Jumaat, 17 Januari 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Dia lelaki paling rapat - Fazura

Posted:

Dia lelaki paling rapat - Fazura

Dia lelaki paling rapat - Fazura

MENGENAKAN baju kebaya hitam dengan mengoles gincu berwarna merah di bibir ketika hadir ke tayangan perdana filem terbaharu lakonannya, Kami Histeria di Cathay Cineplex Cineleisure Damansara, aktres Nur Fazura Samsudin atau Fazura mempunyai pesona dan aura yang tersendiri.

Tidak putus-putus terkena pancaran lensa kamera peminat yang berebut-rebut merakam gambarnya, Fazura sempat melemparkan senyuman kepada media sebelum datang untuk ditemu bual.

Memuji kecantikan baju kebaya yang membaluti tubuhnya, Fazura mengakui, dia membelinya di Jakarta, Indonesia.

"Saya beli baju ini di Jakarta. Murah sahaja harganya," tuturnya dengan ramah lalu bercerita pula mengenai baju kebaya yang disarungkan dan watak yang dimainkan dalam filem itu.

Sambil membetulkan kedudukan duduk tubuhnya agar semua media boleh mendengar butir bicaranya, Fazura memberitahu, dalam Kami Histeria dia membawa watak langsuir bernama Cik Lang.

Bukan langsuir biasa tetapi Cik Lang divisualkan sebagai langsuir jelita yang sentiasa mengenakan kebaya.

"Ini pertama kali saya melakonkan watak hantu. Pihak produksi mahu saya pakai kebaya dan saya rasa Cik Lang adalah langsuir yang seksi.

"Cabarannya pula, saya kena bercakap dalam loghat Kedah. Kena banyak praktis dan saya ambil masa dalam tiga hari," ungkap pelakon berasal dari Pekan, Pahang itu.

Menyambung bicara, Fazura juga berdepan dengan cabaran apabila perlu mengenakan teknik solekan lateks yang tebal untuk menggambarkan wajah Cik Lang dalam keadaan hodoh.

Selain proses solekan yang memakan masa selama empat jam itu, kongsi Fazura lagi, dia juga perlu melakukan aksi lagak ngeri seperti terbang tanpa menggunakan pelagak ngeri.

RANDY dan Fazura.


Harapannya, agar selepas Kami Histeria yang bakal ditayangkan pada 6 Februari depan di seluruh pawagam Malaysia, penerbit tidak lagi menawarkan kepadanya watak-watak perempuan cantik atau gedik kerana dia tidak mahu lagi berada dalam zon selesa.

"Dulu selalu dapat watak gedik dan cantik sahaja. Selepas ini saya harap dapat watak yang lebih mencabar.

"Saya tidak kisah membawa watak apa pun asalkan keluar dari zon selesa selama ini.

"Saya lebih selesa membawa watak tanpa sebarang solekan atau membuat dandanan rambut," jelasnya yang mengakui tahun 2014 merupakan tahun untuk dia lebih menonjol dalam bidang lakonan.

Deretan filem lakonannya sedang menanti untuk ditayangkan. Ujar Fazura, selepas Kami Histeria hasil garapan Rafidah Abdullah, dia juga akan berlakon sebuah lagi filem belum berjudul yang ditulis skrip dan lakon layarnya oleh Rafidah pada pertengahan tahun ini.

Jarang muncul di kaca TV dan juga layar perak, jika ada pun projek bersama Rafidah di bawah syarikat Lina Tan, Red Films, Fazura menolak tanggapan bahawa dia menjaga nilai eksklusif diri.

Sebaliknya akui Fazura, dia tidak mampu terikat dalam drama yang menjalani masa penggambaran lama sehingga lima bulan.

Ia disebabkan dirinya memiliki perniagaan butik pakaian bawah nama House of Doll yang perlu diusahakan.

"Saya tidak jaga eksklusif diri. Saya cuma tengok pada watak.

"Memang, saya biasa bekerja dengan Red Films. Rafidah sendiri beritahu saya, setiap kali tulis skrip, dia memikirkan saya.

"Mengenai butik House of Doll, dalam setahun butik itu diusahakan, saya try and error. Saya tak mahu over sale. Alhamdullilah, butik House of Doll ada pengikutnya," kongsi aktres berusia 31 tahun itu.


FIGURA ini cukup sinonim dengan gaya elegan dan mewah.


Pelik sebab merindui

Sekadar paling ke belakang menyingkap hubungan cinta Fazura, sekitar tahun 2004, reputasi Fazura sebagai pelakon pernah tercemar apabila dia didakwa oleh seorang wanita atas tuduhan mencederakannya di sebuah kelab kerana seorang lelaki yang merupakan teman lelakinya (kini bekas teman lelaki).

Namun begitu, reputasi Fazura kembali pulih apabila dia berjaya memenangi kes pendakwaan itu dan didapati tidak bersalah.

Selepas itu, Fazura dikatakan bercinta pula dengan seorang VVIP terkenal.

Putus cinta dengan VVIP itu, Fazura digosipkan bercinta dengan aktor Shaheizy Sam selepas berlakon bersama dalam drama Kisah Cinta di TV3.

Terbaharu, menerusi laman Instagramnya @missfazura, aktres itu memuat naik beberapa keping gambar ketika bercuti di Amerika Syarikat.

Buat pertama kalinya juga, Fazura memuat naik beberapa keping gambar seorang lelaki bernama Randy Seidman.

Merupakan seorang deejay di Los Angeles, Amerika Syarikat, hasil penelitian di Instagram dan Twitter Fazura, kedatangan pelakon itu memang dinantikan oleh Randy.

Malah, seorang rakan Fazura turut menulis di Instgram Randy:

"I myself cant wait to see you both happier than just happy. I love you so dearly my most beautiful sister @missfazura please enjoy your fazbulous hols ya! and dear @randyseidman please take good care of her. I surely know you will. She was soo glowing talking about you to me during lunch. So happy that she is happy love you two, always".

Menjawab mengenai hubungannya bersama Randy, dengan senyuman, Fazura memberitahu, dia sangat selesa bersama Randy yang dianggapnya seorang lelaki yang bukan sahaja bijak tetapi bersikap terbuka.

"Selama saya bercuti di sana, dia betul-betul menjaga saya. Saya selesa dengannya sebab dia seorang lelaki yang sangat bijak dan sentiasa bersikap positif. Malah, dia juga sangat prihatin dan suka ambil tahu apa yang saya cakap.


GAYA hebat Fazura sangat disenangi para peminatnya.


"Contohnya, saya baca Bismillah. Dia nak tahu apa makna dan kenapa saya membacanya," jelasnya.

Menarik nafas dalam-dalam, Fazura menyambung: "Sejujurnya, saya menganggapnya seorang yang unik dan ketika ini dialah lelaki paling rapat dengan saya. Pelik, sebab saya mula merinduinya selepas pulang daripada bercuti di Amerika."

Disoal mengenai destinasinya selama berada sebulan di Amerika, kata Fazura lagi, dia sempat bercuti di Los Angeles, Las Vegas, San Diego dan San Francisco.

Malah, Fazura juga berkesempatan bertemu dengan penyanyi antarabangsa, Yuna dan menyaksikan persembahan penyanyi lagu Dan Sebenarnya itu dalam rancangan Live On Jimmy Kimmel.

Komen tentang Hanez Suraya

Terlanjur berbicara dengan Fazura, dia turut ditanya mengenai pelakon Hanez Suraya yang dikatakan cuba meniru gaya dan penampilannya sehingga menimbulkan amarah dalam kalangan peminat Fazura terhadap Hanez.

Mengulas mengenai perkara itu, kata Fazura, selama ini dia tidak tahu orang yang dimaksudkan adalah Hanez.

"Saya ada baca mengenai kononnya seseorang meniru saya tetapi saya tidak tahu namanya. Saya tidak rasa peminat saya marah dan cuba kecam Hanez," ulasnya.

Disoal pula mengenai status Instagramnya yang dikatakan cuba memerli Hanez, luah Fazura, dia tidak menujukan kata-kata itu kepada Hanez mahupun pelakon lain.

"Saya tidak menujukan pada sesiapa. Pada saya apa yang saya tulis atau buat tidak ada kena mengena dengan pelakon dalam industri," jelasnya menutup perbualannya.

Rezeki minit terakhir Hafiz

Posted:

Rezeki minit terakhir Hafiz

Rezeki minit terakhir Hafiz

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


HAFIZ mengakui peluang yang diraihnya sebagai juara program Pencetus Ummah merupakan suatu pengalaman hebat dialaminya.


SIAPA sangka, walaupun menjadi peserta terakhir ketika uji bakat Pencetus Ummah (PU) lapan minggu lalu, di mimbar akhir program tersebut, Muhammad Hafiz Mohd. Haneefa telah dipilih sebagai juara musim pertama.

Memanjatkan rasa kesyukuran kepada Illahi, tutur Hafiz dia benar-benar tidak menjangka akan kemenangan yang diperolehinya itu.

"Saya sangat bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada isteri, kedua ibu bapa, keluarga serta pengundi yang telah mengundi saya.

"Sebenarnya, menghadiri uji bakat program ini merupakan perkara yang tidak saya rancang. Namun, isteri mengajak saya untuk ke Astro untuk menghadiri uji bakat program ini.

"Walaupun masa (uji bakat) sudah tamat tetapi rezeki menyebelahi saya, alhamdulillah," jelas Hafiz pada sidang akhbar akhir finalis PU di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Kajang.

Sebagai juara, Hafiz telah menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM50,000, pakej percutian umrah untuk dua orang, percutian halal ke China, senaskhah al-Quran, langganan majalah I selama setahun, hamper buku ilmiah berserta trofi.

Selain itu, Hafiz juga turut memenangi sebuah kereta Toyota Prius C yang mahu dihadiahkan buat isteri tersayang, Noorkamariah Abdul Manaf, 32.

Menerusi mimbar akhir program ini, Hafiz telah mengalahkan tiga lagi peserta lain iaitu Shahrul (Shahul) Hameed M.P.H Seeni Mohd. (naib juara), Mohd. Zinudin Mohamed Zaini (ketiga) dan Rahmat Ikhsan Mohd. Sofyan (keempat).

Naib juara menerima wang tunai RM30,000 dan tempat ketiga serta keempat masing-masing mendapat RM10,000. Naib juara hingga tempat keempat juga memenangi pakej percutian halal ke China, senaskhah al-Quran dan hamper buku ilmiah.


EMPAT finalis program Pencetus Ummah (dari kiri), Rahmat, Yeop, Hafiz dan Shahul.


Dikenali dan masih sama

Mahu atau tidak, setelah dinobatkan sebagai juara PU, Hafiz sudah pun bergelar selebriti. Ketika diajukan soalan tentang persediaan menjadi seorang yang popular selepas ini, jelas Hafiz, dia masih orang yang sama seperti sebelumnya.

Tambahnya, banyak perkara yang dipelajari sepanjang menjadi peserta program tersebut. Antaranya ialah bagaimana berhadapan dengan kamera, pihak media serta berdakwah secara langsung di mimbar.

"Alhamdulillah, saya akui ia merupakan pengalaman hebat buat diri. Justeru, dari situlah saya telah belajar bersedia untuk menghadapi situasi tersebut.

"Bagaimanapun, insya-Allah saya tidak akan lupa siapa diri saya yang sebelum ini mengajar agama di masjid serta surau dan situ juga saya akan pergi selepas ini.

"Saya akui, kini ada beberapa orang yang telah mula mengenali saya, ambil foto serta bertanyakan soalan. Saya terus bantu memberi jawapan kepada mereka di ketika itu juga termasuk di Facebook dan seumpamanya," tuturnya yang tidak akan meletakkan harga tinggi sebagai penceramah selepas meraih populariti.

Musim kedua

Tidak dapat dinafikan, PU menjadi fenomena antara program dakwah yang paling berjaya setakat ini.

Ujar Pengurus Saluran Astro Oasis, Namanzee Harris, sememangnya PU mempunyai rating yang tinggi dan meningkat setiap minggu.

"Setakat ini perkembangan setiap minggu berganda dari segi rating program. Laman Facebook juga telah dapat mengumpul sebanyak 120,000 penggemar setakat ini. Begitulah saya dapat beri gambaran kejayaan PU.

"Justeru, melihat kepada sambutan yang sangat menggalakkan daripada masyarakat, seharusnya kami akan tampil dengan PU musim kedua kelak," jelasnya.

Bagi keempat-empat finalis pula, kemungkinan mereka bakal mengikat kontrak selama enam bulan hingga setahun bersama pihak Astro.

Bagaimanapun, peserta lain tidak akan dibiarkan begitu sahaja, yang mana pihak Astro Oasis juga akan menyediakan platfom bagi mereka kelak.

Farid terkejut gambar anak tersebar

Posted:

Farid terkejut gambar anak tersebar

Farid terkejut gambar anak tersebar

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

KEMUNCULAN terbaharu Farid yang dirakam pada majlis tayangan perdana filem Kami Histeria di Kuala Lumpur baru-baru ini.


SEKITAR bulan September tahun lalu, aktor Farid Kamil masih merahsiakan identiti anaknya. Sekadar memberitahu nama anak lelakinya Muhammad kepada umum, Farid juga masih belum mempunyai tarikh khusus bagi mengadakan majlis akikah serta khatam al-Quran untuk Diana Danielle yang akan disiarkan secara eksklusif dalam satu program di Astro.

Terkini, Farid yang ditemui pada majlis prebiu filem terbaharu lakonan isterinya, Kami Histeria di Cathay Cineplexes Cineleisure, Damansara, Selangor, dia mengakui belum mempunyai tarikh akikah anaknya kerana masih menunggu Diana menghabiskan bacaannya.

Selain itu, Farid yang sebelum ini enggan mendedahkan gambar anaknya kepada umum dikhabarkan sudah mencipta akaun Instagram dan Twitter khas atas nama anaknya, Muhammad.

Kewujudan akaun Instagram dan Twitter tersebut membuatkan peminat tertanya-tanya sama ada Farid mahupun Diana sudah bersedia mendedahkan anak mereka yang berusia enam bulan itu. Ikuti penjelasan Farid kepada Kosmo!.

Kosmo!: Sudah mempunyai sebarang tarikh bagi majlis akikah anak dan khatam al-Quran untuk Diana?

FARID: Masih belum ada lagi. Majlis akikah tetap akan berlangsung tetapi mengikut kecepatan Diana menghabiskan bacaan al-Quran.

Bagaimana perkembangan Diana dalam pembacaan al-Quran?

Tiada paksaan. Saya harus beri dia peluang untuk menghabiskannya.

Bagaimana pula dengan program eksklusif yang akan menampilkan majlis akikah anak kalian di kaca TV?

Program TV itu saya tidak pasti. Program itu atas rundingan mereka (pihak Astro). Saya hanya menjaga nilai eksklusif anak saya.

Jika Farid menjaga nilai eksklusif anak, bagaimana pula dengan gambar-gambar Muhammad yang dimuat naik di Instagram menerusi akaun Muhammad sendiri, @muhammadfkdd?

Saya terkejut gambar anak saya dinanti-nantikan orang. Saya tidak mahu menunjuknya kerana dia masih kecil. Akaun Instagram Muhammad itu bukan saya atau Diana yang buat sebaliknya ia dibuat oleh pihak pengurusan Diana.

Apakah perasaan Farid apabila gambar-gambar Muhammad tersebar?

Rasa satu kejutan juga bila mereka menghasilkan akaun dia (Muhammad) dan memuat naik gambar anak saya. Namun, pada saya gambar-gambar yang dikeluarkan okey.

Apakah momen menjadi seorang bapa?

Kalau boleh saya tidak mahu berpisah jauh dengan Muhammad. Saya mahu tengok proses pembesarannya di depan mata tetapi hendak buat macam mana, saya kini sedang mengikuti latihan Unit Tindakan Khas (UTK) di Muar, Johor.

Saya cuma berkesempatan melawatnya seminggu sekali sahaja. Bagaimanapun, saya beritahu Diana tidak mahu melepaskan momen Muhammad berjalan.

Kenapakah Farid mengikuti latihan UTK?

Saya mengikutinya dengan rela hati dan saya berbesar hati kerana diberi peluang. Bila saya terlibat dalam unit ini secara tidak langsung ia dapat membentuk jati diri dan disiplin.

Berapa lamakah tempoh latihan tersebut dan apakah bentuk-bentuk latihan yang perlu anda lalui?

Secara keseluruhan latihan itu mengambil masa selama tiga bulan. Saya perlu menjalani latihan selama 12 jam sehari. Antara latihan-latihan yang perlu dilakukan adalah mendaki bukit dan menembak.

Komen sedikit mengenai kemunculan Diana dalam filem Kami Histeria selepas berkahwin dan melahirkan Muhammad?

Pada saya, ia suatu permulaan baik untuk dia. Saya tidak menghalangnya untuk terus berlakon, cuma saya ada menasihatnya agar tidak lagi mengejar keseronokan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved