Rabu, 26 Jun 2013

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


TBNSA bukan taman botani biasa

Posted:

TBNSA bukan taman botani biasa

TBNSA bukan taman botani biasa

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI

HUTAN dalam bandar. Itu ayat yang tepat bagi menggambarkan keistimewaan Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) yang dulu dikenali sebagai Taman Pertanian Bukit Cerakah.

Jika anda merancang untuk berkunjung ke destinasi riadah hujung minggu yang lengkap dengan aktiviti lasak dan santai yang sesuai untuk semua peringkat umur, TBNSA adalah pilihan terbaik.

Kedudukannya yang terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur menjadikan TBNSA lokasi riadah tumpuan warga kota yang mahu menghabiskan cuti hujung minggu bersama insan tersayang.

Sebanyak 600 tempat letak kereta awam yang disediakan di TBNSA mula dipenuhi kenderaan pengunjung seawal pukul 8 pagi khususnya pada hari hujung minggu. Mereka yang bercadang untuk berbasikal di taman botani tersebut perlu tiba awal pagi supaya tidak pulang hampa kerana basikal yang ada habis disewakan kepada pengunjung.

Bagaimanapun, ramai yang tidak tahu bahawa TBNSA adalah lokasi paling ideal untuk menganjurkan aktiviti hari keluarga bersama rakan-rakan, teman sepejabat ataupun keluarga yang berskala besar.

PENGUNJUNG yang gemarkan aktiviti lasak boleh mencuba aktiviti yang ditawarkan di Taman Cabaran Skytrex, TBNSA.


Lokasi aktiviti famili

Pekerja swasta, Amirul Azman, 26, berkata, dia kerap mengunjungi TBNSA kerana taman rekreasi tersebut berada dalam persekitaran hutan yang lengkap dengan elemen flora dan fauna walaupun terletak di tengah-tengah pusat bandar Shah Alam.

Katanya, taman tersebut amat sesuai dijadikan lokasi penganjuran aktiviti hari keluarga kerana ia menitikberatkan aspek keselamatan serta menyediakan banyak lokasi sesuai untuk aktiviti berskala besar seperti explorace dan trek merentas hutan.

"Kenderaan luar tidak dibenarkan masuk tanpa kebenaran ke kawasan taman sebagai langkah keselamatan kepada pengunjung yang melakukan aktiviti rekreasi.

"Saya juga gemar dengan landskap taman padi yang ada di sini kerana dapat merasakan pengalaman hidup di kampung. Lebih-lebih lagi bagi orang yang tiada kampung seperti saya," katanya yang berasal dari ibu negara.

Melarikan diri daripada kesibukan bekerja selama lima hari seminggu dengan mengunjungi TBNSA sedikit sebanyak mampu meningkatkan tahap kesihatan pengunjung dan meringankan fikiran mereka.

Mengimbau sejarah awal pembangunan taman botani tersebut, ia dimasyhurkan menjadi Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj ibni Hisamuddin Alam Shah Al-Haj pada tahun 1991.

Nama TBNSA sekarang adalah selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada tahun 2007 untuk membangunkan TBNSA menggantikan nama lamanya iaitu Taman Pertanian Malaysia.

Dalam pada itu, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Azraful Azman, 23, berkata, dia dan rakan-rakan memilih untuk mengadakan hari keluarga bersama-sama bagi mengeratkan persahabatan dan mengurangkan tekanan menghadapi peperiksaan akhir semester.

"Selain bergelar pelajar, kami menggalas jawatan sebagai anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam yang terikat dengan pelbagai aktiviti universiti sehingga jarang meluangkan masa bersama-sama.

"Kemudahan yang ada di sini membolehkan kami bertemu dalam situasi berbeza untuk kenal-mengenal dengan lebih rapat," ujarnya yang memegang jawatan Yang Dipertua MPP UiTM Shah Alam.


KEBANYAKAN pengunjung meluangkan masa berbasikal bersama keluarga pada hujung minggu.


Kem pelajar

Keindahan alam semula jadi TBNSA turut menjadi faktor utama yang menarik pengusaha syarikat perunding berteraskan pendidikan, P. Shaan, 44, untuk mengendalikan kem pendidikan selama tiga hari dua malam di taman tersebut.

"Perkembangan minda kanak-kanak serta remaja akan lebih terbuka jika mereka berpeluang menyertai aktiviti riadah di kawasan persekitaran yang hijau dan dekat dengan alam semula jadi.

"Taman ini selesa untuk dikunjungi dan menyediakan banyak kawasan terbuka dan berbumbung untuk menjalankan aktiviti riadah yang lasak dan ringan," katanya ketika ditemui di TBNSA baru-baru ini.

Antara tarikan lain di TBNSA ialah Taman Haiwan, Taman Hiasan, Taman Iklim Sederhana Empat Musim, Taman Rempah-ratus, Taman Kaktus serta Taman Buah-buahan Tropika.

Selain itu, pengunjung juga boleh melihat keunikan reka bentuk rumah tradisional negeri-negeri di Malaysia yang terletak di Kampung Idaman taman botani tersebut.

Bagi mereka yang menggemari sukan lasak pula boleh mencuba aktiviti yang disediakan di Taman Cabaran Skytrex dengan membuat tempahan awal dengan pengendali aktiviti itu.

Santorini seindah gambar poskad

Posted:

Santorini seindah gambar poskad

Santorini seindah gambar poskad


LANDSKAP dan seni bina bangunan klasik menghiasi pemandangan bandar Oia.


PERJALANAN menaiki pesawat tambang murah, EasyJet ke Santorini, Greece dari Lapangan Terbang Gatwick, London, United Kingdom mengambil masa selama tiga jam 40 minit.

Santorini terletak dalam kepulauan Cyclades iaitu kira-kira 200 kilometer di tenggara Athens, ibu negara Greece. Pulau itu mempunyai gunung berapi di tengah Laut Aegan yang menjanjikan pemandangan yang sangat mengagumkan.

Kedudukannya ialah di tebing gunung berapi yang dikelilingi cenuram pada ketinggian kira-kira 300 meter dari paras laut.

Pelancong ke Pulau Santorini boleh memilih tiga kaedah pengangkutan untuk ke bahagian tertinggi pulau itu iaitu menaiki bot, kereta kabel atau kapal terbang yang mendarat di Lapangan Terbang Thira.

Percutian saya dan rakan-rakan di pulau itu bermula di bandar Fira. Di situ, saya menginap di Angel Studios iaitu sebuah hotel kecil yang diusahakan oleh tiga generasi wanita berketurunan Greek.

Tiga hari menginap di situ, bayarannya hanya 75 euro (RM312) termasuk sarapan pagi yang enak. Mereka melayan kami seperti keluarga.

Fira merupakan sebuah bandar utama di Santorini yang terletak di cerun bukit yang berlatarbelakangkan permandangan Laut Aegan. Bandar itu juga terkenal dengan konsep bangunannya yang serba putih dan berlapis-lapis di sepanjang cenuram.

Kedudukan Fira yang terletak di kawasan tinggi memerlukan kami menaiki kira-kira 700 anak tangga. Walaupun penat, habuannya amat berbaloi kerana pemandangan di puncak sangat cantik.

Sekitar bandar Fira terdapat banyak restoran yang menghidangkan pelbagai makanan tradisi Greek yang kebanyakannya berunsur Mediterranean. Kebanyakan makanan yang dihidangkan diperbuat daripada sayur-sayuran seperti terung dan tomato.

Di tebing bukit bandar itu, kelihatan deretan kafe kecil yang dihias indah serta serba moden untuk pelancong berehat atau menikmati secawan kopi dan sepotong kek sambil melihat pemandangan indah.


PELABUHAN Fira merupakan platform membawa pelancong ke kawasan gunung berapi di Santorini.


Di situ juga merupakan tempat yang paling sesuai untuk pelancong membeli cenderamata atau barangan yang diusahakan oleh penduduk tempatan seperti manisan dan baju yang dibuat daripada kapas Greek.

Pada hari kedua, saya dan rakan-rakan mengambil khidmat pemandu pelancong yang disediakan oleh agensi pelancongan di Fira. Kami mengambil pakej berharga RM79 yang menawarkan lawatan ke gunung berapi dan kolam air panas.

Pemandangan Laut Aegan amat indah pada waktu pagi. Panorama laut yang tenang dipenuhi kapal, feri besar dan bot laju yang membawa pelancong menggamit perhatian saya.

Untuk ke pelabuhan, pelancong perlu ke puncak bandar Fira. Pelancong juga mempunyai dua pilihan untuk ke pelabuhan iaitu menaiki kereta kabel atau keldai dengan bayaran RM17 dan RM20 seorang. Keldai merupakan antara pengangkutan utama rakyat di kepulauan Santorini ini untuk mengangkut barang dari pelabuhan yang terletak di pulau ke bandar.

Setibanya di pulau, saya dan rakan-rakan menaiki kapal pelantar terbuka yang mempunyai hiasan dalaman kayu eksklusif. Ia sangat sesuai bagi mereka yang gemar berjemur di bawah cahaya matahari.

Gunung berapi

Perjalanan pertama kami ke kawasan gunung berapi mengambil masa kurang 20 minit. Untuk memasuki kawasan gunung berapi dikenakan bayaran sebanyak RM16 seorang. Pemandu pelancong membawa kami melawat kawasan gunung berapi dan kawah air panas di puncak gunung. Disebabkan tidak memakai kasut yang sesuai, saya tidak menyertai lawatan itu.

Walaupun tidak berpeluang ke gunung berapi, saya sempat merendamkan kaki ke dalam kolam kecil yang mempunyai mineral yang baik untuk kulit.

Selepas itu, rombongan kami dibawa ke kolam air panas yang terletak kira-kira 10 minit dari gunung berapi. Kawasan cetek di sekitar kolam air panas membuatkan bot berhenti agak jauh dan pelancong perlu terjun ke dalam kolam itu.

Menurut pemandu pelancong, kawasan kolam itu dipercayai menjadi panas akibat wap panas yang dihasilkan dari gunung berapi. Kini, gunung berapi itu tidak aktif dan merupakan salah satu tarikan pelancong untuk melihat air kolam yang berwarna jingga.


LORONG-LORONG kecil di sekitar bandar Fira menjadi destinasi beli-belah untuk pelancong.


Kemudian, kami dibawa ke Thirassia iaitu sebuah pulau berasingan dan terdiri daripada perkampungan kecil di tepi laut. Lokasi itu mempunyai beberapa restoran dan gerai-gerai kecil menjual barangan tempatan.

Gerai yang menjual batu karang yang boleh dijadikan sepan merupakan produk yang menarik perhatian saya. Ia amat lembut dan dijual dalam pelbagai saiz dengan harga RM8.

Kemudian, kami dibawa ke Oia atau cara sebutannya e-ya. Oia merupakan bandar kedua terkenal di Santorini. Landskap serta seni bina bangunan di Oia kelihatan sama seperti di Fira, tetapi Oia lebih tenang dan kurang menjadi tumpuan.

Keindahan Pantai Kamari

Pada hari terakhir percutian di Santorini, kami ke Pantai Kamari. Pesisiran pantainya dipenuhi pasir dan batu-batu kecil berwarna hitam sehingga ia digelar Black Beach.

Di tepi pantai, terdapat deretan kerusi beratap nipah milik restoran untuk disewakan kepada pelancong. Bagi saya, Pantai Kamari amat sesuai untuk mereka yang inginkan kedamaian dan mahu beristirehat.

Urutan dalam gazebo merupakan antara tempat yang menjadi tumpuan pelancong selain aktiviti seperti jet ski dan kapal layar. Kebanyakan pelancong memilih untuk melakukan riadah itu pada waktu petang sambil menikmati pemandangan tepi pantai.

Kami juga berpeluang menikmati hidangan makan tengah hari di sebuah restoran yang menyediakan ikan bakar seperti di Malaysia.

Antara destinasi lain yang sempat saya kunjungi di Santorini ialah Pantai Kokkini, Pantai Aspri dan Pantai Privolos. Pantai itu hanya mengambil masa 20 minit perjalanan dari bandar Fira. Kebanyakan pelancong di Santorini gemar menyewa ATV untuk menjelajah kawasan itu.

Santorini merupakan sebuah pulau yang mempunyai pemandangan cantik. Seni bina dan budayanya juga berbeza dengan kebanyakan negara Eropah. Saya amat berpuas hati dapat melihat keindahan Santorini dengan mata sendiri dan ternyata gambarannya sama seperti apa yang saya lihat dalam poskad.

Percutian ala kolonial

Posted:

Percutian ala kolonial

Percutian ala kolonial

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI


CASA del Rio menyediakan balkoni peribadi di keseluruhan 66 buah bilik yang terdapat di hotel tersebut.


BANDARAYA Melaka sememangnya terkenal dengan imej bandar bersejarah yang menyimpan pelbagai lipatan kenangan dan menjadi 'rumah' kepada bangunan-bangunan lama sejak zaman penaklukan Portugis pada tahun 1511.

Keindahan panorama di bandar tersebut dilengkapi lagi dengan sebuah hotel butik mewah yang menawarkan pengalaman penginapan persis zaman kolonial iaitu Hotel Casa del Rio. Ia seolah-olah meraikan kemeriahan dan nilai sejarah yang tinggi di kota Melaka.

Hotel tersebut terletak di tebing Sungai Melaka berhampiran dengan Jalan Kota Laksamana yang hanya memerlukan anda berjalan kira-kira dua minit dari destinasi popular, Jonker Walk. Hotel berkenaan direka khas untuk merakamkan pemandangan menakjubkan ke arah beberapa mercu tanda yang terdapat di Melaka.

Gabungan elemen

Rona magenta, kuning dan terra cotta (coklat tanah) yang diadun dengan pagar besi tempa lama serta lampu hiasan yang indah memberikan sentuhan suasana Mediterranean di segenap ruang Casa del Rio.

Reka bentuk bangunannya pula diinspirasikan daripada sejarah kedatangan Portugis ke Melaka dan keunikan elemen pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka suatu masa dulu.


RUANG hiasan dalaman serba mewah dengan sentuhan suasana Mediterranean di bilik jenis Deluxe.


Pegawai Pentadbiran dan Komunikasi Pemasarannya, Fam Yen Fong memberitahu, terdapat sebanyak 66 bilik yang berkonsepkan elemen-elemen Mediterranean dan Peranakan Baba Nyonya ditawarkan kepada pengunjung.

"Semua bilik di sini mempunyai balkoninya sendiri yang membolehkan pengunjung menikmati pemandangan indah Sungai Melaka terutamanya pada waktu malam.

"Bagi tetamu yang membawa anak-anak bersama, Casa del Rio ada menyediakan kemudahan perhubungan dan hiburan seperti akses internet berkelajuan tinggi, set televisyen lengkap dengan pemain cakera padat, stesen doking iPod dan telefon talian antarabangsa," jelasnya.

Bukan itu sahaja, definisi keselesaan dalam kemewahan pasti dapat dirasakan sewaktu anda menghabiskan masa percutian di hotel tersebut kerana Casa del Rio menyediakan katil mewah yang empuk, bilik mandi yang luas dan ruang yang besar untuk berehat.

Kemudahan lain termasuklah perkhidmatan pelancongan menggunakan kereta atau beca di sekitar bandar raya Melaka, menaiki bot untuk menyelusuri sungai, cucian pakaian, kolam renang dan gimnasium.

Tambah Yen Fong, hotel itu turut menyediakan bilik pelbagai guna dengan beberapa pilihan keluasan untuk penganjuran seminar, dewan bankuet untuk majlis perkahwinan, parti hari jadi dan pelbagai sambutan lain.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved