Selasa, 3 Disember 2013

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Aplikasi sosial hindar kesesakan trafik

Posted:

Aplikasi sosial hindar kesesakan trafik

Aplikasi sosial hindar kesesakan trafik

PADA setiap waktu puncak, Nor Syazwani Idris, 24, sering tertanya apakah cara untuknya mengelakkan diri daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang meletihkan.

Keadaan berubah apabila dia diperkenalkan dengan aplikasi Waze di telefon pintarnya melalui seorang rakan sekerja. Kali pertama menggunakan aplikasi tersebut, perjalanannya menjadi lebih lancar dan menjimatkan masa.

Nor Syazwani memberitahu, sejak mengetahui keberkesanan aplikasi itu, dia terus jatuh hati dan menggunakannya di luar waktu bekerja, terutamanya ketika berjalan-jalan di luar Kuala Lumpur.

"Memandangkan saya berasal dari Sarawak dan tugas saya sebagai seorang pegawai perhubungan awam di ibu kota memerlukan saya sentiasa keluar pejabat, aplikasi ini amat membantu. Ia bukan sahaja mudah digunakan tetapi turut memaklumkan arah tuju destinasi yang dikehendaki.

"Fungsi Waze yang membantu pemandu kenderaan sampai ke lokasi dengan tepat membantu menjimatkan masa pemanduan," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Dia menambah, sebelum menggunakan aplikasi tersebut dia telah menggunakan aplikasi dan teknologi perkhidmatan pemetaan Google Map. Namun baginya, Waze lebih membantu dari aspek menyalurkan maklumat semasa yang penting berkaitan pemanduan seperti kesesakan, kemalangan dan sekatan jalan raya.

PENUNGGANG motosikal juga tidak ketinggalan menggunakan aplikasi ini bagi memudahkan perjalanan mereka.


Selain itu, Waze juga memberi jalan alternatif kepada pengguna bagi memudahkan perjalanan.

"Satu lagi kelebihan aplikasi ini ialah setiap pengguna Waze juga berpeluang berkongsi maklumat tentang situasi lalu lintas lokasi yang dilalui. Ini secara tidak langsung membantu pemandu lain untuk mengubah laluan agar tidak terperangkap dalam kesesakan yang mungkin memakan masa berjam-jam lamanya," ujar Nor Syazwani.

Dalam pada itu, lain pula manfaat yang dialami seorang wartawan di sebuah syarikat penerbitan majalah swasta, Azimah Zulkafli yang menggunakan aplikasi tersebut ketika menunggang motosikal menuju ke lokasi tugasan di sekitar Lembah Klang.

Perspektif penunggang

Lazimnya tugas sebagai seorang wartawan memerlukan mereka sampai ke tempat tugasan pada kadar segera agar tidak terlepas tugasan yang diberikan dan ini secara amnya akan mempengaruhi penulisan bahan berita dengan lebih baik.

Bagi Azimah yang baru sahaja berpindah dari Pulau Pinang ke Shah Alam, agak sukar untuknya sampai lebih awal ke lokasi tugasan. Lebih-lebih lagi apabila mendapat beberapa tugasan di lokasi yang berbeza dalam sehari.

"Menggunakan Waze ketika membonceng motosikal kedengaran seperti suatu langkah berbahaya. Oleh itu, sebelum memulakan perjalanan, saya terlebih dulu menetapkan lokasi yang ingin dituju dan hanya mendengar arahan arah jalan melalui alat pendengar yang dipasang di telinga dan memasukkan telefon pintar ke dalam poket seluar.

"Dengan adanya aplikasi ini, saya dapat merancang waktu perjalanan ke tempat tugasan seterusnya. Setakat ini aplikasi ini antara yang terbaik yang pernah digunakan," ujarnya.

APLIKASI ini membantu pengguna jalan raya mendapat panduan laluan ke destinasi yang dituju dengan mudah dan pantas.


Jalan keluar

Azimah menambah, pada peringkat awal bekerja, dia sering lewat ke tempat tugasan kerana sering kali tersesat. Ini menyebabkan hasil kerjanya terganggu.

Tetapi sejak menggunakan aplikasi Waze lima bulan lalu, kesemua urusan kerja dan perancangan perjalanan menjadi mudah dan lebih teratur.

Sementara itu, bagi selebriti, Nadia Haswani Hasnan atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Nadia Hasnan, Waze dijadikan aplikasi wajib untuknya ketika melancong ataupun ke lokasi penggambaran di luar kawasan Kuala Lumpur.

"Ketika bercuti bersama keluarga di Pulau Pinang baru-baru ini, saya tersalah jalan kerana keliru ketika membaca papan tanda. Namun kami bernasib baik setelah ibu mencadangkan untuk menggunakan aplikasi ini.

"Waze telah memaparkan peta dan panduan ke destinasi yang ingin dituju. Selain itu, ia juga sebuah aplikasi yang sangat membantu pengguna dan mampu menunjuk jalan keluar jika tersesat," jelasnya.

Menurutnya, Waze bukan sekadar sebuah aplikasi berdasarkan sistem penentu kedudukan global (GPS), bahkan juga sebagai tempat berhubung dengan pengguna lain yang melalui jalan sama.

"Satu lagi tarikan ialah ia bukan sahaja memberi manfaat besar kepada pengguna jalan raya, malah aplikasi ini boleh didapati secara percuma dan boleh dimuat turun aplikasi App Store dan Google Play pada peranti pintar pengguna," katanya.

Kemalangan industri terburuk China

Posted:

Kemalangan industri terburuk China

Kemalangan industri terburuk China


KEJADIAN itu turut mengakibatkan kerosakan infrastruktur dan kenderaan yang teruk.


MINGGU lalu, penduduk Qingdao, China digemparkan dengan letupan paip minyak milik syarikat kerajaan, Sinopec, yang mengakibatkan kematian 55 orang penduduk.

Ia merupakan salah satu kemalangan industri paling besar di China pada tahun ini. Dua letupan kuat itu menyebabkan kerosakan teruk jalan raya di kawasan bandar sehinggakan kereta-kereta terbalik dan rosak. Bangunan berhampiran turut menerima kesan dengan tingkap-tingkapnya pecah.

Keadaan bertambah buruk apabila tumpahan minyak melimpah selama 15 minit ke jalan raya dan kawasan pelabuhan berhampiran sebelum ia sempat ditutup.

Menurut laporan media tempatan, saluran minyak itu pada awalnya bocor dan meletup sebanyak dua kali ketika pekerja-pekerja Sinopec sedang membaiki kebocoran itu.

Kebakaran di beberapa kawasan akibat letupan itu memaksa 100 orang ahli bomba dikerah untuk bertindak.

Seorang pejalan kaki yang melalui kawasan itu terselamat daripada menjadi mangsa korban walaupun kakinya terputus manakala kepala seorang mangsa lain remuk dihempap serpihan konkrit.

"Sebelum ini, saya hanya melihat kejadian seperti ini dalam dokumentari-dokumentari bencana," kata seorang pekerja penyelamat yang mahu dikenali sebagai Xue kepada agensi berita Xinhua.

Tumpahan minyak

Teluk Jiaozhou dicemari dengan tumpahan minyak mentah yang telah merebak ke kawasan seluas 3,000 meter persegi.

Sebagai langkah tindakan, helaian fabrik digunakan untuk menyerap minyak, manakala sebuah penghadang sementara dipasang untuk menghentikan tumpahan itu daripada merebak.

Sebanyak 22 buah bot pembersih dan 10 bot menangkap ikan dikerah untuk membersih tumpahan minyak tersebut.

Selain itu, penduduk setempat juga digesa memakai topeng muka sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan berlaku sebarang kesan ekoran terhidu bau toksin minyak yang tumpah itu.


TUMPAHAN minyak yang berlaku memberi kesan terhadap ekosistem dan keadaan persekitaran kawasan Qingdao.


Berikutan bencana tersebut, Presiden China, Xi Jinping menggesa pasukan penyelamat mencari mangsa-mangsa yang hilang. Beliau turut sempat melawat mangsa-mangsa di Hospital Qingdao.

Dalam pada itu, pihak berkuasa telah menyediakan 40,000 sarapan dan makan tengah hari percuma untuk penduduk setempat yang terhimpit akibat terputus bekalan elektrik dan air.

Pengarah Pentadbiran Keselamatan Pekerja, Yang Dongliang berkata, berdasarkan penyiasatan awal, didapati terdapat salah laku serius oleh pekerja Sinopec yang membawa kepada bencana tersebut.

"Paip ini tidak diselenggara dengan baik sehingga membawa kepada kebocoran minyak. Mereka juga tidak mengambil langkah-langkah pencegahan seperti menyekat tumpahan minyak dan memindahkan penduduk setempat," ujarnya kepada media tempatan.

Sehubungan itu, pihak berkuasa telah menahan sembilan orang suspek yang terlibat dalam letupan itu.

Letupan itu memaksa Sinopec yang merupakan salah satu penapis minyak utama Asia, mengurangkan pengeluaran sekurang-kurangnya dari dua kilang penapis di bandar itu.

Wakil syarikat itu meminta maaf di atas bencana yang berlaku dan menyatakan rasa tanggungjawab kepada kecelakaan yang meragut nyawa penduduk setempat dan mengumumkan bahawa ia akan menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian itu.

Phablet pertama keluaran Nokia

Posted:

Phablet pertama keluaran Nokia

Phablet pertama keluaran Nokia


LUMIA 1520 merupakan peranti sempurna untuk golongan profesional yang inginkan telefon dan tablet berteknologi terkini.


SYARIKAT pengeluar peranti telekomunikasi terkemuka dunia, Nokia Corporation (Nokia) optimis dengan pengenalan peranti pintar terbaharu, Lumia 1520 yang dijangka mendapat sambutan menggalakkan daripada penggemar siri peranti Lumia.

Susulan itu, pada Selasa minggu lalu, Nokia Malaysia secara rasminya telah melancarkan peranti pintar phablet iaitu kombinasi tablet dan telefon pintar pertama yang berasaskan Windows Phone 8.

Menurut Ketua Pemasaran Nokia Pan Asia, Gary Chan, produk terbaharu oleh Nokia itu dilihat sebagai rangkaian terbaik dalam siri Lumia dengan teknologi imej yang dipertingkatkan dan skrin yang lebih besar.

"Ia juga terbukti sebagai satu peranti sempurna untuk golongan professional kerana mempunyai skrin hadapan besar yang membolehkan mereka merasai kecanggihan paparan yang terang dan jelas," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Hadir dengan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 800 dan skrin bersaiz 15 sentimeter, Lumia 1520 turut menyediakan kamera belakang yang menawarkan teknologi PureView 20 megapiksel dengan segala proses disokong oleh kad SD mikro.

Selain menghasilkan imej yang lebih jelas, teknologi PureView membantu pengguna merakam, menyunting dan berkongsi gambar serta video berkualiti tinggi.

"Satu lagi tarikan Nokia ialah apabila ia berjaya membawa beberapa aplikasi popular seperti Instagram, Whatsapp dan Vine ke platform Windows Phone 8. Ini seterusnya menawarkan kepelbagaian kepada pengguna setia Lumia," kata Chan.

Syarikat itu turut berkongsi aplikasi Papyrus pada platform Windows Phone 8 yang membolehkan pengguna Lumia 1520 mengambil nota tulisan tangan dengan pantas.

Orang ramai boleh mendapatkan peranti itu bermula awal bulan ini di sekitar Lembah Klang, manakala di kawasan-kawasan lain di Malaysia dijangka pada pertengahan Disember ini.

Walaubagaimanapun, pihak Nokia Malaysia telah membuka tempahan peranti berkenaan sejak Selasa lalu dengan menawarkan rebat bernilai RM160 dan set kepala Coloud Boom pada harga RM129 seunit.

Phablet Lumia 1520 Nokia ditawarkan pada harga RM2,159 seunit dan didatangkan dalam empat warna pilihan iaitu kuning, merah, putih dan hitam.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved