Kosmo Online - Hiburan |
- Empat dekad Salamiah Hassan
- Jac sorok identiti kekasih baharu
- Oh My English! jelajah Amerika Syarikat
Posted: Empat dekad Salamiah HassanBIAR pada masa kini tidak banyak generasi muda yang mengenalinya, namun Salamiah Hassan merupakan seorang penyanyi senior yang hebat. PADA mulanya tidak banyak ekspektasi positif lahir daripada penggemar seni persembahan pentas apabila penyanyi Salamiah Hassan menyatakan impiannya untuk mengadakan konsert solo. Tambah pula ia diadakan di Istana Budaya. Ramai yang beranggapan, pada usia 50-an, penyanyi itu tempatnya di rumah, bukan lagi tergedik-gedik di atas pentas. Malangnya jangkaan itu meleset sama sekali apabila Salamiah mula membuka mulut. Dalam konsert itu, Salamiah memperdengarkan vokal lunaknya dengan penuh dinamik dan bertenaga. Ada suatu aura padu yang berjaya menakluk seisi panggung. Salamiah mengimbau sejarah awalnya menyertai pertandingan Bakat TV 1971 menerusi lagu If You Go Away sekali gus membuka tirai konsertnya. Kredit perlu diberikan kepada penerbit dan pengarah Konsert Gelombang Salamiah Hassan, Raja Azmi dan Pat Ibrahim yang telah meneraju pergerakan menjelang persembahan memukau penyanyi itu sepanjang tiga malam. Sesuai dengan jenama yang diberi untuk konsert tersebut, Salamiah membawa audiens menyusuri perjalanan suka dukanya sepanjang hayatnya di pentas seni suara. "Lagu If You Go Away menjadi sebahagian daripada hidup saya, menyimpan memori terindah kerana ketika itu arwah ayah saya melarang keras saya menyanyi apatah lagi untuk muncul di depan kaca televisyen. "Pada waktu itu juga, arwah emak saya terpaksa menyimpan duit untuk membeli baju broked itu. Oleh kerana tidak cukup duit, baju itu tidak beralas dan sepanjang malam saya menahan gatal-gatal," ceritanya teruja. Titik mulanya di pertandingan Bakat TV membuka sejuta langkah untuk Salamiah terus beraksi di dunia nyanyian. Sejak itu, Salamiah mula dikenali dan disunting oleh Datuk Ahmad Nawab dan menerbitkan EP pertamanya, Surat Terakhir pada tahun 1973. Gapai bintang Akui Salamiah, cita-citanya untuk bergelar jururawat beralih arah apabila memberanikan diri melangkah ke dunia nyanyian. Tidak berbakat dalam dunia lakonan, usaha terbaiknya hanya mampu ditampilkan dalam klip video lagu Cita-Citaku. Segmen kedua disulami Salamiah dengan beberapa jenaka sambil bercerita. Lagu-lagu seperti Bila Hati Dah Sayang, Kau Dan Alasanmu dan Surat Terakhir membawa audiens merentasi zon waktu. "Saya suka menyanyi dan tidak pernah terlintas untuk menjadi diva, seperti kalian juga, saya menyanyi untuk mencari rezeki dan kerana lagu Surat Terakhir orang mula mengenali Salamiah Hassan," ujarnya. Salamiah meneruskan segmen itu dengan rangkaian lagu bahasa Inggeris, I Feel the Earth Move, Upside Down, Frim Fram Sauce dan Fever bersama sebiji bola disko besar yang diturunkan di tengah-tengah pentas. "Arwah ayah saya (Hassan Abd. Hamid) seorang yang tegas, katanya saya boleh menyanyi di kelab malam tapi syaratnya saya perlu dihantar dan diambil sendiri olehnya di kelab-kelab malam yang saya bekerja di sekitar Kuala Lumpur. Di kelab malam saya mula diperkenalkan dengan lagu-lagu jazz," tambah Salamiah. Salamiah turut berduet bersama anaknya, Atilia menerusi lagu Kadang Kala dan Atilia beraksi solo menyanyikan lagu popular Salamiah, Cintaku Mengatasi Segalanya. Segmen Tribute to Mom sejujurnya paling menyentuh hati. Kenang Daku Dalam Doamu, Kini Hatiku Telah Tertawan dan Patah Hati antara rangkaian lagu pujaan arwah ibu Salamiah, Sabariah Aziz. Pemuzik yang dipimpin oleh Aubrey Suwito turut disertai abang Salamiah yang pernah memimpin Orkestra RTM, Ahmad Shariff bermain akordian sepanjang segmen itu. Sambil mengucup dahi abangnya, ungkap Salamiah: "Arwah emak kita suka menyanyi lagu ini." Iklan Melewati zaman kegemilangan Salamiah menyanyikan iklan produk popular tempatan barangkali ramai yang tidak menduga pemilik vokal di sebalik lagu-lagu iklan tersebut milik penyanyi genit kelahiran Kuala Lumpur itu. KFC, TV3, Paddle Pop, Buttercup, 7UP, Maggi dan Hazeline Snow antara 500 buah jenama yang pernah meminjam vokal Salamiah dan sempena konsert itu juga dipaparkan beberapa petikan video iklan produk popular berkenaan. "Sejujurnya, terbabit dengan iklan agak penat buat saya kerana saya perlu melunaskan tanggungjawab itu setiap hari. Ya, zaman itu iklan adalah sumber pendapatan utama saya tapi bukan mudah menyanyi untuk iklan. "Ia adalah penyeksaan minda yang sarat dan padat! Bayangkan dalam tempoh kurang 30 saat kita perlu menyanyi lagu sama berulang-ulang kali dalam dwibahasa," tutur Salamiah lanjut. Lagu yang pernah popular sekitar era 1980-an, Wanita turut dipersembahkan Salamiah penuh bersemangat sebelum melengkapi hit Menghitung Hari, Semut-Semut di Titian Usang, Hanya Engkau Dan Aku, serta Aku Curiga. Menyeret emosi audiens lebih mendalam, Salamiah menyanyikan kembali tiga buah lagu popular Allahyarham Saloma iaitu Mahligai Kayangan, Bintang Malam dan Boleh Dilihat Dipegang Jangan penuh penghayatan. Mengakhiri konsert, sebuah lagu baharu yang dicipta oleh Aubrey Suwito dan nukilan lirik AD Samad berjudul Aku diperdengarkan kali pertama. Tidak lengkap Konsert Gelombang Salamiah Hassan tanpa single hit Gelombang yang menutup tirai konsert. Terlalu banyak yang telah dilalui oleh Salamiah Hassan sepanjang empat dekad bergelar anak seni. Dia masih Salamiah yang manja dan mesra! |
Jac sorok identiti kekasih baharu Posted: Jac sorok identiti kekasih baharuOleh KHAIRUL AMRI HASSAN SELEPAS 10 tahun bercinta dan mengambil keputusan bertunang, juara Malaysian Idol, Jaclyn Victor dan pasangannya, Chris Bellamy akhirnya mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing pertengahan tahun lalu. Terdahulu, Jac pernah menangguhkan perkahwinannya dengan jejaka berbangsa Inggeris dari United Kingdom itu kerana faktor percintaan jarak jauh. Menurut kenyataan Jac kepada sebuah akhbar mingguan sebelum ini, keputusan untuk berpisah adalah yang terbaik untuk kedua-dua belah pihak mengembangkan karier masing-masing. Jac atau nama sebenarnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 35, yang ditemui pada sidang akhbar Anugerah Juara Lagu ke-28 di Empire Hotel Subang, Selangor baru-baru ini mengakui dia kini sedang berkenalan dengan seorang jejaka. Ikuti temu bual lanjut bersama Kosmo!: Kosmo!: Selepas putus tunang pertengahan tahun lalu, adakah Jac kini sudah menemui pengganti? JACLYN VICTOR: Bukan pengganti tapi lebih kepada teman rapat. Ya, saya sekarang sedang mengenali seorang jejaka dan kami baru fasa awal kerana baru setahun berkenalan. Cuma baru beberapa bulan lepas kami menjadi lebih serius, bagi saya lebih baik saya tidak mencari kerana selalunya akan bertemu orang yang salah. Siapakah gerangan jejaka itu dan adakah dia merupakan individu dalam industri? Biarlah rahsia (ketawa). Apabila 10 tahun menjalinkan hubungan tapi akhirnya putus di tengah jalan, adakah Jac serik untuk bercinta lagi dan mungkin selepas ini akan mengambil keputusan untuk berkahwin terus? Saya tidak menyesal dan tidak serik pun malah saya masih tidak berputus asa untuk mencari lelaki terbaik untuk diri saya. Cuma saya enggan pisang berbuah dua kali, sekiranya dia yang sekarang ini jodoh terbaik buat saya, saya enggan memanjangkan cerita dan terus berkahwin. Apakah pengajaran terbaik yang Jac terima daripada kegagalan episod cinta sebelum ini? Saya tidak mahu terlalu memikirkan untuk berkahwin tapi saya tidak akan menunggu dalam tempoh yang terlampau lama sampai 10 tahun lagi. Saya belajar banyak perkara daripada apa yang telah terjadi sebelum ini, sama ada baik atau buruk setiap perkara yang terjadi mesti bersebab. Lagu Ikut Rentakku ciptaan sepenuhnya Edry Abdul Halim berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-28 (AJL 28) pada 26 Januari depan. Bagaimanakah persediaan Jac? Untuk persiapan AJL 28, banyak perkara yang saya belum lakukan lagi. Idea untuk persembahan malam kemuncak AJL 28 ini sudah ada, cuma tinggal untuk dilaksanakan sahaja. Jika sebelum ini orang mengenali saya menerusi lagu-lagu berentak balada di pentas AJL, kini saya bawakan lagu rancak pula. Bagaimanakah Jac melihat persaingan daripada penyanyi lain? Memang saya akui tahun ini banyak band yang masuk bertanding dan kebanyakannya memberikan saingan yang sengit. Lagu ini rancak dan persembahan juga perlulah rancak. Apakah perkembangan terkini Jac? Saya sedang mempromosikan lagu Ikut Rentakku dan akan melancarkan single terbaharu daripada album saya, Senafas Baru hujung bulan ini. |
Oh My English! jelajah Amerika Syarikat Posted: Oh My English! jelajah Amerika SyarikatOH My English! - Hello America akan ditayangkan pada pukul 9 malam ini di saluran Astro TVIQ. BERSIARAN melalui Astro TVIQ, Oh My English! ialah sebuah drama bersiri yang bertemakan komedi dan pendidikan bahasa Inggeris di Malaysia. Ia merupakan salah satu usaha pihak Astro dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk memperbaiki pertuturan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia, perkara itu juga selaras dengan dasar KPM iaitu Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Melalui tayangan pertamanya pada bulan Mei 2012, siri bahasa Inggeris itu berjaya meraih lebih 3.6 juta penonton pada musim pertama. Memulakan musim keduanya pada 31 Mac 2013, Oh My English! juga menghasilkan siri istimewanya iaitu Oh My Ganu dengan penampilan khas pelakon dan pengacara terkenal, Zizan Razak. Selepas telefilem daripada siri Oh My English! iaitu Oh My Ganu mendapat sambutan peminat, program pendidikan bahasa Inggeris itu menjelajah pula ke Amerika Syarikat dengan menampilkan sebuah lagi telefilem istimewa berjudul Oh My English! - Hello America. Menurut Naib Presiden Bahagian GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, telefilem Oh My Ganu meraih sebanyak 1.1 juta tontonan pada hari siaran perdananya dan berada di kedudukan nombor satu trend topik di laman Twitter di Malaysia. "Disebabkan itu, kami bercadang pula untuk menghasilkan siri istimewa lain Oh My English!. Selepas Terengganu, kami memilih ke Amerika Syarikat pula. "Oh My English! - Hello America mengisahkan pengalaman para pelajar Sekolah Menengah Ayer Dalam yang berjaya memenangi pertandingan filem pendek dan berpeluang pergi ke Amerika Syarikat. "Pengembaraan bersama guru-guru sekolah itu membawa mereka ke beberapa lokasi menarik di kota New York serta lawatan ke sebuah sekolah menengah di sana," ujarnya mengenai siri istimewa itu ketika ditemui pada majlis pelancaran telefilem tersebut di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. Berkongsi pengalaman selama seminggu berada di Amerika Sayrikat, salah seorang pelakonnya iaitu Izara Aishah memberitahu, itu merupakan kali kedua dia menjejakkan kaki di sana. Biarpun berdepan dengan keadaan cuaca yang sejuk dan beberapa masalah ketika penggambaran dijalankan, namun luah Izara, mereka dapat menyelesaikan penggambaran dengan gembira. "Penggambaran dilakukan pada bulan November lalu. Ketika itu cuaca sangat sejuk. Padahal kami diberitahu cuaca tidak begitu sejuk. Jadi, saya dan rakan-rakan pelakon yang lain hanya membawa baju-baju yang nipis. "Bila cuaca terlampau sejuk, kami semua rasa cepat marah dan ingin lakukan penggambaran dengan pantas. Tetapi, Alhamdulillah akhirnya semuanya dapat diselesaikan," luahnya yang membawa watak Azlin dalam siri itu. Membawakan watak sebagai cikgu pendidikan jasmani bernama Malik, ujar aktor Aaron Aziz pula, dia teruja dapat bermain american football bersama pemain profesional Amerika Syarikat dalam siri istimewa itu. "Dalam Oh My English! - Hello America, saya berpeluang bermain american football bersama pemain profesional di sana. Syukur, saya tidak mengalami sebarang kecederaan kerana badan mereka semua besar berbanding saya," kongsi Aaron lagi. Selain Aaron dan Izara, Oh My English! - Hello America turut dibintangi oleh Zain Saidin, Tiz Zaqyah dan Harun Salim Bachik. Oh My English! - Hello America akan bersiaran pada 15 Januari 2014, pukul 9 malam di saluran Astro TVIQ dan saluran definisi tinggi (HD), Astro Maya. Siri istimewa Oh My English! itu turut memaparkan beberapa lokasi menarik di New York seperti Time Square dan Statue of Liberty - FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan