Rabu, 3 Julai 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Waris mahu raih anugerah

Posted:

Waris mahu raih anugerah

Waris mahu raih anugerah

REMBAU MOST WANTED barangkali sebuah lagu yang dihasilkan secara suka-suka oleh seorang jejaka dengan pengenalan nama Waris.

Bagaimanapun, ia meledak seperti 'bom' apabila lagu tersebut mendapat sambutan di luar jangkaan. Loghat Negeri Sembilan yang digunakan Waris telah membuat dirinya 'terpilih' untuk masuk sebagai pendatang baharu dunia seni suara tanpa perlu bersusah payah.

Muzzammil Alias, begitu nama asal penyanyi yang baru berusia 24 tahun ini. Kini, selepas hampir setahun bergelumang dalam dunia seni, dia semakin hampir dapat menggapai impiannya.

Salah satu impian yang sekian lama dipendam ialah untuk berduet dengan penyanyi terkenal, Datuk Hattan. Dan, akhirnya, impian itu termakbul.

Menerusi lagu Ke Jelobak Ke Jolobu ciptaan Waris sendiri, Hattan bersetuju menyanyikan lagu itu bersamanya malah, pelantun lagu Biso Bonar itu cukup percaya dengan kreativiti penyanyi itu.

"Saya mengenali dia (Waris), malah saya juga diberitahu Waris meminati saya dan ingin berkolaborasi. Saya setuju dan percaya 300 peratus dengan kreativiti Waris," tutur Hattan ketika ditanya mengenai Waris.

Lagu Ke Jelobak Ke Jolobu tersebut sekali gus menjadi single ketiga Waris selepas lagu 'berhantu', Rembau Most Wanted dan Botingkek (nyanyi bersama penyanyi rap Juzzthin).

Mengulas mengenai single ketiganya itu, ungkap Waris, jika lagu Botingkek mengisahkan tentang padah apabila berbelanja tanpa berpada-pada, lagu Ke Jelobak Ke Jolobu pula menceritakan mengenai nama tempat.

"Sudah lama sebenarnya saya meminati Datuk Hattan dan teringin untuk berkolaborasi dengannya.

"Syukur, dia terima. Single ketiga saya bersama dia (Hattan) masih mengekalkan dialek Negeri Sembilan," ujarnya.

Ditebak sama ada dia begitu taksub dengan negeri kelahirannya kerana semua lagu-lagunya dinyanyikan dalam dialek Negeri Sembilan, ternyata penyanyi kelahiran Rembau itu mempunyai jawapannya.

IMPIAN Waris untuk berkolaborasi dengan Hattan kini tercapai.


Idam anugerah

Jelasnya, dia bukan terlalu taksub sehingga tidak mahu menyanyikan lagu bahasa Melayu tetapi mengakui mempunyai semangat kenegerian.

Begitupun, dedah Waris, selain loghat Negeri Sembilan, dia juga akan menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa Melayu dan Inggeris untuk dimuatkan dalam album pertamanya.

"Saya merancang untuk keluarkan album pada tahun ini. Walau bagaimanapun, bukan semua lagu dalam album saya nanti dinyanyikan dalam dialek Negeri Sembilan.

"Saya turut menyanyikan beberapa buah lagu bahasa Melayu dan Inggeris," ujarnya yang menyerahkan tugas membuat persiapan album itu kepada DJ Fuzz.

Disoal mengenai keberaniannya menghasilkan album saat artis lain lebih cenderung menghasilkan single sahaja, ulas Waris, dia memasang impian untuk menggondol anugerah dalam mana-mana pertandingan muzik.

Jelas Waris yang bernaung di bawah syarikat rakaman Mixology Music, sebagai seorang pemuzik yang mempunyai impian sebegitu (dapat anugerah), dia harus mempunyai sebuah album.

Mengulas kenapa menggunakan nama pentas Waris, ujarnya, dia sudah menggunakan nama Waris sejak aktif dalam muzik underground lagi.

"Nama Waris ini gelaran bagi suku sakat di Negeri Sembilan. Saya sudah guna nama Waris sejak dulu lagi iaitu semasa mula-mula terlibat dalam muzik underground. Lagipun, nama Waris kelihatan nogori (negeri) sikit," jelasnya sambil ketawa.

Siapa Waris

Mengenali Waris dengan lebih dekat lagi, mungkin masih ada peminat yang keliru mengenai identitinya.

Waris menegaskan, dirinya bukan hanya bergerak solo dan tidak terlibat dengan mana-mana kumpulan. Cuma, jelasnya, dia hanya berkolaborasi bersama penyanyi rap lain seperti Juzzthin.

"Ramai yang masih keliru sama ada Waris itu nama bagi artis berkumpulan. Saya sebenarnya bergerak solo dan bukan berkumpulan.

"Individu lain yang sering bersama saya ketika beraksi adalah teman kolaborasi dan gandingan yang saya undang untuk memeriahkan lagu dan persembahan sahaja. Selebihnya saya bergerak solo," jelasnya.

WARIS bakal muncul dengan album pada tahun ini.


Fokus pelajaran

Waris yang merupakan pelajar tahun kedua Kejuruteraan Awam di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Selangor itu juga mengakui sehingga kini dia masih tidak percaya dengan populariti yang dikecapinya dalam sekelip mata menerusi YouTube.

Sejak lagu Rembau Most Wanted dimuat naik oleh Waris di YouTube sekitar bulan Februari lalu, ia telah meraih perhatian yang cukup meluas.

Buktinya, selama dua bulan di laman sosial YouTube, jumlah tontonannya mencecah lebih 600,000 orang malah Rembau Most Wanted juga meraih perhatian DJ Fuzz.

"Saya tidak pernah sangka lagu itu akan meletop (popular). Begitupun, saya akui ramai yang mengenali lagu tersebut tetapi bukan penyanyinya. Kawan-kawan saya di universiti juga tidak mengenali saya ketika itu," tuturnya yang turut mendapat tawaran berlakon.

Mengulas mengenai tawaran itu, ujar Waris, ia berlaku secara tidak sengaja.

"Saya pernah berlakon dalam sketsa Untuk Dia yang disiarkan menerusi TV1.

"Sebenarnya saya tidak teringin pun hendak berlakon. Saya tahu saya kaku, tetapi bila dapat tawaran dan lihat jalan ceritanya okey, saya terima," ujarnya sambil ketawa.

Mengulas mengenai kesibukannya sebagai penyanyi dan dalam masa yang sama belajar, Waris mengakui, dia perlu bijak membahagikan masa.

Jelasnya, walau bagaimanapun keluarganya memintanya supaya fokus kepada pelajaran berbanding muzik.

"Keluarga memang sentiasa meminta saya mengutamakan pelajaran berbanding muzik dan saya akur dengan permintaan mereka itu.

"Disebabkan itu, jika belajar saya akan fokus. Bila cuti semester pula saya akan fokus pada muzik," ujar anak bongsu daripada dua beradik itu.

Ana Dahlia anak emas Suhan Movies

Posted:

Ana Dahlia anak emas Suhan Movies

Ana Dahlia anak emas Suhan Movies

ANA DAHLIA merupakan pelakon utama drama Cinta Yang Satu dan Dia Tetap Ayah.


SEMEMANGNYA diakui rezeki Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. melimpah ruah apabila apa sahaja produk keluaran syarikat produksi gergasi tersebut pasti berjaya menembusi tembok kukuh pelbagai stesen televisyen di negara ini.

Laluan seperti terbentang luas di depan mata bagi pemilik produksi, Rosyam Nor untuk memasarkan drama-drama terbitan syarikatnya baik di stesen milik kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mahupun stesen swasta sejak beberapa tahun lalu.

Terbaharu, dua buah drama terbitan syarikat itu berjudul Dia Tetap Ayah akan ditayangkan di Astro Prima manakala Cinta Yang Satu di TV2.

Dia Tetap Ayah mengisahkan kehidupan empat orang anak yang menjaga ayah mereka walaupun terdapat kisah pahit bersama si ayah sewaktu mereka kecil.

Antara pelakon yang membintangi drama 16 episod itu ialah Namron, Ana Dahlia, Zalfie Raoul, Jannak Nick, Aizat Hassan, Sherry Ibrahim, Dian P. Ramlee dan Zila Bakarin.

Cinta Yang Satu arahan Along Kamaruddin pula berkisar mengenai seorang gadis kampung yang menghadapi kepayahan hidup selepas cacat penglihatan akibat kemalangan jalan raya.

Drama 13 episod itu dilakonkan oleh Ana Dahlia sebagai Zafirah dan Azlee Khairi sebagai Arif iaitu bekas mat rempit yang melanggar Zafirah.


ROSYAM NOR


Kedua-dua drama terbitan Suhan Movies itu menampilkan Ana sebagai pelakon utamanya. Namun penerbit drama tersebut, Rosyam Nor menyatakan ia cuma kebetulan rezeki Ana untuk menjadi pelakon utama.

"Sebenarnya saya sememangnya mengutamakan anak didik saya daripada program realiti TV, Pilih Kasih seperti yang saya berikan kepada Ana.

"Hakikatnya, bukan senang untuk artis dapat watak yang betul-betul kena dengan watak yang diberi, malah saya sudah berjanji pada mereka dalam masa dua tahun mereka akan dikenali dengan syarat mereka ada komitmen dan kekuatan sendiri," ujarnya tegas.

Rosyam juga memberitahu, biarpun kedua-dua karya tersebut menggunakan khidmat Ana, watak yang dimainkan cukup berbeza antara satu sama lain.

Cinta Yang Satu akan ditayangkan setiap hari Jumaat pukul 9 malam di TV2 bermula 5 Julai ini.

Dia Tetap Ayah pula bakal disiarkan selama setengah jam, setiap Isnin hingga Khamis bermula pada 8 Julai di saluran Astro Prima. - IZRINDA BADROL-HISHAM

Konsert Thunder in the East ditunda sebab jerebu

Posted:

Konsert Thunder in the East ditunda sebab jerebu

Konsert Thunder in the East ditunda sebab jerebu

Oleh NURUL NAFISAH MAZLAN


AMY (tengah) serius berbincang bersama Shamil (kiri) dan Iman.


KONSERT gabungan empat legenda rock Asia, Thunder in the East yang dijadualkan berlangsung pada 29 Jun lalu terpaksa ditunda ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

Antara empat kumpulan gergasi yang sepatutnya mengadakan persembahan di Stadium Merdeka itu adalah band yang berasal dari Jepun iaitu Loudness, Search (Malaysia), Slank (Indonesia) dan Rusty Blade (Singapura).

Pengarah Clockwork Event Malaysia (Clockwork), Shamil Yusof dalam sidang media bagi mengumumkan penangguhan konsert itu berkata, pihaknya amat berduka cita apabila konsert

yang bakal mencipta sejarah itu terpaksa ditunda selepas Hari Raya Aidilfitri.

"Kami menangguhkan konsert berkenaan kerana keadaan cuaca yang berjerebu teruk. Penangguhan ini dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor antaranya konsert ini dilakukan di stadium terbuka dan ia bakal berlangsung selama hampir tujuh jam.

"Dengan keadaan cuaca yang teruk sebegini, kami tidak mahu peminat sakit disebabkan jerebu. Kami juga perlu mengambil kira faktor umur penyanyi yang rata-rata bukanlah orang muda.

"Kami sungguh terkilan dan sehingga hari ini (ketika sidang media berlangsung) kami mengharapkan yang konsert tersebut tidak ditunda," jelasnya yang membuat pengumuman itu di kafe Wondermama, Bangsar Village, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Turut hadir ialah Pengarah Urusan Clockwork, Iman Tang.

Tambahnya, pihak penganjur ada membuat permintaan untuk melangsungkan konsert itu di stadium tertutup namun memandangkan jadual sudah penuh, mereka tidak dapat meneruskan hasrat itu.

Apa yang boleh dijanjikan kini, bagi peminat yang sudah membeli tiket mereka boleh menyimpan tiket berkenaan sehingga konsert itu diadakan nanti. Pemulangan sepenuhnya wang tiket itu hanya akan dibuat jika konsert tersebut dibatalkan.

Dalam pada itu, apabila diajukan soalan tidakkah pihak penganjur berasa tergugat memandangkan selepas Aidilfitri nanti, dua buah band gergasi iaitu Linkin Park dan Metallica turut membuat persembahan, Shamil menjelaskan yang mereka amat mempercayai kesetiaan peminat.

"Pihak kami telah melakukan sehabis baik bagi memastikan peminat tidak kecewa. Kami harus memikirkan yang peminat kumpulan Loudness, Search, Slank dan Rusty Blade terdiri daripada pelbagai golongan tua dan muda, jadi tidak elok untuk kesihatan mereka kalau konsert diteruskan," ujarnya.

Jelas Shamil lagi, pihaknya juga tidak mahu konsert itu ditunda berikutan hampir 90 peratus urusan logistik sudah siap, hanya tinggal untuk dipasang pentas.

Malah, tiket penerbangan artis antarabangsa dan tempat penginapan sudah ditempah tetapi akhirnya dibatalkan begitu sahaja.

Amy Search tak ralat

Salah seorang artis yang bakal membuat persembahan pada konsert itu, Amy Search yang turut hadir pada masjlis pengumuman penangguhan Thunder in the East itu berkata, dia tidak ralat konsert itu ditunda. Walaupun jadual latihan sudah ditetapkan, ia tidak mengganggu perjalanan jadual Amy kerana konsert itu merupakan persembahan terakhir Search sebelum masyarakat Islam menyambut Ramadan.

"Kita mahukan konsert ini mencipta sejarah tersendiri dan memahat memori indah pada setiap orang yang hadir, bukannya mahu mendapat respons sebaliknya. Kami juga tidak mahu peminat pulang dalam keadaan sakit.

"Kumpulan Loudness juga faham dengan situasi ini. Mereka ada menghubungi pihak penganjur untuk mendapatkan khabar mengenai situasi jerebu yang melanda Malaysia.

"Menariknya mereka sangat memahami. Mungkin kerana di Jepun bencana alam seperti tsunami dan tanah runtuh sudah biasa berlaku jadi mereka faham bagaimana keadaan kita di sini," jelas Amy yang pernah membuat konsert bersama Loudness pada Julai 2011 di KL Life Centre sempena meraikan sambutan ulang tahun ke-30 penubuhan Loudness pada tahun 1981.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkembangan konsert Thunder in the East layari www.clockwork.com.my atau di twitter @ThunderInEastMY; @clockwork _crew atau di Instagram @TITE2013.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved