Sabtu, 19 Oktober 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Jadi anak seni, bukan Barbie - Melly

Posted:

Jadi anak seni, bukan Barbie - Melly

Jadi anak seni, bukan Barbie - Melly

GINCU merah menyala dan sepasang subang merah berbentuk hati serta sepatu tajam berwarna 'emas' yang dipakai wanita dengan nama pentas Melly Goeslaw menyambut kedatangan saya pada petang itu.

Sambil tangan lincah membalas kiriman WhatsApp di telefon pintarnya, beberapa kali dia dengan sopan meminta saya menunggu sebentar untuk ditemu bual. Sebaik selesai, dia membetulkan posisi duduk, tegak mengadap saya dan bicara kami bermula.

Melly Goeslaw, bagi pengikut setianya akan taksub benar dengan karya wanita ini. Magis idea Melly bagai tidak pernah berhenti dan bersifat malar segar.

Siapa yang tidak pernah kemaruk dengan lagu seperti Ada Apa Dengan Cinta, Cinta, Jika, Tentang Dia atau Menghitung Hari. Itu, hanya beberapa karya hebat miliknya, daripada ribuan karya yang telah dicipta sejak lebih 10 tahun lalu.

Saat diajak berkongsi tentang bakat luar biasanya itu, Melly memberitahu, sejak zaman sekolah, dia telah mula menulis puisi dan kemudian berjinak-jinak dengan penulisan lagu.

Mengaku pada awal kariernya tidak segah sekarang, beberapa lagu demo miliknya kerap ditolak banyak syarikat rakaman pada tahun 1995, sebelum karyanya bersama grup Potret diterima mudah beberapa tahun selepas itu.

"Saya selalu percaya bahawa seseorang mempunyai waktu yang tepat untuk berlaku sesuatu, seperti yang terjadi kepada saya.

"Perkenalan saya dengan Anto Hoed yang kemudian menjadi suami dan bersama membangunkan Potret telah mempertemukan saya dengan waktu yang tepat di dalam bidang ini," ujarnya.

Bersama suaminya, Melly kemudian sukses dengan banyak siri album runut bunyi yang telah meledakkan namanya sebagai pencipta lagu terhebat Indonesia. Menyambung kehebatan, untaian ciptaan lagu solo buat beberapa penyanyi, termasuk nyanyian dirinya sendiri menjadi siulan tak berpenghujung.

Ditanya bagaimana dia selalu mendapat momen yang tepat dalam melahirkan karya magis, Melly memberitahu, sesebuah karya yang dibikin harus bersifat jujur dari hati.

"Lagu yang bagus ialah lagu yang berkata-kata. Kadang-kadang ada lagu yang dibikin terlalu drama, pada saya itu tidak perlu. Ini kerana saya berpendapat, lagu yang mengalir dari hati, akan jatuh ke tulisan dengan jujur dan ia menjadi lebih enak," ulasnya.

MELLY GOESLAW tidak pernah meletakkan dirinya sebagai seorang selebriti. Dia gemar meladeni kehidupannya sebagai orang biasa yang antaranya, masih menaiki teksi sebagai pengangkutan awam.


Mutiara yang tertimbun

Di luar lingkup karier sebagai seorang penulis lirik dan komposer yang tegar, Melly hadir ke Malaysia dengan satu tugasan besar. Dia terbabit dengan program realiti Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) sebagai salah seorang Inspirer bersama Faizal Tahir dan Datuk Siti Nurhaliza.

Ditanya mengapa dia menerima tawaran tersebut dan sanggup meninggalkan suaminya serta dua anak mereka, Anakku Lelaki dan Lelaki Bernama Hoed selama tiga minggu sepanjang terbabit dengan program tersebut, Melly memberitahu, dia mahu menyelidik adakah benar bakat seni hiburan Malaysia sudah tandus.

"Saya melibatkan diri dengan AF 2013 selain kerana ia adalah pengalaman pertama sebagai Inspirer, sebenarnya juga, saya mahu melihat adakah benar industri hiburan Malaysia seperti sudah pupus bakat baharu yang bagus.

"Dahulu, Malaysia punya banyak penyanyi hebat seperti Siti Nurhaliza, Sheila Majid, Amy Search, Nora atau Iklim misalnya, adakah sekarang sudah tiada?

"Justeru, saya di sini selain berkongsi ilmu tentang pengalaman saya sebagai anak seni, saya percaya dan yakin bahawa ada bakat baharu yang bagus, cuma bintangnya tidak digilap," ujar Melly panjang lebar sambil mengaku tempoh tiga minggu menjadi Inspirer tidak cukup buatnya membimbing peserta AF 2013.

Jelasnya lagi, apa yang diperhatikan, bakat baharu Malaysia bukan tiada potensi, tetapi mereka selalu tersekat dengan lenggok nyanyian penyanyi sedia ada. Justeru, katanya lagi, perkara tersebut perlu diperbetulkan terlebih dahulu untuk terus maju.

Memberitahu dia sudah nampak seorang peserta wanita dalam AF 2013 yang berpotensi sebagai bintang baharu, ujar Melly, peserta tersebut bagaimanapun memerlukan bantuan pakar di belakangnya.

"Saya lihat peserta ini memerlukan kelahiran semula dengan pakej yang bersesuaian dengan pasaran industri sekarang. Ia perlu kerana jika tidak, dia hanya akan menjadi mutiara yang tertimbun begitu sahaja.


MENURUT Melly, karakter 'bintang' terbahagi kepada dua. Pertama, ada individu yang punya potensi tetapi tiada sinar bintang, manakala ada yang dilahirkan cukup pakej sebagai bintang.


Eksentrik

Menyentuh tentang penampilannya, Melly tersenyum lebar. Dia tahu soalan yang mahu dipertanyakan buatnya.

Terkenal sebagai seorang penghibur yang cukup eksentrik di atas pentas dengan busana sarat dan solekan pancawarna, Melly punya sebab berbuat demikian.

Mengaku ia sebagai satu hipnosis khalayak kerana dirinya seorang pemalu, selebihnya dia seorang yang gemar bermain dengan eksperimen.

"Saya seorang yang cepat bosan dan selalu berfikir mengapa perempuan selalu melakar warna hitam atau coklat sahaja pada alis mereka, walhal kita ada pilihan untuk memakai warna kuning, hijau atau merah misalnya.

"Dan saya memilih untuk berbuat demikian kerana mahu kelihatan berani dan unik. Malah, saya kira semua orang boleh menjadi berani dan unik," ujarnya yang mempunyai pereka busana sendiri untuk membantu merealisasikan keinginannya dengan gaya eksentrik.

Bagaimanapun, ujar Melly, saat meninggalkan sorotan glamor, dia lebih gemar menjadi dirinya sendiri yang jarang berdandan dan tidak ambil peduli tentang penampilan fizikalnya.

Ujarnya: "Menurut saya, kita juga perlu menjadi diri sendiri. Tiba masanya, kita semua akan tua, jadi mengapa perlu terlalu berusaha untuk menidakkan fakta itu.

"Saya seorang yang realistik. Saya akan pakai apa sahaja dengan fizikal saya yang gemuk dan tidak mahu keluar di hadapan khalayak dengan penampilan, bukan seperti Barbie."

Biarpun begitu, akui Melly, pada satu ketika usai melahirkan anak keduanya beberapa tahun lalu, berat badannya naik mendadak mencecah 90 kilogram.

Gagal menurunkan berat badan selepas mengamalkan diet dan bersenam, dia akhirnya mencuba jalan pintas untuk kurus dengan melakukan kaedah sedut lemak.

Ia dilakukan bukan kerana bimbang tentang penampilannya yang jelik, sebaliknya kata Melly kerana dia mula mengalami kesukaran mencari baju dan sesak nafas ketika membuat persembahan.

Sambil ketawa, Melly bercerita: "Saya melakukan kaedah tersebut secara percuma selepas ditawarkan oleh seorang doktor dari Brazil.

"Ya, selepas melakukan kaedah itu, berat badan saya tidak turun malah, mendadak naik semula. Ya, sudah. Saya tidak mahu melakukan kaedah tersebut lagi kerana ia menyakitkan.

"Oh, mungkin kalau dibayar tidak sakit ya, kerana sewaktu saya buat dahulu, percuma, jadi sakitnya sangat terasa."

Anak orang ternama kekasih Nubhan

Posted:

Anak orang ternama kekasih Nubhan

Anak orang ternama kekasih Nubhan

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

NUBHAN turut menjawab isu dia 'mengamuk' dengan seorang petugas kaunter pertanyaan sebuah syarikat telekomunikasi baru-baru ini.


NAMA penyanyi Ahmad Nubhan Ahmad atau Nubhan tiba-tiba memasuki carta panas hiburan. Semuanya berikutan gosip dirinya yang dikatakan bercinta dengan penyanyi Siti Nordiana atau Nana selepas mereka dan beberapa teman dilihat bercuti di Pulau Perhentian, Terengganu.

Biarpun masing-masing sudah menafikan gosip tersebut namun masih ramai yang tidak berpuas hati mengatakan, penyanyi yang popular menerusi lagu Ada Untukmu itu sedang menyulam cinta bersama Nana.

Bagaimanapun, terkini Nubhan didakwa pula sudah mempunyai seorang kekasih. Bukan dalam kalangan selebriti, tetapi dedah Nubhan buat pertama kalinya kepada media, gadis tersebut merupakan anak kepada seorang yang berpengaruh.

Nubhan bercerita lebih lanjut mengenai gadis tersebut kepada Kosmo! ketika ditemui pada sesi fotografi drama bersiri Aku siaran TV3 di studio Utusan, Kuala Lumpur.

Selain itu, Nubhan turut mengulas mengenai isu dia mengamuk dengan seorang petugas kaunter pertanyaan sebuah syarikat telekomunikasi.

Kosmo!: Bolehkah kongsi lebih lanjut mengenai gerangan kekasih hati Nubhan?

NUBHAN: Sebenarnya, saya tidak mahu percintaan saya ini diketahui orang. Pada dasarnya, pada pihak saya, saya tiada masalah. Saya boleh mengaku sudah ada kekasih, tetapi, saya kena hormat keluarga dia. Tidak semua orang boleh terima bila nama mereka keluar di laman sosial atau di dada-dada akhbar. Tambahan pula, keluarganya seorang yang berpengaruh. Jadi, saya minta maaf tidak dapat menyebut namanya.

Sudah berapa lama kalian bercinta?

Kami berkawan lima tahun lalu dan bercinta sejak setahun lalu. Dia seorang pelajar bidang perubatan pergigian di sebuah universiti di Mesir.

Bagaimanakah perasaan bercinta jarak jauh?

Bercinta jarak jauh memang mencabar. Sudah lima tahun kami berkeadaan begini (berjauhan), tetapi kami masing-masing faham dan setia antara satu sama lain.

Sebelum ini anda digosipkan dengan Nana dan ternyata sebenarnya anda bercinta dengan bakal doktor gigi. Adakah hubungan anda kali ini serius?

Saya dan Nana hanya kawan sebab kami serasi. Saya memang serius dengan kekasih saya itu. Bila saya bercinta, saya tidak main-main. Saya sudah fikir mengenai masa depan bersamanya.

Bilakah kalian merancang untuk berkahwin?

Buat masa ini belum ada. Tunggu dia habis belajar lagi setahun, dua ini, kemudian baru merancang ke arah itu (perkahwinan).

MENGAKU kekasihnya seorang bakal doktor gigi yang menuntut di Mesir, kata Nubhan dia tidak main-main dengan percintaan tersebut. Jika panjang jodoh mereka, Nubhan mahu menikahi gadis yang merupakan anak seorang kenamaan tersebut.


Beralih pada soalan lain, baru-baru ini juga anda didakwa bergaduh dengan seorang petugas kaunter pertanyaan sebuah syarikat telekomunikasi. Ketika itu anda bersama seorang wanita. Boleh jelaskan?

Wanita itu kawan saya. Dia temankan saya untuk mengesan nombor yang tertera di telefon saya. Ketika bertanya kepada petugas tersebut (seorang wanita) dia menunjukkan reaksi sombong dan melayan kami dengan tidak mesra. Lalu, saya menegurnya dan di situ berlaku sedikit kekecohan.

Apakah perasaan anda bila berlaku insiden seperti itu?

Selama ini saya tidak pernah marah orang atau buat hal dengan orang. Tetapi, saya juga ada hadnya bila dia bersikap kurang ajar. Kalau ikutkan hati saya hendak buat laporan mengenai sikapnya kepada orang atasan syarikat telekomunikasi tersebut, tetapi, saya fikir akan masa depannya dalam kerjayanya.

Boleh ceritakan mengenai drama terbaharu anda iaitu Aku?

Dalam drama tersebut saya bawa watak Acid yang bercinta dengan Nini (lakonan Reen Rahim) seorang gadis pujaan di kampung mereka. Hubungannya dengan Nini dibenci oleh Adam Shah sehingga mengheret mereka ke kancah pergaduhan. Selepas itu, Acid membawa diri ke Kuala Lumpur. Bercerita tentang cabaran memikul watak Acid, drama ini merupakan drama siri pertama saya. Sebelum ini saya hanya berlakon dalam telefilem.

Kenapa kali ini anda menerima tawaran untuk berlakon dalam drama siri yang melibatkan penggambaran yang memakan masa yang lama. Adakah disebabkan anda kini tidak lagi aktif menyanyi?

Saya masih menyanyi malah, sedang dalam proses menyiapkan album kedua. Saya terima berlakon drama ini kerana mahu cabar diri berlakon drama aksi. Tetapi bidang nyanyian masih menjadi keutamaan saya.

Bagaimana pula dengan album kedua anda?

Album kedua saya akan memuatkan lima buah lagu. Masih ada dua lagi lagu yang belum direkodkan. Kemungkinan album ini siap awal tahun depan manakala single pertamanya pula akan keluar pada hujung tahun ini. Dalam album ini juga turut memuatkan lagu duet kedua saya bersama penyanyi Mila selepas lagu popular kami sebelum ini iaitu Cinta Kasih.

Khabarnya, anda juga kini merupakan usahawan kosmetik. Benarkah?

Ya. Pertengahan tahun 2013 saya mula mengeluarkan produk penjagaan kulit yang diberi nama Sole. Pada masa akan datang saya juga akan mengeluarkan produk langsing badan iaitu Aisy Secrets. Kedua-dua produk ini merupakan produk keluaran negara Switzerland.

Lina Tan didiagnos kanser payudara

Posted:

Lina Tan didiagnos kanser payudara

Lina Tan didiagnos kanser payudara

PENERBIT TV berkaliber ini akur selepas di takdirkan menghidap kanser.


SETIAP kali bertemu dengan Penerbit Eksekutif Red Communication Sdn. Bhd., Lina Tan dalam mana-mana acara hiburan, dia kelihatan cukup ceria dan dikenali seorang individu yang mudah mesra.

Bagaimanapun, dalam pertemuan dengannya baru-baru ini ketika majlis pratonton program 3R musim baharu, Lina, 47, dia kelihatan tidak bermaya.

Sosok tubuhnya kelihatan susut dan Lina dilihat menyimpan rambutnya yang kelihatan semakin menipis di sebalik topi yang dipakainya.

Ternyata, Lina kini rupanya sedang berperang dengan penyakit nombor satu wanita iaitu kanser payudara.

Dia yang sebelum ini kelihatan sihat dan aktif melakukan aktiviti sukan tidak menyangka akan menghidapi penyakit tersebut.

Menurut Lina, dia mengetahui dihidapi penyakit tersebut tiga bulan lalu selepas berjumpa dengan doktor peribadinya untuk melakukan pemeriksaan kesihatan, terutama selepas dia mengesan terdapat satu benjolan pada bahagian payudaranya di sebuah hospital swasta.

"Saya menyedari terdapat ketumbuhan dan terus mendapatkan pemeriksaan doktor dan pada waktu itu doktor mengesan saya telah diserang kanser tahap kedua.

"Saya kemudian mula menjalani rawatan dan pembedahan untuk menyekat serangan yang lebih serius. Namun, apa yang saya boleh katakan selepas diserang penyakit ini, baru saya tahu bahawa kanser memang sejenis penyakit yang membunuh dalam diam kerana saya tak rasa sakit, tetapi rupanya saya menghidapi penyakit tersebut," jelas Lina panjang lebar.

Jujur Lina, pada awal mendapat berita tersebut, dia terkejut memandangkan tiada ahli keluarganya menghidap penyakit tersebut. Bagaimanapun, selepas doktor memberitahu bahawa ramai wanita mudah mendapat kanser payudara, saya akur dengan ujian yang datang kepada saya.

Kini, selepas dapat menerima kenyataan tentang penyakit yang dihidapinya, Lina bertekad untuk melawannya.

"Saya bertekad melawan penyakit ini dan telah melakukan kemoterapi sebanyak tiga kali. Kini, saya perlu menjalani satu lagi rawatan kemoterapi," katanya yang juga mengaku positif terhadap sesi pemulihan yang sedang dihadapinya.

Lina kemudian menasihatkan agar semua wanita lingkungan umur 30 dan ke atas untuk melakukan pemeriksaan kanser payudara yang merupakan penyakit yang mudah didapati dengan kehidupan moden sekarang.

Malah, katanya yang kini banyak menghabiskan masa dengan berehat di rumah memberitahu antara penyebab kanser payudara adalah seseorang yang kuat stres dan tidak menjaga pemakanan yang seimbang.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved