Jumaat, 20 September 2013

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Jimat masa, wang dan tenaga

Posted:

Jimat masa, wang dan tenaga

Jimat masa, wang dan tenaga

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

SEPULUH minit sebelum pukul 12 tengah hari, Razak Omar, 54, sudah berada di dalam biliknya. Tanpa berlengah, lelaki itu terus membersihkan tangannya dengan sabun pencuci khas dan dikeringkan.

Kemudian, dia mengambil satu bungkusan yang mengandungi cecair jernih dan disangkutkan di sebatang tiang. Di bahagian bawah tiang itu pula, terdapat bekas lut sinar yang kosong.

Sambil duduk di kerusi, Razak terus mencapai tiub lembut atau kateter yang telah dimasukkan secara pembedahan melalui dinding abdomen ke dalam rongga peritoneum di perutnya. Ia disambungkan dengan bungkusan cecair dan bekas lut sinar tersebut.

Beberapa saat kemudian, cecair berwarna sedikit kekuningan mula memenuhi bekas lut sinar tersebut. Dalam tempoh antara lapan hingga 10 minit, air yang disedut melalui kateter itu habis dikeluarkan. Malah, dia turut menggoyang-goyangkan badan untuk memastikan tiada lagi air yang tersimpan di dalam perutnya.

Selepas itu, Razak menekan punat sambungan saluran cecair baharu untuk dimasukkan kembali ke dalam rongga peritoneum melalui lubang yang sama.

"Inilah rutin harian saya sejak menggunakan rawatan dialisis peritoneum (PD) untuk merawat penyakit buah pinggang sejak bulan Mei tahun lalu. Proses ini perlu dilakukan empat kali sehari dan setiap rawatan memakan masa kira-kira 30 minit," katanya ketika ditemui di rumah beliau di Kampung Sungai Udang, Klang, Selangor baru-baru ini. Dialisis peritoneum merupakan satu rawatan untuk pe sakit yang mempunyai penyakit buah pinggang kronik yang teruk.


MENJALANI rawatan dialisis peritoneum di rumah menyebabkan Razak bebas melakukan rutin hariannya seperti biasa.


Rawatan ini dilakukan di dalam badan pesakit melalui membran peritoneum yang terdapat di bahagian abdomen manusia. Membran ini juga meliputi kesemua organ dalam abdomen. Ia separa telap, justeru hanya bahan tertentu boleh melalui selaput itu.

Apabila larutan dialisis dimasukkan ke dalam rongga peritoneum, hasil buangan akan ditapis daripada aliran darah menerusi membran peritoneum ke dalam larutan dialisis.

Dari situ, bahan buangan akan dikeluarkan dari badan pesakit dan digantikan dengan larutan dialisis baharu.

Kos perbelanjaan

Tambah Razak, rawatan PD memberi peluang kepadanya dari aspek kebebasan masa, menjimatkan wang dan tenaga berbanding rawatan hemodialisis yang dilakukan sebelum ini.

Sebaik didiagnosis menghidap penyakit buah pinggang, beliau telah menjalani rawatan di Pusat Dialisis Mukmin, Hospital Tengku Ampuan Rahimah. Setiap rawatan memakan masa empat jam dan ia perlu dilakukan tiga kali seminggu.

Jumlah perbelanjaan keseluruhannya mencecah RM3,000 sebulan. Kini, selepas menggunakan PD, kos perbelanjaan rawatan tersebut sekitar RM2,600 sebulan.

"Lebih penting, saya tidak terikat dengan masa dan badan rasa segar. Malah, saya juga boleh terus membuat kerja-kerja rumah sejurus rawatan selesai," ujarnya sambil tersenyum.

Bapa kepada empat cahaya mata itu disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD) pada tahun 2010. Ia mula disedari apabila pada satu malam, Razak terpaksa tidur menggunakan tiga biji bantal kerana dadanya terasa sesak apabila hanya memakai satu biji bantal. Keesokan harinya, beliau berasa amat lemah hingga hendak berjalan ke luar rumah pun nafasnya termengah-mengah.


PESAKIT buah pinggang kronik perlu menjalani rawatan dialisis tiga hingga empat kali seminggu.


"Saya hampir pengsan ketika itu. Mujurlah jiran sebelah ternampak keadaan saya lantas memapah saya yang kemudian dihantar terus ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

"Di hospital, doktor bertindak menebuk perut saya untuk melakukan rawatan dialisis. Pada masa itulah, saya tahu bahawa buah pinggang saya sudah rosak. Selepas doktor mengesahkan saya menghidap CKD, dunia saya terasa gelap," katanya.

Tambah Razak, ketika itu, bermacam-macam perasaan bermain di fikiran. Apa yang hendak dimakan selepas ini, duit untuk menjalani rawatan dan tidak terkecuali ingatan terhadap kematian.

Ujarnya, dia sebenarnya telah lama menghidap diabetes yang hanya disedari 13 tahun lalu. Semua itu disebabkan dia tidak pernah ambil peduli mengenai kesihatan diri.

Maklumlah, ketika itu badannya sihat dan kuat. Malah, jarang sekali diserang demam atau sakit. Namun, insiden luka di kaki yang tidak sembuh-sembuh mendedahkan rahsia sebenar penyakit yang dihidapi. Lima tahun kemudian, dia disahkan menghidap hipertensi.

Mencegah

"Nasihat saya, jalanilah pemeriksaan kesihatan setiap enam bulan sekali. Tidak kira sama ada anda sakit mahupun tidak, mencegah lebih baik daripada menyesal pada kemudian hari.

"Walau bagaimanapun, saya sangat bersyukur kerana penyakit ini merupakan notis daripada Allah SWT agar saya beringat dalam kehidupan yang berbaki. Apa yang telah ditakdirkan, saya terima dengan reda. Melalui penyakit ini, saya dapat memperbaiki diri dan membuat resolusi hidup," ungkapnya penuh makna.

Sejak tiga tahun lalu, Razak sudah menjalani enam pembedahan di leher, paha, tangan dan perut bagi tujuan dialisis.

Pada majlis pelancaran kempen kebebasan bersama PD, Razak dijemput untuk berkongsi pengalaman sebagai pesakit CKD yang menggunakan rawatan tersebut.


PELANCARAN kempen Kebebasan dengan PD telah berlangsung di ibu negara baru-baru ini untuk menggalakkan pesakit buah pinggang menggunakan rawatan dialisis peritoneum.


Kempen ini merupakan satu inisiatif anjuran Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN) dan Baxter Healthcare (M) Sdn. Bhd. (Baxter Healthcare) untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai PD sebagai pilihan rawatan untuk penyakit buah pinggang peringkat akhir (ESRD) melalui penganjuran pelbagai aktiviti pendidikan dan penglibatan awam.

Ia bertujuan untuk mendidik masyarakat Malaysia terutama pesakit mengenai penyakit buah pinggang dan ketersediaan PD sebagai pilihan rawatan yang menawarkan lebih banyak kebebasan, fleksibiliti dan mobiliti kepada pesakit. Pada masa yang sama, kempen ini juga ingin mengenengahkan bahawa CKD dan ESRD boleh ditangani dengan mengamalkan pengurusan dan kawalan penyakit yang sewajarnya agar pesakit dapat terus menjalani kehidupan yang normal dan aktif.

"MSN percaya bahawa pendidikan adalah elemen penting dalam memahami penyakit buah pinggang. Rawatan yang sesuai penting dalam membantu pesakit menguruskan keadaan mereka," ujar Presiden MSN, Dr. Wan Jazilah Wan Ismail.

CKD ialah keadaan yang dicirikan sebagai pengurangan fungsi buah pinggang secara berterusan, kehadiran struktur atau jumlah protein abnormal dalam air kencing selama tiga bulan atau lebih.

Apabila buah pinggang gagal berfungsi secara kekal, ia dikenali sebagai ESRD, satu keadaan yang tidak boleh diterbalikkan.

"ESRD ialah salah satu potensi akibat CKD yang memerlukan terapi penggantian buah pinggang yang menelan belanja besar. Kekerapan ESRD di Malaysia meningkat setiap tahun dan pada tahun 2012, dianggarkan 28,590 pesakit yang menjalani dialisis.

"Pesakit buah pinggang perlu tahu tentang faktor-faktor risiko dan pengurusan penyakit bagi memperlahankan progres CKD," jelas Ketua Jabatan dan Penasihat Nasional, Perkhidmatan Nefrologi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Ghazali Ahmad.

Rawatan terbaik

Di Malaysia, kurang daripada satu peratus pesakit ESRD yang menerima pemindahan buah pinggang. Kaedah itu dianggap sebagai rawatan terbaik manakala selebihnya dirawat dengan dialisis.

Daripada jumlah pesakit itu, hanya lapan peratus pesakit dirawat dengan PD ambulatori berterusan (CAPD). Berbanding jenis dialisis lain, PD memberikan keputusan klinikal yang sama atau lebih baik di samping kebebasan yang lebih tinggi sekali gus meningkatkan kepuasan pesakit.

"Pengambilan PD di negara ini tidak begitu tinggi kerana orang ramai dan kebanyakan pesakit tidak menyedari mengenainya.

"Kajian menunjukkan bahawa PD bukan sahaja menjimatkan kos, malah ia juga mampu memberikan impak positif kepada kehidupan pesakit, meningkatkan mobiliti lantas membolehkan mereka bekerja atau meneruskan rutin harian masing-masing," tambah Ghazali.

Ketenangan hidup di Kota Nabi

Posted:

Ketenangan hidup di Kota Nabi

Ketenangan hidup di Kota Nabi

MAKAM Rasulullah SAW di Masjid Nabawi menjadi lokasi yang sering dilawati jemaah haji dan umrah.


SALAM dari Madinah al-Munawarrah. Hampir tiga tahun kami sekeluarga bermukim di sini. Ia nikmat Allah SWT yang tidak terduga untuk berada hampir dengan salah satu masjid yang disyariatkan untuk bermusafir dan beramal ibadat.

Rasulullah SAW pernah bersabda: "Tidak disyariatkan mengadakan perjalanan (untuk tujuan beribadat) kecuali kepada tiga masjid: Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid al-Aqsa." (Hadis riwayat Imam Tirmizi).

Peluang berada di Madinah ini dianugerah Allah melalui tawaran berkhidmat sebagai Profesor Perakaunan di Universiti Taibah, Madinah. Tentu sekali saya tidak pernah menduga untuk berkhidmat di universiti ini setelah hampir 24 tahun bertugas di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ia kehidupan yang sangat berbeza. Pertama, di hadapan saya terdiri daripada anak-anak muda berketurunan Arab yang 100 peratus merupakan rakyat Arab Saudi. Kesemuanya lelaki. Pelajar wanita diasingkan di bangunan mereka sendiri.

Pensyarah lelaki dibenarkan memberi kuliah kepada pelajar wanita tetapi hanya menggunakan kaedah telesidang. Ia adalah kemudahan video yang memaparkan wajah pensyarah dan persembahan nota atau catatan yang saya lakukan ketika memberi penerangan tambahan.

Mereka boleh melihat wajah pensyarah dan tidak sebaliknya. Namun demikian, kami masih boleh berinteraksi secara langsung tanpa mengetahui bahasa tubuh pelajar.

Masya Allah .... Subhanallah ... Allahu Akbar. Hubungan fizikal saya dengan siswi-siswi ini hanyalah melalui pembantu pensyarah wanita yang menguruskan soal kedatangan pelajar, ujian dan peperiksaan serta mengendalikan tutorial.

Saya teruja dan menghargai pengalaman berbeza ini. Ia merupakan satu tugas mudah tanpa perlu memikirkan sama ada mereka mengantuk atau tidak, sibuk melayan mesej pesanan ringkas atau bergurau senda sesama sendiri.

Kedua, tingkah laku pelajar-pelajar siswa sangat berbeza berbanding dengan pelajar-pelajar saya semasa berada di UiTM. Mereka sangat aktif. Jika berbincang sesama mereka seolah-olah sedang berlaku peperangan besar.

Mereka sangat berterus-terang sehingga ada masanya melangkaui logik akal. Saya ketawa apabila ada yang meminta markah 100 atau 90 peratus walaupun ada soalan yang tidak berjawab.


MASJID Nabawi menjadi salah satu lambang syiar Islam yang terkenal di seluruh dunia.


Sebagai pensyarah, saya juga belajar untuk tidak perlu berlapik-lapik dalam menyampaikan sesuatu. Itulah sedikit kisah saya, universiti dan siswa-siswi yang membolehkan saya berada di Madinah.

Rutin harian

Namun, hati kami sangat damai kerana hampir setiap hari dibenarkan berada di Masjid Nabawi (Haram).

Rutin saya sangat mudah. Pagi-pagi lagi saya sudah berada di Haram untuk menunaikan solat subuh. Kemudian beredar ke pejabat untuk menyampaikan kuliah yang kebiasaannya berakhir sebelum pukul 12 tengah hari. Setiap pensyarah hanya perlu mengajar lebih kurang enam jam seminggu.

Saya memastikan agar dapat menunaikan solat zuhur di Haram ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Kemudian, seisi keluarga akan berada di Masjid Nabawi sebelum solat asar sehingga berakhirnya solat isyak.

Selepas solat asar, anak-anak saya akan mempelajari dan menghafal al-Quran yang dikendalikan oleh pihak pengurusan Masjid Nabawi.

Kami juga menghadiri kelas-kelas yang sama pada sebelah malam selepas solat maghrib bersama sheikh atau abla (guru) yang bertugas sepenuh masa. Hakikatnya, hampir 25 peratus masa dihabiskan dalam Masjid Nabawi. Ia berlalu tanpa kami sedari.

Hampir setiap hari juga saya menyampaikan tazkirah, kuliah atau ceramah kepada jemaah haji dan umrah yang melaksanakan ibadat ziarah di sini. Jemputan ini kebiasaannya dipanjangkan oleh petugas-petugas Lembaga Tabung Haji, pengendali pakej umrah dan individu yang mengetahui kewujudan saya di Madinah.

Jemputan menyampaikan tazkirah ini sangat mudah. Pertama, saya mengenakan syarat yang perlu dipatuhi penganjur iaitu tidak melibatkan sebarang bayaran atau memberi upah kepada saya. Tazkirah ini percuma dan dilakukan semata-mata kerana Allah.

Kedua, mereka yang mendengar ceramah ini juga tidak boleh dikenakan sebarang bayaran. Hanya kelapangan masa yang menentukan sama ada permohonan berceramah ini dapat saya patuhi ataupun tidak. Sungguh, saya terasa damai di hati.


UNIVERSITI Taibah di Madinah tempat Muhd. Kamil berkhidmat sebagai pensyarah perakaunan.


Kemudahan umrah

Allah sentiasa memberi pelbagai peluang kepada hamba-hambanya. Ia berbeza-beza mengikut individu. Pada ketika ini, peluang berada di Madinah turut dipakejkan dengan kemudahan untuk menunaikan umrah. Kami tidak memerlukan visa umrah. Malah ia boleh dilakukan sepanjang masa kecuali pada musim haji. Itu pun untuk beberapa hari sahaja.

Peluang yang diberikan tidak akan menjadi milik sendiri jika ia dibiarkan berlalu tanpa diambil tindakan. Anugerah berada di Madinah pastinya akan berakhir.

Lalu kami memastikan agar berada di Mekah (Masjidil Haram) secara purata dua kali sebulan. Perjalanan hampir 900 kilometer ulang-alik Madinah dan Mekah adalah singkat berbanding dengan perjalanan lebih 7,000 kilometer dari Kuala Lumpur ke Mekah.

Benar, kami terasa damai kerana mampu berada di dua Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Haram. InsyaAllah, jika kami pulang ke Malaysia dan menoleh ke belakang, pengalaman berada di sini akan terpahat dengan rasa puas yang tidak terhingga.

Hakikatnya, kita mempunyai pelbagai peluang yang perlu direbut. Allah memberi kita kesihatan, maka rebutlah peluang untuk solat berjemaah di masjid tidak kira sama ada kita berada di Mekah, Madinah atau Malaysia. Malah pada usia muda hendaklah diperbanyakkan amal ibadat lain seperti bangun malam, bertahajud dan bermunajat agar kita tidak akan menyesali dengan tempoh perjalanan kehidupan terdahulu.

Terima kasih Kosmo! kerana memberi peluang untuk saya berinteraksi dengan khalayak pembaca. Sambutlah salam perkenalan daripada saya di Madinah. Jumpa lagi pada minggu hadapan. Kami mohon keampunanMu Ya Allah.

Dua wajah pengikut Syiah

Posted:

Dua wajah pengikut Syiah

Dua wajah pengikut Syiah


PIHAK berkuasa merampas kain rentang yang digunakan oleh para pengikut Syiah untuk satu majlis dekat Kuala Lumpur dua tahun lalu.


DI SINI disertakan sambungan jawapan daripada ulama tersohor, Syeikh Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam Fatawa Mu'ashirah, yang menjelaskan perbezaan antara Ahli Sunah Wal Jamaah (ASWJ) dengan Syiah Imamiyah Itsna Asy'ariah/ 12 Imam.

Syiah melakukan kerosakan sejarah

Sesungguhnya Syiah telah menjelek-jelekkan para sahabat, tabiin dan para pengikut mereka. Mereka juga berani merubah alur sejarah umat Islam sejak zaman yang paling baik (zaman Rasulullah SAW dan para sahabatnya serta generasi selepas itu), iaitu zaman terjadinya futuh (pembebasan negeri secara damai) dan kemenangan gilang-gemilang serta manusia berbondong-bondong masuk Islam.

Juga terbinanya budaya yang mengarah kepada ilmu pengetahuan, iman dan akhlak.

Sekarang umat Islam cuba bangkit kembali dengan cara melihat refleksi sejarah bagi menghubungkan masa kini dengan masa lalu. Mereka menjadikan umat Islam terdahulu sebagai contoh untuk orang sekarang maju dan berjaya.

Sebaliknya sejarah orang-orang Syiah dipenuhi dengan kegelapan. Inilah yang mendorong saya menulis sebuah buku berjudul Tarikhuna al-Muftara 'Alayhi - Sejarah Kita yang Diselewengkan.

Buku ini mengupas sejarah yang benar dan menjawab tuduhan serta fitnah orang-orang Syiah. Buku ini membuatkan orang-orang Syiah geram. Kemudian salah seorang Syiah menulis sebuah buku khusus untuk mengkritik buku saya ini. Dia berkata: "Yusuf al-Qardhawi ini wakil Allah SWT atau wakil Bani Umayyah?"

Ajaran taqiyyah (bermuka-muka)

Antara ajaran Syiah yang berkaitan dengan akhlak adalah menjadikan taqiyyah sebagai dasar dan asas ajaran dalam berinteraksi dengan orang lain.


PENDAKWAH Syiah dari Iran dikatakan giat mempromosikan ajaran itu di Malaysia.


Mereka selalu melakukan taqiyyah, iaitu menampakkan sesuatu yang berbeza dengan yang ada di dalam hati. Mereka itu mempunyai dua wajah. Wajah yang pertama dihadapkan ke sekelompok orang dan wajah yang lainnya dihadapkan ke kelompok yang satu lagi. Mereka juga mempunyai dua lidah.

Mereka berhujah dengan firman Allah: "Janganlah orang-orang beriman menjadikan orang kafir sebagai pemimpin, melainkan orang-orang beriman. Barang siapa berbuat demikian, nescaya dia tidak akan memperoleh apa pun daripada Allah, kecuali kerana menjaga diri daripada sesuatu yang kamu takuti daripada mereka." (surah Ali Imran, ayat 28).

Sebenarnya, ayat itu jelas menerangkan bahawa taqiyyah hanya dibolehkan semasa darurat iaitu keadaan seorang Muslim harus melakukan hal ini (taqiyyah) kerana takut dibunuh atau ada bahaya besar yang mengancamnya.

Keadaan seperti ini masuk ke dalam pengecualian seperti firman Allah: "Barang siapa kafir kepada Allah setelah dia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman." (surah an-Nahl, ayat 106).

Pengecualian ini tidak boleh dijadikan sebagai acuan dalam bermuamalah. Hal ini (taqiyyah) boleh dilakukan pada saat darurat, yang boleh menghalalkan sesuatu yang terlarang.

Untuk orang lain yang tidak terpaksa, mereka tidak boleh melakukannya. Ini kerana sesuatu yang terjadi atas dasar pengecualian tidak boleh dikiaskan.


PENGANUT Syiah mempunyai ritual yang berbeza berbanding Ahli Sunah Wal Jamaah.


Akan tetapi Syiah Imamiyah menjadikan taqiyyah sebagai dasar dalam muamalah mereka kerana para imam mereka membolehkan hal tersebut.

Daripada Ja'far ash-Shadiq bahawa dia berkata: "Taqiyyah adalah agamaku dan agama leluhurku."

Ibnu Taimiyyah berkata, bagi memberi komen terhadap ucapan ini, Allah telah menyucikan Ahlul Bait daripada hal ini dan mereka tidak memerlukan taqiyyah. Kerana mereka adalah orang yang paling jujur dan paling beriman. Oleh kerana itu, agama mereka adalah takwa dan bukan taqiyyah."

Para pembaca sekalian, mudah-mudahan dengan perkongsian ini yang saya nukilkan daripada pendapat Syeikh Yusuf al-Qardhawi dapat memberikan kefahaman kepada kita dan seterusnya menguatkan pegangan akidah ASWJ kita.

Ini kerana tiada lain yang perlu kita lakukan melainkan kembali kepada jalan yang lurus seperti yang kita pinta kepada Allah dalam bacaan surah al-Fatihah ayat 6 yang bermaksud: "Tunjukilah kami jalan yang lurus (iaitu jalan para Nabi, siddiqin, syuhada dan solihin)."

Moga Allah sentiasa membimbing kita ke jalan yang diredai.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved