Isnin, 11 November 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Fizo pilu dalam gembira

Posted:

Fizo pilu dalam gembira

Fizo pilu dalam gembira

SAMA cantik, sama padan. Itulah istilah paling tepat yang boleh digambarkan terhadap pasangan merpati dua sejoli iaitu Wan Hafizol Wan Omar atau Fizo dan Mawar Abdul Karim yang baru sahaja sah menjadi suami isteri.

Mula berkenalan setelah masing-masing bertemu atas urusan perniagaan pada akhir tahun lalu, siapa sangka perkenalan singkat yang terjalin antara kedua-duanya membawa ke jenjang pelamin.

Dalam majlis pernikahan yang berlangsung di kediaman pengantin perempuan di Country Heights, Kajang, dengan sekali lafaz akhirnya Fizo, 28, yang segak berbaju Melayu rona putih rekaan Man Kajang sah menjadi suami kepada Mawar.

"Saya bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar dan Mawar akhirnya sah milik saya sepenuhnya. Apabila sudah bergelar suami, pastinya tanggungjawab kini menjadi lebih besar.

"Semasa akad nikah, saya tidak terlalu memikirkan sangat perasaan gementar, sebaliknya saya lebih risau dengan status sebagai seorang suami. Bagaimanapun, saya sudah lama bersedia dari segi mental dan fizikal," ujarnya ketika ditemui sebaik selesai acara akad nikah.

Dalam majlis berkenaan, Fizo dan Mawar dinikahkan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Hulu Langat, Mohd. Arif Abdul Samad dengan mas kahwin RM506.

Pihak pengantin lelaki memberi tujuh dulang dan dibalas dengan sembilan dulang oleh pengantin perempuan.

TEMPOH perkenalan selama enam bulan yang dianggap terlalu singkat tidak menghalang Fizo dan Mawar daripada mengikat tali perkahwinan dalam melayari bahtera rumah tangga.


Lebih istimewa, dulang hantaran daripada pihak lelaki dibawakan oleh rakan Fizo yang merupakan pelakon lelaki popular seperti Kamal Adli, Johan As'ari, Iqram Dinzly, Shaheizy Sam, Fahrin Ahmad, Nazim Othman dan Karl Shafek serta diketuai oleh Datuk Rosyam Nor.

Menariknya tentang ikatan cinta yang terjalin sebelum mendirikan rumah tangga, pelakon itu membuat kejutan apabila melamar Mawar di panggung wayang Cathay @e-curve, Damansara sambil disaksikan oleh pihak media pada 28 Oktober lalu.

Biarpun tindakannya itu dikritik segelintir pihak sehingga menuduhnya terlalu terikut-ikut dengan cara Barat, ternyata pelakon berkenaan mempunyai alasan tersendiri berbuat demikian.

"Tujuan saya berbuat demikian adalah semata-mata mahu mencari kelainan kerana ia merupakan detik bersejarah dalam hidup saya. Maka, saya berharap agar tiada pihak yang salah sangka dan menganggap isu yang timbul ini sebagai satu cabaran menjelang detik perkahwinan kami," luahnya.

Meskipun hasrat untuk berumah tangga dengan gadis tercinta telah tercapai tetapi jauh di sudut hati Fizo terpendam sebuah kepiluan kerana ayah tercinta tidak dapat menyaksikan detik bersejarah tersebut setelah kembali ke rahmatullah.

"Sebenarnya ia merupakan antara impian arwah ayah yang mahu melihat saya berkahwin dan kami memang cukup rapat sewaktu arwah masih hidup. Jadi, timbul perasaan sedih apabila secara tiba-tiba saya terkenangkan dirinya.

"Selain itu, saya turut mengalirkan air mata sebaik sahaja akad nikah setelah melihat kepuasan di wajah ibu yang memang inginkan saya berkahwin. Boleh dikatakan, perasaan saya bercampur-baur," jelasnya yang kehilangan ayah dua tahun lalu.

Mengenai perancangan untuk mendapatkan cahaya mata pula, Fizo memberitahu, dia tidak kisah sama ada cepat atau lambat kerana semuanya terserah kepada rezeki yang Allah berikan.


GLAMOR... Rombongan membawa dulang hantaran pengantin lelaki, Fizo dibarisi rakan-rakan artis termasuk Rosyam Nor, Kamal Adli, Johan As'ari, Iqram Dinzly, Shaheizy Sam, Fahrin Ahmad, Nazim Othman dan Karl Shafek.


Bagaimanapun, pelakon berkenaan mengakui yang dia seboleh-bolehnya ingin menghabiskan masa dengan lebih lama bersama isteri terlebih dahulu sebelum menimang cahaya mata.

"Kalau diikutkan saya dan isteri memang suka dengan kanak-kanak dan pastinya memiliki cahaya mata menjadi keutamaan.

"Jadi, kami akan lebih bersedia sekiranya ditakdirkan mendapat anak lebih cepat," ujarnya.

Berkenaan dengan lokasi bulan madu pula, Fizo dan Mawar bakal meluangkan masa selama tiga minggu di beberapa buah negara Eropah seperti England, Perancis, Itali dan Sepanyol bermula awal Disember nanti.

Berhenti berlakon drama

Biarpun sudah bergelar seorang suami, pelakon yang dikenali menerusi filem Kongsi itu menjelaskan, kariernya sebagai seorang pelakon, pengacara dan ahli perniagaan akan tetap berjalan seperti biasa.

Ujar Fizo, statusnya sekarang ini sepatutnya tidak menjadi penghalang kerana dia kini mempunyai tugas yang lebih besar untuk dipikul. Disebabkan itu dia harus berusaha dengan lebih keras lagi.

"Sebenarnya, sejak awal tahun lagi saya sudah berhenti berlakon drama buat seketika dan hanya terbabit dalam dua buah filem iaitu Romeo Kota dan Cinderella kerana mahu memberi fokus kepada perniagaan.

"Lagipun, saya ada meletakkan sasaran untuk berkahwin apabila perniagaan saya Hot Burger saya berkembang.

"Kini, saya sudah memiliki sebanyak 70 gerai burger di beberapa buah negeri," jelasnya yang akan terus mengacarakan rancangan Nasi Lemak Kopi O terbitan TV9.

Selain mengurangkan aktiviti lakonannya kerana lebih menumpukan pada bidang perniagaan, ia tidak bermakna Fizo akan meninggalkan kerjaya dalam bidang seni memandangkan dia bakal bergiat aktif dalam penerbitan drama bersiri.


MOTOSIKAL berkuasa tinggi Ducati daripada Mawar kepada Fizo di balas dengan motosikal Vespa khusus untuk Mawar daripada Fizo.


Perkenalan singkat

Tempoh perkenalan yang cukup singkat iaitu selama enam bulan dan kemudiannya bertunang dan mendirikan rumah tangga, Mawar, 24, sangat yakin Fizo merupakan lelaki yang terbaik buat dirinya untuk menjadi teman hidup.

Menyedari dirinya berkahwin dengan seorang artis yang cukup dikenali ramai, anak sulung kepada pemilik jenama tudung terkenal Fareeda itu sudah bersedia untuk menghadapi segala cabaran yang timbul.

"Saya mengakui yang tempoh perkenalan kami memang cukup singkat, namun sepanjang mengenali dirinya saya dapati suami merupakan seorang yang bertanggungjawab, romantik, penyayang dan mengutamakan keluarga.

"Biasanya kalau timbul sebarang cerita mengenai dirinya, saya tidak gemar mendengar kata-kata orang luar dan akan terus bertanya kepadanya.

"Kemudian dia akan berterus terang serta menceritakan segala-galanya dan ini membuatkan hubungan kami bertambah erat," jelasnya.

Meskipun sedar tentang jadual padat yang harus dilalui suami tercinta kerana perlu memberi fokus kepada bidang kerjaya yang diceburi sekarang, Mawar menyatakan, dia tidak kisah mengenainya, asalkan Fizo bijak mengatur jadual serta perlu mengutamakan rumah tangga.

Loka antara enam terbaik

Posted:

Loka antara enam terbaik

Loka antara enam terbaik


DANIEL (kiri) bersama anggota Loka yang lain cukup teruja dengan kejayaan lagu mereka, Jangan Pergi layak untuk mara bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu ke-28.


BAND baharu, Loka berjaya mengungguli senarai enam lagu terbaik menerusi peringkat separuh akhir pertama Muzik Muzik 28 sebelum melayakkan diri ke Anugerah Juara Lagu ke-28 awal tahun depan.

Loka yang dianggotai oleh empat anak muda itu mempertaruhkan lagu Jangan Pergi ciptaan komposer Andriansyah dan lirik oleh vokalis band itu sendiri, Daniel Loka.

Tersenarai bersama lima artis lain yang lebih senior tidak memutuskan harapan untuk band itu membuka haluan cerah untuk merasai pentas Anugerah Juara Lagu tahun ini.

"Memang sama sekali tidak menjangka akan tersenarai antara enam buah lagu terbaik dalam pusingan pertama separuh akhir Muzik Muzik 28 tahun ini kerana semua pesaing memang cukup handal dan lebih berpengalaman daripada kami.

"Namun, syukur Alhamdulillah muzik kami didengari dan diterima umum serta mendapat undian hingga mara ke peringkat ini. Terima kasih atas kepercayaan ini," ujar Daniel yang ditemui usai peringkat separuh akhir pertama Muzik Muzik 28 di Plaza Alam Sentral, Shah Alam baru-baru ini.

Tambah Daniel, kekuatan lagu Jangan Pergi bukan semata-mata bergantung pada gubahan melodi dan iramanya tapi juga lirik yang berkesan untuk menangkap deria pendengar.

Selain Loka, Bunkface menerusi lagu Agenda Jahiliah berjaya menempah tiket untuk ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-28 kelak.


PERSEMBAHAN oleh Nomad, Tetap Menantimu turut diiringi kemunculan khas dua pelakon utama drama bersiri popular Love You Mr. Arrogant, Azlee Khairi dan Zara Zya.


Lagu Permata nyanyian Alyah dan Ben (Idola Kecil 5) turut tersenarai antara enam buah lagu terbaik pusingan pertama selain In Love With You (Aizat Amdan & Noh Salleh), Penglipurlara (Hazama & The Penglipurlara) serta Takkan Terpisah (Black).

Minggu pertama memperlihatkan 11 buah lagu berentap untuk ke Anugerah Juara Lagu ke-28. Antara lagu lain yang gagal mendapat tempat ialah Tak Cuba Kembali (Asfan), Menunggu (Akim Ahmad), Setia Hujung Nyawa (Fiq & Mel Sakura), Cinta Kasih (Nubhan & Mila) serta runut bunyi drama popular Love You Mr. Arrogant dan Tetap Menantimu (Nomad).

Harus diakui, persaingan lagu-lagu tahun ini kebanyakannya dimonopoli oleh lagu tema beberapa buah drama bersiri popular yang pernah ditayangkan di TV3 seperti Setia Hujung Nyawa, Cinta Qaseh, Love You Mr. Arrogant dan Jodoh Itu Milik Kita.

Keputusan enam lagu terbaik dilaksanakan oleh barisan juri yang terdiri daripada Aubrey Suwito, Azmeer, Ajai, Adnan Abu Hassan, Ad Samad dan Datuk Ramli M.S selaku ketua juri.

Sementara itu, minggu kedua dan terakhir separuh akhir Muzik Muzik 28 bakal mempertaruhkan lagi 19 buah lagu popular tanah air antaranya Sahabat, 5 Minit, Hanya Aku, Kalau Aku Kaya, Kau Yang Terindah, Bahagiamu Deritaku, Dwihati dan Jagalah Diri.

Separuh akhir kedua dan ketiga akan berlangsung pada 15 November dan 22 November pada pukul 9 malam di saluran TV3 bersama gandingan hos AG dan Scha Al-Yahya. - KHAIRUL AMRI HASSAN

Shane Filan sukses solo

Posted:

Shane Filan sukses solo

Shane Filan sukses solo

Oleh AFANDI CHE MUHAMAD


AUDIENS Malaysia memberikan respons penuh keterujaan dengan kemunculan terbaharu Shane secara langsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.


GAMAT seketika suasana di Aras 1, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur dengan kehadiran penyanyi terkenal Shane Filan.

Kehadiran Shane Filan, 34, ke Malaysia kali ini adalah sebahagian daripada rangka lawatannya bagi mempromosikan album debut solo terbaharunya yang berjudul You and Me.

Album terbaharunya itu memuatkan 14 buah lagu dan kesemuanya adalah hasil ciptaan Filan sendiri sambil dibantu oleh beberapa penerbit dan pencipta lagu semasa dia bersama dengan Westlife dahulu, Steve Mac dan Wayne Hector.

Antara lagu-lagu yang dimuatkan dalam album yang bercorak folky country pop muziknya itu ialah Everything To Me, About You, All You Need To Know, Knee Deep In My Heart, One Of These Days, Everytime, Always Tomorrow, When I Met You, Everything's Gonna Be Alright, Coming Home, Baby Lets Dance, In The End dan juga You And Me.

Shane sebelum ini pernah menganggotai Westlife sejak ditubuhkan pada tahun 1998 sehinggalah band itu dibubarkan Jun tahun lepas.

Westlife dianggotai oleh Kian Egan, Mark Feehily, Shane Filan, Nicky Byrne dan Brian McFadden. Kini, Shane meneruskan perjalanan seninya sebagai seorang penyanyi solo.

Stadium Putra, Bukit Jalil menjadi saksi buat peminat, penonton dan media yang hadir menonton persembahan dan kemunculan khas penyanyi itu pada majlis anugerah Shout! Awards 2013 malam semalam.

Inspirasi

Sementara itu, Shane ketika ditanya mengenai individu yang bertanggungjawab memberikan inspirasi untuk menghasilkan lagu-lagu dalam album baharunya itu memberitahu, ada dua individu berlainan terlibat.

"Dari aspek kerjaya seni saya, saya banyak mendapat tunjuk ajar, bimbingan dan nasihat berkenaan penciptaan lagu dan juga pelancaran album daripada pengurus saya, Louis Walsh," katanya.

"Dari aspek sokongan moral pula, saya mendapat sokongan daripada insan yang paling saya cintai dan selalu bersama saya saat saya jatuh dan bangun dalam industri ini selama ini iaitu isteri saya, Gillian.


SUASANA meriah cukup terasa menerusi persembahan Shane pada majlis anugerah Shout! Awards 2013.


"Kehadiran Gillian memberikan saya inspirasi untuk bergerak secara solo semasa saya masih buntu mencari jalan selama tempoh enam bulan selepas Westlife dibubarkan.

"Ketika itu juga, saya mengalami masalah kewangan yang teruk selepas pelaburan saya gagal. Namun, akhirnya saya berjaya keluar dari kepompong masalah itu selepas saya berfikiran secara positif dan tahu apa yang penting dalam hidup saya adalah sokongan dari pelbagai pihak.

"Itu yang saya cuba beritahu kepada pendengar melalui album saya ini," ujar bapa kepada tiga orang anak ini.

Muncul dengan album yang digarap dengan bait-bait lirik lagu yang romantik dan harmoni, Shane berharap album ini mendapat respons positif daripada peminat.

"Ini merupakan hadiah saya kepada peminat saya. Album ini saya kira sebagai praktis pertama saya untuk menjadi lebih baik dalam jangka masa yang panjang dan ingin melihat sejauh mana penghargaan peminat kepada saya untuk terus berkarya dalam bidang seni suara ini. Lebih-lebih lagi sebagai seorang penyanyi solo.

"Selain itu, saya lihat Malaysia juga mempunyai ramai penyanyi yang berbakat besar. Apa yang penting adalah mereka harus mempamerkan komitmen yang tinggi untuk terus lama bertahan dalam industri yang mencabar ini," sarannya kepada bakat-bakat muda tanah air.

Terlanjur bercerita, Shane turut berkongsi pengalaman lucu dan pelik semasa dia menganggotai Westlife satu ketika dahulu. Antaranya pengalamannya melihat sendiri peminat menanggalkan cincin yang dipakai dan memberikan cincin tersebut kepadanya.

"Adalah pelik bagi saya melihat kejadian seumpama itu berlaku di depan mata saya dan lebih-lebih lagi kejadian itu berlaku kepada saya," katanya sambil ketawa.

Shane ketika ditanya mengenai perancangan terbaharunya selain albumnya itu memberitahu bahawa dia sedang merancang untuk mengadakan konsert di Malaysia pada tahun depan.

"Konsert itu mungkin akan diadakan pada bulan April atau Mei tahun depan. Tarikhnya belum ditetapkan lagi. Sebarang makluman berkenaan konsert itu akan saya maklumkan kelak.

"Buat masa ini, saya ingin memfokuskan diri mempromosikan album ini terlebih dahulu," ujarnya.

Selepas Malaysia, Shane Filan bakal menerus lawatan ke beberapa negara lain seperti Singapura, Indonesia, Australia dan Filipina untuk mempromosikan album baharunya itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved