Selasa, 15 Oktober 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


'Satu mata amat bernilai'

Posted:

'Satu mata amat bernilai'

'Satu mata amat bernilai'

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI, NOR AZIRAN YUNUS dan AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI
sukan@kosmo.com.my

AZAMUDDIN (kiri) dicabar pertahanan Bahrain, Waleed Al Hayam pada aksi di Shah Alam malam tadi.


SKUAD Harimau Malaya memastikan slot automatik Piala Asia 2015 masih berada dalam genggaman selepas melakar keputusan seri 1-1 dengan Bahrain pada aksi kelayakan Kumpulan D di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Norshahrul Idlan Talaha muncul penyelamat apabila menjaringkan gol penyamaan Harimau Malaya, sekali gus memadamkan kelebihan awal Bahrain yang diperoleh menerusi jaringan Abdulla Ahmed Saleh Abdulla Aman.

Dalam tempoh 45 minit pertama perlawanan, Harimau Malaya terlebih dulu menguji benteng pertahanan Bahrain menerusi percubaan pemain sayap lincah, Azamuddin Akil pada minit ke-20.

Begitupun, percubaan Azamuddin berjaya didakap kemas oleh penjaga gol Bahrain, Sayed Mohamed Jaafar.

Kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim hampir berjaya membuka tirai jaringan, namun percubaannya dinafikan Sayed pada minit ke-42.

Berselang tiga minit kemudian, Harimau Malaya dihukum apabila Abdulla Ahmed meletakkan Bahrain di depan menerusi jaringan dari luar kotak penalti.

Bersambung babak kedua, Harimau Malaya kembali mengatur serangan dan mengasak kubu pertahanan Bahrain bagi memburu gol penyamaan.

Usaha keras mereka akhirnya berbaloi apabila Norshahrul berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-70.

Hasil satu serangan ke kubu lawan, Norshahrul bijak melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti bagi menewaskan Sayed.

Jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal berkata, beliau sangat berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya dalam perlawanan itu.

Katanya, jika mereka turun dengan keyakinan serta kesungguhan yang tinggi, tidak mustahil anak-anak buahnya mampu mencapai keputusan positif.

"Saya memuji kesungguhan semua pemain dan jika mereka turun dengan keyakinan, pasti mereka mampu melakar keputusan positif.

"Satu mata sangat bernilai bagi kami dan kami perlu bekerja keras sebelum bertandang ke Bahrain nanti," katanya.

Perjuangan Harimau Malaya belum selesai

Posted:

Perjuangan Harimau Malaya belum selesai

Perjuangan Harimau Malaya belum selesai

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


RAJAGOBAL (dua dari kiri) masih mempunyai tugasan penting bersama Harimau Malaya.


PERJUANGAN Harimau Malaya memburu slot automatik Piala Asia 2015 masih belum ternoktah.

Biarpun berjaya memastikan satu mata berharga dalam genggaman selepas mengikat Bahrain 1-1 dalam aksi ketiga Kumpulan D di Stadium Shah Alam malam tadi, skuad kendalian Datuk K. Rajagobal sewajarnya sedar laluan penuh berliku menanti mereka dalam baki tiga perlawanan selepas ini.

Seandainya persembahan cemerlang terutama pada babak kedua malam tadi berjaya dikekalkan tonggak Harimau Malaya dalam tiga lagi baki perlawanan selepas ini, tidak mustahil impian beraksi di bumi Australia mampu diterjemahkan menjadi realiti.

Cuma pada masa sama, 'penyakit lama' barisan pemain Harimau Malaya seperti mudah kehilangan konsentrasi serta gagal menyaingi kepantasan pemain Bahrain secara individu perlu segera diatasi Rajagobal.

Rajagobal harus ingat, segala keaiban pastinya akan menghakis sedikit demi sedikit jasa beliau yang pernah membantu Harimau Malaya mendakap trofi Piala Suzuki AFF 2010 dan juga menamatkan kemarau penantian emas Sukan SEA 2009.

Bukan apa, maruah skuad negara yang dirobek keputusan mengecewakan apabila sekadar menang dua daripada 17 perlawanan tahun ini sememangnya bukan statistik yang membanggakan peminat Harimau Malaya.

Selepas ini, ranjau penuh berliku menanti anak-anak buah beliau menjelang baki tiga lagi aksi kumpulan jika berhasrat untuk mara lebih jauh.

Bahrain pastinya tidak duduk diam apabila kembali melayan kunjungan negara di Stadium Nasional Manama pada 15 November depan.

Misi Harimau Malaya juga tidak terhenti di situ apabila melayan kunjungan Qatar empat hari kemudian di laman sendiri - lawan yang pernah mengecewakan mereka 0-2 di Stadium Al-Sadd, Doha pada 6 Februari lalu.

Teka-teki berhubung masa depan Rajagobal selaku pengendali Harimau Malaya juga mengundang teka-teki menjelang aksi penutup tirai kumpulan berdepan Yemen di tempat lawan pada 5 Mac depan memandangkan kontrak beliau bakal tamat 31 Disember ini.

Apa yang pasti, tempoh sebulan sebelum kembali berdepan Bahrain wajar dimanfaatkan sepenuhnya beliau jika enggan mengundang skeptikal peminat fanatik tempatan.

Setiap 'eksperimen' yang cuba diatur Rajagobal sepanjang tahun ini sememangnya cukup mahal kerana beliau sebelum ini secara terbuka pernah berjanji akan meletak jawatan jika Harimau Malaya gagal ke Piala Asia 2015.

Selepas sekadar mengutip empat mata berbanding Bahrain (tujuh) dan Qatar (enam), tiada lagi yang boleh diharapkan Rajagobal selain melakar kemenangan maksimum dalam ketiga-tiga perlawanan selepas ini.

Ia bagi memastikan 'tarikh luput' beliau selaku jurulatih tidak tamat tempoh lebih awal.

Ibarat kata pepatah - 'Lembu berpegang pada tali, manusia berpegang pada janji.'

Jadi, Rajagobal seharusnya tahu apa yang perlu beliau lakukan sekiranya Harimau Malaya tersungkur di bumi Bahrain kelak.

Sedia hadapi 'gelombang merah'

Posted:

Sedia hadapi 'gelombang merah'

Sedia hadapi 'gelombang merah'

Oleh AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI
shaherman.shamsuri@kosmo.com.my


RIBUAN penyokong Kelantan dijangka membanjiri Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Jumaat ini. - Gambar hiasan


ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) sudah bersedia melayan 'limpahan' ribuan penyokong Kelantan yang dijangka membanjiri Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Jumaat ini.

Justeru, pengendali ATM, B. Sathianathan percaya pihak keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) akan menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan sebaik mungkin pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia itu nanti.

"Walaupun kapasiti Stadium Selayang hanya mampu memuatkan 18,000 penonton, namun saya yakin tiada masalah buat pihak yang berkenaan untuk mengawal keselamatan di stadium nanti.

"Dalam setiap perlawanan yang diadakan di Selayang sebelum ini, pihak keselamatan terutama PDRM sedia bekerjasama pada bila-bila masa," kata Sathianathan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Sathianathan, faktor keselamatan sudah pasti akan diberi keutamaan, apatah lagi ia melibatkan aksi penting.

"Saya harap mana-mana penyokong, baik daripada ATM mahupun Kelantan, jangan menimbulkan provokasi yang boleh menimbulkan kekecohan dan menganggu rentak perlawanan.

"Saya tahu, penyokong Kelantan mempunyai tahap disiplin yang tinggi kerana saya pernah membimbing Kelantan sebelum ini," katanya yang menerajui Kelantan pada musim 2009 hingga 2010.

Sathianathan menambah, beliau bersimpati dengan sebahagian penyokong Kelantan yang dijangka tidak dapat hadir ke Selayang disebabkan kapasiti di stadium itu yang agak terhad.

"Saya sangat kagum dengan penyokong Kelantan yang sangat cintakan bola sepak dan kami akan cuba memberikan layanan terbaik kepada mereka di Selayang nanti," ujarnya.

Dalam pada itu, Sathianathan mengingatkan barisan pemain ATM berhati-hati dengan muslihat dan taktikal yang akan dibawa Kelantan ke Selayang.

"Kami harus memberikan tumpuan lebih kepada ayam tambatan mereka seperti Dickson Nwakame, Mohd. Badhri Radzi, Indra Putra Mahayuddin dan Norfarhan Muhammad.

"Tidak terkecuali benteng kebal mereka, Obinna Nwaneri yang boleh mendatangkan masalah di bahagian tengah ATM,'' ujarnya.

Pertemuan kedua-dua pasukan ini ibarat aksi final Piala Malaysia musim lalu yang menyaksikan Kelantan meraih kemenangan 3-2 di Stadium Shah Alam.

Bagaimanapun, ATM berjaya membalas dendam kekalahan ke atas Kelantan ketika menjulang Piala Sultan Ahmad Shah awal musim ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved