Kosmo Online - Dunia |
Lagi korban tunjuk perasaan Thai Posted: Lagi korban tunjuk perasaan Thai
BANGKOK - Dua orang terbunuh semalam pada tunjuk perasaan yang diadakan di sini bagi membantah pilihan raya umum Thailand yang dijadualkan akan diadakan pada 2 Februari tahun depan. Salah seorang daripada mereka merupakan seorang lelaki yang bertugas mengawal tempat perhimpunan anggota-anggota kumpulan yang dikenali sebagai Rangkaian Pelajar dan Rakyat Bagi Pembaharuan Thailand. Dia ditembak mati oleh sekumpulan lelaki yang tidak dikenali berhampiran Rumah Kerajaan di sini pada kira-kira pukul 3 pagi. Mangsa itu dikenali sebagai Jamrieng Jitwat, 31, dari wilayah Prachuab Khiri, Selatan Thailand. Tiga orang lagi cedera dalam serangan itu. Kumpulan tersebut adalah antara pihak yang cuba menghalang urusan pendaftaran calon-calon pilihan raya di Stadium Thailand-Jepun di Dindaeng, Bangkok sejak beberapa hari lalu. Seorang lagi yang terbunuh merupakan penunjuk perasaan yang menentang pentadbiran Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra. Dia mati terkena peluru senjata api milik seorang lelaki yang melepaskan tembakan rambang pada satu perhimpunan tunjuk perasaan bagi membantah pilihan raya tersebut. Menurut agensi berita Bernama, sehingga pukul 6 petang kelmarin, kira-kira 153 orang cedera ekoran pertempuran melibatkan anggota-anggota polis pencegah rusuhan dengan para penunjuk perasaan. Pada pertempuran itu, seorang sarjan mejar polis, Narong Pitisilp, 45, dan seorang lelaki berusia 30 tahun, Wasu Sujantana turut terbunuh. Dalam pada itu, 53 parti politik telah mendaftar untuk menyertai pilihan raya itu. Pemimpin penunjuk perasaan itu, Suthep Thaugsuban berikrar akan melumpuhkan Bangkok pada hari mengundi kerana kumpulannya membantah pilihan raya tersebut. Para penunjuk perasaan itu telah berhimpun di sini sejak bulan lalu sebagai usaha untuk menggulingkan Yingluck yang dianggap sebagai boneka abangnya, Thaksin Shinawatra yang kini hidup dalam buangan. Thaksin digulingkan dalam rampasan kuasa tentera yang berlaku pada September 2006 selepas kerajaannya didakwa para penunjuk perasaan dicemari rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Namun, parti pimpinan Yingluck, Pheu Thai dijangka memenangi semula pilihan raya tersebut menyebabkan para penunjuk perasaan berusaha untuk menghalang urusan pendaftaran calon-calon yang bakal bertanding itu. - Agensi | ||
Posted: Berus badan ketam lelabahSEORANG penyelam mencuci badan ketam lelabah dengan menggunakan berus gigi di Akuarium Epson Shinagawa Aqua di Tokyo semalam. TOKYO - Seorang penyelam mencuci badan ketam lelabah dengan menggunakan berus gigi di Akuarium Epson Shinagawa Aqua di sini semalam. Para pekerja akuarium itu membersihkan badan hidupan marin dan cermin akuarium tersebut menjelang ketibaan tahun baharu 2014. Sejumlah pengunjung turut menyaksikan para pekerja itu melakukan kerja-kerja pembersihan badan haiwan dan dinding cermin akuarium tersebut. - Agensi | ||
Posted: Jet Li hidap penyakit tiroid
HONG KONG - Bintang filem aksi Hollywood, Jet Li mengaku dia kini menjalani rawatan penyakit tiroid, lapor portal berita hiburan, Hollywood Reporter semalam. Bagaimanapun, Li yang berusia 50 tahun berkata, dia kini mengambil ubat-ubatan sebagai cara untuk pulih daripada penyakit itu. "Saya kini menghidap hipertiroidisme. Kadangkala saya kehilangan berat badan sebanyak 15 kilogram (kg). Namun, ada ketikanya, berat badan saya naik sebanyak 15kg. Ketika ini, saya kelihatan gemuk. "Saya tidak berpeluang untuk menurunkan berat badan kerana rawatan perubatan yang saya jalani itu melibatkan kawalan denyutan jantung. Justeru, saya tidak boleh melakukan senaman. "Saya akan menunggu sehingga doktor menyatakan, saya boleh melakukan senaman ringan sebelum saya bertindak menurunkan berat badan," kata Li. Dia telah disahkan menghidap tiroid aktif pada tahun 2010 dan hanya mengambil ubat-ubatan untuk mengawalnya. Namun, penyakitnya itu menjadi semakin serius sejak kebelakangan ini. Penyakit yang dialami Li itu menyebabkan dia mengalami peningkatan kadar metabolisme asas, gangguan sistem saraf autonomi, perasaan gelisah, kadar denyutan jantung meningkat, pengambilan air yang berlebihan dan berlaku penurunan berat badan walaupun selera makan meningkat. "Saya hanya manusia biasa seperti orang lain. "Saya bukan Wong Fei Hung (watak dalam sebuah filem yang dilakonkannya)," kata Li. Dia pernah menjadi juara seni mempertahankan diri kungfu. Li mula melibatkan diri dalam bidang lakonan sekitar tahun 1980-an. Dia menjadi terkenal apabila membintangi filem Once Upon a Time in China pada tahun 1990-an. Antara filem Hollywood yang pernah dilakonkannya ialah Lethal Weapon 4 dan Romeo Must Die. "Saya dalam kesakitan, tetapi saya masih lagi belum menderita," katanya. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan