Kosmo Online - Hiburan |
- Minat kolaborasi dengan Nora Danish
- Pertembungan Charly & Firman
- Man Khan popular kerana lagu daerah
Minat kolaborasi dengan Nora Danish Posted: Minat kolaborasi dengan Nora Danish
SEBAIK tiba di lokasi majlis bertemu dengan penyanyi popular kelahiran Korea Selatan, Sung Kyung Jeong atau Hari pada Isnin lalu, sudah ramai yang tiba menantikan ketibaannya. Masakan tidak, kehadiran penyanyi berkenaan sememangnya begitu dinantikan ramai memandangkan buat julung-julung kalinya gadis berusia 23 tahun itu menjejakkan kaki ke Malaysia. Acara yang dijadualkan sepatutnya bermula pada pukul 6 petang. Bagaimanapun Hari hanya tiba di lokasi setengah jam kemudian. Bagaimanapun, dia lantas dikerumuni pihak media yang mahu membuat temu bual dengannya. "Tujuan utama saya datang ke Malaysia semata-mata ingin bertemu dengan peminat di sini. Apa yang saya tahu, Gwiyomi begitu popular di negara ini dan mendapat sambutan yang luar biasa. "Jadi, saya mengambil keputusan untuk menemui peminat di sini sebagai menghargai sokongan yang telah diberikan. Sudah tentu saya berasa sangat teruja untuk bertemu dengan mereka buat kali pertama," ujar penyanyi yang lahir pada 6 Februari 1990 itu. Sudah mula bergelar penyanyi sejak tahun 2010 dengan kemunculan single sulungnya berjudul Fan Cake, Hari memberitahu, dia sendiri tidak menyangka Gwiyomi akan menjadi satu fenomena. Menurutnya, menerusi fenomena berkenaan jumlah peminatnya sekarang naik dengan begitu mendadak, lantas ia telah memberi impak terhadap kerjayanya sebagai seorang penyanyi. "Pastinya apa yang saya lalui ini memang di luar jangkaan sama sekali, apatah lagi Gwiyomi telah menjadikan diri saya popular di seluruh dunia. Selain itu, populariti yang diraih ini merupakan hasil sokongan yang diberikan peminat," ungkapnya. Ujarnya, apa yang lebih membuatkan dirinya gembira dan bangga apabila gaya Gwiyomi bukan sahaja ditiru oleh peminat, malah ia menjadi ikutan beberapa selebriti terkenal yang turut memuat naik ke laman sosial gaya mereka. "Dalam banyak gaya Gwiyomi yang saya tonton di internet, saya cukup tertarik dengan gaya yang ditampilkan oleh Nora Danish. Wajahnya bukan sahaja cantik, malah aksinya turut menarik minat saya. "Secara jujurnya saya memang berminat untuk menjalinkan kolaborasi dengan Nora dan melakukan gaya Gwiyomi bersama-sama. Sekiranya ada peluang tersebut saya berbesar hati untuk menerimanya," jelas penyanyi yang berada di Malaysia dari 3 hingga 6 November lalu. Menurut Hari, biarpun jadual kehadirannya ke negara ini sekadar menghadiri acara sesi bertemu peminat, dia memang menyimpan hasrat untuk mengadakan sebuah persembahan pada masa akan datang. HARI berpendapat Nora Danish cukup comel dan ingin berduet dengan aktres tersebut untuk melakukan aksi Gwiyomi. Pulau Langkawi Menceritakan lebih lanjut mengenai kehadirannya ke negara ini, Hari menyatakan dia sempat mendapatkan pelbagai maklumat mengenai Malaysia dengan melayari internet. Hari berkata, sudah menjadi kelaziman buat dirinya apabila ingin berkunjung ke sesebuah negara, dia gemar mencari maklumat berkenaan negara yang ingin dilawatinya itu. "Apabila melayari internet saya mendapati begitu banyak tempat-tempat menarik yang terdapat di Malaysia. Namun begitu, saya cukup tertarik dengan Pulau Langkawi kerana keindahan yang terdapat di pulau berkenaan. "Cuma saya tidak sempat untuk berkunjung ke sana sekarang kerana masa agak terhad dengan jadual yang begitu padat. Sekiranya berpeluang datang ke Malaysia lagi pastinya saya tidak akan melepaskan peluang untuk pergi ke Pulau Langkawi," jelasnya. Berkenaan dengan jadual siri jelajahnya pula, penyanyi berkenaan memberitahu bahawa Malaysia bukan satu-satunya destinasi memandangkan dia akan pergi ke beberapa buah negara lain iaitu Indonesia dan China. "Selepas berada di Malaysia selama empat hari saya akan berkunjung ke Jakarta, Indonesia pada 7 November untuk bertemu peminat di sana. Saya anggap kehadiran kali pertama ini sebagai langkah untuk menjalinkan kemesraan dengan peminat secara lebih dekat," ujarnya. Single baharu Selain menyatakan keinginannya yang berkolaborasi dengan Nora Danish, Hari turut berkongsi cerita mengenai hasratnya untuk bekerjasama dengan G-Dragon yang juga merupakan penyanyi K-Pop terkenal dan salah seorang anggota kumpulan Big Bang. Bukan sekadar mahu menumpang populariti penyanyi yang menjadi kegilaan ramai wanita itu, sebaliknya dia sendiri sudah lama meminati dan kerap mengikuti perkembangan kumpulan berkenaan. "Sebenarnya saya merupakan salah seorang peminat fanatik kumpulan K-Pop terkenal iaitu Big Bang, malah saya ada mempunyai perancangan untuk berkolaborasi dengan salah seorang anggota kumpulan tersebut iaitu G-Dragon. "Dalam salah satu konsert solo yang dijayakan oleh G-Dragon sebelum ini, dia telah membuat gaya Gwiyomi di hadapan para peminatnya. Ternyata ia membuatkan saya cukup terharu dan itu yang menyebabkan timbulnya hasrat untuk berkolaborasi dengannya," luah Hari. Mengenai perkembangan kerjaya nyanyiannya sekarang ini, Hari menceritakan bahawa dia kini sudah mencul dengan single terbaharu berjudul Hangul Song yang telah dilancarkan baru-baru ini. Meskipun dirinya kini memang cukup sinonim dengan Gwiyomi, penyanyi itu tetap meletakkan harapan yang tinggi agar Hangul Song turut mendapat tempat di hati para peminatnya. | |
Posted: Pertembungan Charly & FirmanCHARLY (dua dari kiri) bersama wakil penganjur Konsert Charly Setia Band vs Firman. KUMPULAN Setia Band menjadi medan kembalinya Charly dan Pepeng ke industri seni muzik Indonesia selepas mereka berhadapan dengan beberapa isu sebelum ini, termasuk keluar daripada grup asal mereka, ST12. Tindakan Charly meninggalkan grup yang cukup hit dengan beberapa lagu mereka telah menuai banyak persoalan. Bagaimanapun, pada saat grup tersebut berjalan tanpanya, Charly sendiri tidak lagi menoleh ke belakang. Maka, pada tahun 2012, dia bersama Pepeng menubuhkan Setia Band yang masih tinggi dengan nuansa lagu milik Charly. Kini, selepas menerima sambutan yang cukup hangat di negara kelahirannya, Indonesia, Charly membuat percubaan berani apabila bakal mengadakan konsert sulungnya di Malaysia. Lebih mengujakan apabila konsert tersebut akan menggabungkan mereka dengan penyanyi solo, Firman yang memang cukup terkenal sebagai penyanyi yang sering membawa lagu ciptaan milik Charly. Ia dinamakan sebagai Konsert Charly Setia Band vs Firman. Konsert itu bakal diadakan pada 23 November ini di KL Live, Jalan Sultan Ismail. Bercakap tentang perkembangan terkini dan konsert tersebut, Charly dengan bangganya memperkenalkan dirinya sebagai individu yang baharu bersama Setia Band. "Tentang perbezaan antara Setia Band dan ST12, saya kira semua orang perlu menunggunya saat saya hadir ke Malaysia nanti," ujarnya yang percaya dia tidak boleh mengubah tanggapan orang terhadap label ST12 yang masih melekat pada dirinya.
Ketika mengimbas kembali pengalaman bersama ST12, Charly menjelaskan: "Muzik Melayu pada saya sangat penting , walaupun pada awalnya ramai yang tidak mengambil berat atas usaha kami , tapi itu bukan penamatnya. Ini kerana pada awal perjuangan, kami bergerak secara bebas dalam menambah bilangan peminat kami kerana pada waktu itu amat susah untuk mendapat sokongan. Namun, akhirnya ternyata muzik yang dilabel sebagai kampungan itu boleh berjaya dan kami telah membuktikannya." Charly juga berbangga kerana biar pun satu ketika dahulu dia dan ST12 pernah dikecam hebat kerana dianggap membawa muzik kampungan, namun selepas mereka sukses, terdapat banyak grup lain yang membawa aliran serupa seperti Wali Band. Dia juga menyelar segelintir pihak yang seperti lupa diri tentang asal usul mereka. Katanya: "Kita sendiri adalah orang Melayu yang datang dari kampung. Kita dan orang dari kampung inilah yang mula menerima lagu-lagu Melayu. Jika bukan kita yang minat muzik Melayu ini, siapa lagi?" Sementara itu, Penganjur konsert dan Pengarah Kamsol Corporation, Ismail Dogol mengatakan Charly Setia Band bakal membawakan 12 buah lagu di dalam konsert tersebut, sementara Firman pula akan tampil dengan lima buah lagu. "Selain mereka, Adira akan menjadi artis undangan dengan mendendangkan tiga buah lagu pada malam tersebut," ujar Ismail yang memilih Adira kerana yakin dengan populariti penyanyi tersebut. Tiket-tiket untuk menyaksikan Konsert Charly Setia Band vs Firman boleh dibeli di cawangan-cawangan Rock Corner dan juga Victoria Music atau secara dalam talian di www.ilassotickets.com pada harga RM258 (ST Zone) / RM158 (Cat 1) / RM78 (Cat 2). | |
Man Khan popular kerana lagu daerah Posted: Man Khan popular kerana lagu daerahOleh YATIMIN ABDULLAH LAGU Dok Mano nyanyian Man Khan (kiri) bersama pasangan duetnya, TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu. Itu perumpamaan tepat untuk penulis lirik dan penyanyi lagu Dok Mano, Wan Nukman Wan Hamdan, 32, atau lebih popular dengan panggilan Man Khan. Lagu duetnya bersama Rosalinda itu yang diparodikan daripada lagu Right Now nyanyian Akon telah mengangkat namanya sebagai penyanyi lagu daerah terkenal di negeri Kelantan. Percubaan Man Khan tersebut membuahkan hasil apabila lagu yang dihasilkannya mendapat maklum balas positif daripada peminat. Lebih mengejutkan, lagu berdurasi empat minit 12 saat itu diminati generasi muda hingga ada yang menjadikannya sebagai nada dering telefon bimbit. Tidak cukup dengan itu, lagu berkenaan yang dimuat naik ke laman YouTube telah ditonton sebanyak lebih 1.1 juta kali dan sering menjadi pilihan untuk diputarkan di corong radio tempatan. Lagu tersebut juga telah membawa nama Man Khan ke pentas antarabangsa apabila dia diundang membuat persembahan di Singapura. Menurut Man Khan, dia tidak menyangka percubaannya memparodikan lagu tersebut mendapat sambutan luar biasa. "Sambutan daripada peminat cukup luar biasa apabila lagu Dok Mano yang dimuatkan dalam album Tok Seh Karpet 2 terjual sebanyak 50,000 unit sejak berada di pasaran tahun lalu. "Ini merupakan satu sejarah baharu dalam seni nyanyian lagu-lagu daerah yang semakin diterima peminat di luar Kelantan," katanya. Tambahnya, kejayaan tersebut memberikan motivasi kepadanya untuk terus memperjuangkan lagu-lagu daerah. Jelasnya, kebanyakan mereka yang terlibat dalam industri tersebut terdiri daripada penggiat dikir barat dan ia sinonim dengan seni budaya rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Katanya, dia berhasrat menjadikan industri lagu daerah setanding dengan industri hiburan popular. Ujarnya, jika Indonesia mampu mengangkat lagu-lagu daerah mereka berdiri sama tinggi dengan lagu-lagu pop, tidak mustahil perkara sama boleh berlaku kepada karya dikir barat. "Kita lihat bagaimana Wali Band boleh melebarkan sayapnya dan menjadi cukup popular di negara ini. Hal ini kerana mereka diberikan ruang secukupnya untuk berkarya. "Begitu juga dengan lagu-lagu daerah, saya yakin kita boleh bersaing dan popular seperti mereka. "Pada saya, kekurangan promosi menjadi punca lagu-lagu daerah kurang dikenali. Jadi, sokongan kepada penggiat seperti kami perlu diberikan perhatian, barulah seni ini dapat diangkat ke peringkat lebih tinggi," jelasnya. Anak kelahiran Tanah Merah itu memberitahu, sudah tiba masanya lagu-lagu daerah diberikan nafas baharu seiring dengan cita rasa pendengar masa kini. "Sebelum ini, percubaan saya mengubah irama Hindustan kepada R&B mendapat sambutan menggalakkan daripada pendengar. "Perubahan itu bertujuan untuk membawa angin baharu kepada dunia nyanyian lagu-lagu daerah agar ia mampu menarik sokongan golongan muda. "Kita berhasrat agar anak-anak muda menjadikan lagu daerah sebagai pilihan mereka, sekali gus menyokong industri ini yang sudah bertapak lama di negeri Kelantan," ujarnya lagi. Mengulas mengenai lagu Dok Mano, Man Khan menjelaskan, idea untuk menghasilkan lirik tersebut dibuat selepas dia membuat kajian di peringkat akar umbi dengan menemui golongan muda untuk mendapatkan maklum balas mengenai muzik yang mereka minati. "Saya dan beberapa rakan telah turun ke bawah untuk mendapatkan maklum balas daripada anak muda mengenai muzik yang mereka minat. Selain itu, kami juga telah membuat carian di internet untuk mengkaji lagu yang popular dan diminati golongan muda. "Selepas membuat perbincangan dengan beberapa rakan seperti Aris Kapilla, Adik Wani, Rosalinda dan Fendi Kenali serta Jemi Intan Berlian, maka timbullah idea untuk memparodikan lagu nyanyian Akon berjudul Right Now. "Saya hanya mengambil masa selama 10 minit untuk menghasilkan bait-bait lirik yang seakan-akan hampir dengan maksud asal lagu berkenaan," ujarnya. Man Khan berkata, melalui karya yang dihasilkannya itu, dia turut menyelitkan kritikan sosial sebagai unsur nasihat kepada pendengar. "Bagi saya, unsur nasihat ini penting kerana kesemua lagu daerah sebelum ini penuh dengan elemen tersebut. "Ia juga sebahagian daripada cita rasa peminat," ujarnya. Kepada peminat yang ingin berinteraksi dengan Man Khan, boleh ke laman sosial milik penyanyi itu di www.facebook.com/mankhan.mkay. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan