Kosmo Online - Dunia |
28 cedera serangan bom di Bangkok Posted: 28 cedera serangan bom di Bangkok
BANGKOK – Sekurang-kurangnya 28 orang cedera dalam satu serangan bom tangan terhadap para penyokong penunjuk perasaan antikerajaan di sini semalam. Kumpulan penunjuk perasaan itu yang diketuai pemimpin Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC), Suthep Thaugsuban, sedang berarak di Jalan Banthad Thong apabila seorang individu yang tidak dikenali melontar bom tangan ke arah mereka. Serangan berlaku sekitar pukul 1 petang waktu tempatan. Beberapa saksi memberitahu, bom tangan yang dilempar dari sebuah bangunan tiga tingkat di lokasi itu meletup kira-kira 30 meter dari tempat Suthep berada. Sejumlah penunjuk perasaan cedera dan badan mereka berlumuran darah selepas serangan itu berlaku. Menurut Pusat Perubatan Erawan di sini, seramai 28 penunjuk perasaan disahkan cedera dan dihantar ke empat buah hospital berhampiran untuk dirawat. Thailand digegarkan dengan keganasan politik sejak bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra digulingkan tentera dalam satu rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah pada tahun 2006. Ketika itu, terdapat dakwaan kerajaan pimpinan Thaksin dicemari rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Adik Thaksin yang kini merupakan Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra berdepan demonstrasi jalanan sejak dua bulan lalu yang bertujuan memaksa kerajaannya meletak jawatan dan digantikan dengan pentadbiran Majlis Rakyat. Penunjuk perasaan antikerajaan yang disokong golongan promonarki telah menguasai beberapa persimpangan utama di sini sejak Isnin lalu. Yingluck sebelum ini mengumumkan pilihan raya umum akan diadakan pada 2 Februari depan sebagai usaha untuk mengurangkan ketegangan dalam negara ini. Namun, inisiatif beliau ditolak oleh pembangkang utama di Thailand, parti Demokrat yang memulaukan pilihan raya berkenaan kerana bimbang ia akan dimenangi oleh parti Yingluck, Puea Thai. – Agensi | |
Keranda diletakkan di atas bot Posted: Keranda diletakkan di atas botSEBUAH bot yang mengandungi keranda Bloss ditarik sebuah kenderaan ke sebuah kawasan perkuburan di Manchester, Pennsylvania pada Rabu lalu. GUNUNG WOLF, Pennsylvania - Keranda yang mengandungi mayat seorang lelaki yang meminati aktiviti lasak, Ronald Bloss Sr. diletakkan di atas sebuah bot yang ditarik sebuah kenderaan ke sebuah kawasan perkuburan di sini. Kenderaan yang menarik bot mengandungi keranda tersebut dipandu oleh salah seorang daripada lima anak lelaki Bloss pada Rabu lalu. Bloss yang tinggal di sini meminati aktiviti lasak seperti memburu, menangkap ikan dan menghabiskan masa berada di tepi sungai. Dia juga mempunyai beberapa buah bot. Pengarah Rumah Pengebumian Diehl, Michael Gladfelter berkata, beberapa anggota keluarga Bloss kemudian mendapat idea untuk menggunakan sebuah bot miliknya bagi membawa kerandanya ke kawasan perkuburan. Bloss yang berusia 78 tahun merupakan bekas anggota tentera laut Amerika Syarikat. Dia meninggal dunia pada Sabtu lalu. Punca kematian tidak didedahkan. - AP | |
Posted: Taikun judi terkaya di Asia
MACAU - Taikun perjudian, Lui Che-woo menggantikan bilionair Hong Kong, Li Ka-shing sebagai orang terkaya di Asia, lapor portal berita NEWS.com.au. Kekayaan Che-woo yang mengetuai kasino Macau, Galaxy Entertainment meningkat sebanyak AS$S3.5 bilion (RM11.5 bilion) pada bulan ini kepada AS$29.6 bilion (RM97.5 bilion). Portal berita NEWS.com.au yang memetik senarai Indeks Bilionair Bloomberg kelmarin melaporkan taikun perjudian tersebut mengatasi kekayaan Ka-shing sebanyak AS$100 juta (RM329 juta) Bilionair Hong Kong berkenaan dilaporkan memiliki aset berjumlah AS$29.5 bilion (RM97.2 bilion). Keluarga Che-woo meninggalkan China untuk berpindah ke Hong Kong pada tahun 1934. Dia dilaporkan mencari rezeki dengan menjual makanan di kaki lima bekas tanah jajahan British itu ketika berusia 13 tahun. Lelaki tersebut mula meraih kekayaan selepas Perang Dunia Kedua apabila beliau mengimport peralatan pembinaan yang ditinggalkan oleh tentera Amerika Syarikat di Okinawa, Jepun. Taikun berusia 84 tahun itu memasuki pasaran perjudian Macau menerusi firmanya, Galaxy selepas ia dibuka semula pada tahun 2002. Sebelum ini, pasaran perjudian Macau dimonopoli oleh taikun perjudian Hong Kong, Stanley Ho selama empat dekad. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan