Ahad, 8 Disember 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Skuad wusyu negara terus garang

Posted:

Skuad wusyu negara terus garang

Skuad wusyu negara terus garang

Oleh NORZASRUDIN MOHAMED NOR
norzasrudin@kosmo.com.my

TAI Cheau Xuen tampil dengan aksi memberangsangkan dalam acara nandao wanita semalam untuk menghadiahkan pingat emas kedua negara pada Sukan SEA 2013.


NAY PYI TAW, Myanmar – Skuad wusyu negara menghadiahkan pingat emas kedua Malaysia selepas Tai Cheau Xuen menjuarai acara nandao wanita pada aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Wunna Theikdi semalam.

Selain sebutir pingat emas, skuad wusyu turut memenangi empat pingat gangsa, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan dua pingat emas, empat perak dan lapan gangsa.

Kini, Malaysia hanya memerlukan sebutir lagi pingat emas bagi merekodkan bilangan ke-1,000 sejak membuat penampilan pertama pada temasya sukan terbesar di Asia Tenggara itu pada tahun 1959.

Pingat emas yang dicari-cari dijangka hadir menerusi acara wusyu kerana hari ini beberapa lagi atlet harapan negara akan memasuki gelanggang.

Sudah pasti, sasaran pingat emas tersebut terarah kepada juara dunia, Ho Mun Hua dalam acara nandao lelaki, Tai Cheau Xuen, Diana Bong Siong Lin dalam acara nangun wanita.

Pada aksi semalam, Cheau Xuen, 23, dari Negeri Sembilan mengutip 9.69 mata untuk menewaskan atlet tuan rumah, Aint Mi Mi yang mengumpul 9.67 mata, manakala Juwita Niza Wasni Wasni dari Indonesia membawa pulang pingat gangsa (9.65 mata).

Ini adalah pingat kedua yang dimenangi Cheau Xuen selepas merangkul pingat gangsa dalam acara nanquan wanita kelmarin.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Diana Bong.

Diana Bong, 28, yang menghadiahkan pingat emas pertama kontinjen Malaysia dalam acara nanquan wanita kelmarin, sekadar di tempat ketujuh selepas mengumpul 9.23 mata.

"Saya rasa sangat gembira. Kemenangan ini adalah hasil kerja keras yang saya lakukan selama ini. Saya telah berusaha bersungguh-sungguh dan segala usaha saya ini sangat berbaloi dengan kejayaan ini.

"Esok (hari ini) cuba untuk melakukan aksi yang lebih baik untuk menambah koleksi pingat dalam acara nangun sebelum beraksi dalam acara terakhir iaitu duilian," kata Cheau Xuen.

Sementara itu, Mun Hua menghadiahkan pingat perak pertama negara dalam acara nanquan lelaki sebelum mengutip pingat perak kedua ketika bergandingan dengan Wong Weng Son dan Lee Yang dalam acara duilian lelaki.

Dua lagi pingat perak diperoleh menerusi Ng Yoke Say dalam acara gunshu lelaki, manakala Shin Yii Ng yang mengutip 9.59 mata dalam acara taijiquan wanita kelmarin berjaya menambah 9.69 mata dalam acara taijijian wanita semalam, sekali gus mengumpul keseluruhan 19.42 mata.

Dalam satu acara wusyu sanshou wanita (48kg), atlet negara, Lim Chi Leng tewas 2-0 kepada Wally Divine dari Filipina pada aksi separuh akhir.

Dalam acara lain, skuad polo air lelaki negara merekodkan kekalahan ketiga berturut-turut selepas dibelasah Indonesia 16-2 di Kolam Renang Zayyat Thiri semalam.

Skuad bimbingan Fan Kow Jan itu tewas 7-18 kepada Singapura sebelum tumpas 3-9 kepada Thailand.

Kini, satu-satunya peluang skuad negara untuk melakar kemenangan adalah dengan menewaskan Myanmar hari ini.

Skuad bola keranjang lelaki negara menang 61-53 pada perlawanan pembukaan menentang Indonesia di Stadium Tertutup Zayar Thiri A.

Selain wusyu, beberapa lagi acara akan berlangsung hari ini iaitu silat, tinju dan futsal lelaki antara Malaysia dan Myanmar di Stadium Tertutup Nay Pyi Taw.

Laluan ke suku akhir cerah

Posted:

Laluan ke suku akhir cerah

Laluan ke suku akhir cerah


SKUAD negara (jersi kuning) menewaskan Afrika Selatan 2-1 semalam bagi mencerahkan peluang melangkah ke pusingan suku akhir.


SKUAD hoki negara terus mempamerkan rentak cemerlang pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2013 apabila mencatatkan kemenangan kedua dengan menewaskan Afrika Selatan 2-1 semalam.

Kemenangan pada aksi di Stadium Hoki Dhyan Chand, New Delhi itu menyaksikan Malaysia kini menghuni tangga teratas Kumpulan D dengan kelebihan enam mata sekali gus menempah laluan selesa untuk layak ke peringkat suku akhir.

Pada aksi tersebut, Skuad Projek 2013 itu bagaimanapun ketinggalan 0-1 seawal minit ke-13 menerusi pukulan sudut penalti Matthew Brown.

Begitupun, usaha skuad negara mencari gol penyamaan terhasil pada minit ke-27 setelah penjaga gol Afrika Selatan, Rene De La Peyre tertampan masuk hantaran Muhammad Rashid Baharom ke dalam gawang sendiri.

Selepas itu, anak-anak buah Muhd. Dhaarma Raj Abdullah itu terus mempamerkan aksi garang dengan menggandakan serangan ke arah kubu lawan bagi mendapatkan gol kemenangan.

Hasil daripada serangan tersebut, Muhammad Firhan Ashaari sekali lagi menjadi pemusnah pasukan lawan apabila bijak meloloskan diri sebelum memperdayakan De La Peyre untuk menjaringkan gol kedua negara menerusi jaringan padang pada minit ke-43.

Lebih menarik pada perlawanan tersebut apabila penjaga gol skuad negara, Muhammad Hafizuddin Othman berjaya menyelamatkan gawangnya dengan menepis pukulan sudut penalti yang dianugerahkan kepada Afrika Selatan.

Tersentak dengan tempoh perlawanan yang hampir tamat, skuad kendalian Darryn Galagher itu terus mengasak kubu skuad negara namun keputusan 2-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Sebagai rekod, Firhan yang sebelum ini menjadi wira skuad negara setelah menjaringkan gol kemenangan ke atas New Zealand, Jumaat lalu diiktiraf sebagai pemain terbaik perlawanan semalam.

Malaysia akan berdepan cabaran England pada saingan terakhir Kumpulan D hari ini dalam misi melangkah dalam keadaan selesa ke peringkat seterusnya sekali gus menepati sasaran berada dalam kelompok enam teratas.

Josiah kemalangan

Posted:

Josiah kemalangan

Josiah kemalangan


JOSIAH (terbaring) menerima bantuan segera selepas terlibat dalam pelanggaran ketika beraksi dalam acara keirin di Mexico semalam.


PELUMBA trek berbasikal negara, Josiah Ng Onn Lam terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan serius dalam satu pelanggaran ketika beraksi dalam acara keirin pada Kejohanan Trek Piala Dunia Klasik di Aguascalientes, Mexico, awal pagi semalam.

Dalam kemalangan tersebut, Josiah mengalami patah tulang rusuk dan tulang selangka serta paru-parunya turut terjejas.

Pelumba yang beraksi dalam tiga edisi Sukan Olimpik itu bagaimanapun kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital CMQ MAC di Aguascalientes.

Menurut isteri Josiah, Kim Ong, suaminya sudah sedar daripada koma dan sempat bercakap dengannya setelah dikeluarkan daripada unit rawatan rapi (ICU).

"Josiah telah keluar daripada ICU dan berada dalam keadaan stabil," jelas Kim semalam.

"Dia mengalami patah beberapa tulang rusuk dan tulang selangka yang pernah dialaminya ketika di Sepanyol pada 2007.

"Saya juga telah bercakap secara ringkas dengannya dan dia masih lagi dalam keadaan pening akibat suntikan ubat bius.

"Saya amat berterima kasih kepada Gillian (Pakar terapi Institut Sukan Negara) dan jurulatih John Beasley kerana menjaga Josiah. Terima kasih juga buat rakan-rakan yang mendoakan kesihatan Josiah," ujarnya lagi.

Josiah terbabit dalam pelanggaran dengan dua lagi pelumba pada saringan kedua pusingan pertama acara keirin ketika beraksi bersama-sama seorang lagi pelumba negara, Mohd. Azizulhasni Awang.

Azizulhasni bagaimanapun tidak tidak terbabit dalam pelanggaran tersebut dan berjaya mara ke final setelah menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Menerusi laman sosial Facebook, Josiah sempat memberi komen: "Hello semua, saya kini berada di sebuah hospital di Mexico. Berasa agak pening sedikit, tetapi masih dalam keadaan baik.

"Hanya beberapa tulang rusuk dan tulang selangka sahaja yang patah. Syukurlah saya masih hidup," katanya.

Kejohanan Piala Dunia Klasik di Aguascalientes merupakan pusingan kedua daripada tiga pusingan yang bermula di Manchester bulan lepas.

Kecederaan yang dialami Josiah ini bakal menyaksikan pelumba berusia 33 tahun itu terlepas pusingan seterusnya yang dijadualkan berlangsung di Guadalajara, Mexico pada 17 hingga 19 Januari depan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved