Jumaat, 28 Jun 2013

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Air tangan Chef Nik di Picknik Solaris

Posted:

Air tangan Chef Nik di Picknik Solaris

Air tangan Chef Nik di Picknik Solaris

nizha.periaswamy@kosmo.com.my">

LAZIMNYA pembabitan seseorang dalam bidang perniagaan kerana mahu menambah pendapatan dan berdikari. Namun, bagi lelaki muda berdarah kacukan, Australia dan Melayu, Nik Michael Imran Nik Ezar, 23, beliau membuka restoran kerana minatnya yang mendalam terhadap dunia masakan selain mahu orang ramai menikmati hasil air tangannya.

Restoran Picknik di pusat beli-belah Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur dengan rekaan kontemporari moden merupakan percubaan pertama Nik Michael.

Dibuka awal tahun ini, pembukaan restoran itu menjadi pengalaman harian yang menggembirakan Nik Mi- chael. Beliau bukan saja berpeluang memasak pelbagai menu pilihannya, bahkan mempelbagaikan cita rasa di dapur Picknik. Lebih menggembirakan, pelanggan-pelanggan Picknik menyokong usaha dan bakat anak muda itu.

"Saya berpuas hati dapat memasak untuk rakan-rakan dan kenalan. Jika di rumah, ruang agak terhad dan hanya orang terdekat sahaja dapat menikmati air tangan saya. Justeru, saya membuka bisnes restoran ini agar dapat menarik lebih ramai pelanggan," kata- nya.

Menurut Nik Michael, minatnya dalam bidang memasak berputik sejak umurnya sembilan tahun. Beliau mendapat inspirasi daripada bapanya, Datuk Nik Ezar Nik Bolia yang juga seorang chef.

Kata Nik Michael, ayahnya sering mengadakan jamuan makan bersama keluarga, sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Di samping melihat bapanya memasak, Nik Michael sendiri akan membantu dan banyak belajar daripada beliau.

Pencuci mulut

"Makanan pertama yang saya belajar ialah pencuci mulut crepe suzette iaitu sejenis makanan Perancis. Ia diperbuat daripada tepung, telur, gula karamel, jus oren, mentega, gula kaster dan parutan kulit oren," kata lelaki yang mempunyai ketinggian 1.8 meter dan berat 82 kilogram itu.

Ketika umurnya 15 tahun, Nik Mi- chael belajar secara berperingkat-peringkat daripada bapanya dan banyak membuat rujukan pada buku-buku, internet dan sebagainya,.


RESTORAN Picknik menjadi tanda aras kepada minat Nik Michael yang mendalam terhadap dunia masakan.


Nik Michael yang masih menuntut di Universiti Multimedia Malaysia dalam jurusan perniagaan dan pernah mengikuti pelbagai kursus pendek berkaitan memasak memberitahu, nasi putih, telur dadar dan belacan merupakan makanan kegemarannya. Dalam pada itu, masakan aglio olio sebagai antara masakan istimewa hasil air tangannya.

Bahkan, Nik Michael mahu belajar falsafah makanan dan tampil dengan suatu penyelidikan tentang masakan autentik Melayu.

"Ia akan memudahkan para penggemar masakan dan generasi akan datang mengenali dan mendalami masakan kampung," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kekurangan atau ketiadaan rekod atau buku panduan yang lengkap mengenai kaedah memasak masakan kampung memberi ilham kepada Nik Michael mengangkat martabat masakan tersebut.

Duta TupperChef Inspire

Bertugas setiap hari daripada pukul 12 tengah hari hingga 11 malam, bekas peserta MasterChef 1 itu gemar meluangkan masa dengan pelbagai aktiviti. Antaranya bermain permainan video, bersenam, sukan ekstrem dan mengacara sebuah program televisyen.

Terbaharu, Nik Michael dipilih sebagai duta jenama Tupperware Brands bagi mempromosi produk mereka peralatan memasak, TupperChef Inspire. Bagi memastikan tugas sebagai duta produk benar-benar membawa mesej kepada pelanggan, Nik Michael telah mencuba terlebih dahulu peralatan memasak Tupperchef Inspire.

"Selepas mencubanya, saya bersetuju menjadi duta. Set ini berkualiti dan memudahkan masakan. Ia tidak memerlukan air atau minyak yang banyak ataupun tanpa menggunakan kedua-dua bahan tersebut.

Rembesan cecair daripada makanan yang dimasak menjadikan makanan tersebut lebih enak dan sihat," ujar Nik Michael yang mendapat banyak sokongan daripada bapanya.

Bekas pengacara rancangan Hello Bro Tolong Masak Astro Ria itu juga memberitahu, ia suatu pilihan tepat khususnya kepada generasi muda yang peka terhadap kesihatan selain mahu peralatan memasak yang mudah.

Apakah perancangan Michael pada masa akan datang?

"Buat masa ini, saya mahu kekalkan sentuhan peribadi di Picknik. Jika mahu meluaskan rangkaian restoran ini, mungkin di luar negara dan bukan di Lembah Klang," kata anak muda itu yang menitikberatkan soal kualiti makanan di restorannya.

Michael mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai keraguan tentang makanan atau masakan dengan menghubunginya pada bila-bila masa di laman sosial Facebook/NikMichael dan Twitter/Nik9_.

Eksplorasi dunia susu Ducth Lady

Posted:

Eksplorasi dunia susu Ducth Lady

Eksplorasi dunia susu Ducth Lady


STESEN memerah susu ini berjaya mendedahkan asal usul produk tenusu yang mereka makan kepada kanak-kanak.


KAJIAN terbaharu di Amerika Syarikat mendapati, kanak-kanak yang tidak minum susu berpotensi menjadi lebih gemuk berbanding kanak-kanak yang minum susu.

Ini kerana kanak-kanak yang meningkat remaja memerlukan lebih banyak kalsium. Bagaimanapun, jika mereka kurang mengambil minuman berasaskan susu, mereka cenderung mengambil minuman manis atau minuman ringan yang boleh menggemukkan tubuh. Ia juga berupaya membantut perkembangan fizikal kanak-kanak tersebut.

Seorang ibu dari Kuala Lumpur, Izany Aliyani, 31, berkata, beliau akan memastikan anaknya tidak terlepas waktu minum susu. Begitu juga jika anaknya itu enggan makan, beliau akan menggantikannya dengan susu.

Anak sulung Izany, Rayyan Irfan, 4, tidak gemar makan makanan berat. Jadi, bagi mengelakkannya kelaparan, Izany memberikannya susu sebagai ganti.

"Anak saya minum sebanyak enam hingga tujuh botol susu sehari. Susu kegemarannya ialah susu coklat," ujar Izany yang merupakan seorang pegawai tentera.

Dalam pada itu, anak kedua Izany, Rayyan Irsyad, 1, pula menyusu antara empat hingga lima kali sehari.

Ambil bahagian

Wanita itu ditemui pada sambutan Hari Susu Dunia 2013 anjuran Dutch Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady Malaysia) yang diadakan di pusat beli-belah 1Utama, Petaling Jaya, Selangor.

Pada hari itu, Izany turut mencuba produk tenusu Dutch Lady dan bermain permainan yang diadakan semasa sambutan tersebut.

Susu mengandungi protein, lemak dan karbohidrat. Ia turut membekalkan kalsium, riboflavin, fosforus, vitamin A, D dan B12 serta asid pantotenik.

Bagi Wahidah Ahmad, 35, seorang jururawat dari Kota Damansara, Kuala Lumpur, susu adalah pemacu kepada perkembangan otak dan pemikiran selain tumbesaran fizikal.

"Sebagai ibu, saya akan memastikan anak saya mengambil susu tiga kali sehari," katanya.


MEMBALING bola ke dalam mulut lembu memeriahkan lagi sambutan Hari Susu Dunia di 1Utama.


Selain susu, beliau turut menggalakkan anaknya, Nurfatihah Azmin, 10, mengambil produk tenusu yang lain seperti dadih.

Izany dan Wahidah ialah antara ibu yang prihatin terhadap kepentingan susu dan turut memeriahkan Hari Susu Dunia 2013. Acara yang masuk tahun keenam dianjurkan itu bertujuan mewujudkan kesedaran tentang khasiat susu.

Bersempena Hari Susu Dunia yang disambut pada 1 Jun lalu, Dutch Lady turut menemui ibu bapa dan kanak-kanak di seluruh negara khususnya di Pahang, Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Lembah Klang bagi mendedahkan mereka kepada satu perjalanan menakjubkan tentang penghasilan susu dan memahami khasiatnya.

Sempena sambutan itu, satu pameran selama tiga hari berlangsung di 1Utama sejak 31 Mei lalu. Malah, sebuah konsert khas diadakan dengan kehadiran penyanyi seperti Faizal Tahir dan Ziana Zain selain selebriti yang lain.

"Tahun ini, Dutch Lady Malaysia akan memberi tumpuan khusus kepada asas perniagaan kami.

"Matlamat kami adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang khasiat susu dalam membekalkan tenaga setiap hari supaya kita mampu mencapai potensi diri secara maksimum.

"Usaha ini sejajar dengan cogan kata Dutch Lady iaitu membantu rakyat Malaysia maju ke hadapan dengan pemakanan tenusu yang dipercayai," kata Pengarah Pemasaran Dutch Lady Malaysia, Anja Henze.

Iltizam aku janji

Sejak tahun 2008, Dutch Lady Malaysia menerajui sambutan Hari Susu Dunia di Malaysia.

Aktiviti lain yang dianjurkan oleh Dutch Lady termasuklah eksplorasi Dari Rumput Hingga Ke Gelas yang mengetengahkan cara-cara susu segar diperoleh, proses pengilangan, logistik, penghantaran dan nutrien yang terkandung di dalamnya.

Dutch Lady Malaysia juga beriltizam untuk memperoleh 50,000 aku janji dengan mengajak semua rakyat Malaysia mengambil bahagian dalam kempen yang diadakan di seluruh negara. Ia bagi menyediakan masa depan yang lebih baik buat kanak-kanak di Malaysia.

Kempen Inspirasi Masa Depan itu menggalakkan setiap kanak-kanak mengejar impian mereka dalam bidang yang diminati seperti pendidikan, sukan dan seni kreatif.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen Inspirasi Masa Depan Dutch Lady Malaysia, sila layari laman web www.inspiretomorrow.my atau www.- dutchlady.com.my.

Larangan meringankan solat Jumaat

Posted:

Larangan meringankan solat Jumaat

Larangan meringankan solat Jumaat


SOLAT Jumaat adalah wajib ke atas setiap lelaki Muslim.


APAKAH hukum apabila seseorang lelaki itu meninggalkan solat Jumaat banyak kali?

JAWAPAN:

SABDA Rasulullah SAW: "Solat Jumaat itu wajib dikerjakan oleh setiap orang Islam secara berjemaah, kecuali empat jenis manusia iaitu hamba sahaya yang dimiliki, perempuan, anak-anak dan orang yang sakit." - (Hadis Riwayat Abu Daud dan Hakim).

Meninggalkan solat Jumaat merupakan perbuatan yang ditegah kerana solat Jumaat hukumnya wajib ke atas setiap individu Muslim.

Orang yang meringan-ringankan hukum Allah ini akan mengundang kemurkaan-Nya dan mereka bakal menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukan.

Bahkan orang yang enggan mentaati suruhan Allah, pintu hatinya lama-kelamaan akan tertutup daripada mendapat hidayah dan menjadikan mereka semakin sesat dan terus melakukan dosa-dosa lain.

Daripada Abu Jakdi ad-Dhamri bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali dengan sengaja, maka Allah akan menutup hatinya daripada menerima petunjuk." - (Hadis Riwayat Abu Daud).

Mudah-mudahan Allah memberi hidayah dan taufik kepada kita.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved