Kosmo Online - Horizon |
Tangkap ikan kelah dengan tangan Posted: Tangkap ikan kelah dengan tanganOleh NADIA SHAIFUL BAHARI SEBAIK sahaja memasuki simpang Bentong, Pahang perjalanan kru Horizon menuju ke Taman Negara Pahang Sungai Relau (TNPSR) ditemani oleh pemandangan pekan-pekan kecil. Sedikit sebanyak suasana tersebut menjadikan perjalanan sejauh 250 kilometer dari Kuala Lumpur tidak dirasakan terlalu jauh. Perjalanan itu melewati pusat bandar Bentong, Raub dan Kuala Lipis sebelum tiba di destinasi yang dinanti-nantikan. Pemanduan ke sana menjadi sedikit mencabar kerana terdapat banyak kenderaan memotong secara berbahaya walaupun berada di selekoh tajam di jalan satu lorong itu. Namun, hati semakin teruja tatkala melihat beberapa bongkah 'hutan batu' gergasi yang ditumbuhi pohon-pohon hijau merimbun, menandakan lokasi yang ingin dituju semakin hampir. Pemanduan selama lima jam terbayar sewaktu kaki melangkah masuk ke hutan simpan TNPSR, Merapoh di Kuala Lipis. Ketenangan benar-benar dirasakan bagi mereka yang ingin melarikan diri daripada kesibukan kerja kerana tiada gangguan panggilan keluar masuk di TNPSR. Liputan perkhidmatan telefon mudah alih terhad membuatkan anda lebih dekat dengan alam semula jadi. Suasana di rimba masih terjaga dengan kekayaan flora dan fauna yang diidamkan oleh seorang pencinta alam. Jika anda ingin merasa sendiri pengalaman menangkap ikan kelah menggunakan tangan kosong, TNPSR adalah tempatnya. Pengurus RA Adventure & Tours, Roslan Abdullah, 49, atau lebih dikenali dengan nama Pak Teh oleh penduduk setempat sudah berpengalaman selama enam tahun membawa pengunjung ke santuari ikan kelah TNPSR. SEKUMPULAN pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa, Kuala Lipis beriadah di santuari ikan kelah pada cuti hujung minggu. Di situ pengunjung boleh menangkap ikan kelah hanya dengan menggunakan tangan. Tiada magis dan mata kail diperlukan. Itulah keunikan santuari berkenaan kerana ikan kelah yang terdapat di sana sudah jinak dengan manusia. "Pengunjung boleh memberikan makanan di atas tapak tangan, malah mengangkat ikan kelah dengan begitu sahaja di santuari ini. Tetapi mereka harus melepaskan ikan tersebut kembali ke sungai selepas menangkapnya supaya populasinya tidak terganggu. "Pihak kami membawa pengunjung melawat santuari selama dua jam untuk dua sesi iaitu pada pukul 10 pagi atau 2 petang," ujarnya yang menternak ikan tilapia dan patin sejak tahun 1987. Taman Negara Pahang yang berkeluasan 4,343 kilometer persegi sememangnya kaya dengan khazanah alam untuk diteroka sesuai dengan Tahun Melawat Malaysia 2014. Kepada mereka yang ingin meneroka kehidupan malam di taman negara itu, anda pasti tidak mahu melepaskan peluang melihat hidupan liar dengan mengikuti aktiviti Night Safari Walk. Penguasa Taman Negara Pahang, Abu Zahrim Ismail berkata, mereka yang bernasib baik berpeluang melihat haiwan jenis nokturnal (haiwan yang aktif pada waktu malam) seperti tapir, musang dan kucing hutan ketika Night Safari Walk. "Pengunjung dinasihatkan agar tidak memakai wangian dan tidak membuat bising kerana ia akan menyebabkan haiwan tersebut lari. "Mereka akan dibawa menaiki kenderaan yang dipandu oleh pemandu pelancong berlesen kerana laluan yang digunakan agak jauh iaitu sepanjang tujuh kilometer," jelasnya. Bagi penggemar aktiviti lasak bolehlah mencuba aktiviti menerokai gua-gua yang terdapat di Merapoh. Aktiviti selama tiga jam tersebut mendedahkan pengunjung kepada cabaran memanjat dinding gua menggunakan tali, meredah tasik dan abseiling untuk keluar dari perut gua. Pemandu pelancong alam semula jadi, Mohd. Zulkifli Daud, 40, membawa kru Horizon mencuba sendiri aktiviti tersebut di salah satu gua terkenal di Merapoh iaitu Gua Jinjang Pelamin. "Pengunjung tidak perlu bimbang dengan aspek keselamatan kerana segala kelengkapan berkaitan disediakan dan mereka akan diiringi beberapa orang petugas untuk memastikan segalanya berjalan lancar.
"Keunikan gua ini, tasik dalam gua akan dipenuhi dengan air pada musim kering, manakala air gua menjadi kering apabila tiba musim hujan. Kami masih belum mengetahui tentang penjelasan saintifik di sebalik fenomena tersebut," katanya sambil berpesan kepada mereka yang berminat agar menghubungi RA Adventure & Tours terlebih dahulu untuk membuat tempahan awal. Gua Jinjang Pelamin mendapat namanya disebabkan oleh percantuman dua tiang atau batu kapur stalagtit dan stalagmit. Deruan hormon adrenalin bertambah rancak apabila berpeluang pula memandu kenderaan semua permukaan (ATV) yang baru diperkenalkan sejak awal tahun ini di Taman Cabaran Merapoh. Pengusahanya, Mohd. Hafizul Hafiz Abdullah, 30, memberitahu, terdapat cabaran laluan ATV disediakan buat masa ini di taman tersebut. Setiap laluan memiliki tahap kesukaran yang berbeza bersesuaian dengan permintaan pelanggan. "Harga bagi setiap laluan cabaran bergantung kepada tahap kesukarannya. Ada laluan yang dibuat di luar kawasan taman negara kerana ia lebih ekstrem. "Pelanggan akan dibekalkan dengan kelengkapan keselamatan lain seperti topi keledar keselamatan, gogel khas, sarung tangan, pad siku dan lutut, selain diminta untuk memakai kasut bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku," ujarnya. | |
Ihya' Ramadan untuk Muslim di Bangladesh Posted: Ihya' Ramadan untuk Muslim di BangladeshOleh NADIA SHAIFUL BAHARI MOSTAFA (kanan) menunjukkan hidangan tradisional masyarakat Bangladesh kepada Mohd. Fareez Syahmi. AIR Terjun Nafakhum dan Remakri, Tasik Prantik dan Upavon Parjatan serta Sungai Sangu antara khazanah alam semula jadi yang masih kekal keindahannya di bumi Bangladesh. Namun, liputan media tentang kemiskinan dan kebanjiran rakyat Bangladesh di bumi bertuah seperti Malaysia seakan-akan menenggelamkan segala cerita indah dari republik tersebut. Hakikatnya banyak destinasi percutian menakjubkan ada di Bangladesh yang menanti untuk diterokai pelancong antarabangsa. Misalnya, Air Terjun Nafakhum dan Remakri yang tersenarai sebagai tempat tercantik di negara itu. Tasik Upavon Parjatan yang terletak di Naikhongchari pula diibaratkan sebagai anugerah alam terindah kerana air tasiknya jernih kehijauan. Malah, ia dikelilingi oleh landskap hutan yang kaya dengan flora dan fauna. Bangladesh merupakan sebuah negara republik yang memiliki populasi umat Islam sebanyak 90 peratus daripada 150 juta rakyatnya. Ia negara umat Islam keempat terbesar di dunia. Tidak hairanlah rakyat Bangladesh yang dihimpit kemiskinan sering dikaitkan dengan masyarakat Islam. Sebahagian besar mereka terpaksa berhijrah ke negara lain untuk mencari sesuap nasi. Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, anda berpeluang bersedekah serendah RM10 bagi membolehkan rakyat Bangladesh menikmati juadah berbuka puasa dengan lebih lengkap. RAKYAT Bangladesh mengalami masalah kekurangan makanan yang berterusan selain tidak mendapat pendidikan sempurna. Ringankan beban saudara Islam Pengarah Ukhuwwah Tijarah Sdn. Bhd., Mohd. Fareez Syahmi Mohd. Sith berkata, syarikatnya mengadakan kerjasama dengan Yayasan Dr. Jamal Uddin (Bangladesh) untuk mengumpul dana bagi menjalankan majlis iftar dan sahur di sana. "Kami berharap rakyat Malaysia yang prihatin dengan saudara Islam kita di Bangladesh dapat memberi derma ikhlas agar boleh dikongsi kegembiraan bersama mereka yang memerlukan pada bulan Ramadan ini. "Dengan nilai RM10 yang disedekahkan, masyarakat Muslim di Bangladesh boleh menikmati sembilan jenis makanan pada waktu berbuka puasa dan sahur," ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini. Dalam pada itu, wakil Yayasan Dr. Jamal Uddin, Mostafa Jamal Uddin berkata, pihaknya memuji usaha Ukhuwwah Tijarah kerana membantu meringankan beban hidup rakyat Bangladesh. "Sebelum ini, pihak Ukhuwwah Tijarah pernah menyampaikan sumbangan selimut kepada masyarakat kami di sana memandangkan sebahagian besar tidak memiliki kelengkapan sempurna bagi menghadapi cuaca sejuk. "Tentunya usaha mengutip dana seperti ini memberi makna yang besar kepada kami untuk menyambut Ramadan dengan lebih sempurna," jelasnya yang merupakan seorang pensyarah institusi pengajian tinggi swasta di ibu negara. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Horizon To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan