Sabtu, 28 September 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Adam, Fiza mencari kesempurnaan

Posted:

Adam, Fiza mencari kesempurnaan

Adam, Fiza mencari kesempurnaan

TERKENANG kembali lirik lagu Benar Benar yang dipetik daripada album Adam 3 ketika menyaksikan pernikahan bintang lulusan Akademi Fantasia 2, Adam, pada Khamis lalu: "Ku benar-benar cinta, ku benar-benar sayang, tak terjawab bila hati bertanya ke mana kau hilang."

Lirik itu menceritakan secara total perasaan sebenar melalui renungan mata Adam atau nama sebenarnya Mohd. Aizam Mat Saman, 30, ketika mengucup lembut dahi suri hatinya, Fiza Abdul Halim usai dinikahkan tepat pukul 10.30 pagi.

Majlis berlangsung ringkas, mengambil lokasi di pejabat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Shah Alam, Selangor pada pagi 25 September lalu, Adam nampak tenang.

Dengan sekali lafaz, Fiza atau nama sebenarnya Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim, 32, selamat bergelar isteri kepada Adam.

Kata Adam, dia mengakui ikatan kasih dan sayang bersama Fiza yang membawa ke gerbang perkahwinan adalah cinta pandang pertama.

"Majlis ini tidak tergesa-tegas pun cuma mungkin ramai yang mendapat tahu pada saat-saat akhir, nampak seperti kami memaklumkan secara mengejut pada minggu yang sama dengan tarikh pernikahan kami.

"Kami mula berkenalan dengan bertukar-tukar pin Blackberry Messenger (BBM) pada awal tahun ini kemudian masing-masing senyap.

"Sehingga pada awal bulan Ramadan (Julai) lalu, saya ternampak gambarnya bertudung di status BBM. Lantas saya tegur, fikir saya mungkin dia berhijab untuk lakonannya.

"Kemudian, dia mengakui bahawa dia sudah berhijrah dan sedang mendalami ilmu agama. Pertama kali saya mengajak dia berjumpa dan kami berkongsi cerita.

"Selepas pertemuan itu, saya termimpikan Fiza dan selepas membuat solat istikharah, saya mengambil keputusan untuk melamar Fiza pada pertemuan kali kedua selepas menunaikan solat tarawih," ujar Adam yang ditemui usai majlis akad nikah.


ADAM menerima anak-anak Fiza iaitu Ferra Aryanna, 5, dan Feeya Adyrra, 4 sebagai anak tirinya dengan hati yang terbuka.


Sampai seru

Adam pada mulanya bercadang untuk menamatkan zaman bujangnya pada usia 28 tahun, namun apabila bertemu dengan Fiza, pelantun lagu Tak Tahu itu merasakan jodohnya telah sampai.

"Saya target untuk berkahwin pada usia 28 tahun tapi baru sekarang jodoh saya sampai. Malah, selepas melamar Fiza kami merancang untuk berkahwin pada tarikh 19 September sempena hari jadi saya tapi ada beberapa perkara yang tidak dapat diselesaikan sebelum tarikh itu.

"Saya mahukan isteri saya dekat dengan agama Islam dan dia pun ke arah mencari ilmu agama. Saya pun bukan seorang yang pandai tapi sekadar mampu untuk berkongsi sebagai pedoman hidup," tambah Adam.

Membina keserasian daripada kesilapan lampau, kata Adam, secara tidak langsung mengukuhkan ikatan yang terbina antaranya dan Fiza.

"Kami tidak selalu berjumpa tapi pertuturan, kehebatan dia dan kesilapan lalu yang membuatkan dia menjadi seorang wanita yang tegas selain memiliki kriteria seorang ibu yang penyayang membuatkan saya terpikat.

"Saya berdoa jika benar dia baik, dekatkan dia pada saya dan begitulah sebaliknya. Syukur Alhamdulillah kini dia sah menjadi isteri saya," ujar Adam.

Faktanya, Fiza sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama Ahmed Farriq Zainul Abidin dan telah bercerai tiga tahun lalu selepas dikurniakan dua orang cahaya mata, Ferra Aryanna, 5, dan Feeya Adyrra, 4.

Panggil Abi

Ditanya kesediaan Adam untuk menjadi bapa tiri kepada dua orang anak hasil perkahwinan pertama Fiza, katanya ketika pertama kali dipertemukan lagi dia sudah dipanggil Abi (ayahku).

"Saya bersedia untuk menjadi seorang ayah. Mungkin sejak kecil lagi saya sering menjaga adik-beradik saya yang jarak usianya jauh daripada saya menyebabkan saya menjadi seorang yang berdikari dan sukakan kanak-kanak," kata Adam.

Status Fiza sebagai ibu tunggal pula tidak mematahkan impian Adam untuk menyunting bekas anggota kumpulan Elite itu. Begitu juga penerimaan keluarga Adam.

"Ibu saya pada mulanya terkejut dengan keputusan saya kerana dia bimbang saya tidak mampu menggalas tanggungjawab besar ini.

"Pada hari raya Aidilfitri lalu, Fiza datang ke Kota Kinabalu untuk berjumpa dengan keluarga saya dan Alhamdulillah dia lulus sesi 'temuduga' tersebut.

"Tambah menarik, nenek, ibu dan emak saudara saya pula yang jatuh hati pada peribadi Fiza. Jujur saya katakan tanggungjawab saya kini bertambah besar dan saya berharap agar dipermudahkan urusan selepas ini," tutur Adam lagi.


ADAM terpaut dengan Fiza kerana melihat dia sebagai wanita yang cekal dan lemah lembut.


Jodoh lancar

Sementara itu, akui Fiza sebelum berkenalan dengan Adam dia terlebih dahulu mengenali dua orang jejaka lain namun masih teragak-agak untuk meneruskan perhubungan.

"Saya tidak sangka sebenarnya akan berkahwin dengan Adam, terkejut dan tidak jangka dia akan melamar saya dengan begitu cepat.

"Saya tiada jawapan untuk berkata tidak tentang lamaran itu kerana sepanjang perkenalan saya berasa senang bersamanya.

"Memang benar sebelum ini saya pernah berkenalan dengan dua orang lelaki lain selepas bercerai tapi ini hikmah Allah. Jodoh dan rezeki itu kita tidak tahu," buka bicara Fiza.

Mengharapkan agar jodoh bersama Adam dapat memperbaiki kekurangan diri, doa Fiza agar rumah tangga yang tercipta kekal hingga hujung usia.

"Saya akan memperbaiki kelemahan diri dan lebih banyak belajar daripada kesilapan lampau. Setelah berhijrah saya rasa lebih tenang dan tidak mudah melenting seperti dulu.

"Insya-Allah saya akan menjaga batas-batas pergaulan dan lakonan saya selepas ini. Tidak akan ada lagi adegan di atas katil mahu pun berpegangan tangan dan saya juga perlu memilih watak yang lebih sesuai dengan status dan penampilan saya sekarang.

"Keluarga saya merestui perhubungan saya dan Adam selain mengharapkan agar ikatan kami ini kekal hingga akhir hayat," katanya.

Fiza dan Adam dinikahkan oleh Pendaftar Nikah dan Rujuk Daerah Petaling, Suhaimi Ahmad Wakid berwalikan bapanya, Abdul Halim Abdul Aziz.

Pelakon itu menerima sepersalinan lengkap solat dan senaskhah al-Quran sebagai hantaran serta mas kahwin bernilai RM300.

Shuhaimi kecewa Fida lari

Posted:

Shuhaimi kecewa Fida lari

Shuhaimi kecewa Fida lari

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN

SHUHAIMI LUA


KECOH baru-baru ini apabila pengarah muda Shuhaimi Lua dikatakan mengamuk di set penggambaran gara-gara tindakan seorang pelakon utama telefilem Kampungku Aidil Adha (akan ditayangkan pada 15 Oktober) yang menghilangkan diri sebelum sesi penggambaran selesai.

Malah, Fida didakwa kerap merungut mengenai isu logistik sepanjang penggambaran selama lapan hari itu. Ekoran tidak puas hati, pelakon tersebut mengambil tindakan nekad meninggalkan set penggambaran tanpa sebarang penjelasan.

Kosmo! menemu bual pengarah Shuhaimi Lua yang meluahkan rasa kesal terhadap tindakan pelakon tersebut.

Dalam pada itu, Fida turut memberikan respons terhadap tohmahan yang dilemparkan terhadapnya selain menyatakan tindakan lanjut yang akan diambil berhubung perkara terbabit. Ikuti temu bual berikut.

Kosmo!: Apakah sebenarnya yang berlaku antara Shuhaimi dan Fida?

SHUHAIMI: Saya diberitahu oleh krew produksi bahawa Fida gagal menamatkan penggambaran seperti yang telah dijadualkan. Saya tiada sebarang masalah pun dengan mana-mana pelakon termasuk Fida sepanjang penggambaran lapan hari untuk telefilem itu. Akibat daripada tindakan Fida, jalan cerita terpaksa diubah memandangkan dia membawa watak utama. Jadi, saya masih menunggu penjelasan daripada pihaknya.

Mungkin anda juga ada dimaklumkan oleh krew produksi kenapakah Fida mengambil tindakan terbabit?

Ya, ada krew memaklumkan bahawa Fida tidak berkenan dengan dialog yang seperti memerli dirinya, tapi setahu saya sebelum dia memberikan kata putus untuk berlakon telefilem ini, dia sepatutnya sudah membaca dan memahami dialog terlebih awal dan bukannya melenting tidak tentu hala. Saya juga dimaklumkan bahawa Fida mempertikaikan kredibiliti saya sebagai seorang pengarah baharu.

Bagaimana pula dengan logistik pihak produksi yang dikatakan tidak memuaskan hati?

Sepanjang penggambaran di Baling, Kedah, saya tidak mendengar sebarang rungutan daripada Fida atau pun mana-mana artis lain berkenaan masalah logistik terutama hotel. Memandangkan lokasi penggambaran di kawasan kampung, sudah pasti hotel yang berdekatan pun bukannya hotel mewah.

Sepatutnya Fida boleh berbincang dengan saya masalah yang dihadapinya supaya saya boleh tolong selesaikan kerana apabila di set saya mempunyai kuasa untuk menentukan shot dan jadualnya. Bukannya hanya mengadu kepada pengurus peribadinya yang berada di Kuala Lumpur dan tidak tahu menahu apa yang berlaku.

Fida juga ada menulis di laman sosial Twitter bahawa jadual penggambaran yang kacau-bilau dan tidak menjaga kebajikannya. Komen anda?

Ada babak telefilem itu memerlukan kerjasama orang kampung seramai 500 orang untuk melaksanakan ibadah korban dua ekor lembu jadi mungkin jadual penggambaran tidak dapat diselarikan mengikut perancangan asal.

Apakah tindakan lanjut daripada pihak produksi?

Pihak pengurusan Fida ada menghubungi penerbit berkenaan urusan pembayaran dan konflik yang berlaku tapi saya tiada hak untuk masuk campur.

FIDA mendakwa dia meninggalkan set penggambaran kerana fobia terhadap kebajikan artis yang kurang diberi perhatian.


Fobia babak masuk hutan

Kosmo!: Fida dikatakan bersikap diva sepanjang penggambaran di Baling, Kedah baru-baru ini. Apakah komen anda?

FIDA: Saya tidak lari daripada set penggambaran, tapi sebenarnya lebih kepada fobia untuk babak terakhir kerana saya perlu masuk ke dalam hutan lagi. Saya bimbang akan keselamatan saya sebab krew produksi main redah saja masuk ke hutan yang baharu diterokai. Saya minta maaf, kebajikan untuk artis sangat teruk, saya tidak dibekalkan tempat pun untuk menukar baju dan mereka sepatutnya faham situasi saya sebagai perempuan.

Berkenaan kebajikan pula, saya diberikan sebuah bilik sempit yang perlu dikongsi bersama tiga lagi krew produksi. Saya akur.

Kenapakah sampai perlu meninggalkan set penggambaran, bukankah masalah seperti itu boleh dibawa berbincang?

Selagi perkara buruk tidak berlaku mungkin tiada pihak yang kisah, tapi saya perlu mengambil tindakan itu sebagai pedoman untuk artis-artis lain kerana artis pun ada hak. Saya memandang daripada sudut positif dan mengambil serius akan hal keselamatan saya. Saya harap produksi itu akan menjadikan perkara ini sebagai iktibar dan memperbaiki kelemahan agar lebih bagus.

Apakah tindakan lanjut daripada pihak anda terhadap soal kebajikan yang terabai itu?

Saya telah membuat aduan kepada Seniman dan saya menyerahkan tindakan lanjut kepada pihak tersebut.

Sudikah anda berjumpa atau mungkin selepas ini bekerjasama lagi dengan produksi terbabit?

Saya tidak kisah asalkan mereka profesional tapi saya tidak mahu perkara berulang. Shah (pengurus peribadi) pun sudah berbincang dengan mereka dan kalau ada perubahan positif saya tiada masalah cuma mungkin fobia itu masih ada. Takut juga selepas tamat penggambaran saya pula yang jatuh sakit.

Wan Nor Azlin tak kisah dilabel anak derhaka

Posted:

Wan Nor Azlin tak kisah dilabel anak derhaka

Wan Nor Azlin tak kisah dilabel anak derhaka

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


WAN NOR AZLIN mendakwa dia bersama tiga anaknya tinggal di rumah yang tiada bekalan air dan elektrik sejak lapan bulan lalu.


PERMASALAHAN yang melanda pelakon Wan Nor Azlin seperti tiada kesudahannya. Setelah kes dengan bekas suaminya berakhir, kini dia berhadapan pula konflik dengan bapanya kandungnya sendiri, Wan Mohd. Husain.

Semuanya berpunca daripada pemilikan sebuah rumah di Taman Keramat, Kuala Lumpur apabila bapanya menfailkan saman pada 5 Februari lalu kerana dia enggan keluar daripada rumah berkenaan yang diduduki tidak sampai setahun.

Pelakon itu meluahkan dia tidak kisah dengan segala tanggapan serong masyarakat terhadapnya, meskipun ada yang mahu melabelkannya sebagai anak derhaka.

Ujarnya, segala konflik yang timbul itu merupakan masalah dalaman keluarga. Disebabkan itu dia lebih banyak mendiamkan diri dan enggan memburukkan lagi keadaan.

Ikuti luahan Wan Nor Azlin seterusnya ketika ditemui semasa majlis pelancaran drama bersiri Mencintamu baru-baru ini.

Kosmo!: Apabila kisah pergeseran dengan bapa menjadi bualan ramai, adakah ia memberi impak kepada kehidupan anda?

WAN NOR AZLIN: Berkenaan dengan isu ini, impak yang paling ketara sudah tentu melibatkan maruah keluarga. Orang luar boleh bercakap apa sahaja yang disukai, tetapi mereka tidak tahu situasi sebenar yang berlaku. Apapun label yang diberikan kepada saya sekarang, ia langsung tidak menjadi kudis dalam kehidupan saya. Semuanya ini saya anggap sebagai ujian yang agak berat daripada Allah.

Apakah perkara yang membuatkan anda berasa kecewa?

Secara jujur saya kecewa apabila mengenangkan nasib ketiga-tiga anak saya berbanding diri sendiri. Bayangkanlah, kami tinggal di rumah tanpa bekalan air dan elektrik selama lapan bulan. Lagipun salah seorang anak saya sebelum ini bakal menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Sudah tentu sukar untuk dia membuat ulang kaji pelajaran dalam keadaan selesa.

Bagaimanakah pula dengan impak terhadap kerjaya lakonan?

Setakat ini tawaran berlakon masih lagi banyak, namun kerisauan itu tetap ada. Tidak dinafikan saya bimbang kalau ada penerbit atau pengarah yang enggan mengambil saya berlakon lagi. Sebelum ini saya pernah melalui zaman kejatuhan kerana kontroversi yang melanda, sehinggakan mengambil masa yang lama untuk bangkit semula. Lakonan juga merupakan periuk nasi dan punca rezeki untuk menyara anak-anak.

Mengapakah anda berat membuka mulut apabila diminta memberi komen terhadap permasalahan yang timbul?

Pertama sekali saya telah dinasihatkan oleh peguam supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan. Selain itu, saya tidak mahu isu dengan bapa kandung diperbesar-besarkan sehingga menjadi bualan ramai. Tambahan pula masyarakat akan tetap beranggapan seorang bapa betul manakala anak pula bersalah. Cuma, saya berharap supaya orang ramai tidak terus menjatuhkan hukum sebelum mengetahui keadaan dan situasi sebenar.

Selain mahkamah, tiadakah jalan lain yang boleh digunakan untuk menyelesaikannya?

Itu sahaja jalan yang ada kerana memang tiada pilihan lain yang boleh dilakukan. Lagipun saya hanya inginkan kos perbelanjaan menambah baik rumah tersebut berjumlah RM64,000 dapat dikembalikan semula.

Wang itu sangat penting kerana saya boleh menggunakannya membeli rumah lain atau menyewa untuk tempat saya dan anak-anak berteduh. Sebagai seorang ibu tunggal, saya mempunyai tanggungjawab yang besar kepada anak-anak.

Adakah anda tidak mahu berbaik-baik semula dengan bapa?

Apa pun yang terjadi dia tetap bapa kandung saya sampai bila-bila. Namun begitu, perkara yang paling mengecewakan saya apabila dia terus berubah setelah berkahwin lain. Ketika masih hidup bersama arwah ibu saya dahulu, sikapnya amat berlainan berbanding sekarang. Itulah yang membuatkan saya masih lagi terus tertanya-tanya dengan perubahan sikapnya itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved