Kosmo Online - Rencana Utama |
Melahirkan penggusti lengan terhebat Posted: Melahirkan penggusti lengan terhebatKETIKA zaman persekolahan, setiap kali Mohamad Nizar Yusof berlawan gusti lengan pasti perlawanan tersebut menjadi tumpuan rakan-rakannya. Ini berikutan, dia berkemampuan mengatasi lawannya dengan mudah. Keghairahan lelaki yang berasal dari Kedah itu terhadap aktiviti gusti lengan tidak terhenti di situ sahaja. Selepas tamat sekolah, dia yang kini berusia 29 tahun meneruskan minatnya dengan berkecimpung secara serius dalam arena gusti lengan. Penglibatannya nyata berbaloi apabila sering meraih gelaran johan atau naib johan dalam mana-mana pertandingan yang disertainya. Pada awal penglibatan, dia hanya berlatih sendiri di rumah dengan menonton klip-klip video dan video kejohanan sukan gusti lengan antarabangsa di YouTube. "Pada tahun 2004, saya gunakan khidmat jurulatih profesional. Barulah saya sedar, rupa-rupanya sukan ini seperti sukan lain memerlukan tunjuk ajar dan latihan yang sistematik. Ia membuahkan hasil kerana dalam tahun yang sama, saya menang tempat keempat pada pertandingan peringkat kebangsaan," jelas Nizar. Atas sebab peribadi, Nizar berhenti seketika pada tahun 2004 dan kembali aktif enam tahun kemudian. Hasil ketabahan dan minat yang tidak pernah padam, Nizar berjaya menjadi johan gusti lengan kebangsaan kategori 75 kilogram ke bawah pada tahun 2010. PEMENANG ketiga-tiga kategori sukan gusti lengan anjuran iSIHAT, dari kiri, Nizar, Valen dan Hairul Nazri Abd Halim. Pemegang gelaran Mr. Selangor pada tahun 2011, Nizar berkata, kejayaan yang diperoleh adalah hasil berlatih dengan serius dan sistematik. "Selain itu amalkan diet seperti pengambilan kalsium tinggi untuk tulang. Ia amat penting kerana pemain gusti lengan mudah tercedera dan kecederaan biasa ialah patah tangan. Saya juga membuat latihan kecergasan di gim untuk menguatkan otot tangan dan seluruh tubuh badan," kata Nizar. Dalam pada itu, Nizar berkata, pembabitan orang ramai di negara ini masih kurang dan kebanyakan yang berjaya disebabkan faktor minat. Kurang publisiti "Walaupun banyak pendedahan kepada masyarakat termasuk pertandingan, bilangan yang menyertai sukan ini masih kecil dan biasanya ketika pertandingan para peserta adalah muka-muka yang sama. "Ia mungkin disebabkan kurang publisiti terhadap pertandingan dan ia bukanlah sukan utama di negara ini. Jika dilihat di negara lain seperti Rusia, Thailand, Ukraine dan Austria, ia satu sukan yang diiktiraf dan banyak pertandingan bertaraf dunia diadakan di sana," kata Nizar. Dia ditemui pada pertandingan gusti lengan anjuran majalah iSIHAT terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. dengan kerjasama syarikat produk kesihatan, Shaklee di pusat beli-belah Ampang Point, Ampang, Kuala Lumpur. Kira-kira 60 peserta menyertai pertandingan itu. Pertandingan yang diadakan sebagai salah satu usaha mempromosi gaya hidup sihat kepada orang ramai dibahagikan kepada tiga kategori iaitu A (85.1 kilogram ke atas), B (75.1 hingga 85 kilogram) dan C (bawah 75 kilogram). PENYOKONG boleh berdiri berdekatan pemain dalam usaha menaikkan semangat mereka. Dalam pertandingan tersebut, Nizar berjaya memenangi kategori B pertandingan itu dan membawa pulang wang tunai RM300 dan hamper produk kesihatan Shaklee. Bagi kategori A, dimenangi peserta dari Singapura, Valen Low Wai Luen, 19, sekali gus dia membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000 dan hamper produk kesihatan Shaklee. Valen mula terbabit dalam sukan tersebut ketika berusia 16 tahun. Dia berlatih dengan melayari video di internet dan laman web berkaitan sukan gusti lengan. Selain itu, dia pergi ke gim bagi menguatkan otot tangan di samping menyertai banyak pertandingan gusti lengan. "Dulu, saya selalu menang kategori junior, kini hanya bertumpu kepada kategori dewasa dengan berat tertentu." katanya. Seperti di Malaysia, Valen berkata, pendedahan terhadap sukan itu di Singapura juga masih kurang. "Saya selalu menyertai pertandingan di Malaysia kerana sukan ini semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat dan menerima sokongan baik daripada pemain serta penganjur. Acara pada hari ini, misalnya, mendapat sambutan menggalakkan daripada para peserta dan berjalan dengan lancar," ujarnya. Valen antara perintis sukan gusti lengan di negaranya berhasrat mengumpul sebanyak mungkin gelaran dan bersaing pada tahap lebih besar sebelum mencapai usia 21 tahun. "Saya yakin, Malaysia dan Singapura boleh menjadi negara kuat dalam sukan gusti lengan seperti di Thailand," jelas Valen. Juara dunia Jika Nizar dan Valen merupakan peserta berpengalaman serta menjuarai kategori masing-masing, lain pula ceritanya bagi Muhammad Ali Omar, 24, yang pertama kali menyertai pertandingan seumpama itu. "Pengalaman mengikut bapa, Omar Surade, 53, menyertai pertandingan gusti lengan membuatkan saya teruja dan seronok melihat aksi-aksi peserta. "Para penonton yang bersorak menaikkan semangat para pemain untuk menewaskan lawan masing-masing. Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk menewaskan lawan sekiranya tidak mempunyai latihan dan teknik yang betul. Saya lihat wajah ayah ceria dan puas apabila memenangi perlawanan sekali gus menarik minat saya untuk mengikut jejak langkahnya," kata Ali yang bersaing dalam kategori C. Bagaimanapun, dia tewas kepada lawannya. CONTOH meja dan peralatan yang digunakan dalam sukan gusti lengan. Meskipun begitu, dia tetap bersemangat untuk meneruskan minatnya dan berharap bimbingan yang diberikan bapanya akan membentuknya menjadi juara dunia sebelum berusia 28 tahun. "Bapa mula-mula terlibat dalam bina badan, kemudian dia mengambil sukan gusti lengan sebagai karier sukannya. Sekarang giliran saya bersama-sama bapa," katanya yang memberitahu bapanya banyak memenangi pertandingan kategori veteran. Penolong Pengarang Majalah iSIHAT, Hamidah Zabidi berkata, sebelum ini pihaknya telah menganjurkan pelbagai program seperti paintball, mencari harta karun dan sukan luncur udara namun penglibatan dalam sukan gusti lengan merupakan julung kali diadakan. "Kami mempromosikan acara ini di laman sosial Facebook dan mendapat respons yang baik daripada orang ramai yang ingin turut serta termasuk peserta luar negara seperti Singapura. "Walaupun sukan ini tidak mempunyai ramai pengikut tetapi kami terkejut melihat kehadiran peserta dan penyokong yang ramai di sini. "Penganjuran sukan gusti lengan ini bagi membolehkan orang ramai menyertai pertandingan dan pada masa sama mereka dapat bersukan dalam suasana yang santai," katanya. |
Keterujaan seni tempur campuran di Rusia Posted: Keterujaan seni tempur campuran di RusiaKEJOHANAN MMA kini mendapat sambutan hebat oleh ribuan peminatnya di Rusia. DUA lelaki Rusia sedang bergelut dalam kurungan besi dan para penonton bersorak apabila salah seorang daripada mereka menumbuk lawannya dengan ganas. Aksi tersebut merupakan salah satu acara sukan yang pernah diharamkan di banyak negara suatu ketika dahulu. Dalam ribuan penonton yang bersesak-sesak menyaksikan Kejohanan Seni Tempur Campuran (MMA) Moscow itu kedengaran jeritan, Ayuh, pukul... pukul kuat lagi'. Sukan yang dikenali sebagai perlawanan tanpa peraturan di Rusia itu telah lama dilupakan. Ia bermula pada tahun 1920-an dan popular di peringkat antarabangsa pada tahun 1990-an. Bagaimanapun, di Rusia ia semakin digemari apabila peserta kategori heavyweight negara itu, Fedor Emelianenko muncul juara dalam beberapa siri kejohanan antarabangsa sedekad yang lalu. Sejak itu, banyak kelab baharu muncul di Rusia dan ia tidak terhad untuk golongan lelaki sahaja malah golongan wanita dan kanak-kanak turut terbabit. Para peserta dilatih membabitkan teknik-teknik sepakan dan tendangan seperti yang dilihat dalam sukan judo, tinju, taekwando, karate dan kung fu. Amat popular Ivan Ivanov merupakan seorang pengarah Rod iaitu salah satu kelab utama di Moscow menjelaskan, MMA kini menjadi amat popular di Rusia dan hampir menyamai acara tinju lain yang telah lama wujud. Ketika Rod dibuka pada tahun 2007, hanya terdapat beberapa dozen pelatih tetapi kini jumlah tersebut meningkat kepada 350 orang, kata Ivanov yang merupakan bekas pegawai polis. "Anggota pasukan keselamatan antara yang teramai menyertai sukan ini. Para pelajar dan pekerja pejabat juga tidak ketinggalan turut serta," katanya. Di Rusia, kanak-kanak seawal usia enam tahun mulai terlibat dan berlatih sukan berkenaan. Dalam sukan tersebut terdapat beberapa perkara yang dilarang seperti menggigit, mencucuk mata dan membuat serangan balas di bahagian tekak dan tulang belakang pihak lawan. SEORANG jurulatih tekun melatih kanak-kanak dalam sukan MMA di Rusia. "Sukan ini seumpama pertempuran jalanan," kata Vyacheslav Yurovskikh, peserta amatur MMA berusia 41 tahun dan merupakan pesaing tertua di kejohanan di Rusia. "Cuaca di Rusia sangat sejuk, jadi kami bertempur untuk memanaskan badan," kata Yurovskikh dalam nada bergurau. Walaupun suatu ketika dulu hidungnya pernah cedera teruk tetapi dia menyifatkan sukan tersebut tidak begitu berbahaya. "Di dalam gelanggang terdapat seorang pengadil yang akan memberhentikan perlawanan dengan serta-merta," katanya. Peserta wanita Peserta wanita dan juga juara tinju Thai, Anastasiya Yankova, 22, menyatakan dia terpaut dengan sukan ini sejak kali pertama mencuba MMA. "Di dalam gelanggang, saya tidak mempunyai perasaan takut. Adrenalina saya memuncak untuk bertempur," katanya. Namun begitu, penyertaan golongan wanita dilihat masih kurang di Rusia dan sebahagian peserta lelaki tidak menyukai pembabitan wanita. Struktur MMA di Rusia juga turut dikaitkan dengan semangat nasionalisme dengan sebahagian kelab hanya melatih etnik Slavic dan mengenepikan masyarakat Islam dari wilayah Caucasus Utara. Terdapat pertandingan amatur yang tidak membenarkan penyertaan penempur bukan daripada etnik Slavic dari kawasan selatan yang melahirkan ramai peserta hebat. Salah satu penaja utama acara MMA adalah jenama pakaian terkenal, White Rex yang bertujuan untuk menyuntik semangat pertempuran dalam kalangan orang putih Eropah. Dalam pada masa itu, MMA telah menarik perhatian Presiden Vladimir Putin yang aktif dalam sukan judo dan memiliki tali pinggang hitam. Bagaimanapun, penglibatan Putin tidak disenangi sesetengah pihak terutama musuh politiknya. Antaranya, etnik Slavic yang tidak menyokong polisi Putin memberi dana kepada Caucasus Utara. Putin juga pernah diejek ketika berucap pada majlis meraikan kejayaan Emelianenko menewaskan juara bertahan dari Amerika Syarikat, Jeff Monson di sebuah stadium negara itu. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan