Kosmo Online - Sukan |
Posted: SPRM lebih layak siasatOleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
ISU rasuah dan mengatur perlawanan yang didakwa melanda skuad bola sepak Kuala Lumpur kini memasuki episod baharu. Difahamkan, kes itu sepatutnya disiasat terus oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukannya dikendalikan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Sumber memberitahu Kosmo!, pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) telah lama mengesyaki wujudnya gejala tidak bermoral itu dalam skuad warga kota itu. "Sepatutnya kes ini cuba diselesaikan secara dalaman dan dibawa terus ke SPRM, entah macam mana ia boleh bocor lalu dikendalikan FAM. "Bukan mahu membela mana-mana pemain tetapi dalang sebenar rasuah iaitu bookie hanya boleh dikesan dengan kerjasama SPRM. "Ia disebabkan kuasa FAM agak terhad bagi mengenal pasti mana-mana bookie yang terlibat," kata sumber itu kepada Kosmo! semalam. Jumaat lalu, Jawatankuasa Tatatertib FAM hanya sempat menyoal siasat dua pemain Kuala Lumpur - Azizon Kadir dan Benedict Martin manakala lima lagi pemain akan dibicarakan pada 3 dan 7 Januari nanti. Lima pemain terbabit adalah Muhammad Syazwan Mohamed Rani, J. Mughilan Kartik, Muhamad Azwan Jatin, S. Sivaraj dan Mohamad Amirul Asraf Mohd. Noor. Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak dilaporkan berkata, lima pemain terbabit boleh mengemukakan pembelaan secara lisan apabila perbicaraan kembali bersambung pada 3 dan 7 Januari depan. Sebelum itu, jawatankuasa berkenaan juga telah mengenakan hukuman gantung seumur hidup dan denda RM20,000 terhadap tiga pegawai dan lima pemain Kuala Lumpur selepas mereka gagal menjawab surat pertuduhan atau tidak memberikan butir-butir pembelaan dalam tempoh yang ditetapkan. Ketiga-tiga pegawai berkenaan ialah ketua jurulatih Kuala Lumpur, Stanislav Lieskonsky; penolong pengurus, Rosli Omar dan pegawai pasukan, Saari Jani sementara kelima-lima pemain berkenaan pula ialah Jeremy Danker, Khairul Anuar, Hafizi Roslee, Fadhlullah Yunsifar dan Phoo Khai Lun. Usaha Kosmo! bagi mendapatkan penjelasan lanjut daripada Presiden KLFA, Datuk Astaman Abdul Aziz bagaimanapun gagal apabila beliau difahamkan kini berada di Melbourne, Australia atas sebab peribadi. Justeru, sumber itu menyarankan mana-mana pemain terlibat supaya segera tampil memberikan kerjasama kepada SPRM bagi membersihkan semula nama masing-masing. "Isu mengatakan ada pemain tidak tahu bagaimana hendak membela diri juga sewajarnya tidak timbul kerana pada mulanya kes ini memang mahu diserahkan terus kepada SPRM untuk disiasat. "Jadi, ada baiknya mana-mana pemain yang terlibat berhubung terus dengan SPRM selepas ini," jelasnya. | |
'Saya tiada hak buat kenyataan' Posted: 'Saya tiada hak buat kenyataan'Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE TINGGAL KENANGAN... Rajagobal tidak akan lagi bersama skuad Harimau Malaya apabila kontraknya tamat secara rasmi hari ini. SEDAR atau tidak, hari ini merupakan hari terakhir Datuk K. Rajagobal memegang status sebagai pengendali skuad Harimau Malaya apabila kontraknya tidak lagi disambung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Begitupun, sejak beberapa bulan lalu, terdapat begitu banyak spekulasi siapa calon paling layak menggantikan tempatnya. Ramai juga yang menyifatkan sudah tiba masanya penyandang 'kerusi panas' itu wajar diambil alih jurulatih asing selepas kali terakhir Malaysia menerima sentuhan luar di bawah kendalian Bertalan Bisckei selama dua tahun bermula 2004. Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum ini juga mengesahkan jurulatih kelahiran Perancis, Phillippe Omar Troussier sebagai antara calon hangat bagi menggantikan Rajagobal. Namun, Rajagobal memiliki alasan tersendiri mengapa beliau enggan campur tangan mengenai pengganti yang lebih layak menggantikan beliau. "Saya tak nak komen... saya bukan lagi jurulatih Harimau Malaya... jadi saya tidak berhak mengeluarkan sebarang kenyataan. "Siapa yang paling layak menjadi jurulatih Harimau Malaya selepas ini, terpulang kepada FAM," katanya kepada Kosmo! semalam. Sejak dilantik pada April 2009, Rajagobal muncul antara jurulatih yang memiliki resume cemerlang rentetan kejayaan menamatkan kemarau pingat emas Sukan SEA 2009 selain muncul juara Piala Suzuki AFF setahun kemudian. Namun, kredibiliti Rajagobal mula dikecam peminat fanatik tempatan lantaran gagal melakar kejayaan yang lebih besar selepas itu. 'Pintu' ke Piala Asia 2015 yang seolah-olah tertutup rapat ekoran Harimau Malaya hanya menduduki tangga ketiga Kumpulan D dengan empat mata meskipun masih memiliki satu lagi perlawanan menentang Yemen pada Mac tahun depan, juga bagaikan titik noktah buat Rajagobal apabila kontraknya disahkan tidak lagi disambung FAM pada penghujung November lalu. Sebaliknya, FAM membuat keputusan melantik pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee sebagai jurulatih sementara Harimau Malaya. "Buat masa ini, saya hanya mahu berehat seketika daripada bola sepak. "Biarlah masa yang menentukan bila saya akan kembali mengendalikan mana-mana pasukan selepas ini," jelas Rajagobal. | |
Posted: Tahun kalah dalam menangOleh AZIZUL FAHMI AHMAD ZABIDI BARISAN pelumba negara sekadar meraih pingat perak dalam acara berpasukan lelaki pada Sukan SEA 2013 di Myanmar. SELAMAT tinggal 2013. Bagi Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), 2013 boleh dianggap sebagai 'tahun kalah dalam menang'. Kegagalan skuad lebuh raya negara pada Sukan SEA 2013 di Nay Pyi Taw, Myanmar yang berakhir minggu lalu sekurang-kurangnya memberi lapan pengajaran penting buat PKBM. Mahu atau tidak, PKBM harus mengakui betapa mereka sekali lagi gagal membawa pulang emas buat kali keempat berturut-turut menerusi 'acara besar' lepas beramai-ramai elit lelaki dan wanita pada temasya dwitahunan itu. Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia mendominasi sepenuhnya acara itu adalah pada temasya Sukan SEA 2005 di Manila, Filipina. Ketika itu, Suhardi Hassan mengucup pingat emas manakala Nor Azian Alias ditabalkan sebagai ratu lebuh raya wanita di rantau Asia Tenggara. Pengajaran pertama - Malaysia harus mencari pakar perlumbaan sehari (one-day-race) yang prolifik. Hakikat atas kertas menunjukkan lima daripada enam pelumba Malaysia yang berkayuh di bumi Nay Pyi Taw adalah pelumba profesional. Mohd. Shahrul Mat Amin dan Saufi Mat Senan tampil membawa nama Terengganu Cycling Team (TSG) - pasukan benua yang menduduki ranking No. 1 Asia pada 2012. Loh Sea Keong pula membawa bendera pasukan pro-tour (Argos-Shimano) yang telah melakar sejarah besar apabila bergelar juara keseluruhan Jelajah 1Malaysia 2013 (J1M 2013). Mohd. Adiq Hussainie Othman dan Amir Mustafa Rusli pula masing-masing menjadi kebanggaan Champion System Pro Cycling Team serta Drapac Professional Cycling Team. Hanya Muhammad Rauf Nur Misbah - alumni Universiti Selangor (Unisel) bergelar pelumba amatur dan meraih pendapatan bulanan tidak sampai RM2,500. Namun, Rauf muncul pelumba negara kedua terbaik selepas berakhirnya acara tersebut yang mencetus kejutan terbesar apabila ia dimenangi pelumba kurang terkenal dari Laos. Pengajaran kedua - skuad lebuh raya Malaysia harus membuang jauh-jauh mitos bahawa perlumbaan sehari seperti Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia atau Sukan SEA akan berakhir dalam kelompok besar dan pemecut akan bergelar juara. Hakikat mengapa 'jaguh pecut' seperti Mark Cavendish kempunan di pentas Sukan Olimpik 2012 adalah kerana corak perlumbaan sehari kebelakangan ini biasanya tidak lagi berakhir dengan garapan cerita pemecut akan bersaing sesama sendiri pada penghujung perlumbaan seperti perlumbaan peringkat yang landai - Tour de France mahupun Le Tour de Langkawi (LTdL). Jelas sekali, strategi perlumbaan sehari dan jelajah (tour) adalah dua perkara yang sangat berbeza dan barisan pelumba Malaysia harus mengerti hakikat tersebut. Pengajaran ketiga - pelumba veteran seperti Suhardi tidak sewajarnya diketepikan begitu sahaja. Suhardi bukannya nama asing dalam dunia sukan berbasikal. Dia hampir meraih pingat emas berturut-turut pada dua temasya Sukan SEA 2005 di Manila dan Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand. Hanya kesilapan membenarkan Ryan Ariehaan Hilmant memintasnya pada baki 10 kilometer terakhir membawa padah kepada Suhardi. Akibatnya, dia hanya mampu mengucup pingat perak di Korat. Mengapa Suhardi 'terasing' atau 'diasingkan' sedangkan dia mampu membawa perwatakan sebagai abang kepada pelumba-pelumba muda? Bukan jadi rahsia dalam kalangan rakan-rakan sepasukannya betapa Suhardi dianggap pakar menggarap strategi dan taktikal pada perlumbaan sehari. Pengajaran keempat - Sukan SEA 2015 di Singapura nanti tetap tidak menjanjikan pingat emas kerana acara trek hampir pasti tiada dalam senarai acara bakal dipertandingkan. Satu dunia sudah tahu bahawa Malaysia adalah kuasa besar dalam acara trek di Asia selain Jepun, Hong Kong dan Korea Selatan. Namun, Pengarah Pertandingan (acara berbasikal) Sukan SEA 2015, Max Mager telah membayangkan betapa kerajaan Singapura tidak bersedia untuk menyenaraikan acara trek yang dianggap 'lubuk emas' kepada kem Malaysia. Sebaliknya, hanya acara lepas beramai-ramai elit lelaki dan wanita selain acara ujian masa individu (ITT) bakal dipertandingkan. Justeru, menjelang Sukan SEA 2015, PKBM sudah boleh mula merancang strategi tanpa melibatkan barisan pelumba trek. Pengajaran kelima - label 'adik kecil dan abang besar' masih menghantui pasukan lebuh raya Malaysia dan Indonesia. Yang pasti, Nay Pyi Taw tetap menghadiahkan satu fakta perit tetapi benar iaitu betapa Indonesia sama sekali tidak rela pelumbanya kalah kepada Malaysia. Indonesia jelas memanfaatkan senario itu pada perlumbaan lepas beramai-ramai elit lelaki di Nay Pyi Taw. Merekalah yang menjadi perancang utama terhadap kegagalan pasukan lebuh raya Malaysia, setidak-tidaknya hakikat itu turut dipersetujui barisan Filipina. Bagi pasukan lebuh raya Indonesia, label 'abang besar' hanya milik mereka. Jelas sekali, Malaysia terjerat dengan permainan muslihat Indonesia khususnya dalam percaturan pingat emas menerusi acara berpasukan elit lelaki. Jelas, muslihat itu dijangka kembali berterusan pada temasya Sukan SEA 2015 di Singapura nanti. Pengajaran keenam - pada masa akan datang, tampuk pengurusan skuad kebangsaan Malaysia harus lebih profesional dan bijak dalam menangani kerenah pelumba 'bernama besar' yang dibawa untuk menyertai sebarang kejohanan. Tanpa satu kaedah pengurusan yang mantap, tampuk kepimpinan kontinjen berbasikal negara pasti boleh ditempelak oleh pelumba berkenaan. Pengajaran ketujuh - jurulatih pasukan kebangsaan harus lebih berani dalam membuat keputusan akhir bagi mengelak berlakunya drama kontroversi. Jurulatih tempatan wajar membuktikan betapa baka tempatan sehebat karisma jurulatih dari luar negara. Pengajaran kelapan - pasukan lebuh raya Malaysia tampil di Nay Pyi Taw selaku antara pasukan yang memiliki basikal tercanggih dan terhebat. Namun, kemasyhuran sebenarnya hanya boleh dicapai menerusi kecekalan dan semangat juang yang tulen. Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd. Wahab turut mengakui betapa pasukan lebuh raya yang dikendalikan Aminuddin Sulaiman mengalami satu senario yang dinamakan 'kalah dalam menang'. "Sebelum terbang ke Myanmar, Aminuddin mensasarkan satu emas. Saya pula membayangkan dua medal, tak kira apa warnanya. "Saya cuba untuk menjadi lebih realistik kerana kita pulang tangan kosong pada Sukan SEA 2011 di Subang, Indonesia. Waktu itu hanya pingat perak disumbangkan oleh Masziyaton (Mohd. Radzi) menerusi acara basikal bukit. "Pasukan lebuh raya langsung pula tak menang. Jadi, apabila kita pergi ke Myanmar, saya cuba untuk mengintai kekuatan pelumba lebuh raya Indonesia, Thailand dan Filipina. "Saya percaya selain Malaysia, hanya pelumba dari tiga negara ini yang boleh menang pingat emas. Tekaan saya agak tersasar kerana Indonesia dapat perak dan Filipina menang gangsa," kata Abu Samah. Menurut Abu Samah, kejayaan pelumba Laos meraih pingat emas dalam acara elit lelaki jelas mengejutkan semua pihak. "Sea Keong pula hanya dapat tempat keempat. Nasib baik kita dapat pingat perak menerusi acara berpasukan dan gangsa acara TTT (ujian masa berpasukan). "Namun, apakah sasaran menang emas sudah tercapai? Jawapannya kita masih kempunan untuk menang pingat emas. "Inilah yang saya katakan kalah dalam menang. Kita hanya menang pingat perak dan gangsa," katanya sambil membayangkan mesyuarat Exco PKBM pada awal bulan depan hampir pasti membincangkan kontrak sambungan Aminuddin. Rentetan itu, PKBM berjanji akan kembali merenung formula ampuh yang digunakan Seong Hoong, Shahrulneeza Razali, Azlan Mohamad dan Suhardi tatkala bergelar juara pada Sukan SEA 1995 di Chiangmai, Thailand; Sukan SEA 1997 di Jakarta (selepas kemenangan Tonton Susanto dibatalkan), Sukan SEA 1999 di Bandar Seri Begawan dan Sukan SEA 2003 di Vietnam); Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur serta Sukan SEA 2005 di Manila. "Kenapa kita sentiasa menang emas sebelum ini? Kita dah buktikan pada 1995, 1997, 1999, 2001, 2003 dan 2005 apabila kita menang emas menerusi disiplin lebuh raya. "Masalahnya kenapa sekarang kita tak mampu lagi menang emas. Saya berjanji akan cari dan kenal pasti kelemahan kita," kata Abu Samah yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC). Pada masa sama, kejayaan menduduki tempat kedua berpasukan keseluruhan pada Tour of Thailand (ToT 2013) dan menduduki tempat ke-15 daripada 22 pasukan yang menyertai LTdL 2013 di sebalik penyertaan lima pasukan Pro-Tour termasuk Astana Pro Team, menghadiahkan detik kejayaan kecil kepada Malaysia. Senario tersebut membuatkan Abu Samah merumuskan betapa pasukan kebangsaan Malaysia tampak lebih selesa dalam format pertandingan berbentuk jelajah dan kurang menyerlah pada perlumbaan sehari. "Sudah banyak kali saya tegaskan betapa pelumba kebangsaan dan pasukan TSG nampak lebih selesa menyertai perlumbaan jelajah. "Kalau dalam perlumbaan jelajah, kalau tak menang hari ini... esok kita boleh cuba lagi. Hari ketiga pun kita boleh cuba sehingga jelajah berakhir. "Dalam aspek ini, kita sudah mampu untuk berbangga. Misalnya tahun ini, Sea Keong melakar sejarah muncul pelumba Malaysia pertama menang Jersi Kuning pada perlumbaan kategori 2.2 (J1M 2013). "Malangnya, kita masih terkial-kial apabila menyertai kejohanan berformat perlumbaan sehari. Cuba lihat statistik penyertaan pelumba Malaysia pada Sukan SEA, Kejohanan Asia, Sukan Asia, Sukan Komanwel atau Kejohanan Dunia, jelas sekali kita masih sukar untuk menyerlah," jelasnya. Menyentuh perihal pasukan lebuh raya wanita pula, rasanya jurulatih, Fairoz Izni Abd. Ghani harus segera menekan 'butang kecemasan'. Berdasarkan penyertaan dan kejayaan pada Sukan SEA 2013, nasib pasukan lebuh raya wanita ibarat telur di hujung tanduk. Bukan sahaja kita jauh keciciran di belakang Thailand dan Indonesia, namun hakikatnya kita hanya mempunyai dua atau tiga pelumba berbakat besar. Sekalipun sudah didedahkan pada banyak perlumbaan di luar negara, perkembangan terbaharu menunjukkan pelumba kebangsaan negara kini tampak seolah-olah berada satu kelas bersama pelumba Myanmar. "Saya nampak kepincangan dalam pasukan kebangsaan wanita. Mereka pulang tangan kosong dan tak menang pingat di Nay Pyi Taw. "Bukan itu sahaja, mereka dikalahkan dengan teruk oleh pelumba Thailand dan Indonesia. Kita seperti punching bag kepada mereka. "Bagaimanapun, saya tak boleh salahkan jurulatih sedia ada. Saya akan minta beliau (Fairoz Izni) terus latih pelumba wanita dengan penuh dedikasi. "Kita pernah melahirkan juara seperti Nor Azian. Saya fikir kita mampu untuk mengulangi senario tersebut. Dengan syarat kita harus bekerja keras mulai sekarang," tambah Abu Samah. Nasib pasukan basikal bukit (MTB) dan BMX turut tidak menentu dan jelas umpama 'penumpang' dalam daftar pasukan kebangsaan Malaysia. Bukan sahaja tidak mampu menentang lawan ternama dari Thailand, Filipina dan Indonesia, malah nasib mereka juga seperti pasukan lebuh raya wanita yang turut dijadikan 'budak belasahan' di pentas Sukan SEA. Mujur, nasib pelumba trek negara seperti Mohd. Azizulhasni Awang, Josiah Ng dan Fatehah Mustafa menyelamatkan maruah kem lumba basikal Malaysia. Status pelumba bertaraf dunia menjuruskan mereka ke arah persiapan rapi bagi menghadapi Kejohanan Asia 2014 di Astana, Kazakhstan; Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan dan Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland. Azizulhasni dan Josiah tampak kian berbisa dalam acara pecut 200 meter apabila mampu untuk merakam masa di bawah catatan 10 saat. Fatehah pula dikatakan semakin matang dan ampuh setiap kali menyertai acara keirin wanita. Meskipun evolusi kejayaaannya masih tidak sehebat Lee Wai Sze, namun Fatehah harus merenung jauh betapa pelumba Hong Kong itu sebelum ini pernah dilabel sebagai pelumba kelas kedua. Kini segala-galanya terarah kepada PKBM dalam merangka strategi terbaik bagi menghadapi musim 2014 yang dilihat lebih mencabar buat barisan pelumba negara. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan