Sabtu, 14 Disember 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Teknologi EM hilangkan bau busuk

Posted:

Teknologi EM hilangkan bau busuk

Teknologi EM hilangkan bau busuk

PERJALANAN dari Kuala Lumpur ke Puncak Mutiara Cafe yang terletak di Kampung Pelet, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dirasakan sangat berbaloi apabila kru Jurnal dihidangkan dengan pemandangan indah restoran ala resort tersebut.

Sangkaan restoran tersebut seperti sebuah kandang kambing yang diselubungi bau yang kurang menyenangkan ternyata meleset. Sebaliknya kebersihannya boleh dibanggakan malah suasananya begitu menenangkan.

Selain restoran dan pusat ternakan kambing, kawasan berkonsepkan agropelancongan seluas lima hektar milik Mutiara Kristal Corporation Sdn. Bhd. itu juga mempunyai sebuah pusat ternakan haiwan, kolam memancing dan dusun buah-buahan.

Menurut pemiliknya, Datuk Abd. Halim Ahmad, penggunaan teknologi mikroorganisma efektif (EM) iaitu sejenis bakteria baik yang membantu mengurangkan bau di kandang kambing. Pihaknya juga sangat mementingkan tahap kebersihan kandang dengan melakukan kerja pembersihan sebanyak dua kali sehari.

Beritahu beliau, cecair EM akan dicampurkan ke dalam air minuman binatang ternakan manakala semburan di sekitar kawasan kandang dilakukan seminggu sekali.

"Saya bermula dengan menternak kambing pada tahun 2004. Selepas dua tahun, kami membesarkan lagi perniagaan dengan membuka sebuah restoran.

"Idea ini sebenarnya datang daripada pelanggan yang mahukan sebuah restoran dibuka untuk mereka beristirahat dan menjamu selera tanpa perlu ke lokasi lain selepas selesai melakukan urusan jual beli kambing.

"Apabila difikirkan kembali, tidak salah kita membuka sebuah pusat sehenti yang menyediakan pelbagai kemudahan kepada pelanggan," ujarnya sambil memberitahu, ada pelancong dari luar negara yang secara berseloroh mahu tidur di kandang kambing itu kerana persekitarannya yang bersih.

Tambah Abd. Halim, pada awal pembukaannya, sebanyak empat buah pondok ditawarkan kepada pelanggan yang datang dalam kumpulan kecil.

Ujarnya, restoran yang boleh memuatkan sehingga 1,600 tetamu pada satu-satu masa itu menawarkan lebih 200 menu makanan dan minuman.

"Bermacam-macam jenis hidangan dapat disediakan sama ada makanan ala kampung, Thai, Barat mahupun Cina. Begitupun, menu berasaskan daging kambing adalah yang paling digemari di sini.

"Kami juga akan menyediakan menu baharu pada setiap bulan bagi memberikan pilihan kepada pelanggan," katanya yang turut menawarkan menu telur burung unta mengikut musim.


PENGGUNAAN mikroorganisma efektif membantu mengurangkan bau di restoran yang terkenal dengan pusat ternakan kambing ini.


Kolam memancing

Jelasnya, keunikan kawasan itu terletak pada pusat ternakan kambing yang sememangnya sudah terkenal di daerah itu.

"Disebabkan keunikan itu jugalah, kami menamakan setiap pondok makan di restoran ini berdasarkan nama baka kambing seperti Boer, Jamnapari, Dopper, Faral, Kalahari, Saanen dan Kadjang.

"Terdapat 200 buah pondok dan pelanggan boleh memilih untuk menjamu selera di pondok, di tepi kolam renang atau di dewan yang dikhaskan untuk majlis tertentu seperti perkahwinan, sambutan hari lahir atau majlis makan malam," ujarnya sambil memberitahu, lingkungan harga menu makanan dan minuman bermula dari RM1 hingga RM600.

Tambahnya, pihaknya memberi tambah nilai kepada kawasan itu kerana selain menjamu selera, pelanggan juga berpeluang melakukan aktiviti lain seperti memancing atau membuat lawatan ke pusat ternakan haiwan.

Beritahu beliau, bermacam-macam jenis ikan seperti baung, patin, rohu, pacu, haruan dan puyu boleh didapati di kolam memancing dengan kadar bayaran RM50 bagi tiga jam memancing.

"Pelanggan dibenarkan memilih sama ada untuk membawa balik hasil tangkapan mereka atau dimasak oleh cef restoran. Caj untuk masakan dikenakan mengikut jenis ikan iaitu antara RM15 hingga RM20.

"Kami juga turut mengadakan pertandingan memancing. Selain itu, pelanggan akan dibawa ke dusun buah-buahan bagi menikmati buah durian, rambutan, sentul, mangga, anggur dan nangka khususnya pada musim buah," ujarnya yang turut menyediakan kemudahan kolam renang dengan kadar bayaran RM8 untuk sekali masuk.


KEMUDAHAN kolam renang turut disediakan dengan kadar bayaran sebanyak RM8 sekali masuk.


Bayar guna kad

Beritahu beliau, melihatkan kesukaran pelanggan membuat bayaran selepas selesai menjamu selera, beliau mewujudkan satu sistem pesanan dan bayaran menggunakan kad.

"Pada awal perniagaan dahulu, kami mengamalkan sistem manual dengan pesanan yang dibuat oleh pelanggan akan dicatat di atas sehelai kertas yang dibahagikan kepada lapan item berlainan.

"Tetapi sejak tahun 2008, kami memakai sistem kad elektronik kerana ia lebih mudah.

"Sistem yang menelan kos pemasangan sebanyak RM100,000 itu merupakan idea isteri saya, Datin Safiah Mat Nasir yang mempunyai latar belakang dalam bidang teknologi maklumat," ujarnya yang dibantu seramai 120 orang kakitangan.

Katanya, pelayan akan mencatatkan pesanan pelanggan dan kemudiannya setiap pesanan makanan dan minuman itu akan direkodkan di dalam kad tersebut. Pelanggan hanya perlu memberikan kad itu kepada juruwang apabila membuat pembayaran.

"Pelayan juga tidak perlu bersusah payah untuk mengingati nombor meja pelanggan kerana menerusi sistem kad ini, setiap pesanan dihubungkan terus kepada bahagian yang terlibat.


KONSEP dapur terbuka diaplikasikan di restoran ini.


"Malah, pelanggan juga hanya perlu menekan butang yang disediakan di setiap ruang makan untuk memanggil pelayan restoran," beritahu beliau yang mengamalkan konsep dapur terbuka bagi membolehkan pelanggan menyaksikan sendiri cara operasi di dapur.

Ujarnya, setiap perniagaan pasti ada cabarannya. Beliau juga tidak terkecuali apabila idea untuk mengetengahkan konsep agropelancongan terbabit menerima pandangan negatif.

"Pada mulanya ada individu yang mempertikaikan lokasi restoran ini tetapi saya tidak mempedulikannya kerana percaya keunikan persekitaran yang ditawarkan.

"Malah, ada juga yang cuba meniru resipi yang kami tawarkan tetapi sudah tentu rasanya berlainan.

"Tetapi saya menganggap itu sebagai satu persaingan yang sihat selagi kita boleh mengekalkan konsep sebenar yang dibawa," tambahnya yang menyediakan kemudahan penghantaran untuk pelanggan yang tinggal di sekitar Kulim, Seberang Perai dan Kepala Batas dengan pembelian minimum sebanyak RM50.

Beritahu beliau, pihaknya juga merancang untuk membangunkan 10 buah inap desa dan zoo mini selain membuka cawangan di Kelantan dan Selangor. Beliau turut bercadang mewujudkan peluang francais.

Seorang pelanggan, Zuraidah Mohamed Isa, 34, memberitahu, beliau berkunjung ke restoran itu sejak tahun 2008 lagi untuk mengadakan majlis istimewa.

"Kawasan ini terkenal dengan pusat ternakan kambing.

"Persekitarannya juga sangat santai dan menyenangkan, malah kesemua menu sungguh istimewa serta jarang diperoleh di restoran lain," ujar ibu kepada empat orang anak ini.

Tarikan Mini Lisbon

Posted:

Tarikan Mini Lisbon

Tarikan Mini Lisbon

Oleh NOR IDAYU BOSRO
idayu.bosro@kosmo.com.my


REPLIKA kapal Flor de La Mar menjadi simbol bagi memperingati kedatangan Portugis ke Melaka.


PENYELIA Muzium Warisan Perkampungan Portugis Ujong Pasir di Melaka, Christopher De Mello ceria mengalu-alukan kehadiran pengunjung ke penempatan masyarakatnya di bandar raya bersejarah itu.

Lelaki berusia 47 tahun tersebut juga kelihatan segak memperagakan kostum tradisional berwarna hijau tua lengkap dengan topi, kain lilit pinggang berwarna merah serta stoking putih paras lutut.

Rakannya, Manuel Lazaroo yang memakai jaket hitam berlengan panjang atau 'bolero' serta topi ala koboi itu pula asyik bermain gitar sambil menyanyikan lagu-lagu rakyat seperti Jinkli Nona dan Rasa Sayang.

Lazaroo atau lebih selesa disapa Pappa Joe memberitahu, lagu-lagu itu biasanya dipersembahkan bersama iringan tarian Farapeira bagi meraikan sesuatu upacara perkahwinan, temasya keramaian serta hari perayaan.

"Ia ditarikan secara berpasang-pasangan antara lelaki dan wanita.

"Malah, kostum yang saya pakai ini biasanya dikenakan oleh golongan lelaki ketika mempersembahkan tarian berkenaan," jelasnya.

Menurut Pappa Joe, baju itu akan dipadankan bersama sepasang seluar berwarna hitam dengan corak garisan panjang berwarna merah di tepinya agar tampak sedondon dengan penari wanita.

"Penari wanita pula akan memakai gaun kembang berenda dalam kombinasi rona putih, merah dan hitam serta skarf merah di kepala.

"Contoh pakaian tradisional yang menjadi kebanggaan kami ini merupakan antara khazanah tinggalan sejarah yang disimpan di muzium ini," ujarnya.

Sebagai ahli dalam komuniti di negeri Hang Tuah itu, De Mello dan Lazarro serta seorang lagi rakan mereka, Jerry Alcantra gigih memelihara adat dan budaya masyarakat Portugis termasuk bahasa serta tradisi yang diamalkan daripada ancaman kemodenan.

Menyelak catatan sejarah, De Mello berkata, penempatan masyarakat Portugis yang terletak kira-kira 5 kilometer dari Bandar Melaka itu juga terkenal dengan gelaran Mini Lisbon dan dikatakan wujud sejak lebih 80 tahun lalu.


LAZAROO mahu memelihara budaya masyarakat Portugis daripada arus kemodenan.


Kampung nelayan

"Penempatan berhampiran pesisiran Selat Melaka ini bermula sebagai sebuah kampung nelayan yang kemudiannya berkembang menjadi penempatan penduduk yang besar.

"Sehingga kini, penduduknya dianggarkan seramai 1,200 orang termasuk sebahagian kecil yang tinggal di kawasan lain di Melaka seperti Tengkera, Kubu, Lorong Pantai dan Banda Hilir," ujarnya sambil membawa kru Jurnal menerokai artifak berharga di dalam muzium tersebut.

Bertutur lanjut, De Mello yang merupakan generasi kelima bangsa Portugis di Melaka memberitahu, muzium itu diwujudkan untuk membantu kerajaan negeri memulihara kawasan serta bangunan warisan agar tidak musnah.

"Dengan adanya muzium ini, legasi komuniti Portugis di Melaka dapat dipelihara untuk tatapan anak cucu kami pada masa hadapan.

"Pada masa yang sama, kami harap ia akan menjadi tarikan pelancong baik dari dalam mahupun luar negara," katanya.

De Mello memberitahu, selain pakaian tradisional, muzium yang telah beroperasi selama lebih lima tahun itu turut menempatkan koleksi barangan peninggalan nenek moyang mereka yang mempunyai nilai sejarahnya sendiri.

"Tarikan utama pengunjung ialah model kapal Flor de La Mar yang menyerupai replika Muzium Samudera yang terletak di Jalan Quayside, Bandar Melaka.

"Walaupun model kapal ini jauh lebih kecil, ia simbol bagi memperingati kedatangan Portugis pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, 500 tahun lalu," ujarnya.

Koleksi barangan peninggalan keluarga termasuk barangan dapur, pelita minyak tanah, televisyen, seterika dan jam lama serta perabot antik turut dipamerkan kepada pengunjung.

"Barangan lain ialah lukisan, peta lama, gambar-gambar lama serta artifak berkaitan maritim dan perdagangan di Melaka," katanya.

Susanah ketua bandar kanak-kanak

Posted:

Susanah ketua bandar kanak-kanak

Susanah ketua bandar kanak-kanak

Oleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR
aqma.mohdnoor@kosmo.com.my


SUSANAH bertanggungjawab terhadap keselamatan dan operasi di taman tema yang dikhaskan kepada kanak-kanak ini.


SEJAK dari awal pertemuan, kru Jurnal mahukan kepastian sama ada benar pemegang jawatan Datuk Bandar KidZania Kuala Lumpur, Susanah Abdul Rani, 46, merupakan wanita kacukan Cina dan Melayu? Tekaan itu ternyata benar.

"Ya, saya anak kacukan Cina dan Melayu. Ibu saya berketurunan Cina namun saya tidak fasih berbahasa Mandarin.

"Tetapi saya sangat menggemari masakan Cina kerana makanan tersebut tidak berminyak selain penggunaan pelbagai warna dalam masakan itu.

"Saya menyukai makanan tersebut bukan disebabkan saya berdarah Cina, tetapi ia sesuatu yang sihat dan baik untuk kesihatan.

"Malah, saya juga menggemari makanan Melayu yang menjadi menu utama saya di rumah," jelas isteri kepada Abu Shahlizan Abu Aman, 44, ini.

Paling sibuk

Bercerita lanjut, wanita yang berasal dari Johor Bahru ini memberitahu, cuti sekolah adalah waktunya yang paling sibuk.

"Waktu itu saya akan fokus kepada operasi di taman ini. Untuk bersikap lebih adil terhadap anak-anak, saya dan suami akan membawa mereka bercuti sebelum atau selepas cuti persekolahan.

"Selebihnya, saya meluangkan masa menonton wayang bersama mereka kerana itu juga cara untuk saya meredakan tekanan bekerja," ujar lulusan ekonomi dari Universiti Texas, Amerika Syarikat ini.

KidZania merupakan pusat hiburan dan pembelajaran untuk kanak-kanak berusia antara empat hingga 14 tahun yang menawarkan pengalaman menjadi orang dewasa dan melakukan pelbagai pekerjaan seperti anggota bomba, juruterbang atau cef.


SUSANAH akan membuat rondaan sebanyak tiga kali sehari di taman tema yang berkeluasan 7,432 meter persegi itu.


Ia turut dilengkapi ruang khas buat ibu bapa melayari internet, menonton filem dan berehat sambil menunggu anak- anak mereka merasai pengalaman baharu tersebut.

Bunyi riuh-rendah menerpa ke telinga sebaik sahaja menjejakkan kaki ke bandar raya kecil yang boleh memuatkan 1,700 orang kanak-kanak pada satu masa ini.

Hilai tawa mereka yang teruja untuk meneroka taman tema itu semakin dirasakan tatkala berjalan mengelilingi bandar seluas 7,432 meter persegi itu.

Beritahu Susanah, beliau sudah lali dengan suasana hingar-bingar di taman tema yang dibuka sejak tahun lalu itu.

"Beginilah rutin harian saya yang dikelilingi kanak-kanak jika tiada mesyuarat di luar. Malah, saya juga sering memantau dan meluangkan masa dengan melakukan rondaan tiga kali sehari bagi memastikan segalanya berjalan lancar," ujar ibu kepada dua orang anak ini.

Beliau yang pernah terlibat dalam industri perbankan selama 19 tahun memberitahu, kerjaya yang dijawatnya kini merupakan sesuatu yang menyeronokkan.

"Skop kerja mungkin berbeza kerana setiap hari kita berinteraksi dengan kanak-kanak. Pada tahun ini sahaja, kira-kira 140,000 kanak-kanak mengunjungi KidZania.

"Sebenarnya tidak sukar untuk mengawal mereka kerana saya juga seorang ibu, jadi saya tahu cara untuk membuatkan kanak-kanak ini berasa selesa bersama kita.


LEBIH 100 aktiviti ditawarkan kepada kanak-kanak di KidZania.


Jujur

"Mereka sangat jujur dan mereka boleh nampak keikhlasan kita ketika berinteraksi dengan mereka," jelasnya yang dibantu seramai 300 kakitangan.

Tambahnya, terdapat cara tertentu yang digunakan untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak kerana ada antara mereka yang bersikap sangat pemalu tetapi tidak kurang pula ada yang terlalu aktif.

"Apa yang penting ialah cara kita untuk memulakan perbualan. Untuk itu, kami akan berbual dengan ibu bapa mereka terlebih dulu bagi mengetahui aktiviti kesukaan mereka dan secara perlahan-lahan, kita cuba berkomunikasi dengan mereka juga," katanya.

Jelas Susanah, di KidZania panggilan encik atau cik akan digunakan kepada kanak-kanak untuk membolehkan mereka merasai pengalaman di dunia sebenar.

"Tidak seperti taman tema lain, di sini tiada permainan komputer dan gajet elektronik sebaliknya kaedah yang digunakan mampu merapatkan hubungan antara anak dan ibu bapa.

"Malah, semasa berada di sini, rata-rata mereka tidak menghiraukan gajet elektronik kerana sibuk mencuba pelbagai pekerjaan yang ditawarkan.

"Memang seronok melihat gelagat mereka tapi sebagai orang dewasa, saya lebih terkesan melihat kesabaran kanak-kanak ini ketika melakukan aktiviti," tambahnya yang akan membawa kedua-dua anaknya berkunjung ke KidZania setiap tiga bulan sekali.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved