Setiap kali Istana Budaya mengadakan pementasan, pasti saya tidak ketinggalan untuk menonton.

Justeru, selepas mendapat tawaran daripada pihak Istana Budaya menerusi teater Bidasari, saya terus bersetuju untuk ikut serta dalam pementasan tersebut.

Anda ada menyatakan agak sukar untuk membahagikan masa. Mengapa mengambil risiko menerima tawaran ini?

Seperti yang saya katakan, saya betul-betul ingin kembali berlakon. Jika rakan-rakan artis lain yang lebih sibuk mampu untuk membahagikan masa, saya juga yakin mampu berbuat demikian.

Lagipun, saya telah berbincang dengan penerbit Primadona untuk melonggarkan jadual saya supaya dapat berlatih bersama-sama pelakon lain sebelum pementasan ini bermula.

RAJA AZURA sangat mementingkan kebajikan anak-anaknya.


Boleh ceritakan sedikit mengenai watak anda dalam pementasan tersebut?

Pementasan itu diadaptasi daripada filem lama berjudul Bidasari. Dalam pementasan tersebut, saya memegang watak sebagai permaisuri Laila Sari yang cemburu dengan kecantikan Bidasari sehingga berniat mahu membunuhnya.

Teater yang bakal dipentaskan pada 10 hingga 17 Februari depan ini turut melibatkan pelakon-pelakon hebat seperti Nur Fathia, Aiman Hakim Ridza dan Datuk Jalaludin Hassan.

Bagaimana pula peranan anda sebagai ibu tunggal kepada tiga orang anak?

Walaupun agak sibuk, saya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak. Saya juga turut menggalakkan mereka untuk menyertai aktiviti-aktiviti sampingan seperti kelas muzik dan mempelajari seni silat bagi mengisi masa lapang.

Adakah hubungan anda dan anak-anak dengan bekas suami masih baik?

Ya, hubungan kami masih seperti dahulu. Walaupun kami telah lama berpisah, layanan yang anak-anak terima masih lagi sama. Sehingga kini, anak-anak saya masih tidak mengetahui tentang status sebenar kami.

Mengapa anda masih merahsiakan status perceraian daripada anak-anak?

Bagi saya, mereka belum cukup matang untuk mengetahui tentang kegagalan hubungan saya bersama suami. Bila sudah sampai masa baru saya akan memberitahu mereka. Tujuan saya berbuat demikian adalah supaya tiada masalah berlaku antara saya, bekas suami dan anak-anak saya, Megat Muhammad Raziq (12 tahun), Megat Luqman Haqiim, (11 tahun), Puteri Mia Maizura (8 tahun).

Jadi, anda tidak risau jika anak-anak anda mengetahui tentang perceraian anda dan suami melalui surat khabar dan internet?

Sejujurnya, saya melarang anak-anak membaca surat khabar dan majalah. Di rumah pula, mereka tidak boleh melayari internet. Lagipun, jadual harian mereka sudah cukup terisi dengan aktiviti-aktiviti yang telah ditentukan oleh saya.

Konsert Ungu 28 Februari di Malaysia

Posted:

Konsert Ungu 28 Februari di Malaysia

Konsert Ungu 28 Februari di Malaysia


UNGU dianggotai (dari kiri) Makki, Onci, Pasha, Enda dan Rowman.


KALI terakhir band popular dari Indonesia, Ungu mengadakan konsert berskala besar sekitar tahun 2010 menerusi Konsert Mega Ungu Malaysia.

Biarpun cuma 2,000 hadirin yang membanjiri kerana pada masa yang sama terdapat dua lagi konsert berskala besar sedang berlangsung iaitu Konsert Double Trouble, gabungan Search dan Wings serta konsert kumpulan dari Jerman, Tokio Hotel.

Namun, Ungu tegar untuk sekali lagi hadir mengadakan konsert. Kali ini, mereka akan menghiburkan peminat pada 28 Februari 2014 bertempat di Kenanga Wholesale City, Star Stage, Kuala Lumpur.

Menerusi konsert Ungu Live di Malaysia, band Ungu yang dianggotai oleh Pasha (vokalis), Makki (bass), Enda (gitar), Onci (gitar) dan Rowman (drum) itu begitu teruja untuk kembali mengadakan persembahan di Malaysia.

Malah, segala persiapan untuk konsert tersebut juga sudah dibuat sebulan lebih awal daripada tarikh rencananya mereka hadir ke Malaysia.

"Kami sangat teruja kerana sekali lagi berpeluang mengadakan konsert di Malaysia. Ia juga menjadi penanda bahawa sudah empat kali kami datang ke Malaysia. Buat masa ini, kami berada Jakarta, Indonesia untuk mempersiapkan diri bagi konsert tersebut.

"Untuk konsert itu nanti, kami akan tampilkan kelainan dari segi pakaian, susunan muzik dan ia akan menjadi konsert teristimewa kami. Kami teruja bangat (sangat) untuk membuat persembahan nanti," jelas gitaris Ungu, Enda ketika ditemu bual secara dalam talian pada majlis sidang akhbar konsert berkenaan di Hotel Vivatel, Kuala Lumpur.

Bakal menyanyikan lagu-lagu popular Ungu seperti Kekasih Gelapku, Andai Ku Tahu dan Demi Waktu, ungkap Enda lagi, Ungu juga akan menyanyikan single terbaharu mereka berjudul Seperti Bintang yang merupakan lagu runut bunyi bagi drama sinetron terkenal Indonesia, Bima Sakti Garuda.


KONSERT Mega Ungu Malaysia dianjurkan oleh syarikat E&F Event Resources.


Sementara itu, menurut Fendi Hassan, Pengerusi syarikat E&F Event Resources yang juga merupakan penganjur konsert tersebut, Ungu dipilih berbandig band-band terkenal lain di Indonesia ekoran sambutan hangat terhadap Konsert Mega Ungu Malaysia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada tahun 2010.

"Kumpulan Ungu mempunyai peminat yang ramai di Malaysia. Bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014, kami juga berharap agar pelancong dari negara jiran juga berpeluang menyaksikan konsert ini.

"Konsert ini akan berlangsung selama tiga jam bermula pada pukul 8.30 malam," ujar Fendi yang menyasarkan sebanyak 9,000 penonton hadir pada konsert Ungu itu.

Menyingkap sedikit mengenai latar belakang band Ungu, ia ditubuhkan pada tahun 1996.

Sehingga tahun 2013, Ungu telah menghasilkan enam album dan juga lima album mini religi.

Ungu juga pernah mengeluarkan album yang berjudul Melayang (2005) dengan menampilkan lagu Demi Waktu. Lagu itu seterusnya menjadi lagu hits dan berjaya merangkul anugerah double platinum di Indonesia.

Melalui lagu itu juga, Ungu berjaya menembusi pasaran Malaysia melalui syarikat rakaman Suria Records Sdn. Bhd. (SRC).

Sejak daripada itu lagu-lagu Ungu berjaya mencuri hati peminat seperti Tercipta Untukku, Kekasih Gelapku dan Andai Ku Tahu.

Bagi yang ingin menyaksikan konsert Ungu pada 28 Februari ini, peminat band itu boleh membeli tiket dengan melayari laman web www.ticketcharge.com.my.

Tiket-tiket konsert Ungu dijual pada harga RM98, RM138, RM188 dan RM238. - FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved