Kosmo Online - Varia |
Fast & Furious 6 kembali ke jalanan Posted: Fast & Furious 6 kembali ke jalananOleh NURUL NAFISAH MAZLAN
LAYAR PERAK pada minggu ini menampilkan sebuah lagi filem sekuel yang mengetengahkan aksi dan kisah berpaksikan perlumbaan kereta iaitu Fast & Furious 6 - Super Bowl Trailer Spot. Misi kali ini menyaksikan watak Dominic yang dilakonkan Vin Diesel bersama rakan-rakannya berhempas pulas untuk menumbangkan sekumpulan pemandu upahan yang diketuai oleh Owen Shaw. Selain menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Paul Walker, Dwayne Johnson dan Jordana Brewster, filem arahan Justin Lin ini turut mempertaruhkan aksi kereta-kereta mewah seperti Nissan GT-R dan Subaru BRZ. Selain itu, bagi anda yang gemarkan filem animasi Rio dan Ice Age, pengarahnya Chirs Wedge tampil dengan buah tangan terbaharu iaitu Epic. Filem animasi fantasi pengembaraan komedi itu adalah hasil daripada adaptasi buku bergambar, The Leaf Men And The Brave Good Bugs yang ditulis oleh William Joyce pada tahun 1996. Ia mengisahkan tentang seorang gadis bernama Mary Katherine yang terjebak ke dunia fantasi rahsia. Di dunia itu, dia terlibat dalam sebuah pertempuran yang memerlukannya bergabung dengan pelbagai makhluk aneh. Saksikan pengembaraan hebat gadis itu. Seterusnya, bagi peminat pelawak, Zizan Razak, anda berpeluang bergelak sakan dengan filem aksi komedi Bikers Kental arahan Helmi Yusof. Filem terbitan Astro Shaw Sdn. Bhd. itu menceritakan kisah sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi berkonvoi ke Thailand. Kisahnya bermula apabila seorang anak muda bernama Bidin Al Zaifa (Zizan), mempunyai minat yang mendalam terhadap motor berkuasa tinggi. Impiannya adalah untuk menunggang motosikal besar itu dari Kuala Lumpur hingga ke Thailand. Hasratnya itu menjadi kenyataan apabila dia diberi peluang untuk berkonvoi bersama Eddie Cuardo. Saksikanlah filem penuh mencuit hati ini. Bagi yang dahagakan filem lakonan Aaron Kwok pula, Christmas Rose harus dijadikan pilihan. Filem ini mengisahkan seorang pendakwa raya yang mengendalikan sebuah kes yang amat mencabar. Fast & Furious 6 – Super Bowl Trailer Spot Tarikh tayangan: 23 Mei 2013 Genre: Aksi Durasi: 2 jam 10 minit Pengarah: Justin Lim Pelakon: Vin Diesel, Paul Walker, Dwayne Johnson, Jordana Brewster, Michelle Rodriguez Sinopsis: Menariknya filem arahan Justin Lim, Fast and Furious 6 ini mengisahkan kehidupan Dominic Toretto (Diesel) bersama rakannya yang hidup kaya-raya. Bagaimanapun, mereka tidak dapat menikmati kehidupan sempurna kerana memiliki rekod jenayah. Ekoran itu, mereka gagal pulang ke negara kelahiran masing-masing. Namun, Pegawai Perkhidmatan Sekuriti Diplomatik Amerika Syarikat, Luke Hobbs (Johnson) telah menawarkan untuk membersihkan rekod jenayah kumpulan tersebut. Sebagai balasan, mereka perlu menumpaskan sebuah kumpulan pemandu upahan yang diketuai oleh Owen Shaw. Sejak itu, bermulalah aksi pertarungan dan pemanduan kereta mewah sehingga menyebabkan kekasih Dominic mati. Epic Tarikh tayangan: 23 Mei 2013 Genre: Pengembaraan dan animasi Durasi: 1 jam 42 minit Pengarah: Chris Wedge Pelakon: Beyonce Knowles, Colin Farrell, Josh Hutcherson, Amanda Seyfried, Johnny Knoxville, Aziz Ansari, Jason Sudeikis, Steven Tyler Sinopsis: Filem Epic mengisahkan seorang gadis bernama Mary Katherine lakonan Amanda Seyfried telah memasuki dunia fantasi yang memerlukannya bergaul dengan pelbagai jenis makhluk ajaib. Di dalam dunia fantasi itu, Katherine terbabit dalam pertarungan yang melibatkan komuniti baik dan jahat. Beberapa artis terkenal turut menyumbangkan suara dalam filem ini seperti Beyonce Knowles dan Collin Farrel. Bikers Kental Tarikh tayangan: 23 Mei 2013 Genre: Aksi komedi Durasi: 1 jam 35 minit Pengarah: Helmi Yusof Pelakon: Zizan Razak, Awie, Zul Ariffin, Harun Salim Bachik, Bront Palarae, Pornwipa Watcharakaroon, Julangtip Sukkasem, Amerul Affendi, Sufia Mohamed Sinopsis : Filem Bikers Kental menceritakan kisah Bidin Al Zaifa (Zizan) yang mempunyai minat mendalam terhadap motosikal berkuasa tinggi. Bidin yang bekerja di bengkel milik abang sepupunya telah diberi peluang untuk menyertai konvoi ke Thailand bersama Eddie Cuardo. Dalam pengembaraan itu pelbagai kisah, tragedi dan konflik berlaku antara Bidin dan Eddie Cuardo. Christmas Rose Tarikh tayangan: 23 Mei 2013 Genre: Drama Durasi: 1 jam 30 minit Pengarah: Charlie Yeung Pelakon: Aaron Kwok, Kwai Lun-Mei, Chang Chen Sinopsis : Filem lakonan Aaron Kwok ini mengisahkan pendakwa raya yang telah terjebak dalam sebuah kes paling mencabar. Dia dikehendaki mengendalikan satu kes membabitkan seorang pemain piano buta yang menjadi mangsa serangan seksual daripada doktornya sendiri. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan