Selasa, 15 Oktober 2013

Kosmo Online - Dunia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Penemuan bahan radioaktif bukti Arafat diracun

Posted:

Penemuan bahan radioaktif bukti Arafat diracun

Penemuan bahan radioaktif bukti Arafat diracun

PEMIMPIN Palestin, Yasser Arafat melambai selepas menemui Presiden Hosni Mubarak di Kaherah , Mesir pada 2004.


PARIS - Sekumpulan pakar radiasi dari Switzerland mengesahkan mereka menemui kesan bahan radioaktif, polonium pada pakaian bekas pemimpin Palestin, Yasser Arafat sekali gus menyokong bukti beliau diracun.

Perkara itu didedahkan dalam jurnal perubatan The Lancet pada minggu lalu.

Pasukan berkenaan memberikan butiran saintifik susulan kenyataan media pada tahun lalu yang mendakwa terdapat racun polonium pada barang peribadi milik Yasser.

Yasser meninggal dunia di Perancis pada 11 November 2004 ketika berusia 75 tahun.

Bagaimanapun, doktor gagal mengenal pasti punca kematiannya.

Kubur pemimpin veteran itu digali semula pada November 2012 bagi mengambil sampel daripada tulangnya untuk diuji sama ada terdapat tanda-tanda beliau diracun.

Siasatan berkenaan masih dijalankan secara berasingan oleh pasukan pakar dari Switzerland, Perancis dan Rusia.

Dalam laporan Lancet, lapan saintis yang bertugas di Institut Radiasi Fizik dan Universiti Pusat Perubatan Undang-undang di Lausanne menyatakan, mereka menjalankan ujian radiasi terhadap 75 sampel.

Semua barangan itu diberikan oleh balu Yasser, Suha Arafat.

"Beberapa sampel mengandungi kesan darah dan air kencing yang mempunyai bahan radioaktif polonium 210," kata mereka.

Tambah laporan sama, penemuan tersebut mengukuhkan lagi dakwaan bahawa Arafat diracun dengan polonium 210. - AFP

Polis tahan 400 perusuh di Rusia

Posted:

Polis tahan 400 perusuh di Rusia

Polis tahan 400 perusuh di Rusia


ORANG RAMAI melihat sebuah kereta yang terbalik selepas tunjuk perasaan di daerah Biryulyovo, Moscow kelmarin.


MOSCOW - Polis menahan hampir 400 orang kelmarin selepas ibu negara Rusia di sini digegarkan kekacauan etnik terburuk sejak beberapa tahun lalu.

Rusuhan berpunca daripada pembunuhan seorang etnik Rusia oleh imigran Islam dari Caucasus.

Protes di daerah Biryulyovo, kota raya ini bagi membantah pembunuhan Yegor Shcherbakov, 25, bertukar menjadi pertempuran berdarah dengan polis.

Pintu-pintu kaca sebuah pusat beli-belah pecah manakala beberapa buah kereta turut diterbalikkan oleh perusuh.

Penunjuk perasaan melaungkan ungkapan "Rusia untuk orang Rusia " dan beberapa slogan nasionalisme lain semasa bantahan yang disertai lebih 1,000 orang itu berlangsung.

Polis memberitahu kelmarin bahawa 380 orang telah ditangkap berhubung protes itu dengan mereka kini disoal siasat kerana merusuh.

Seramai 14 nasionalis lain ditahan ketika mereka menaiki sebuah kereta api penumpang yang meninggalkan kota metropolitan ini tidak lama kemudian.

"Mereka membawa bersama beberapa balang gas," kata polis dalam satu kenyataan.

Kenyataan sama memberitahu, sebanyak enam anggota polis pencegah rusuhan cedera dengan dua masih dirawat di hospital.

Polis membawa masuk ratusan anggota tambahan bagi menangani krisis itu sekali gus menguat kuasa pelan Vulkan yang digunakan dalam situasi keganasan.

Shcherbakov dibunuh malam Khamis lalu ketika dia dan teman wanitanya keluar dari sebuah kelab biliard di sini. - AFP

Gravity kekal juara carta filem pecah panggung

Posted:

Gravity kekal juara carta filem pecah panggung

Gravity kekal juara carta filem pecah panggung


IMEJ yang disiarkan oleh syarikat filem Warner Bros. menunjukkan salah satu babak melibatkan Sandra Bullock dalam filem Gravity.


LOS ANGELES - Filem Gravity mene- ruskan penguasaan apabila mengungguli carta filem pecah panggung untuk minggu kedua berturut-turut di Amerika Utara, menurut perangkaan kutipan tiket kelmarin.

Ia mengaut kutipan tiket sebanyak AS$44.3 juta (RM140.8 juta) berbanding AS$55.8 juta (RM177.3 juta) pada minggu pertama tayangan.

Filem mengenai bencana di angkasa lepas itu diarah oleh Alfonso Cuaron dan dibintangi pelakon terkenal, George Clooney dan Sandra Bullock.

Sementara itu, menurut agensi yang mengumpul jumlah kutipan tiket, Exhibitor Relations, filem baharu, Captain Phillips lakonan Tom Hanks menduduki tempat kedua dengan meraih AS$26 juta (RM82.6 juta).

Turun di kedudukan ketiga dalam tempoh tiga minggu adalah filem sekuel animasi, Cloudy With A Chance of Meatballs 2 apabila mengaut AS$14.2 juta (RM45 juta).

Filem aksi baharu, Machete Kills pula berada di tempat keempat manakala tempat kelima menjadi milik filem Runner Runner lakonan Justin Timberlake.

Kedua-dua filem itu masing-masing meraih kutipan tiket sebanyak AS$3.8 juta (RM12 juta) dan AS$3.7 juta (RM11.7 juta). - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved