Khamis, 11 Julai 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Raja Farah harap tuah anak angkat

Posted:

Raja Farah harap tuah anak angkat

Raja Farah harap tuah anak angkat

SUDAH lama tidak mendengar khabar tentang Raja Farah. Selepas pelakon filem Aku Bukan Dara itu mengahwini Megat Bashirun Qhuyum Zakaria pada 12 November 2010, dia sunyi daripada sebarang publisiti media.

Jika ada pun cerita, ia adalah tentang dia membuka kedai yogurt sejuk beku, namun tiada berita tentang perkembangan terkini karier seninya setelah si suami meletakkan syarat dia harus pulang ke rumah pukul 11 malam.

Bertemu dengan pemilik nama penuh Raja Farah Raja Aziz pada majlis memperkenalkan program-program Astro sepanjang Ramadan di Muzium Kesenian Islam, Kuala Lumpur, pelakon berusia 26 tahun itu berkata, dia belum ada rezeki memperoleh cahaya mata tatkala perkara tentang anak diajukan kepadanya.

"Sudah hampir tiga tahun berkahwin, tetapi tiada berita gembira mengenai anak. Pada mulanya memang tertekan, tetapi kini saya sudah tidak berasa apa-apa," ungkapnya yang kelihatan manis bertudung menutupi dada sambil mengenakan baju kurung berwarna putih.

Berkongsi lanjut, akui Raja Farah, dia dan suaminya sudah bertemu pakar untuk memeriksa kesuburan dan hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua mereka tidak mengalami sebarang masalah.

Mendengar penjelasan daripada doktor, Raja Farah berfikiran positif bahawa mungkin belum rezekinya untuk mendapat anak. Mujurlah keluarganya mahupun keluarga suami memahami dan sentiasa memberi sokongan.

Nekad ambil anak angkat

Tidak mahu berterusan menunggu, Farah meletakkan tempoh sehingga awal tahun depan (2014) untuk mengambil anak angkat.

"Jika sehingga tahun depan saya belum hamil, kami merancang untuk mengambil anak angkat. Mungkin selepas ambil anak angkat, Allah memberi rezeki cahaya mata kepada saya," ujarnya yang sentiasa memanjatkan doa dan harapan untuk memiliki zuriat sendiri.

Disoal anak lelaki atau perempuan yang diidamkan sebagai anak angkat mahupun anak sendiri kelak, ujar Raja Farah, jantina tidak lagi menjadi keutamaan, asalkan dia dan suami memperoleh cahaya mata sebagai pelengkap keluarga.

Di luar kehidupan peribadinya, Raja Farah mengakui sudah lama tidak berlakon.

RAJA FARAH menyambut awal Ramadan kali ini dengan bercuti selama seminggu di Kelantan bersama suami tercinta.


Bukan tiada tawaran, tetapi ujarnya, suami masih meletakkan syarat yang sama seperti pada awal perkahwinan mereka iaitu pulang ke rumah sebelum pukul 11 malam.

Walaupun akur dengan permintaan suaminya, Raja Farah masih menolak tawaran berlakon kerana enggan menyusahkan pihak produksi. Ini kerana dia faham benar bahawa jadual penggambaran kadangkala tidak menentu dan kebarangkalian untuk dia 'melanggar' permintaan suaminya itu akan berlaku.

Malah, akuinya secara jujur, perasaan rindu untuk berlakon sudah tidak meresap dalam jiwanya. Selepas tiga tahun meninggalkan dunia lakonan secara perlahan-lahan, dia sudah terbiasa dengan keadaan tersebut.

"Mungkin buat masa ini rezeki saya tidak panjang dalam bidang lakonan. Sekarang saya hanya fokus dalam bidang pengacaraan.

"Alhamdulillah, saya seronok mengacara dan saya kini menggalas tanggungjawab sebagai pengacara program Rasa Halal Antarabangsa menggantikan Heliza.

"Bagaimanapun untuk musim kali ini, saya tidak keseorangan, sebaliknya mengacara bersama seorang pengacara lelaki iaitu Akhtar," jelasnya tentang program yang disiarkan menerusi saluran Astro Oasis setiap Sabtu, pukul 7.30 petang itu.

Mengulas lanjut, tutur Raja Farah, peranannya sebagai pengacara program itu adalah berbeza berbanding pengacara terdahulu. Dia hanya fokus kepada gedung-gedung beli-belah di negara yang dilawati.

Sebaliknya, peranan Akhtar pula adalah sebagai pengacara yang meneroka tempat-tempat makanan sedap dan halal untuk masyarakat Islam.

"Kami telah menjelajah ke lima buah negara iaitu Indonesia, New Zealand, Jepun, Sri Lanka dan Uzbekistan. Saya bersyukur suami izinkan saya merantau jauh biarpun pada mulanya dia agak keberatan. Malah, dia juga jaga pemakanan dan rutin senaman saya agar tidak nampak berisi ketika mengacara program ini," ulasnya sambil ketawa.

Perniagaan Snogurt

Berkongsi mengenai perniagaan Snogurt miliknya, ujar Raja Farah, perniagaan yogurt sejuk beku ataupun froyo itu diusahakannya bersama bapanya sejak 30 Disember 2011.

Menurut Farah, kafe Snogurtnya itu menyediakan froyo sebagai sajian utama sesuai dengan kehendak pasaran sekarang yang gemar menjadikan yogurt sebagai makanan sampingan.

"Apabila ayah memberitahu ingin membuka satu bisnes keluarga sebaik sahaja dia bersara Julai tahun lalu, saya terus setuju," ceritanya yang mula mencari perniagaan sesuai dengan kehendak pasaran.

Selain perniagaan Snogurt, Raja Farah turut mempunyai perniagaan jubah dalam talian. Jelasnya, jubahnya direka sendiri dan boleh dibeli menerusi laman sesawang www.facebook.com/rajafarahcollection.

Hairul, Leen menderma untuk anak yatim

Posted:

Hairul, Leen menderma untuk anak yatim

Hairul, Leen menderma untuk anak yatim

Oleh SITI AISYAH IBRAHIM

USAHA bersungguh-sungguh Hairul dan Leen membuahkan kejayaan apabila mereka muncul juara program Ceria Popstar.


GANDINGAN yang serasi dan mantap serta persembahan hebat di pentas membuatkan pasangan Hairul dan Leen berjaya memukau hati juri dan penonton, lantas menobatkan mereka sebagai juara Ceria Popstar.

Mereka berjaya menewaskan empat peserta lain yang tidak kurang hebatnya iaitu Trisya yang muncul sebagai naib juara, Vision Mate di tempat ketiga, Razmil di tempat keempat dan Flower Queen yang terpaksa berpuas hati di tempat kelima.

Kemenangan tersebut melayakkan Hairul atau nama sebenar Hairul Asri Alis Sofjan, 14, dan Leen atau Nur Shazleen Natasha Jamluddin, 13, memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 dan trofi.

Hairul dan Leen yang berasal dari Kuala Lumpur, merupakan anak didik penyanyi, Atilia.

Pada konsert akhir tersebut, lima finalis yang bertanding diadili dengan 70 peratus markah juri dan 30 peratus lagi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton.

Dua finalis yang berjaya melepasi pusingan pertama mara ke pusingan kedua yang mana pemenang ditentukan melalui sistem pemarkahan 100 peratus juri.

Pada persembahan pertama Hairul dan Leen menyanyikan lagu Seiring Dan Sejalan yang merupakan lagu asal dendangan penyanyi Broery Marantika.

Persembahan yang penuh yakin dan bertenaga itu berjaya menggamat suasana serta melayakkan mereka terus berada di pusingan kedua.

Pada pusingan itu, Hairul dan Leen sekali lagi berjaya membuktikan bahawa mereka berhak untuk bergelar juara apabila menyanyikan lagu ciptaan pertama untuk mereka iaitu Impianku dengan penuh keyakinan.

Bakat yang dimiliki oleh pasangan itu tidak boleh disangkal lagi, mungkin kerana mereka sudah mempunyai pengalaman berada di pentas nyanyian sebelum ini.

Hairul dan Leen sebelum ini pernah menyertai pertandingan Idola Kecil 4.

TRISYA merupakan pesaing terdekat Hairul dan Leen pada final Ceria Popstar.


Kehebatan persembahan mereka diakui oleh juri tetap iaitu Nurul Huda Wahab dan Mawi manakala Aaron Aziz yang bertindak sebagai juri jemputan pada konsert akhir menganggap mereka telah melakukan persembahan yang mantap dan wujud keserasian.

Menurut Atilia, Hairul dan Leen sentiasa menunjukkan kesungguhan walaupun mereka terbeban dengan dua kerja dalam satu masa iaitu komitmen kepada latihan dan persembahan Ceria Popstar serta fokus kepada pelajaran.

"Mereka sentiasa bersungguh-sungguh dan serius setiap kali sesi latihan dan tidak pernah bermain-main semasa latihan.

"Saya terkejut kerana mereka telah memberikan persembahan yang kemas dan telah mencetuskan aura yang tersendiri.

"Mereka sangat hebat, saya amat berbangga dengan kesungguhan dalam persembahan yang telah ditunjukkan oleh mereka selama 10 minggu konsert bersiaran," jelas Atilia sejurus selepas konsert tersebut.

Sementara itu, Hairul dan Leen memberitahu mereka akan kekal sebagai pasangan duet selepas program tersebut berakhir.

Walaupun bercita-cita besar dalam dunia nyanyian, mereka memberitahu pelajaran tidak akan diabaikan.

Mereka juga merancang untuk mendermakan sebahagian daripada kemenangan iaitu sebanyak RM1,000 kepada Rumah Kebajikan Anak Yatim Selayang sebagai tanda kesyukuran di atas kemenangan tersebut.

Selain daripada persembahan peserta, konsert yang dihoskan oleh Nabil Ahmad tersebut juga dimeriahkan dengan persembahan pembukaan oleh Akim dan Daiyan Trisha yang menyanyikan lagu tema Ceria Popstar bertajuk Popstar.

Program tersebut telah bersiaran selama 10 episod bermula daripada 5 Mei 2013 sehingga 7 Julai 2013 yang menyaksikan lapan peserta berentap dan hanya lima peserta yang layak ke konsert akhir.

Ujian baharu buat Ziela

Posted:

Ujian baharu buat Ziela

Ujian baharu buat Ziela

ZIELA tidak kisah anaknya, Puteri Julia Nabilah ingin bercinta, tetapi dengan syarat perlu menamatkan pengajiannya terlebih dahulu.


ZIELA JALIL sepatutnya boleh memilih untuk tidak berbuat apa-apa atau terlalu bekerja keras berdasarkan kepada pencapaian rumah produksi miliknya, Pena Creatives Sdn. Bhd. yang begitu memberangsangkan.

Saban tahun, rumah produksi tersebut begitu produktif menghasilkan karya yang bermutu.

Secara kasar, jika melihat kepada pencapaian tersebut, Ziela yang cukup terkenal lewat tahun 80-an dahulu tidak perlu bersusah payah atau kerap muncul di kaca televisyen untuk kelangsungan hidupnya.

Mengakui wujud logik tentang teori yang dibuat, Ziela menjelaskan, sebagai seorang wanita yang sudah mula bekerja keras sejak zaman remajanya, dia tidak boleh berdiam diri tanpa berbuat apa-apa.

Justeru, jika tidak berada di belakang tabir menerbitkan banyak karya berunsur kesedaran untuk tontonan khalayak, dia mahu 'keluar bekerja'.

"Saya seorang yang tidak boleh duduk diam. Jika tidak buat kerja, saya akan resah dan bingung. Masa itu, saya mula akan memikirkan banyak hal yang bukan-bukan.

"Jadi dengan bekerja, saya mampu melupakan semua hal yang tidak berkaitan," akuinya saat ditemui di Restoran Rebung, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Malah, pertemuan pada hari itu juga bukan pertemuan kosong. Ziela kini melebarkan sayap menyusup masuk ke dalam dunia bisnes kecantikan pula.

Pada hari itu, pelakon yang mendadak naik menerusi lakonannya sebagai puntianak dalam filem Perawan Malam itu memperkenalkan produk kecantikan di bawah syarikat miliknya, Ziela Jalil Trading (M) Sdn. Bhd. yang dikenali sebagai FizzCola dan Berry Slim.

Terkilan

FizzCola merupakan minuman berasaskan kolegan dengan natrium bikarbonat yang pertama dalam pasaran, sementara Berry Slim pula mampu membuat tubuh kelihatan langsing dan mencerahkan kulit.

Bercakap tentang produk tersebut, Ziela memberitahu, penglibatannya bersama syarikat Kayla Beverly Hills 15 tahun lalu menjadi pendorong kepadanya untuk melancarkan produk yang sesuai dengan golongan yang sentiasa sibuk.

Ziela yang kini lebih kerap dilihat di kaca televisyen turut diminta mengulas tentang namanya yang dicicirkan daripada program bual bicara di Astro Prima, Primadona.

ZIELA kini muncul dengan produk kecantikan FizzCola dan Berry Slim yang mengandungi 18 peket dengan harga RM128 sekotak .


Primadona kini hanya dikendalikan oleh Erra Fazira, Rozita Che Wan dan Raja Azura, manakala nama Ziela digugurkan kononnya kerana dia tidak sesuai untuk program tersebut.

"Secara jujurnya, saya berasa sedikit terkilan. Saya terkilan kerana sebelum pihak produksi berjumpa dengan saya mengenai hal ini, telah tersebar gosip yang mengatakan saya tidak sesuai dan kurang membantu.

"Bagaimanapun, perasaan tersebut kini hilang selepas saya dan pihak produksi berbincang. Saya mengaku bahawa saya tidak begitu menyerlah kerana ia pengalaman pertama saya sebagai hos.

"Jadi, ia macam satu proses atau ujian baharu untuk saya dan saya menerima setiap pandangan orang," ulas Ziela panjang lebar.

Biarpun tidak lagi menggendalikan program tersebut, dia memberitahu telah ditawarkan untuk mengemudi sebuah program baharu yang diberi nama 3 Rasa terbitan Astro. Namun, menurut Ziela, ia masih dalam proses perbincangan.

Ramadan

Bercakap mengenai kehadiran Ramadan, ibu kepada tiga orang cahaya mata ini memberitahu, dia begitu mengutamakan bulan mulia ini dan sanggup tidak bekerja sepanjang bulan untuk memberi fokus beribadat.

Namun, dalam masa yang sama, rumah produksi miliknya tetap akan melahirkan produk, selain ada yang ditayangkan pada Ramadan ini seperti Bunga-Bunga Larangan.

Ziela juga sedang sibuk dengan penggambaran drama adaptasi 40 episod, Jodoh Itu Milik Kita yang turut menjalani penggambaran di New Zealand.

Untuk tayangan sempena Aidilfitri pula, rumah produksinya menghidangkan sebuah karya yang dibintangi pelakon kanak-kanak menerusi telemovie I Heart Kurma.

"Saya sendiri terlibat untuk sebuah drama raya iaitu Ijab & Qabul yang dibintangi oleh Nora Danish dan Adi Putra. Seperti yang saya katakan, saya memang resah jika tidak bekerja," ujarnya sambil ketawa.

Ditanya mengenai kehidupan peribadinya selepas pemergian arwah suaminya, Tan Sri Megat Junid Ayob pada tahun 2008, Ziela mengaku melalui fasa sukar pada peringkat awal, khususnya dari segi membesarkan dua anak mereka iaitu Megat Jufri Nasrullah, 19, dan Puteri Julia Nabilah, 21.

Bagaimanapun, keperitan tersebut beransur hilang apabila anak-anaknya mula membesar dan memahami tentang kehidupan. Malah, tanpa berselindung, wanita berusia 43 tahun itu mengaku, biar telah lebih lima tahun hidup sebagai ibu tunggal, dia bukan seorang wanita yang mahu keluar mencari pengganti arwah suaminya.

Ujarnya: "Anak-anak saya tahu bahawa saya bukan jenis yang keluar dan mencari pengganti arwah ayah mereka. Mereka juga tidak pernah bertanya tentang calon suami baharu untuk saya, walaupun jika ada, mereka juga barangkali tidak akan membantah. Namun buat masa ini saya selesa untuk membesarkan anak-anak terlebih dahulu." - MALIAH SURIP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved