Rabu, 11 September 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Persefahaman kekuatan Jambu

Posted:

Persefahaman kekuatan Jambu

Persefahaman kekuatan Jambu

DUO Jambu barangkali tidak mendapat liputan berlebihan seperti mana duo humor popular, Jozan. Bagaimanapun, Jambu yang dianggotai oleh Yusri Edoo (Yus) dan Zamaratul Amri Zakaria (Tauke), tidak dinafikan mempunyai aura tersendiri.

Jenaka mereka menggeletek hati secara spontan. Malah, tanpa wajah yang 'jambu', mereka mengumpul peminat tersendiri yang sering menanti bahan-bahan humor daripada mereka berdua.

Paling ketara, keserasian dan 'sambut-menyambut' jenaka mereka itulah yang membuatkan Jambu kuat.

Bagi Tauke, dia mengakui sangat terharu dengan penerimaan peminat terhadap dirinya dan Yus sekarang ini serta tidak menyangka Jambu mampu memberikan saingan kepada pelawak sedia ada.

"Saya dan Yus menganggap Jambu ini merupakan sebuah produk yang telah mengangkat nama kami. Lagipun kami mula dikenali ramai apabila bergabung bersama untuk bertanding dalam Maharaja Lawak.

"Kalau melihat dari segi tawaran pula, biasanya lapan daripada 10 tawaran yang diterima pastinya membabitkan Jambu. Ramai yang melihat kemampuan gandingan kami berdua berbanding secara solo," ujarnya ketika ditemui semasa majlis pelancaran Lawak Ke Der 3 baru-baru ini.

Menurut Tauke, dia sendiri lebih selesa untuk bergerak bersama-sama Yus kerana melihat kepada kekuatan yang dimiliki masing-masing apabila menghiburkan peminat dalam sesebuah acara.

Ujarnya, biarpun tidak menafikan terdapat tawaran solo yang diterima oleh mereka berdua, namun keutamaan pastinya akan lebih diberikan kepada Jambu.

"Sebenarnya kami sudah mencapai kata sepakat untuk tidak menghalang karier solo masing-masing kerana ia merupakan rezeki. Asalkan ia tidak bertembung dengan jadual Jambu.


KESERASIAN antara Yus dan Tauke merupakan antara faktor penting yang menjamin keutuhan Jambu.


"Andai kata kalau tawaran solo dan Jambu datang serentak, kami akan terima tawaran yang membabitkan Jambu. Mungkin tawaran solo itu lebih lumayan bayarannya tetapi kami lebih selesa kalau beraksi bersama-sama," jelasnya.

Memandangkan kini Jambu dilihat sebagai sebuah kumpulan pelawak yang semakin meningkat naik, Tauke menyatakan bahawa persefahaman merupakan kriteria utama untuk mereka terus kekal bersama.

Ujarnya, untuk terus kekal dalam industri hiburan bagi jangka masa panjang, persefahaman itu sangat penting sekiranya timbul sebarang perkara yang berbangkit.

"Tidak dinafikan memang ada sesekali timbul krisis antara kami berdua. Namun begitu, ia langsung tidak menggugat kami kerana percaya setiap permasalahan yang timbul itu ada jalan keluar untuk diselesaikan.

"Kalau wujud sebarang permasalahan, kami akan selalu berbincang dan segera menyelesaikannya. Kami tidak mahu masalah yang kecil sekalipun menggugat gandingan kami ini," ujarnya.

Peribadi

Biarpun dirinya bersama Jambu menjadi sebutan peminat tetapi Tauke turut tidak terlepas daripada dilanda cerita-cerita hangat yang membabitkan dirinya.

Antaranya, dia telah dikaitkan kerap bertukar-tukar teman wanita apabila sering muncul dengan wanita berlainan ketika hadir dalam sesebuah acara hiburan sehingga digelar playboy.

Ketika ditanya sama ada kontroversi terhadap dirinya itu menjejaskan nama Jambu, Tauke berkata, ia langsung tidak memberi sebarang impak dan tawaran yang diterima masih lagi banyak.

"Sebarang cerita yang timbul itu lebih kepada membabitkan perkara peribadi saya dan tidak berkaitan dengan Jambu. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu masyarakat mengaitkan perkara peribadi dengan kerjaya.

"Bagaimanapun, saya percaya peminat sekarang ini sudah lebih profesional dan tahu membezakan antara kerja dan cerita peribadi. Apa sahaja cerita kurang baik tentang diri saya, jangan kaitkan pula dengan Jambu," tegasnya.

Apabila diajukan pertanyaan mengenai sikapnya yang dilihat gemar berdampingan dengan wanita yang berbeza, Tauke memberitahu, ketika ini dia masih lagi sedang dalam proses untuk memilih wanita paling sesuai buat dirinya.


YUS (kiri) dan Tauke sudah mengenali antara satu sama lain sejak 13 tahun lalu.


Kembali popular

Dalam pada itu, menurut Yus, dia sendiri tidak menyangka keputusannya untuk bergandingan dengan Tauke akhirnya telah membuahkan hasil.

Mengakui terpaksa pulang ke kampung halamannya di Perlis setelah muncul juara Raja Lawak musim pertama dahulu, hasratnya untuk terus mencipta nama sebagai seorang pelawak tidak pernah padam.

"Dahulu saya pulang ke kampung kerana keadaan memaksa memandangkan tawaran yang diterima agak kurang sehingga menjejaskan sumber kewangan saya termasuk perbelanjaan harian.

"Sepanjang berada di kampung saya melakukan kerja asal iaitu sebagai guru tarian. Namun begitu, saya tetap bertekad untuk kembali ke Kuala Lumpur dan mengembangkan bakat sebagai pelawak," ujarnya.

Menurut Yus, ternyata tuah akhirnya memihak kepada dirinya apabila dihubungi oleh pihak Astro yang menawarkannya menyertai Maharaja Lawak dan bergandingan dengan Tauke.

"Sebenarnya saya sudah 13 tahun mengenali Tauke dan ketika berbincang dengannya untuk menyertai Maharaja Lawak, dia terus memberikan persetujuan dan akhirnya wujudlah Jambu.

"Kemudian, kami tidak sangka pula wujudnya keserasian antara kami sehinggalah Jambu semakin popular dan diminati ramai.

"Ini semua merupakan rezeki yang tidak dijangka sama sekali," ungkapnya yang turut terharu dengan sokongan peminat.

Aril tidak tolak rawatan laser

Posted:

Aril tidak tolak rawatan laser

Aril tidak tolak rawatan laser

ARIL kini kelihatan berbeza dengan kulit badan yang cengkung dan warna kulit yang lebih putih.


PENYAMPAI baharu radio Era FM, Aril ketika ditemui pada Fiesta Bola dan Eravaganza Era FM baru-baru ini kelihatan susut berat badan berbanding pada pertengahan bulan Ramadan lalu.

Mungkin kerana perubahan berat badannya, raut wajah bekas pelajar Akademi Fantasia musim ketujuh itu tampak berbeza daripada sebelum ini, lebih cengkung dan putih.

Enggan mencetuskan sebarang syak wasangka, Kosmo! mendapatkan maklum balas lanjut daripada penyanyi kelahiran Kuala Lumpur itu. Ikuti temu bual tersebut.

Kosmo!: Aril tampak berbeza daripada sebelum ini, lebih kurus. Kenapa?

ARIL: Jujur saya akui memang berat badan saya semakin merosot kerana waktu tidur dan jadual makan saya terganggu. Malah, saya tidak menolak yang badan saya masih cuba menyesuaikan keadaan dengan cara kerja begini.

Bagaimanakah jadual kerja Aril sehingga menyebabkan berat badan turun?

Saya mengendalikan konti radio dari pukul 8 malam hingga 12 tengah malam setiap hari kecuali hujung minggu. Tambahan saya susah untuk tidur, biasanya selepas habis kerja saya akan keluar lepak bersama kawan-kawan sampai pukul 3 pagi kemudian apabila balik rumah pun belum tentu dapat lelap. Biasanya waktu tidur saya selepas subuh sampai tengah hari tapi saya masih mengamalkan pengambilan vitamin dan air suam.

Berapakah perbezaan berat badan Aril sebelum ini?

Sebelum saya ke Eropah beberapa bulan lalu, berat badan saya 68 kilogram dan selepas dua minggu di sana, saya turun empat kilogram. Sekarang, berat saya 64 kilogram.

ARIL tidak kisah ada pihak yang melabelkan dirinya sebagai 'jambu' (comel).


Adakah Aril menjalani sebarang rawatan pada bahagian muka memandangkan kini nampak lebih putih berbanding awal-awal menjadi artis?

Saya tidak cucuk botoks (ketawa). Sebelum ini saya menggunakan pencuci muka biasa tapi biasalah kulit bermasalah dan saya bertukar-tukar beberapa produk rawatan wajah termasuk menggunakan Tabitha.

Tidak salah rasanya untuk berbelanja lebih untuk pengambilan pil dan ubat-ubatan tapi apabila sudah beransur baik, saya berhenti makan.

Adakah sekarang Aril sudah berhenti mengambil produk tersebut?

Saya sekarang ada berjumpa pakar kulit dan berbelanja lebih kurang RM400 sebulan.

Sepatutnya selepas tiga bulan saya perlu menjalani rawatan laser kalau masalah masih berlanjutan, cuma sekarang saya tidak berkesempatan.

Maksudnya Aril akan melakukan rawatan laser?

Tidak salah rasanya untuk berbelanja lebih demi diri sendiri. Kalau perlu buat demi kerjaya, saya tidak menolak. Orang mungkin tak suka dengan gelaran 'jambu' (comel) tapi saya terima saja, jadi jambu pun mesti ada gaya.

Aril kini sibuk menjadi deejay radio, adakah kerjaya sebagai penyanyi ditolak ke tepi?

Saya telah menandatangani kontrak dengan radio Astro dan pada masa sama sedang mempromosikan single terbaharu berjudul Tulus bersama penyanyi dari seberang, Terry di bawah label Sony Music.

Selain itu, saya sedang menyiapkan rakaman untuk album saya.

Sebagai deejay radio, adakah Aril akan memutarkan lagu sendiri kelak?

Keputusan airplay tidak terletak di tangan saya sebagai deejay, sebaliknya Eksekutif Muzik di setiap stesen radio. Kalau lagu saya diletakkan untuk diputarkan itu adalah rezeki saya.

KL Gangster 2 sedia masuk pawagam

Posted:

KL Gangster 2 sedia masuk pawagam

KL Gangster 2 sedia masuk pawagam

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


KL GANGSTER 2 akan menjengah pawagam pada 3 Oktober depan.


SEWAKTU Kosmo! menantikan sutradara terkenal, Datuk Yusof Haslam untuk sesi temu bual, beliau mendapat panggilan telefon daripada seorang kenalan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Panggilan itu ekoran penayangan filem KL Gangster 2 secara haram di sebuah pusat beli-belah di sana dan atas sebab itu Yusof meminta agar tindakan segera diambil terhadap premis tersebut untuk mengelakkan perkara menjadi lebih serius.

"Apabila diminta untuk menghentikan tayangan, kenalan saya didatangi sekumpulan gengster pula sampai melarat ke balai polis.

"Ingin saya ingatkan, jangan mengambil tindakan tidak bijak untuk menayangkan filem KL Gangster 2 secara haram. Jangan berkompromi atau menjual DVD atau VCD cetak rompak!" tegas Yusof yang ditemui usai tayangan perdana filem KL Gangster 2 di One Utama, Petaling Jaya, Selangor kelmarin.

Yusof menjelaskan, sejak isu ketirisan filem arahan anaknya, Shamsul Yusof itu beberapa minggu sebelum ini, dia tidak putus-putus dihujani panggilan telefon bertanyakan situasi sebenar.

Kontroversi berantai

Untuk memujuk hati kata Yusof, filem KL Gangster 2 yang telah tersebar lebih awal itu baru 50 peratus sempurna dari segi pasca produksi termasuk skala warna dan kesan visual khas.

"Perkara yang telah berlaku merupakan satu ujian dan hidup ini tidak mudah. Sepanjang dua tahun filem ini menjalani pembikinan, pelbagai krisis timbul dan saya fikir tempoh suntingan lebih lapan bulan memang berbaloi dan memuaskan hati," ujarnya.

Krisis anak bapa (antara Yusof dan Shamsul), ketirisan filem dan terbaharu, kontroversi skandal Adi Putra, bagi Yusof merupakan cabaran terbesar sepanjang pembabitannya dalam industri perfileman.

"Hidup ini perlu cekal dan inilah cabaran. Sukar untuk menduga sambutan filem apabila masuk panggung, mungkin ada filem yang dirasakan laku tapi akhirnya tak jalan. Saya terima ketentuan Allah," katanya yang menjelaskan siasatan mencari dalang terbabit kes ketirisan filem KL Gangster 2 masih berlanjutan.

DATUK YUSOF HASLAM mewakili anaknya, Syamsul Yusof selaku pengarah KL Gangster 2. Yusof turut menasihati anaknya, Syamsul yang merancang untuk berhenti mengarah kerana kecewa filemnya dibocorkan di internet.


Syamsul berhenti mengarah

Dalam pada itu, Yusof turut memberikan respons terhadap tindakan Shamsul yang enggan menghadiri tayangan perdana KL Gangster 2 mahupun mengulas mengenai isu yang berlaku.

"Saya nampak usaha seorang anak muda yang bertungkus lumus dan sangat ghairah menghasilkan filem, namun apabila filemnya dirompak sebegini dia patah hati dan saya faham dia sukar menerimanya.

"Dia pernah menyatakan dia merajuk dan saya khuatir dia enggan menghasilkan filem lagi selepas ini. Saya menjadi tidak keruan tapi saya sebagai bapa perlu tunjukkan keberanian di hadapan anak-anak saya.

"Adalah suatu kehilangan besar industri dan saya orang paling kecewa jika betul dia mahu tarik diri dari dunia seni. Saya harap dia tidak silap perhitungan dan jangan kecewa kerana industri ini sentiasa menyokongnya," kata Yusof.

Yusof menjanjikan kepuasan luar biasa kepada penonton yang memilih untuk menyokong KL Gangster 2 di pawagam.

Katanya, filem ini menjanjikan kualiti dan kesan khas yang tidak pernah ditampilkan filem-filem tempatan sebelum ini.

Beliau menjelaskan sebab filem KL Gangster 2 mengadakan tayangan perdana tiga minggu lebih awal daripada tarikh tayangan (3 Oktober 2013) berikutan mahu memberikan ruang untuk malam gala sebuah filem tempatan yang membabitkan pelakon sama iaitu Aaron Aziz.

"Sepatutnya tayangan perdana KL Gangster 2 diadakan pada hari Khamis (12 September) tapi tarikh itu bertindih dengan malam gala sebuah filem lakonan Aaron Aziz.

"Lagipun, mengikut tradisi filem-filem saya sebelum ini, tayangan perdana memang dilaksanakan sebulan atau tiga minggu lebih awal daripada tarikh tayangan," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved