Sabtu, 20 Julai 2013

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Tiada lagi gaya MPV mini

Posted:

Tiada lagi gaya MPV mini

Tiada lagi gaya MPV mini

Oleh SHAWKATH AZDE

PEMBABITAN Mercedes-Benz dalam segmen kenderaan saiz kecil bermula dengan pengenalan siri W201 (190E) sekitar tahun 1980-an.

Model 190E menarik perhatian pengguna sehingga ia berjaya mencatat jualan terbaik bagi Mercedes-Benz di bawah konglomerat Daimler AG.

Peredaran zaman telah mengubah trend pembelian kenderaan. Pengguna lebih cenderung memiliki sebuah kenderaan bersaiz kecil.

Fenomena yang berlaku di pasaran Eropah dan Asia itu disedari Mercedes-Benz. Syarikat itu kemudiannya tampil memperkenalkan satu kategori kenderaan baharu iaitu A-Class.

A-Class merangkumi model kenderaan subkompak. Bertempat di Pameran Motor Frankfurt, Jerman pada tahun 1997, Mercedes-Benz memperkenalkan dua varian A-Class iaitu A 140 dan A 160.

A-Class memiliki rekaan yang agak unik pada ketika itu. Ia kompak tetapi tinggi. Ada iras-iras seperti sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mini.

Sungguhpun begitu, Mercedes-Benz tetap mengaplikasi kekuatan yang dimiliki iaitu kualiti dan keselamatan rangkaian produk keluarannya.

Tahap keselamatan A-Class dikatakan sama seperti mana-mana model sedan Mercedes-Benz. Namun, insiden pada 22 Oktober 1997 mendatangkan tamparan hebat kepada pengeluar itu.

Salah sebuah A-Class dilaporkan terbalik ketika ujian Moose dilakukan di Sweden. Pemandu kereta itu ialah Timbalan Editor majalah Teknikens Vaerld (World of Technique), Robert Collin.

Ujian Moose adalah satu corak pemanduan spontan untuk mengelakkan kenderaan bertembung dengan objek yang muncul secara tiba-tiba di hadapan jentera.

Pemandu perlu membelok ke sebelah kiri untuk mengelak pelanggaran, sebelum mengemudi semula jentera ke bahagian kanan jalan sebaik sahaja melepasi halangan itu.

Insiden itu mendorong Daimler AG untuk memanggil semula produk A-Class bagi program naik taraf.

Biarpun begitu, A-Class tetap meraih sambutan memberangsangkan. Statistik jualan bagi generasi pertama (dari tahun 1997 hingga 2004) mencecah paras 1.7 juta unit.

Selepas itu, generasi kedua diperkenalkan sehingga tahun 2012. Reka bentuknya tidak jauh berbeza dengan model terdahulu. Cuma lebih banyak menerima sentuhan teknologi keselamatan baharu.


DARI kiri: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBM, Roland S.Folger (kiri) dan Naib Presiden Jualan dan Pemasaran MBM, Kai Schlickum pada majlis pelancaran dua varian Mercedes-Benz A-Class terbaharu di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Jika diamati beberapa tahun kebelakangan ini, para pemain dalam segmen kereta subkompak telah menampilkan produk-produk yang agak menawan.

Antara contoh mudah ialah BMW 1 Series, Audi A3, Volvo V40 dan Volkswagen Golf.

Bagi memacu momentum persaingan, Mercedes-Benz baru-baru ini tampil dengan generasi ketiga A-Class. Apa yang pasti, tiada lagi warisan rekaan ala-ala MPV mini.

Generasi ketiga A-Class dipertontonkan pada Pameran Motor Geneva di Switzerland baru-baru ini.

A-Class memiliki susuk tubuh sebuah hatchback dengan garisan badan yang meningkatkan lagi sifat maskulin.

Untuk pasaran tempatan, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) membawa masuk dua varian iaitu A 200 Blue EFFICIENCY dan A 250 Sport.

A 200 BlueEFFICIENCY

A 200 BlueEFFICIENCY memiliki adunan tona gelap dan sifat sport pada keseluruhan kenderaan.

Pandangan hadapan menampilkan pemasangan gril radiator hitam dengan dua buah ram. Perumah cermin pandang sisi pula disalut cat hitam. Saiz rim aloinya berukuran 18 inci.

Buka pintu varian ini, didapati kerusi sport dibalut material fabrik ARTICO. Kedua-dua kerusi bahagian hadapan ada fungsi memori dan boleh dilaras secara elektrik.

Panel instrumen membabitkan dua set meter yang mana jarum petunjuk akan menunjuk arah pukul 6 jika berada dalam kedudukan pegun.

A 250 Sport

Jika mahu A-Class yang lebih sporty, A 250 Sport adalah jawapannya. Jentera itu memiliki sentuhan talaan jurutera AMG untuk pemanduan dinamik bersama beberapa komponen berprestasi khas.

Komponen dimaksudkan ialah sistem suspensi AMG. Selain itu, gandar hadapan pula dibangunkan khas oleh tenaga pakar Mercedes-AMG.

Tambahan lain membabitkan gayaan AMG Sport pada bahagian luaran jentera.

Ini termasuk gril radiator berbentuk berlian pada bahagian hadapan. Trim warna merah dicalit dapra hadapan dan belakang kereta.

Lampu utama ditambah seri menerusi penggunaan gegelung warna merah. Rim aloi AMG berukuran 18 inci turut dipadankan pada jentera itu.


RUANG kabin varian A 200 BlueEFFICIENCY didominasi dengan tona warna putih.


Ruang kabin dilengkapi kerusi sport pada bahagian hadapan dengan fungsi memori. Material digunakan adalah jenis mikro fiber ARTICO/DINAMICA dengan jahitan benang merah.

Stereng tiga jejari, perehat tangan dan konsol tengah disalut material kulit nappa bersama sulaman benang merah.

Instrumen meter dilengkapi butang dail warna perak dengan jarum petunjuk merah. Trim kemasan gentian karbon juga diberikan pada kawasan papan pemuka.

Inovasi ciri keselamatan

Kedua-dua varian itu mempunyai butang ECO start/stop sebagai usaha mengurangkan pembebasan emisi karbon.

Generasi baharu ini dilengkapi beberapa inovasi termaju seperti Sistem Amaran Radar Pelanggaran dan Bantuan Mengelakkan Pelanggaran dengan Bantuan Brek.

Kedua-dua teknologi itu mengurangkan risiko pelanggaran di bahagian belakang kenderaan.

Ciri keselamatan lain adalah adaptive high beam assist (untuk model A 250 Sport sahaja), ATTENTION ASSIST, Brake Hold, Hill-Start Assist, Active Parking Assist, kamera pandang belakang dan PRE-SAFE.

Pengenalan A-Class di Malaysia baru sahaja bermula. MBM ada rancangan untuk menambah satu lagi varian lebih bertenaga tidak lama lagi. Sama-sama kita nantikan.

Honda Jazz petrol RM74,800

Posted:

Honda Jazz petrol RM74,800

Honda Jazz petrol RM74,800


JAZZ didatangkan dengan empat pilihan warna.


JIKA sebelum ini, model Honda Jazz yang ditawarkan kepada pembeli tempatan boleh dikategorikan sebagai mahal. Kini persepsi itu dilihat tidak lagi relevan.

Honda Malaysia baru-baru ini memperkenalkan model kenderaan CKD kompak itu pada harga di bawah paras RM75,000.

Lebih tepat, harga atas jalan bagi model Honda Jazz varian petrol dijual pada harga RM74,800 seunit atas jalan termasuk insurans.

Tindakan itu sekali gus menjadikan produk CKD Honda Jazz keluaran kilang di Pegoh, Melaka sebagai kereta pertama jenama Honda paling murah dalam rangkaian kenderaan jenama Jepun itu.

Produk yang disasarkan kepada golongan muda profesional dan keluarga kecil urban masih mengekalkan sifat pemanduan menyeronokkan untuk gaya hidup masa kini.

Rangkaian kuasa digunakan tetap sama seperti model yang diimport iaitu enjin 1.5 liter i-VTEC beserta transmisi lima kelajuan automatik. Untuk mengelakkan penukaran gear yang tidak perlu, kotak gear itu dilengkapi ciri Shift Hold Control.

Enjin SOHC itu berupaya menjana kuasa output maksimum sebanyak 120PS, manakala torknya setinggi 146Nm.

Pakej keselamatan yang didatangkan bersama Jazz ialah dua beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Sistem Brek Antikunci (ABS), Sistem Pengagihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA) serta Teknologi Kawalan G-Force (G-CON).


RUANGAN dalam tidak jauh berbeza dengan model yang diimport sebelum ini.


Ruang kabin dilengkapi kerusi Ultra Seat berwarna biru hitam, sistem kemasukan tanpa kunci, sepuluh ruang pemegang minuman dan sistem audio dengan ketersambungan AUX/USB.

Bahagian luaran melibatkan penggunaan rim 15 inci dengan tayar bersaiz 175/65. Tambahan lain ialah cermin tutup automatik, lampu LED belakang dan lampu kabus.

Bagi yang mahukan kelainan, anda boleh mendapatkan kit badan Modulo pada harga RM3,950. Komponen yang diberikan ialah gril hadapan, spoiler hadapan, spoiler belakang, skirt sisi dan spoiler bahagian bawah pada bampar belakang.

Selain Modulo, "Urban Package" dijual pada harga RM2,550. Anda diberikan gril baharu, bekas simpanan barang di bahagian belakang, pencahayaan di kawasan pintu hadapan, pedal aloi dan spoiler belakang.

Honda Jazz varian petrol itu didatangkan dengan empat pilihan warna iaitu putih, perak, coklat dan hitam. Jaminan diberikan adalah selama tiga tahun atau jarak perbatuan 100,000 kilometer.

JPM Motorsport beri sumbangan kepada SAMH

Posted:

JPM Motorsport beri sumbangan kepada SAMH

JPM Motorsport beri sumbangan kepada SAMH


CHIN (tengah) bergambar bersama pengurusan dan penghuni SAMH selepas selesai majlis penyampaian sumbangan di ibu negara baru-baru ini.


JPM Motorsport baru-baru ini menyampaikan sumbangan berjumlah RM26,000 kepada The Selangor and Federal Territory Association for the Mentally Handicapped (SAMH).

Sumbangan itu diperoleh menerusi hasil kutipan aktiviti jualan ais krim kepada orang ramai sepanjang penganjuran perlumbaan pusingan ketiga Autobacs Super GT di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini.

Pemberian itu dijangka dapat menampung kos sara diri dan perbelanjaan latihan untuk 13 orang kanak-kanak bagi tempoh setahun.

SAMH adalah organisasi kesukarelawan yang tidak berasaskan keuntungan. Ia menganjurkan pelbagai program untuk kira-kira 500 kanak-kanak yang memiliki ketidakupayaan berkaitan pemikiran.

"Kami mahu mengucapkan terima kasih kepada semua penonton dan penggemar sukan bermotor yang berbelanja untuk membeli ais krim ketika berlangsungnya Autobacs Super GT.

"Hasil jualan yang diterima kemudiannya disalurkan sepenuhnya kepada SAMH," kata Pengurus Besar JPM, TP Chin dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved