Ahad, 8 Disember 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


DagangHalal sedia platform perniagaan

Posted:

DagangHalal sedia platform perniagaan

DagangHalal sedia platform perniagaan

BERADA dalam zon selesa membuatkan ramai yang tidak berani mengambil risiko untuk mencabar diri melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak dan kemampuan mereka.

Begitu juga dengan dua figura yang mempunyai karier idaman dalam lapangan masing-masing. Dunia korporat menjadi pilihan Mawarni Hassan, 51, manakala Muhd. Huzaimi Razhi, 31, selesa menyarung jubah peguam.

Namun demikian, tidak mahu berada dalam takuk yang sama, mereka mengambil langkah drastik dengan melepaskan jawatan sedia ada untuk menceburi kerjaya lain iaitu sebagai seorang usahawan.

Bagi Muhd. Huzaimi, keputusan bertukar kerjaya tersebut mengambil masa panjang untuk dipertimbang secara mendalam.

"Pada awalnya, ia sangat mencabar kerana kerjaya baharu itu berbeza dengan dunia guaman. Saya bertekad untuk serius dalam bidang perniagaan pada tahun 2010," katanya yang kini mengambil alih syarikat milik keluarganya, Perfect Agro (M) Sdn. Bhd. (Perfect Agro)

Syarikat itu menceburi pemasaran dan dagangan produk hiliran yang berasaskan aktiviti penternakan kambing dan bebiri.

Walau berat hati, dia percaya segala yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri. Bagi mendapatkan pengetahuan terperinci mengenai haiwan itu, Muhd. Huzaimi ke negara sebarang untuk mempelajari segala aspek yang berkaitan .

"Usaha pencarian itu banyak mengajar saya tentang dunia perniagaan dan kehidupan," imbasnya yang pernah bekerja di sebuah firma guaman selama tiga tahun.

Dia menambah, melalui hasil kajian yang dilakukan, dia mendapati penternakan kambing mempunyai potensi yang besar untuk dikembangkan ke industri makanan.

Mempunyai tiga buah ladang kambing dan bebiri di Kedah, Perak dan Selangor, syarikat yang diasaskan oleh Datuk Razhi Yahaya itu kemudiannya melebarkan sayap perniagaannya dengan menceburi bidang pembuatan dan pemprosesan makanan.

"Kami meluaskan bidang perniagaan melalui penghasilan produk makanan berasaskan kambing di bawah jenama KamBest," kongsi graduan Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Teknologi Mara itu kepada Kosmo! baru-baru ini.


PORTAL DagangHalal memberikan maklumat terperinci pengeluar-pengeluar barangan halal di seluruh dunia.


Ubah persepsi

Jenama KamBest merupakan rangkaian makanan sejuk beku yang berasaskan daging kambing termasuk burger oblong Chevon, frankfurter Chevon dan burger bulat Chevon yang dijual di pasar raya besar Mydin di seluruh negara.

Sambutan pasaran yang memberangsangkan telah membuka ruang perniagaan baharu kepada Perfect Agro dengan memperkenalkan kios burger yang menggunakan produk KamBest.

"Melalui kios tersebut, ia membuka peluang perniagaan kepada peniaga-peniaga kecil. Mereka hanya perlu memilih salah satu daripada tiga pakej yang ada dan kami akan menyediakan segala bahan-bahan yang diperlukan," jelas Muhd. Huzaimi.

Terdapat tiga pakej kios iaitu KamBest Silver, KamBest Gold dan KamBest Platinum yang ditawarkan dari harga RM6,000 seunit dan dibezakan melalui bentuk kios, peralatan dan kuantiti bekalan produk KamBest yang disediakan.

Diperkenalkan pada pertengahan tahun 2010, kini terdapat 16 buah kios KamBest yang diberikan kepada peserta Program Peningkatan Pendapatan (3P). Ia disertai oleh penduduk miskin tegar dengan tujuan membantu ekonomi kehidupan mereka selain mengubah persepsi pasaran mengenai daging kambing.

Keluar kepompong

Meninggalkan dunia korporat pada tahun 2011, Mawarni optimis dengan kerjaya baharunya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Vanity Cosmeceutical Sdn. Bhd. (Vanity Cosmeceutical) , sebuah syarikat bumiputera yang mengeluarkan rangkaian produk penjagaan diri berjenama Cosmoderm. Ia merupakan antara produk halal terawal dalam pasaran yang dikilang di Malaysia.

Produk tersebut jelas beliau menggunakan tumbuh-tumbuhan dan produk sintetik yang mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Bidang kerja saya sebelum ini fokus kepada latihan dan motivasi pekerja. Sering saya menasihatkan mereka untuk keluar dari kepompong dan mencuba sesuatu yang baharu.

"Sampai satu tahap, saya sendiri terfikir untuk melakukan sesuatu yang di luar dari tugas harian," ujar Mawarni.


MAWARNI yakin produk Cosmoderm boleh menembusi pasaran antarabangsa berdasarkan kualiti dan pensijilan halal Jakim yang diterima Vanity Cosmeceutical.


Ketika mengambil alih syarikat itu pada tahun 2011, Mawarni mendapati ruang niaga produk Cosmoderm hanya berlingkar dalam margin yang sederhana tetapi mempunyai pelanggan setia.

"Selama sedekad, Cosmoderm dijual di farmasi-farmasi tempatan dan buat seketika, menerusi jualan langsung. Pada hakikatnya ia mempunyai potensi untuk dikembangkan ke pasaran yang lebih luas," katanya.

Pengiktirafan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diterima sejak tahun 2005 untuk lebih 50 rangkaian produk Cosmoderm merupakan faktor utama keyakinan wanita itu terhadap jenama tersebut.

Justeru, Mawarni telah merekrut pasukan pengurusan pemasaran yang muda, bertenaga dan berdedikasi untuk mengukuhkan jenama Cosmoderm agar dapat diperluaskan ke peringkat yang lebih tinggi.

Salah satu kaedah pemasaran yang dilakukan Mawarni adalah meningkatkan penggunaan teknologi maklumat yang mudah mendapat perhatian pelanggan-pelanggan baharu.

Sebagai permulaan, dia menggunakan laman sosial, Facebook sebagai medium komunikasi dan promosi bersama pelanggan.

"Pelanggan hari ini lebih gemar mencari maklumat menerusi laman-laman web atau sosial. Disebabkan itu, penting untuk syarikat mempunyai maklumat-maklumat tepat dan memberi maklum balas yang pantas, di samping memberi konsultasi kepada pengguna," jelasnya mengenai strategi untuk menambat hati pelanggan itu.

Pusat sehenti

Pertemuan bersama portal DagangHalal ketika menghadiri satu persidangan perdagangan antarabangsa dua tahun lalu, membawa sinar baharu kepada perniagaan Vanity Cosmeceutical.

"Portal itu menyediakan platform perniagaan yang luas kepada kami. Melalui pembinaan pautan laman web rasmi syarikat, ia kini boleh diakses oleh pelanggan dan pengeluar seluruh dunia. Malah, Vanity Cosmeceutical telah mengeksport produk Cosmoderm ke Lebanon berdasarkan komunikasi melalui portal DagangHalal" jelas beliau.

Kini Cosmoderm didapati di 1,000 buah farmasi di seluruh negara termasuk rangkaian Guardian dan Vitacare serta mengorak langkah ke negara-negara ASEAN lain seperti Brunei dan Singapura serta pasaran di Timur Tengah.

Ditubuhkan pada tahun 2007, portal DagangHalal telah menjadi pusat sehenti kepada pembeli dan pengilang produk dan perkhidmatan halal seluruh dunia. Ia berperanan dalam memberikan khidmat nasihat kepada pengilang dari segi pemasaran dan penyediaan platform perniagaan menerusi internet.

Sebagai contoh, pembeli dari Australia yang mencari daging lembu halal di Malaysia akan mencari pembekal yang mempunyai sijil halal daripada pihak berkuasa agama tempatan. Melalui maklumat syarikat dan pautan portal DagangHalal, proses pencarian itu bertambah mudah.


SUMBER bahan mentah halal mendapat permintaan tinggi di dalam dan luar negara.


"Sekiranya pembeli bersetuju dengan proses pembelian, mereka boleh mendapatkan kesahihan yang penjual mempunyai sijil halal tersebut menerusi portal DagangHalal," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DagangHalal (DagangHalal), Mohamed Hazli Mohamed Hussain dalam satu pertemuan bersama Kosmo!.

Setakat ini, portal itu mempunyai lebih 13,793 produk daripada 2,804 syarikat pembekal.

"Oleh yang demikian, kami mengambil berat terhadap syarikat-syarikat yang ingin menyertai DagangHalal. Ini jelas memandangkan terdapat syarikat yang masih kurang bersedia untuk dibawa ke pasaran global," jelasnya.

Mohamed Hazli menambah, produk yang ingin dipasarkan ke peringkat antarabangsa mesti melengkapi piawaian yang telah ditetapkan, termasuk mempunyai pembungkusan yang menarik.

DagangHalal pernah mengikuti beberapa pameran produk halal di serata dunia antaranya di China, Jerman, Brunei, Perancis dan Thailand.

Pasaran dagangan barangan halal yang meningkat saban tahun perlu direbut oleh pengusaha-pengusaha tempatan.

Berdasarkan statistik Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), jumlah dagangan produk halal Malaysia yang menembusi pasaran dunia pada tahun lalu mencatatkan angka RM33 bilion. Ia mencakupi permintaan 1.8 bilion pengguna barangan dan servis halal seluruh dunia.

Dijangkakan pasaran eksport barangan halal Malaysia akan meningkat RM60 bilion pada tahun 2020.

Tanah Abang hilang identiti

Posted:

Tanah Abang hilang identiti

Tanah Abang hilang identiti


BANGUNAN Tanah Abang (di bahagian belakang dengan rona kuning dan hijau) pernah melewati zaman kegemilangannya sebelum dibelenggu oleh samseng.


SETELAH bertahun-tahun hidup di bawah cengkaman gengster, penagih dadah dan pelacur, pasar tekstil terbesar Asia Tenggara di Tanah Abang, Jakarta, Indonesia sedang menyusun usaha dalam memenangi semula hati pembeli.

Saiz bangunannya yang terdiri daripada beberapa struktur blok berdiri kukuh di tengah ibu negara Indonesia. Tanah Abang diwarnai dengan pelbagai aktiviti perniagaan yang berjaya menarik pembeli dari segenap rantau selama berabad lamanya.

Pasar Tanah Abang mula dibuka pada tahun 1735 oleh ahli perniagaan Belanda. Ia dibina dengan beberapa siri bangunan dalam kawasan tradisional dan rumah berjubin merah.

Kedudukannya kini dikelilingi bangunan pencakar langit yang bergemerlapan pada waktu malam.

Pemborong mencari barangan borong manakala pembeli mencari barangan kecil di gerai-gerai jualan yang terdapat di beberapa tingkat pasar tersebut. Mereka mencari pelbagai barang daripada kain pasang hingga produk berjenama.

Pengunjung dari Malaysia, Mariam Ahmad berkata, beliau ke Tanah Abang setiap tahun untuk membeli kain sempena menyambut perayaan Aidilfitri.

Gerai haram

"Banyak pilihan yang ada di bawah satu bumbung dan harganya lebih murah antara 20 hingga 30 peratus berbanding di Kuala Lumpur. Pada masa sama, kain di sini cantik-cantik belaka," katanya.

Namun, keadaan di pasar borong tersebut semakin buruk dan lalu lintas bertambah sesak disebabkan kewujudan gerai jalanan haram hingga menyebabkan pelanggan tidak lagi ke sana. Jumlah pelanggan dianggarkan semakin merudum kira-kira 10 peratus pada beberapa tahun kebelakangan ini.


PELANGGAN dilihat berjalan melewati salah sebuah kedai pakaian di pasar tekstil Tanah Abang.


Penjual beg, Desmawita, berkata, kadar jenayah yang berlaku di gedung itu sudah berada di luar kawalan.

"Dua orang pekerja seks menerkam pelanggan saya yang datang dari Brunei ketika beliau sedang menunaikan solat. Pelanggan itu memberi mereka wang kepada mereka.

"Pelanggan terbabit membeli 29,000 beg daripada saya tetapi akhirnya membatalkan urusan perniagaan selama lima tahun yang dijanjikan bersama," ujarnya dengan nada kesal.

Jeha, si penjual baju bermotifkan batik di Tanah Abang mengakui kawasan tersebut turut menggerunkan bagi penduduk tempatan.

"Ia sesuatu pemandangan biasa jika anda ternampak ratusan jarum suntikan yang telah digunakan oleh penagih dadah bertaburan di lorong-lorong belakang bangunan.

"Samseng jalanan suka memeras ugut orang ramai dengan meminta wang dan akan memukul sesiapa sahaja yang enggan berbuat demikian," jelasnya.

Gabenor Jakarta, Joko Widodo, diberi mandat untuk mentadbir Jakarta kira-kira setahun lalu. Beliau merancang untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu peniaga di Tanah Abang.

Pada bulan Ogos lalu, beliau menyediakan pelan perancangan untuk mengalihkan kira-kira 1,000 peniaga yang menjalankan perniagaan secara haram di kaki lima ke bangunan baharu.

Peniaga tersebut dipindahkan ke bangunan yang sudah diselenggara dan berkongsi ruang perniagaan bersama 15,000 lagi peniaga lain untuk berniaga secara sah.

Jumlah pegawai awam yang ditugaskan untuk membantu pasukan polis dalam memastikan keamanan di kawasan sekitar turut ditingkatkan.

Masalah perniagaan

Jalan penyelesaian tersebut berhasil apabila rata-rata samseng yang melakukan peras ugut sebelum ini semakin berkurangan.

Kehadiran pegawai tersebut turut berjaya menakutkan sebilangan besar pekerja seks dan penagih dadah yang bersarang di Tanah Abang.


PENGUNJUNG dikatakan semakin kurang mengunjungi Tanah Abang selepas beberapa perubahan yang dilakukan oleh pihak kerajaan.


Dalam pada itu, penjual tudung, Rinaldi berkata, seorang pelanggan dari Filipina kelihatan terkejut ketika berkunjung ke gedung tersebut baru-baru ini.

"Pelanggan itu terkejut dengan keadaan di sini yang sangat teratur. Dia berjanji akan datang kembali dan sudah tentu perkara itu merupakan berita menggembirakan bagi saya," katanya.

Bagaimanapun, tidak semua peniaga mendapat manfaat daripada penyelesaian tersebut. Segelintir peniaga mengalami masalah dalam perniagaan sejak peniaga baharu dipindahkan ke bangunan tersebut.

Peniaga pakaian, Rahmat Hidayat berkata, beliau gagal membuat sebarang urusan jual beli sejak peniaga baharu pindah ke tempatnya mencari rezeki. Kebiasaannya, Rahmat mampu mendapat hasil jualan antara RM160 hingga RM260 sehari.

"Tidak ada orang yang ingin memanjat tiga tingkat tangga hanya untuk berbelanja di kedai saya," keluhnya.

Sementara ramai orang berusaha untuk menjadikan perubahan yang dilakukan tidak mengganggu keaslian Tanah Abang, ada beberapa peniaga mengadu pemindahan peniaga jalanan ke bangunan tersebut telah menghakis karakter asal gedung berkenaan.

"Kembalikan Tanah Abang yang lama. Pelanggan semakin berkurangan sejak pasar ini diubah," kata penjual tudung bernama Andalusia. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved