Jumaat, 21 Jun 2013

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Norliza popularkan bunga tangan felt

Posted:

Norliza popularkan bunga tangan felt

Norliza popularkan bunga tangan felt

Oleh NURUL IZZA ROSLY

SAAT melangkah masuk ke Sekoci's Craft House di Taman Kencana Indah, Seksyen 30, Shah Alam, Selangor hasil kraf memenuhi segenap ruang.

Jika ruang tamunya dipenuhi bunga felt pelbagai warna, raknya pula disusun kemas dengan kain felt dan bunga tangan.

"Tempat ini merupakan lokasi khas untuk saya melakukan aktiviti kraf yang ditempah pelanggan.

"Pada waktu cuti, saya akan berada di sini seharian bagi menyiapkan tempahan kraf tangan terutamanya bunga tangan selain aksesori yang lain," kata pemilik premis tersebut, Norliza Samingon, 34.

Ibu kepada Ridwana Rif'iah Rafiq, 9, dan Muhammad Rizqin Rafiq, 4, itu mengakui dia bukanlah seorang yang mahir menjahit. Menurut Norliza, minatnya terhadap seni kraf felt berputik pada empat tahun lalu ketika hamil anak kedua.

Pada masa itu, Norliza sibuk mencari buku bayi yang bagus dan berkualiti dikenali sebagai buku busuk.

Norliza mendapati buku-buku bayi di pasaran agak mahal iaitu sekitar RM80 hingga RM85 sebuah. Bahkan, dia tidak menafikan untuk mencari buku tempahan khas juga agak sukar namun dia tetap mahukan sesuatu yang istimewa untuk permata hatinya itu.

"Saya mencari-cari di internet mengenai produk terkini dalam pasaran dan kemudian terjumpa tutorial secara talian yang menunjukkan cara-cara menjahit buku bayi. Ia memberikan idea kepada saya," jelasnya.

Selepas bersalin dan melakukan pemeriksaan kesihatan bulanan untuk bayi, Norliza membawa muka surat buku yang belum siap untuk dijahit. Sementara menunggu giliran, Norliza mengisi masa dengan menghabiskan jahitan tersebut.

Tanpa disangka-sangka, 'aktiviti'nya itu mendapat perhatian daripada ibu bapa lain, lalu dia mula mendapat tempahan

Memandangkan tidak mempunyai mesin jahit dan melakukannya secara sendirian, Norliza tidak mampu memenuhi permintaan yang banyak.

Kewujudan buku bayi tersebut yang semakin meluas di pasaran membuatkan jurutera rangkaian ini mahu tampil dengan sesuatu yang berbeza.

Sejak itu, Norliza semakin ligat membuat aksesori kanak-kanak seperti klip rambut, cekak rambut, rantai kunci, signage dan terkini ialah jambangan bunga tangan.


KAIN felt pelbagai warna yang digunakan untuk menghasilkan barangan kraf.


Fenomena felt

Pada bulan Mac 2011, dia mula berjinak-jinak menghasilkan bunga tangan felt. Namun, rezeki kurang menyebelahi kerana produk tersebut gagal dijual selama enam bulan.

"Kemudian, saya buat sesi fotografi bersama teman-teman di Taman Tasik Shah Alam, ambil gambar sendiri dan ketika itu ramai yang melihat apa yang kami lakukan," ceritanya mengimbas detik awal bertatih dalam bidang kraf felt.

Sungguhpun dia menjual bunga tangan felt pada harga yang lebih rendah daripada harga kos iaitu RM50, tiada sesiapa pun yang mahu membelinya.

Rasa kecewa yang terbuku di hatinya terubat selepas seorang pelanggan yang juga blogger memuat naik foto bunga tangan ciptaannya.

Kini di Malaysia, bunga tangan sudah menjadi satu fenomena. Masing-masing mahukan bunga tangan sendiri dan tidak mahu menyewa daripada butik pengantin.

"Bunga tangan ini mula mendapat perhatian ramai sekitar pertengahan tahun 2011.

"Saya sendiri mendapat inspirasi dan idea-idea menghasilkan bunga tangan ini dari luar negara," katanya yang melakukan promosi pengenalan bunga tangan di bazar-bazar, blog dan laman sosial Facebook.

Mereka yang mahukan bunga tangan felt Norliza perlu menempahnya sebulan lebih awal. Dibantu oleh tiga orang pembantu yang terdiri dalam kalangan suri rumah, Norliza mampu membuat 20 set bunga tangan dalam tempoh sebulan.

Dijual pada harga antara RM80 hingga RM180 sejambak, Norliza biasanya akan berbincang dengan pelanggan khususnya bakal pengantin bagi menghasilkan bunga tangan mengikut bajet.

Tempahan dari luar negara

"Tempahan tidak bertumpu di dalam negara sahaja kerana saya turut menerima tempahan dari negara seperti Brunei, Singapura, Indonesia dan Eropah.

"Namun, atas masalah kos penghantaran yang tinggi, pelanggan dari Indonesia dan Eropah membatalkan tempahan kerana harga penghantaran lebih tinggi daripada nilai barangan," ujarnya yang mendapatkan material dari China dan Thailand.

Bermula dengan modal sebanyak RM250, kini Norliza menghabiskan antara RM1,500 hingga RM2,000 membeli kain felt untuk stok selama dua bulan.

Walaupun membuat banyak aksesori lain menggunakan felt, 80 peratus daripada tempahan yang diterima adalah bunga tangan untuk perkahwinan, pertunangan dan sambutan ulang tahun.

MINAT terhadap seni kraf felt membuatkan Norliza belajar menjahit.


Selain memenuhi tempahan pelanggan, Norliza mengadakan kelas kraf jika ada permintaan.

"Kelas kraf yang diadakan bukan untuk orang dewasa sahaja, malah bagi kanak-kanak.

"Kelas kraf kanak-kanak terbuka kepada mereka yang berumur dari lima hingga 12 tahun. Kelas dewasa pula untuk mereka yang berusia 15 tahun ke atas," katanya yang pernah mendapat pendapatan sebanyak RM3,000 sebulan.

Norliza juga menerima tempahan membuat signage yang dijual antara RM15 hingga RM40 berdasarkan bilangan huruf yang digunakan.

Tidak mahu selesa dengan produk yang sedia ada, kini Norliza berjinak-jinak menghasilkan bantal cincin yang digunakan untuk meletakkan cincin pertunangan atau cincin pernikahan. Pada masa yang sama dia juga merancang membuat bantal hadiah.

"Nampak senang untuk buat kraf felt ini tetapi cabarannya terletak pada pencarian idea dan kita perlu sentiasa kreatif bagi menghasilkan sesuatu yang baharu.

"Saya tidak akan pernah puas dengan apa yang saya lakukan dan bercadang untuk tampil dengan buku Do It Yourself (DIY) sendiri untuk kanak-kanak dan dewasa yang kini masih dalam proses untuk dihasilkan," ujar Norliza sambil memberitahu, anak lelakinya sudah pandai menjahit kraf daripada felt.

Kempen makan secara sihat

Posted:

Kempen makan secara sihat

Kempen makan secara sihat

Oleh NURUL IZZA ROSLY


DUA kanak-kanak ini menjadi pembantu kepada Chef Hamidon untuk menyediakan bebola daging yang digandingkan bersama pasta.


RUANG legar Pusat Perubatan Prince Court (PCMC) di Kuala Lumpur pada hari itu tidak ubah seperti sebuah akademi seni dan masakan.

Kelihatan dua kanak-kanak yang lengkap dengan topi chef dan memakai sarung tangan, bersedia menerima arahan Chef Eksekutif PCMC, Hamidon Din bagi membuat demonstrasi masakan sihat.

Walaupun menjadi 'chef cilik' pada hari tersebut, kedua-duanya langsung tidak kekok beraksi. Segala arahan Chef Hamidon dilaksanakan dengan baik sekali.

"Saya sangat seronok dan pada masa yang sama rasa gemuruh dapat membantu Chef Hamidon melakukan demonstrasi masakan.

"Ia sangat mudah. Saya akan cuba membantu ibu memasak di rumah kelak," kata Amira Sofea Yuhada Ellis, 9.

Demonstrasi tersebut merupakan salah satu aktiviti PCMC sempena Bulan Nutrisi yang bertemakan Eat Right, Your Way, Every Day.

PCMC turut mengadakan pertandingan memasak untuk kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 11 tahun bagi mewujudkan kesedaran mengenai cara memasak makanan sihat memandangkan bilangan kanak-kanak yang menghidap obesiti di Malaysia semakin meningkat.

Di satu sudut lain, sekumpulan kanak-kanak teruja melihat kek cawan yang sudah siap dihias. Mereka meneliti satu persatu kerana selepas itu mereka dikehendaki membuat dekorasi untuk kek cawan masing-masing.

Kelihatan ada yang kekok memegang beg plastik krim yang dibekalkan. Usai menghias krim pelbagai warna, mereka sibuk mengambil bahan-bahan hiasan seperti strawberi, anggur, ceri, marshmallow dan anak patung kecil.

Ibu bapa turut membantu memberikan arahan dari jauh bagi memastikan hasil tangan anak mereka menjadi.


MASING-MASING begitu seronok memilih bahan-bahan hiasan untuk dekorasi kek cawan.


Mencuri tumpuan

Turut diadakan pada hari berkenaan ialah pertandingan melukis untuk kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 11 tahun dan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun.

Seperti biasa, anak-anak ini dibantu oleh ibu bapa yang mengambil peluang meluangkan masa bersama sempena cuti hujung minggu.

Gelagat mereka amat mencuri tumpuan. Ada yang meniarap di atas lantai dan ada yang duduk dengan bermacam-macam gaya bagi menyelesaikan tugasan yang diberikan.

Dalam pada itu, Chef Hamidon memberitahu, demonstrasi masakan itu lebih bertujuan untuk mengajar dan mendedahkan anak-anak kepada makanan sihat.

"Di luar sana banyak makanan tetapi kita tidak tahu sama ada kandungan garam dan lemaknya dikawal atau tidak.

"Dalam resipi bebola daging yang kami buat sebentar tadi, kita letakkan sayur sebab kanak-kanak kebanyakannya tidak gemar makan sayur," ujarnya sambil menjelaskan, cuma sedikit garam dan minyak digunakan dalam masakan itu.

Katanya lagi, bagi ibu yang tidak sempat menyediakan hidangan untuk anak-anak setiap hari, sekurang-kurangnya mereka perlu memasak pada hujung minggu.

"Luangkan masa memasak untuk anak-anak. Sediakan masakan ringkas bersama mereka, secara tidak langsung ia dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan," katanya yang sudah berkhidmat selama enam tahun di PCMC.

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam pemakanan anak-anak. Gaya pemakanan sihat mesti dibentuk sejak kecil lagi.

Jika pemakanan sihat tidak diberi penekanan, maka Malaysia akan kekal sebagai negara nombor satu di Asia Tenggara dengan kadar obesiti yang tinggi.

Kini, menurut Kementerian Kesihatan, seorang daripada enam rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan atau obes.

Ganjaran besar menanti bapa mithali

Posted:

Ganjaran besar menanti bapa mithali

Ganjaran besar menanti bapa mithali

MASIH belum terlambat untuk saya ucapkan Selamat Hari Bapa kepada semua yang bergelar bapa, ayah, abi, papa atau apa saja gelaran anda. Walaupun sambutan Hari Bapa sudah disambut pada 16 Jun lalu, tidak salah rasanya jika saya memberikan fokus kepada isu berkenaan pada perbincangan kali ini.


TANGGUNGJAWAB mendidik anak lebih diberatkan kepada bapa berbanding isteri.


MASIH belum terlambat untuk saya ucapkan Selamat Hari Bapa kepada semua yang bergelar bapa, ayah, abi, papa atau apa saja gelaran anda. Walaupun sambutan Hari Bapa sudah disambut pada 16 Jun lalu, tidak salah rasanya jika saya memberikan fokus kepada isu berkenaan pada perbincangan kali ini.

Siapakah bapa? Bapa ialah semua lelaki yang menyebabkan lahirnya seorang manusia ke dunia ini sama ada melalui hubungan yang sah atau tidak.

Menurut hukum syarak, bayi yang dilahirkan usianya kurang enam bulan dari tarikh perkahwinan, tidak boleh dinasabkan kepada si ayah yang menjadi punca kelahirannya.

Bagaimanapun, sebagai tanda anda benar-benar bertaubat dan menyesal dengan kesilapan yang lepas, sewajarnya anda bertanggungjawab ke atas anak tersebut.

Buat bapa yang sememangnya menyebabkan kelahiran anak yang sah, anda memikul peranan dan tanggungjawab yang lebih utama.

Bagaimana pula dengan anak yang tidak dijangka? Ayat mudah sebahagian ibu bapa ialah 'accident'.

Wah! Wah! Jelas sangat tidak amalkan doa yang diajar Rasulullah SAW ketika hendak bersama pasangan. Ini kerana jika berdoa, pasti anda sedar bahawa hubungan tersebut sekiranya menghasilkan zuriat, anda mahukan anak tersebut turut terpelihara daripada godaan syaitan. Tidak kisahlah terlupa doa atau tidak faham doa diucap, yang penting adalah tindakan yang perlu anda lakukan ketika ini.

Semua orang maklum, tugas dan tanggungjawab seorang bapa yang utama adalah menyara keperluan anak-anaknya, bermula daripada anak itu dilahirkan hinggalah mampu berdikari sendiri (bagi anak lelaki). Jika anak itu perempuan, tugas saraan keperluan ini akan tamat apabila si anak berkahwin.

Malangnya, realiti kehidupan hari ini, tidak ramai bapa yang melaksanakan tanggungjawab yang diwajibkan oleh syarak ini.

Kebanyakan mereka melepaskan sebahagian besar tanggungjawab memberi nafkah kepada ibu si anak. Bukan sahaja dalam kes pasangan bercerai malah ketika perkahwinan masih wujud.

Seorang suami dan bapa bertanggungjawab memberikan segala keperluan kepada isteri dan anak-anak. Ketahuilah wahai para suami, memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak bukanlah satu bebanan. Ia merupakan satu keutamaan dan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Dinar (wang) yang engkau infakkan (belanjakan) pada jalan Allah, dinar yang engkau infakkan untuk membebaskan hamba abdi, dinar yang engkau sedekahkan kepada orang miskin, dinar yang engkau nafkahkan kepada keluargamu, pahala yang paling besar ialah dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu." - Hadis riwayat Muslim.


SEORANG bapa akan dipersoalkan di akhirat kelak jika gagal melaksanakan tanggungjawab mendidik isteri dan anak-anak.


Kasih sayang

Bukan sahaja saraan malah seorang bapa bertanggungjawab memberikan didikan, bimbingan, kasih sayang dan perhatian yang tidak berbelah bahagi kepada anak.

Rasulullah mengajar agar anak-anak dibentuk sikap dan akhlaknya melalui empat peringkat usia:

1. Umur bawah enam tahun: Dibentuk melalui bermain, bermanja dan bergurau.

2. Umur tujuh hingga 14 tahun: Dibentuk secara mengajar dan mendisiplin.

3. Umur 15 hingga 21 tahun: Mendidik melalui berkawan.

4. Umur melebihi 21 tahun: Diberikan kebebasan bertindak sementara ibu bapa sebagai penasihat.

Saranan Rasulullah ini ditujukan kepada kedua-dua ibu dan bapa. Malah, para ulama menetapkan tanggungjawab mendidik anak-anak lebih perlu dimainkan oleh seorang bapa.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan perintahkanlah keluargamu (serta umatmu) mengerjakan solat dan engkau hendaklah bersabar menunaikannya. Kami tidak pernah meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik hanya bagi orang-orang yang bertakwa." - Surah Toha: 132.

Ayat ini menjelaskan tentang tanggungjawab berat seorang suami dan seorang ayah untuk memimpin isteri dan anaknya agar beribadat kepada Allah. Dijanjikan, kegagalan para suami dan ayah melaksanakan tanggungjawab ini menyebabkan mereka turut sama memikul dosa yang dilakukan oleh isteri dan anak-anak.

Buat si ayah yang pernah mendabik dada kononnya anda ayah dan ketua keluarga, kata-kata anda adalah kata muktamad, tidak boleh ditambah kurang apatah lagi dibangkang, berusahalah untuk mengubah sikap sekiranya inginkan anak anda juga berubah.

Tidak perlu jadi seorang yang garang, kasar dan keras terhadap anak-anak bagi menjadikan diri anda dihormati dan disayangi.

Kasih sayang hanya akan wujud dan bercambah dengan kasih sayang juga, bukan dengan kekerasan. Jika kekerasan yang anda ajarkan kepada anak anda, pastinya kekerasan juga yang anda peroleh.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved