Selasa, 24 September 2013

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Olesan gincu yang ideal

Posted:

Olesan gincu yang ideal

Olesan gincu yang ideal

Oleh NURUL IZZA ROSLY

ALAT solek yang sering disapu pada bibir wanita ini boleh dianggap sebagai item wajib ada di dalam beg tangan mereka. Baik gadis remaja mahupun wanita dewasa, sekurang-kurangnya sebatang gincu pasti disimpan dalam beg tangan yang berfungsi meningkatkan keyakinan diri dalam berpenampilan.

Bahkan, ramai yang tidak kisah jika tidak memakai maskara, pemerah pipi atau pembayang mata, tetapi ada yang enggan keluar rumah tanpa gincu. Bergantung kepada cita rasa masing-masing, ada yang menggemari warna lembut, warna gelap dan tidak kurang yang memilih warna terang.

Gincu merupakan produk kosmetik yang mengandungi pigmen, minyak, lilin dan emolien memberikan warna, tekstur serta perlindungan pada bibir.

Pemakaiannya bermula sejak zaman purba. Wanita purba pada zaman Mesopotamia dipercayai merupakan wanita pertama yang mencipta dan memakai gincu dengan menghancurkan batu permata untuk dioles pada bibir.

Sepanjang awal abad ke-20, gincu hadir dalam bilangan warna yang terhad. Warna merah gelap merupakan salah satu warna yang popular sepanjang abad ke-19 dan abad ke-20.

Warna tersebut juga pernah popular pada tahun 1920-an dan golongan Flappers iaitu wanita muda generasi baharu di Barat memakainya sebagai simbol kebebasan.

Pada awal tahun 1930-an, Elizabeth Arden mula memperkenalkan warna-warna gincu berbeza sekali gus memberikan inspirasi kepada syarikat-syarikat lain mengikut jejak langkahnya.

Sekitar tahun 1930-an, gincu dilihat sebagai simbol seks dewasa dan remaja perempuan ketika itu percaya bahawa gincu merupakan simbol kewanitaan.


SELAIN warna merah dan coklat, warna gincu merah jambu turut menjadi pilihan ramai wanita termasuklah penyanyi antarabangsa, Beyonce Knowles.


Kini, kepelbagaian warna yang ditawarkan membuatkan golongan Hawa rambang mata untuk membuat pilihan. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa ada dalam kalangan mereka masih khilaf mengenai warna yang bersesuaian dengan personaliti masing-masing.

"Biasanya dalam dunia perniagaan, kebanyakan syarikat mahu melihat stafnya kelihatan kemas dan cantik, namun warna gincu yang dipakai tidak perlu keterlaluan hingga menenggelamkan personaliti, imej dan bidang tugasan yang dibawa.

"Sebagai contoh, bagi mereka yang bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan, mereka seharusnya nampak natural dan mesra. Pada waktu pagi biasanya orang Asia khususnya di Malaysia, mengenakan warna merah jambu atau nude," kata Penasihat Kecantikan Farmasi Colour Cosmetics (FCC), Ili Ruzanna Ismail.

Tambahnya, warna nude yang digunakan tetap akan ada warna asas merah jambu. Gincu berasaskan warna pic dan oren lebih sesuai untuk mereka yang mempunyai kulit tidak terlalu gelap.

Jika seseorang yang berkulit cerah memakai gincu berwarna oren, dia akan kelihatan pucat dan bagi mengelakkan ia berlaku warna oren boleh dicampurkan dengan warna merah jambu.

"Jika mahu nampak manis dan segar pada waktu pagi, oleskan gincu berasaskan warna merah jambu tetapi bukan rona yang terang.

Pilihan warna gincu

"Warna-warna gincu berasaskan warna natural, merah jambu dan coklat lebih elok dipakai pada siang hari berbanding warna-warna yang terang memandangkan kita aktif dan banyak berkomunikasi," ujarnya sambil memberitahu pemakaian gincu berwarna terang pada siang hari menyebabkan seseorang nampak comot berikutan warna gincu yang pudar.

Pada waktu petang dan malam, tiada masalah jika seseorang itu memakai gincu berwarna gelap dan lebih terang kerana cahaya pada ketika itu tidak sekuat cahaya pada waktu pagi.


CALITAN gincu menggunakan berus khas membuatkan olesan gincu menjadi rata dan kemas pada bibir si pemakai.


Ramai yang menggunakan kesempatan untuk lebih berani mengenakan warna-warna terang pada waktu malam dan kebiasaannya warna merah terang dan burgundy menjadi pilihan.

"Bagi mereka yang mahu mencuba warna-warna terang, dinasihatkan mencuba sampel terlebih dahulu kerana warna pada katalog dan produk sebenar tidak sama.

"Seperkara lagi, tiada syarat jika seseorang itu memakai baju merah, harus mengenakan gincu merah dan jangan pernah menyamakan warna baju dengan warna gincu kerana ia dua perkara yang berbeza,"

Ujar Ili, seseorang itu perlu memilih apa yang mahu ditonjolkan, sama ada baju atau wajahnya. Jika memilih untuk menonjolkan wajah, bahagian mata yang mahu difokuskan, mata, bibir atau pun pipi.

Kebiasaannya, seseorang itu cuma memakai warna senada bagi pipi dan bibir supaya nampak lebih berseri serta natural.

Bagi mereka yang mahu berpenampilan ceria dan segar, boleh memakai gincu berasaskan warna merah jambu seperti warna natural bibir tetapi lebih terang sedikit iaitu warnanya lebih cair daripada bibir.

Mengikut personaliti

"Warna kulit juga mempengaruhi gincu yang dipakai. Orang yang berkulit gelap boleh memakai warna terang tetapi bibirnya akan kelihatan lebih besar kerana asasnya gelap.

"Andai dia mahu memakai warna merah, gincu merah yang dipakai perlu berasaskan warna biru dan bukannya warna coklat. Warna merah yang terang menunjukkan ia mempunyai warna merah jambu atau biru dalam campurannya," jelasnya.

Jika tidak mahu bibir kelihatan besar, pakai gincu berasaskan warna coklat dan bagi mereka yang berkulit cerah, pemakaian gincu warna cerah akan menyebabkan garisan bibir tidak kelihatan.

PADA tahun 1930-an Elizabeth Arden memperkenalkan himpunan gincu pelbagai warna.


Warna yang sesuai ialah warna merah yang lebih gelap supaya nampak lebih natural.

Ditanya sama ada warna gincu dipengaruhi faktor umur, Ili memberitahu, tiada panduan sedemikian dan sesiapa sahaja bebas memilih warna gincu yang sesuai buat mereka.

Warna-warna terang membuatkan si pemakai berasa lebih muda, namun demikian ia terpulang kepada majlis. Jika menghadiri majlis agama, agak kurang manis apabila memakai warna-warna terang.

"Pemakaian pengilat bibir tidak wajib dan ia boleh dipakai pada waktu siang dan malam. Penggunaannya membuatkan bibir kelihatan sentiasa basah dan tidak kurang pula yang mahu membuatkan bibir nampak lebih besar.

"Cara yang terbaik untuk menentukan gincu yang sesuai adalah terpulang kepada diri sendiri. Jika anda yakin dengan warna gincu yang dipakai menarik, maka teruskan," katanya.

Nilai ketimuran ceongsam moden

Posted:

Nilai ketimuran ceongsam moden

Nilai ketimuran ceongsam moden

Oleh ALIF ABU BAKAR

WARNA pastel melatari indah ceongsam rekaan Keith Kee.


CEONGSAM merupakan pakaian tradisi kaum Cina yang menonjolkan susuk tubuh dan nilai feminin seorang wanita. Kolar Mandarin pada busana itu pula menyerlahkan leher jinjang si pemakai manakala belahan sisi pada bahagian bawah baju mendedahkan keseksian kaki perempuan.

Keagungan busana klasik itu diangkat tiga pereka tempatan dalam hasil kerja terbaharu mereka. Pemilik jenama Shanghai Sun, Sunny Ng; pereka muda, Keith Kee dan pereka prolifik, Bill Keith berkongsi pentas peragaan bagi memaparkan koleksi ceongsam masing-masing.

Bertempat di The Weld, Kuala Lumpur, pertunjukan fesyen bertemakan Oriental Rhapsody itu turut diserikan dengan keindahan aksesori daripada Rafflesia seperti batu jed yang melengkapi sempurna sehelai ceongsam.

Acara dimulakan dengan paparan tujuh helai ceongsam labuh daripada Shanghai Sun. Supermodel terkenal, Amber Chia mengetuai pentas peragaan dengan persalinan glamor merah jambu. Penggunaan fabrik berkilat dan bergemerlapan meningkatkan ciri eksklusif ceongsam urban tersebut.

"Koleksi kali ini mempunyai fungsi yang sama seperti busana petang atau malam. Pemilihan rona terang seperti merah, perak dan emas memberikan keyakinan kepada wanita ketika melangkah.

"Ceongsam potongan klasik ini elegan digayakan wanita berusia 20 tahun ke atas meskipun ia sarat dengan perincian. Namun jangan bimbang kerana perincian yang diterapkan tidak kelihatan serabut," jelas Sunny yang turut memaparkan lapan koleksi ceongsam pendek yang digayakan lapan selebriti wanita Melayu.


BILL KEITH (lima dari kiri) bersama para peserta Miss Chinese Cosmos yang memperagakan ceongsam rekaannya.


Kolar Mandarin

Sementara itu, pereka yang sedang meningkat naik, Keith Kee berjaya memukau pandangan mata hadirin dengan rekaan ceongsam koleksi musim bunga/panas 2014 jenamanya. Tujuh ceongsam labuh yang dipertontonkan sedikit lari daripada asas sehelai ceongsam dan cenderung pada rekaan pakaian moden.

Keith sengaja menampilkan rekaan yang sedemikian bagi menyerlahkan nilai couture.

"Pada asasnya, ia tetap sehelai ceongsam kerana saya mengekalkan penggunaan kolar Mandarin. Nilai kontemporari yang diterapkan dalam koleksi terbaharu ini boleh digayakan pada waktu siang atau malam, mengikut kesesuaian majlis.

"Penggunaan fabrik seperti syantung iaitu sutera tebal yang mempunyai permukaan tidak rata atau berkedut-kedut, sutera Thailand, broked China, tulle, kain net dan renda Perancis menambah elegan pakaian ini. Tidak ketinggalan, saya turut menggabungkan nilai Barat dan Timur dengan sempurna,"tutur Keith.

Sementara itu, koleksi ceongsam pendek Keith Kee pula tampak indah digayakan lapan aktres Cina tempatan. Rekaan ceongsam Bill Keith pula diperagakan lapan peserta Miss Chinese Cosmos.

Usah abai kecantikan kaki

Posted:

Usah abai kecantikan kaki

Usah abai kecantikan kaki


RAJINKAN diri merendam kaki di dalam air suam bersama limau dan beberapa jenis bunga.


KETAHUI cara mudah dan ringkas bagi mendapatkan tumit dan kuku kaki yang bersih serta cantik menerusi enam langkah yang praktikal.

1) Batu pumis

Amalkan penggunaan batu pumis iaitu batu gunung berapi yang poros dan ringan. Gosok batu itu pada tumit yang kering dan bahagian yang berkematu. Ia membantu kaki kekal cantik ketika menyarungkan kasut tanpa penutup belakang atau selipar.

Sebelum menggosok batu pumis pada permukaan kulit kaki yang bermasalah, rendamkan kaki ke dalam air suam untuk tempoh 10 hingga 15 minit bagi melembutkan tekstur kulit.

Selain batu pumis, lulur pelembap kaki yang diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan juga ideal untuk menyingkirkan sel-sel mati. Selepas proses melulur, sapu krim kaki atau salap yang mengandungi mentega shea atau mentega koko.

Cari salap atau krim tumit yang mengandungi asid salisilik atau urea bagi melembutkan kematu.

2) Pelembap

Jika tumit kering dan merekah, jumpa pakar kaki atau pakar dermatologi untuk rawatan. Jika masalah itu tidak serius, gunakan produk pelembap yang terdapat di pasaran.

Anda mungkin boleh mencuba memakai pelapik tumit yang dilengkapi fungsi melembutkan kematu ketika berjalan. Selepas kematu itu mengelupas, gunakan krim kaki bagi melembutkan permukaan kulit yang kasar pada tumit.

Gunakan krim yang mengandungi petrolatum, emolien atau humektan seperti asid laktik yang membantu melembapkan kulit.

3) Perangi kulat

Terdapat banyak jenis produk antikulat dijual di pasaran seperti lakuer, krim, losen, cecair, serbuk penyembur dan cecair penyembur. Kesemua produk itu hanya berkesan untuk masalah kaki yang sederhana dan tidak melibatkan jangkitan kulat pada kuku kaki.

Cari serbuk atau penyembur yang berfungsi secara klinikal pada kaki yang mudah berpeluh. Serbuk selalunya mengandungi aluminium heksahidrat klorida bagi membantu mengekalkan kulit dalam keadaan kering.

Namun untuk kaki kering gunakan losen antikulat. Keringkan kulit anda sebelum mengaplikasi serbuk atau losen tersebut.

Bagaimanapun langkah terbaik bagi mencegah masalah kulat ialah dengan menjaga kebersihan kaki. Basuh kaki dengan kerap dan keringkan terutamanya pada celahan jari. Jangan lupa memakai stoking yang bersih.


KUKU kaki perlu dipotong dengan kerap dan pastikan kikis kutikel menggunakan penggilap kuku.


4) Pakai pelindung matahari

Usah meragui kepentingan krim pelindung matahari untuk kaki. Sapukan krim pelindung matahari yang dilengkapi SFP30 ketika berkaki ayam, memakai selipar atau sandal.

5) Sokongan kaki

Berdiri terlalu lama boleh melenguhkan kaki. Memakai pelapik kaki boleh memberi keselesaan pada kaki.

Gunakan pelapik yang memiliki sarung plastik pada bahagian bawah. Pakar kaki mengatakan, sarung jenis itu menguatkan pelapik yang bertujuan menyokong kaki.

6) Kuku kaki

Anda gemar merawat kuku kaki? Teknik yang digunakan amat penting dalam memastikan kebersihan kuku. Potongan kuku yang tidak sekata boleh meninggalkan lebihan kuku dan pertumbuhan kuku kaki yang tidak seragam.

Elakkan memotong kutikel kerana ia mengundang kepada jangkitan kuman pada kuku kaki. Sebaliknya, kikis kutikel itu dengan lembut menggunakan penggilap kuku.

Kuku mudah patah seiring pertambahan usia. Bahan-bahan dalam pewarna kuku atau pembersih pewarna kuku akan mempercepatkan proses tersebut sekali gus mengeringkan tekstur kuku anda.

Bagi melembapkan kulit kaki, anda disaran menggunakan krim untuk kutikel, jeli petroleum atau minyak vitamin E. Sapukan pada keseluruhan kuku kaki termasuk kutikel dan gosok dengan perlahan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved