Isnin, 21 Oktober 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Bantu tubuh sihat, ramping

Posted:

Bantu tubuh sihat, ramping

Bantu tubuh sihat, ramping

Produk pakaian dalam wanita, Silke bukan sekadara menyokong postur dan otot tubuh, bahkan ia juga boleh digayakan ke pejabat jika kena dengan padanannya.


SILKE memastikan produk yang diberikan kepada pengguna bertepatan dengan bentuk tubuh.


SEBAGAI seorang figura yang sering menjadi perhatian, wanita yang bekerja sebagai penyampai berita di salah sebuah stesen televisyen swasta ini sentiasa menitikberatkan penampilan dirinya.

Pelbagai cara dilakukan termasuk bersenam, mengawal selera makan dan menggunakan beberapa produk kecantikan dalaman dan luaran.

Namun, segala usahanya tidak menunjukkan hasil. Apatah lagi selepas mendirikan rumah tangga tahun lalu, dia merasakan bentuk tubuhnya tidak seperti zaman daranya.

Atas alasan tersebut, Gina Woon, 30, mencari alternatif bagi meningkatkan keyakinannya ketika menjalankan tugas.

Dua bulan lalu, dia diperkenalkan dengan produk pakaian dalam, Silke Herbaline (Silke), yang dipercayai dapat membantunya mendapat bentuk tubuh yang diingini tanpa perlu makan pil atau vitamin tambahan. Meskipun agak ragu-ragu pada peringkat awal, tetapi Woon cukup tertarik dengan jenama tersebut. Selain menekankan aspek fesyen, Woon juga diyakini bahawa pakaian dalam Silke tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan penggunanya.

Rangkaian Silke merangkumi 30 jenis coli tiub, pakaian pelangsing badan, bengkung, coli pembentuk, pembentuk badan dan pinggang serta sarung kaki pelangsing. Memberikan kelainan berbanding jenama-jenama lain di pasaran masa kini, produk tersebut disediakan dalam pelbagai warna, rekaan dan tekstur yang menarik.

Ukuran

"Walaupun baru memakainya, saya sudah dapat merasakan perubahan pada tubuh terutamanya pada bahagian paha," kata Woon yang menggunakan pakaian dalam tiub dan girdel.

Tambahnya, produk tersebut sangat selesa dipakai sama ada ketika bekerja atau melakukan aktiviti harian. Malah bagi dirinya, pakaian dalam tersebut tidak memberi sebarang masalah seperti sesak nafas atau mengganggu pergerakan.

"Ia disebabkan saiznya yang sesuai dengan bentuk tubuh saya. Konsultan kecantikan akan membuat ukuran dan mendapatkan maklumat kesihatan sebelum diberikan produk bersesuaian. Perkara itu bagi memastikan pengguna mendapat produk yang tepat dengan bentuk tubuh," jelasnya.

Produk yang dipilih bukan sahaja perlu sesuai dengan bentuk tubuh, tetapi juga membantu pengguna untuk mengecilkan bahagian tubuh yang dirasakan mempunyai lemak berlebihan.

Mungkin ramai yang tidak sedar pemakaian coli yang tidak sepadan boleh menyebabkan tisu payu dara atau lemak tidak mendapat sokongan yang secukupnya. Ia menyebabkan organ tersebut kendur dan melendut.

Jika menggunakan coli yang ketat, lemak akan kelihatan membonjol dan menampakkan bentuk payudara yang tidak menarik. Selepas umur 25 tahun, keanjalan otot badan wanita mula berkurangan pada kadar 0.2 sentimeter setahun.

Peningkatan usia menjadi faktor utama perubahan elastik tubuh seseorang. Badan melalui proses kemerosotan fungsi secara semula jadi yang menyebabkan geleberan, kepecahan kolagen kulit dan kehilangan kepadatan tulang.

Sebab-sebab lain yang menyebabkan keanjalan tubuh wanita berkurangan termasuklah proses kelahiran, kedudukan postur tubuh ketika duduk atau berjalan, waktu makan yang tidak tetap, pengambilan pengambilan makanan berlemak secara berlebihan dan kurang bersenam.

Tidak taksub

Pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya, Haslina Muhamad, wanita yang berumur antara 20 hingga 40 tahun sentiasa bimbang dengan perubahan yang berlaku terhadap bentuk tubuh mereka.

"Perasaan tersebut membuatkan mereka sentiasa menjaga penampilan dan kesihatan tubuh mereka. Salah satu cara untuk menjaga tubuh ialah dengan memakai korset atau bengkung," ujarnya ketika dihubungi oleh Kosmo! baru-baru ini.

TERDAPAT 30 jenis produk Silke yang menjanjukan keselesaan kepada pengguna.


Bagaimanapun, beliau berpendapat wanita Malaysia tidak terlalu taksub dengan kecantikan sehingga memudaratkan kesihatan mereka.

Bagi Nurul Ain Ab. Jalal, 29, dia menggunakan korset untuk melangsingkan beberapa bahagian tubuhnya yang dirasakan menggeleber.

"Saya mempunyai masalah pada bahagian punggung dan paha yang lebar. Disebabkan itu saya memakai korset yang diperkenalkan oleh seorang rakan," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tetapi selepas setahun memakainya, tiada sebarang perubahan yang dialami oleh pekerja sektor kerajaan itu.

"Lebih teruk lagi, kulit-kulit saya menjadi kemerahan akibat kegatalan memakai korset tersebut. Ia mungkin kerana fabrik produk tersebut yang gagal menyerap peluh.

"Pada waktu tengah hari, badan mula berpeluh dan menjadi merah kerana gatal. Rakan-rakan ada menegur, kenapa tiada sebarang perubahan selepas sekian lama memakainya," keluh Nurul Ain.

Turun berat

Namun, impiannya untuk mendapatkan bentuk tubuh yang diingini sedikit pun tidak mematahkan semangatnya. Selepas mengetahui mengenai produk Silke melalui butik kecantikan, Herbaline Beauty Spa. dia ditawarkan menggunakan beberapa produk kecantikan daripada jenama yang sama.

"Selepas konsultan kecantikan memberi penerangan, bersetuju menggunakan produk tersebut," ujarnya sambil memaklumkan selepas dua minggu menggunakan Silke perubahan mula terasa pada bahagian tubuh yang dianggapnya bermasalah. Lebih mengujakan, berat badannya turun sebanyak lima kilogram.

Menurut Nurul Ain, perubahan saiz pahanya turut diakui oleh suaminya.

Herbaline Beauty Spa merupakan butik yang menawarkan rawatan kecantikan khususnya kepada kaum wanita. Sehingga kini, butik kecantikan tersebut mempunyai 50 cawangan di seluruh Malaysia dengan sentuhan pakar berpengalaman.

Butik tersebut turut memperkenalkan rangkaian pakaian dalam, Silke, yang membantu wanita mendapatkan tubuh ramping dan sihat.

Silke direka dengan penuh bergaya mengikut cita rasa fesyen terkini. Malah, ia boleh dipakai terus sebagai pakaian utama.

"Sebagai contoh, pakaian pelangsing dada Silke boleh dipakai terus atau dipadankan dengan kardigan. Ia sesuai untuk golongan muda yang ingin tampil bergaya tetapi pada masa sama, mahukan bentuk tubuh ramping," ujar Pengurus Pemasaran Herbaline, Gary Sho, ketika ditemui di Pusat Kecantikan Herbaline, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Silke membawa kelainan menerusi fesyen dan keberkesanannya mencantikkan bentuk badan dengan menggunakan fabrik elastik yang serba maju.

"Produk Silke tidak mengembang dalam tempoh yang lama. Ia turut disediakan dengan efek pencahayaan yang mengawal rasa gatal akibat pergeseran dan peluh," jelas Sho.

Tambahnya, Silke juga dilengkapi teknologi infra merah yang berupaya untuk meningkatkan metabolisme pengguna. Rangkaian produk Silke, tambah beliau, ditawarkan pada harga RM120 sehingga RM480 sehelai.

Cegah kemalangan di taman permainan

Posted:

Cegah kemalangan di taman permainan

Cegah kemalangan di taman permainan


IBU bapa dinasihatkan supaya mengawasi anak-anak ketika berada di taman permainan.


TAMAN Permainan Kanak-kanak (TPK) yang dibina di hampir semua kawasan perumahan di seluruh negara sering menjadi punca keluhan ibu bapa ekoran tahap keselamatan yang meragukan.

Meskipun tiada statistik rasmi mengenai kecederaan di TPK, maklumat dari- pada blog kesihatan ortopedik menganggarkan, 17 peratus kes patah tulang dalam kalangan kanak-kanak berlaku ekoran kemalangan di TPK.

Malah, Setiausaha Bahagian Pembangunan Strategik, Kementerian Wilayah Persekutuan, Tiew Hai San sendiri meluahkan kebimbangan terhadap TPK yang dibina sebagai komponen kawasan kediaman tetapi kemudian terbiar tanpa pengawasan dan diselenggara oleh pemaju, pemilik atau operator.

Lantas, kementerian meluluskan satu dasar baharu berkaitan TPK bulan lalu untuk tiga wilayah yang dinaungi iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Ia bertujuan membolehkan kanak-kanak bermain dalam persekitaran yang lebih selamat dan kurang risiko kemalangan.

Tahap keselamatan

Peraturan yang dikenali sebagai Dasar Keselamatan Taman Permainan Kanak-kanak itu akan mentranformasikan TPK selaku komponen kawasan hijau, sekali gus melestari kawasan hijau ketiga-tiga wilayah tersebut.

Selain meningkatkan tahap keselamatan dan memanjangkan hayat peralatan permainan di TPK, dasar itu bertujuan memastikan penyelenggaraan TPK Wilayah Persekutuan adalah seragam dan dilakukan secara proaktif setiap enam bulan iaitu mengikut piawaian MS966:2001.

Antara peraturan paling penting dalam dasar itu ialah menyediakan permukaan jatuh bersesuaian, menyediakan zon penggunaan yang mencukupi, mengenal pasti dan menghapuskan ciri bahaya TPK serta pengawasan ibu bapa atau penjaga.

Menurut Hai San, bahan permukaan yang tidak sesuai menjadi punca utama kemalangan di TPK. Ini kerana permukaan jatuh yang tidak cukup lembut untuk menyerap hentakan meningkatkan risiko kecederaan apabila kanak-kanak terjatuh.

"Pemaju perlu memastikan lapisan permukaan TPK yang lembut dengan permukaan urai berkedalaman 30 sentimeter tanpa takungan air dan bersih daripada sampah," kata beliau pada Seminar Kebangsaan Pengurusan Kawasan Hijau di Putrajaya baru-baru ini.

Antara permukaan yang sesuai termasuklah serat kayu proses, serpihan kayu, pasir, kerikil kekacang atau lapik getah sama ada getah asli, tiruan atau mayang.

Beliau juga menggariskan zon penggunaan iaitu radius lebar permukaan jatuh yang mengelilingi peralatan perlulah cukup luas khususnya untuk gelongsor dan buaian.

"Gelongsor yang berketinggian 1.82 meter atau kurang mesti mempunyai zon penggunaan selebar 1.82 meter, manakala gelongsor yang lebih tinggi iaitu antara 1.82 meter hingga 2.4 meter mestilah mempunyai zon penggunaan yang sama lebar dengan ketinggian platform gelongsor," jelasnya.

Zon penggunaan yang lebih luas juga diperlukan untuk buaian biasa kanak-kanak yang berumur antara lima hingga 12 tahun. Begitu juga buaian tempat duduk bertutup untuk kanak-kanak kecil.

Beliau memberitahu, lebar zon penggunaan untuk kedua-dua bahagian depan dan belakang tempat duduk buaian hendaklah dua kali ganda lebih luas berbanding ketinggian pengikat atau penyangkut buaian, manakala zon penggunaan di bahagian struktur buaian mestilah 1.82 meter.

Satu lagi peraturan penting yang ditekankan dalam dasar pembinaan TPK baharu Wilayah Persekutuan adalah menghapuskan ciri bahaya TPK.

Kementerian turut mengenal pasti pelbagai ciri bahaya pada peralatan permainan yang berpotensi menyebabkan kemalangan di TPK. Antaranya termasuk unjuran perkakas yang terjojol seperti lebihan skru yang menonjol melebihi dua bulatan bebunga daripada permukaan nat.

Ciri bahaya lain yang boleh berlaku di TPK adalah terjerut. Apabila pakaian atau perkakasan leher tersangkut atau terbelit dengan peralatan permainan dan pemerangkapan yang berlaku apabila kepala kanak-kanak tersangkut semasa mereka memasukkan kaki dan badan ke dalam ruang pembukaan yang biasanya terdapat di platform gelongsor.

"Kanak-kanak juga boleh terjatuh apabila tersadung di tapak konkrit rosak, akar, tunggul pokok dan batu, malah peralatan yang pecah atau berbucu tajam boleh menyepit dan memenyetkan jari mereka," tambah Hai San.

Selesaikan aduan

Kementerian mahu memastikan pemilik TPK hanya menyediakan peralatan yang sesuai dengan menggariskan beberapa jenis peralatan yang tidak patut disediakan di TPK seperti buaian berat. Misalnya, buaian berbentuk binatang atau buaian jenis peluncur dengan tempat duduk berganda.

Strategi keselamatan yang tidak kurang pentingnya ialah menggalakkan pengawasan ibu bapa memandangkan sekitar 40 peratus kemalangan TPK boleh dielakkan sekiranya ibu bapa mengawasi anak mereka.

Beliau berharap ibu bapa memainkan peranan dalam memastikan TPK yang dikunjungi adalah selamat dan mengawasi anak bermain sepanjang masa.

"Ibu bapa perlu memastikan anak berpakaian sesuai jika bermain di TPK, pakaian dan aksesori rantai berloket, skirt labuh atau seluar yang terlalu pendek kurang selamat dan memudahkan anak tercedera," tegur beliau.

Beliau juga berharap agar ibu bapa tidak membenarkan anak membawa permainan seperti basikal, papan luncur, kasut roda yang boleh menyebabkan kanak-kanak lain terjatuh dan cedera.

Strategi keselamatan lain yang perlu dipatuhi oleh pemilik TPK adalah memastikan jarak bersesuaian terhadap susun atur peralatan permainan, menyediakan penghadang dan penghalang platform, papan tanda dan penyelenggaraan TPK secara berterusan serta mengganti TPK lama yang telah tamat jangka hayatnya.

Hai San memberi penekanan khusus terhadap penyelenggaraan kerana aspek ini sering diabaikan oleh pemilik TPK sedangkan jika ia dilakukan secara berterusan ia boleh menjamin keselamatan pengguna.

"Lagipun aduan awam terhadap aspek ini sangat tinggi, malah sehingga 40 aduan setiap bulan di Kuala Lumpur sahaja. Ini menyebabkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu membelanjakan sehingga RM4juta setahun bagi menyelesaikan aduan itu," jelas Hai San.

Sebagai respon terhadap dasar terbaharu itu, Perbadanan Putrajaya (PPj) menyediakan Pelan Mitigasi Profil Risiko PPj bagi mewujudkan kakitangan terlatih dan bertauliah dalam bidang keselamatan dan penyelenggaraan peralatan TPK.

Hai San memberitahu, DBKL dan Perbadanan Labuan (PL) sedang menggubal pelan itu. - Bernama

Empayar pedagang Afrika di China

Posted:

Empayar pedagang Afrika di China

Empayar pedagang Afrika di China

HASIL perkahwinan campuran Ibrahim dan Maryam mengurniakan mereka seorang anak lelaki yang fasih bertutur bahasa Mandarin, Perancis, Inggeris dan Fula.


DARI sebuah bilik tanpa jendela yang terletak dalam sebuah bangunan tinggi di Hong Kong, kelihatan seorang lelaki, Ali Diallo sibuk menguruskan stok-stok barangan elektronik yang akan dihantar kepada para peruncit merentasi Afrika.

Persekitaran sederhana kawasan kedai itu sedikit pun tidak mencerminkan keadaan sebenar perniagaan yang mengaut keuntungan berjuta-juta dolar yang diperoleh peniaga Afrika Barat dalam tempoh lima tahun sejak mereka berhijrah ke bandar raya tersebut.

Diallo yang berusia 39 tahun. Dia berasal dari Guinea merupakan sebahagian daripada usahawan Afrika yang sedang mencipta kejayaan perniagaan di selatan China.

Kedainya berselerak dengan kotak kadbod berisi peralatan elektronik buatan China untuk dihantar ke Nigeria. Ketika itu, Diallo baru menerima penghantaran terkini berupa telefon bimbit. Kedainya terletak di sebuah bangunan lama, Chungking Mansions, sinonim sebagai status hotel bajet dan restoran murah.

Bangunan itu juga merupakan lokasi yang wajib dikunjungi pelanggan-pelanggan Afrika di Hong Kong yang ingin mendapatkan alat elektronik murah.

"Peluang membina empayar perniagaan sendiri di China sangat cerah. Namun ia tetap memakan masa ditambah dengan kerja keras dan jaringan hubungan," ujar Diallo yang kini mencatatkan pulangan modal tahunan mencecah AS$11 juta (RM35 juta) daripada jualan telefon dan tablet sahaja.

Berdasarkan data rasmi China, nilai perdagangan antara China dan Afrika mencecah paras baharu tahun lalu dengan catatan AS$200 bilion (RM638 bilion). Ia dipercayai disumbangkan oleh kecenderungan industri China terhadap bahan-bahan mentah dari Afrika.

Pedagang Afrika di selatan China juga merupakan sebahagian daripada penyumbang kepada peningkatan hubungan perdagangan tersebut. Usahawan seperti Diallo telah menjadikan Chungking Mansions sebagai antara pusat perantaraan terpenting untuk gajet-gajet China sebelum diterbangkan ke Afrika.

Telefon bimbit

Menurut Gordon Mathews, profesor antropologi di Chinese University of Hong Kong, majoriti telefon bimbit buatan China yang dijual di Afrika pernah meredah koridor-koridor di Chungking Mansions dalam tempoh beberapa tahun ini.

Walaupun bangunan komersial 17 tingkat itu kini berfungsi sebagai pusat alatan elektronik, penggerak di sebalik operasi keseluruhan perniagaan itu sebenarnya terletak di pusat perindustrian wilayah Guangdong di selatan China.

Lokasi utama bagi pengilangan produk kos rendah itu telah menarik perhatian para usahawan dari Afrika, sekali gus mewujudkan komuniti orang kulit hitam terbesar di Asia.

Berdasarkan kajian sebuah institusi pengajian tinggi bandar raya itu, Sun Yat-sen University, Guangzhou kini menjadi kediaman kepada sekurang-kurangnya 20,000 warga Afrika.

Biar pun jumlah itu hanyalah pecahan daripada jutaan orang China yang kini menetap di Afrika, kesemua penghijrah tersebut memainkan peranan penting di rumah baharu mereka.

"Para peniaga Afrika membawa kemahiran dan modal mereka bagi menyokong sebilangan besar pengilang China. Sekiranya semua peniaga Afrika disekat, sektor ekonomi selatan China akan terjejas teruk dan hal ini diyakini golongan usahawan," ujar Mathews.

Ramai peniaga bekerja di dalam dan di sekitar kejiranan pusat bandar raya yang digelar Little Africa atau jolokan kasar yang diberikan media di sana, Chocolate City.

Di sepanjang lorong utama kawasan tersebut, banyak restoran menyajikan tilapia bersama fufu. Ia merupakan sejenis makanan harian orang Kongo berupa ikan goreng dan ubi kayu yang disajikan dengan nasi goreng Cina tradisional dan ikan stim.

Sementara itu, beberapa kilometer dari Pusat Perdagangan Eksport Pakaian Canaan pula menyaksikan penggunaan meluas bahasa Igbo, salah satu bahasa rasmi warga Nigeria.

Di situ, seorang lagi usahawan Afrika, Lamine Ibrahim kelihatan sibuk memuatkan ribuan jean ke dalam beg-beg besar untuk dihantar ke Afrika.

Ibrahim merupakan sebahagian daripada ratusan orang Afrika yang telah membentuk hubungan istimewa terhadap bandar raya tersebut. Dia mengahwini seorang wanita Cina atas dasar cinta tetapi turut bersandarkan faktor kepentingan ekonomi.

"Apabila melibatkan komunikasi dengan orang Cina di sini, isteri saya yang menguruskannya. Ketika saya membeli kereta dan membuka kilang, dialah yang banyak membantu.

"Jadi secara amnya, tanpa isteri saya, urusan perniagaan akan terganggu," luah usahawan Muslim dari Guinea itu dalam bahasa Inggeris yang kurang fasih.

Kira-kira lima bulan lalu, Ibrahim dan isteri, Choi Zoung Mai yang kini bernama Maryam Barry selepas memeluk Islam membuka kilang pertama mereka dengan 43 pekerja Cina.

Menerusi pelaburan baharu itu, mereka berharap dapat mengukuhkan ekonomi masa depan anak lelaki mereka berusia empat tahun yang fasih berbahasa Mandarin, Perancis, Inggeris dan Fula.

Penindasan

Walaupun terdapat banyak kisah kejayaan usahawan Afrika di China, namun atas faktor peningkatan kos dan persaingan tinggi, banyak perniagaan yang lingkup. Bagaimanapun komuniti migran tersebut yang mula terbentuk di Guangzhou sekitar tahun 1990-an telah membina jaringan kumpulan yang teguh bagi menyokong usaha satu sama lain.

Di sebalik kejayaan para usahawan Afrika yang membanjiri Guangzhou, mereka tetap berdepan sentimen perkauman.

Ia meliputi penindasan sederhana daripada keengganan pemandu teksi menerima penumpang berkulit hitam sehinggalah kepada kes serius. Antaranya, layanan berat sebelah pihak berkuasa polis yang gemar mensasar mereka apabila melakukan serbuah ke atas imigran haram.

Ojukwu Emma, presiden komuniti setempat Nigeria di Guangzhou berkata, masalah utama yang dihadapi warga Afrika yang berniaga di China ialah proses kelulusan visa. Katanya, prosedur memperbaharui visa ke China dalam kalangan penduduk Afrika di bandar raya itu telah diperketatkan.

"Anda tidak boleh menahan warga asing masuk dan enggan memberikan hak menetap kepada mereka. Jika anda sedia menerima orang luar ke negara anda, anda perlu bersikap terbuka," jelas Emma, usahawan Afrika yang telah menetap di bandar raya itu selama 16 tahun. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved