Ahad, 21 April 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Alam dan wanita karya Sarbani

Posted:

Alam dan wanita karya Sarbani

Alam dan wanita karya Sarbani

Oleh ADLAN JAAFAR

SARBANI dengan tiga lukisannya yang bertemakan wanita dan alam semula jadi.


MEMANDANG tiga buah lukisan karya Sarbani Bhattacharya, 37, ia kelihatan seperti sangat kontemporari melalui garisan tubuh figura yang tidak realistik dan penggunaan warna yang terang.

Selain itu, gaya memberus Sarbani juga membentuk paten berkala seperti unsur-unsur semula jadi jika diteliti secara dekat dan terperinci.

Paling jelas, ketiga-tiga lukisannya mempunyai unsur-unsur alam semula jadi yang digabungkan bersama figura wanita yang mempunyai sifat keibuan.

Akui Sarbani, pada peringkat awal melukis, dia sukar mengintegrasi kedua-dua unsur terbabit. Selama ini, Sarbani akan melukis salah satu sahaja tanpa mencantumkannya.

Namun, ketika ditemui di Pameran Seni Flutters and Rhythms di Galeri Sutra, Kuala Lumpur, lancar dia menceritakan inspirasi karyanya iaitu alam semula jadi dan memupuk.

Pameran tersebut turut disertai empat pelukis dari Singapura iaitu P. Gnana, Kalidass J, Sangeeta Charan, Sagarika Sen dan Siva Perakas.

Motif bunga-bungaan

Tumbuh-tumbuhan bukan sahaja menguasai karya Sarbani malah melihat kain sari yang dipakainya, motif bunga-bungaan pelbagai warna kelihatan melatari kain putih itu.

Anggota badan wanita termasuk wajah menjadi subjek penting dalam setiap lukisannya, setiap satu lukisan cuba menyelongkar isi dan kualiti seorang wanita.

Cantik, penyayang, lemah lembut, ayu dan tenang cuba ditonjolkan untuk setiap lukisan dan pada masa yang sama disatukan dengan gaya alam seperti dedaun, sinaran cahaya dan bunga-bungaan.

Penggunaan warna yang terang seperti merah, biru, kuning dan jingga menjadikan sifat kewanitaan yang diketengahkan lebih menonjol.

"Saya sukakan alam semula jadi, saya bersuara untuknya," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur.

Wanita berasal dari India itu kini menetap di Singapura.

Gaya lukisan dan inspirasi Sarbani bukan datang secara tiba-tiba, tetapi selepas melalui pelbagai pengalaman hidup dan perubahan fasa kehidupannya.

Dia mula dapat menggabungkan kedua-dua unsur tersebut selepas mendapat anak perempuan pada tahun 2004 apabila Sarbani mula merasai sendiri perasaan seorang ibu.

Tiga buah lukisannya yang menggunakan medium akrilik di atas kanvas ialah Lullaby, Submerged Elightenment-II dan Eternal Bliss.

Perkataan yang digunakan sebagai tajuk menggambarkan ketenangan dan kedamaian yang dikaitkan dengan alam semula jadi serta sifat wanita seperti dilukis.

"Melukis merupakan meditasi bagi diri saya," ungkapnya yang mula melukis sejak kanak-kanak dan mendapat pendidikan formal dalam bidang seni pada tahun 1995.

"Jiwa anda adalah sumber anda," katanya lagi yang menekankan supaya mempunyai hati yang jernih kerana setiap perlakuan dan tindak-tanduk berasaskan jiwa manusia.

Buku resipi pesakit dialisis

Posted:

Buku resipi pesakit dialisis

Buku resipi pesakit dialisis

BUKU Resipi Pesakit Dialisis 2013 dihasilkan HKL untuk panduan orang ramai.


"MAKAN kena pantang. Tak boleh makan nasi biasa, yang berkanji dan tinggi karbohidrat. Tak boleh juga ambil banyak makanan manis, tinggi kandungan protein dan garam. Jangan sampai terlebih ayam, ikan, daging, hati dan soya. Semuanya kena hati-hati kalau nak makan. Kalau dah semua tak boleh, habis saya nak makan apa?"

Demikian antara keluhan yang sering ditimbulkan oleh kebanyakan pesakit yang menjalani rawatan dialisis kerana berdepan dengan masalah ginjal.

Malah, kebanyakan pesakit mengakui mereka lebih ditekankan mengenai apa yang tidak boleh dimakan berbanding apa yang boleh dimakan sehingga mendatangkan stres.

Seharusnya panduan pemakanan yang sihat boleh membawa keseronokan dalam kehidupan pesakit dialisis untuk diamalkan dalam pengurusan pemakanan dan diet mereka.

Atas keprihatinan itu, baru-baru ini Hospital Kuala Lumpur (HKL) melancarkan buku Resipi Pesakit Dialisis 2013 khusus untuk pesakit yang menjalani rawatan dialisis.

Ramai abai pengurusan makanan

"Isi kandungan buku ini menganjurkan cara pemakanan dan gaya hidup sihat. Diharapkan dengan pelancaran buku ini, ia dapat membantu meningkatkan pemahaman dan kepentingan pengurusan pemakanan kepada pesakit dialisis", kata Ketua Jabatan Nefrologi HKL dan Ketua Perkhidmatan Nefrologi bagi Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Ghazali Ahmad.

Di Malaysia, penyakit buah pinggang kronik adalah masalah kesihatan serius yang memerlukan rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang agar pesakit boleh meneruskan kehidupan.

Menurut statistik terbaharu HKL, negara mempunyai 25,688 pesakit dialisis dan 1,884 penerima buah pinggang berdaftar pada tahun 2011.

Kebanyakan orang menganggap hanya rawatan dialisis dan pemindahan buah pinggang adalah jalan terbaik bagi mengawal penyakit itu sehingga sanggup mengabaikan peranan penting pengurusan pemakanan.

PESAKIT buah pinggang perlu menjalani rawatan dialisis untuk membersihkan darah. - Gambar hiasan


Pelbagai resipi

Menurut Pakar Pemakanan HKL, Datin Nor Sharita Mohd. Saad, buku resipi itu bukan sahaja memaparkan pelbagai jenis hidangan yang boleh dicuba oleh pesakit, malah turut menyatakan jumlah dan sukatan yang bersesuaian untuk satu hidangan empat orang.

Turut disediakan adalah panduan sukatan yang betul mengikut sukatan peralatan yang sedia ada di dapur biasa.

Jika panduan itu diikuti dengan betul, pesakit dialisis akan dapat menikmati masakan seperti asam pedas, daging masak halia, ayam goreng berempah, nasi goreng Cina, asam laksa, cendol, samosa dan karipap.

"Resipi yang tersedia dalam buku ini adalah hasil yang diubah suai berdasarkan komen pesakit dan pegawai perubatan setelah sesi uji rasa dijalankan," jelas Nor Sharita.

Resipi yang dimuatkan mematuhi jumlah garam (sodium) yang dibenarkan. Selain turut mengandungi analisis makanan yang menunjukkan jumlah sebenar kandungan kalori, protein, potasium dan fostat dalam makanan itu.

Malah, cara penyediaannya mudah dan boleh dimasak sama ada oleh pesakit atau pun penjaga.

Buku resipi dialisis berbahasa Melayu yang diterbitkan oleh Jabatan Nefrologi dan Jabatan Dietetik dan Sajian HKL dengan usahasama AbbVie Sdn. Bhd. itu juga bakal diterjemahkan dalam bahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin. Ia juga boleh dimuat turun di www.hkl.gov.my - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved