Ahad, 21 April 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Emma Maembong telan kontroversi

Posted:

Emma Maembong telan kontroversi

Emma Maembong telan kontroversi

EMMA MAEMBONG pernah menetapkan hidupnya untuk berkarya melalui lukisan gara-gara terpengaruh dengan kerjaya bapanya sebagai seorang pelukis. Namun arus yang ditongkah membawa gadis berumur 21 tahun itu keluar dari hanya berkarya atas kanvas, berus dan warna.

Kini dia bermain dengan warna kehidupan, melengkapkan kemahuan pengarah, menggalas watak dan menjadi individu lain dalam setiap karya yang disertai. Jauh di sudut hatinya, Emma masih seorang pelukis yang memberi warna atas kanvas seni.

"Semuanya juga bergantung kepada minat. Dahulu saya melukis bersama-sama bapa saya kerana minat tetapi kini mula dikenali sebagai pelakon juga kerana minat.

"Kalau diberi pilihan, saya pilih kedua-duanya. Jika tidak berlakon saya akan kembali kepada lukisan," katanya memulakan bicara pada pertemuan sulung bersama Sensasi Bintang baru-baru ini.

Nama Emma sebagai pelakon segera meraih publisiti di sebalik portfolio kariernya yang baru setahun jagung. Produknya cuma ada dua. Drama pertama ialah Kau Yang Terindah manakala Cinta Itu Milikku pula menjadi drama kedua iaitu menampilkan Emma sebagai Rania.

"Saya masih terlalu baharu. Belum sampai setahun pun saya berlakon. Bulan Mei nanti barulah genap setahun saya serius bergelar pelakon.

"Selama ini semua orang hanya kenal dan lihat saya menerusi dua drama sahaja. Asalnya saya sekadar mencuba dan sampai hari ini sebenarnya saya sendiri masih terkejut dengan perhatian yang diterima," tuturnya.

Di sebalik kilau glamor yang diraih, peluang yang datang hari ini masih sebuah mimpi buatnya.

"Sebenarnya saya masih terkejut kerana naik mendadak. Saya sangat bersyukur dan mulai sedar, tugas saya sekarang ialah meneruskan kepercayaan yang peroleh. Cuma yang tidak menariknya sebab naik kerana kontroversi dan macam-macam gosip.

"Semasa mula-mula dahulu, saya jenis yang suka nak betulkan keadaan tapi sekarang saya sudah boleh biarkan sahaja cerita-cerita itu berlalu. Selagi keluarga, saudara-mara dan orang-orang terdekat dengan saya tahu perkara sebenar, saya sudah rasa lega," luah wanita berdarah Melayu-Scotland itu tentang dunia baharu yang menjadi rutin hidupnya.

EMMA bakal muncul dengan dua buah drama bersiri, Tiga Nenek Tiga Dara dan Kampung Girl.


Kontroversi berantai

Puas menjawab isu disiplin, gambar panas bersama bekas teman lelaki, seksi serta dicap suka berparti, rantaian kontroversi bersilih-ganti itu menyimbahkan populariti yang bukan sedikit ke wajah mulusnya.

"Saya tak minta semua gosip dan sensasi. Buat salah sikit, ia datang. Itu pakej yang harus saya telan. Jadi saya harus belajar daripada kesilapan. Sekarang saya sudah mampu senyum dengan setiap cerita buruk tentang saya," katanya yang agak beremosi lewat status akademiknya pula yang menjadi bahan diperkatakan ramai.

Kisah Emma yang hanya bersekolah sampai tingkatan dua menjadi satu isu besar buat segelintir pihak. Dia tidak sempat menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) apatah lagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Sejak dari dahulu lagi saya tidak pernah berahsia tentang tahap akademik saya. Cuma dahulu cerita itu tidak diperbesarkan sebab ada isu lain. Sekarang mungkin sudah tiada cerita lain, tak mengapalah.

"Bagi saya sendiri, saya tak malu walaupun tiada SPM. Orang yang tidak berada di tempat saya pasti tidak tahu situasi sebenar. Saya juga tak salahkan sesiapa dalam hal itu, bahkan saya minta maaf terhadap ayah saya kalau-kalau isu itu ada menyentuh perasaannya. Alhamdulillah ayah saya okey, bahkan dia selalu menyokong minat saya," ujar Emma yang tinggal bersama ayahnya selepas lelaki itu bercerai dengan ibunya ketika dia masih kecil.

Mungkin kedengaran pelik bagi sesetengah pihak, tetapi bagi Emma dan adik-beradik yang tinggal bersamanya, kehadiran guru ke rumah untuk mengajar subjek-subjek asas seperti apa yang dipelajari di bangku sekolah ialah perkara normal buat mereka.

Tutup kisah akademik yang tidak perlu lagi dipanjangkan, Emma atau Fatimah Rohani Ismail ini tetap berbesar hati. Walaupun tiada SPM, dia kini sedang beroleh tempat dalam hati peminat sebagai pelakon.

"Siapa yang tak mahu belajar tinggi-tinggi tapi tahap akademik tak menyebabkan saya rasa rendah diri untuk berdepan orang luar. Tiada SPM juga tidak bermakna saya tidak boleh berjaya tapi sudah tentu saya tak boleh minta kerja di jabatan kerajaan. Kekurangan itu mungkin satu pelengkap untuk saya," jelas Emma yang sedang dikaitkan pula dengan gosip baharu konon-kononnya sedang bercinta pula dengan pelakon popular, Johan As'aari

EMMA MAEMBONG menyerlah dari segi populariti namun kerja lakonannya masih banyak yang belum disaksikan umum.


Heroin filem

Baru selesai penggambaran untuk beberapa drama bersiri antaranya Tiga Nenek Tiga Dara untuk RTM, Kampung Girl (TV3), pelakon yang bernaung di bawah syarikat pengurusan artis, Wire Fame Sdn. Bhd. itu dinasihatkan berehat seketika daripada drama televisyen.

Tujuannya untuk memberi laluan baharu kepada Emma yang kini disunting pula untuk bergelar heroin dalam filem terbaharu Mamat Khalid berjudul Werewolf Dari Bangladesh.

Emma akan melakonkan watak Cik Zainab Remunggay, seorang pengusaha warung makan yang juga adik kepada cik Tun Remunggay lakonan Rozita Che Wan. Oleh kerana kecantikan yang dimilikinya, Cik Zainab menjadi kegilaan tiga lelaki lakonan Usop Wilcha, Zizan Razak serta seorang warga Pakistan.

"Sebut sahaja filem Mamat Khalid orang akan buka mata, itu yang buat saya berdebar-debar. Berlakon pula dengan bos sendiri (Zizan). Saya rasa ini penghargaan buat saya sebab masuk sahaja ke filem pertama, saya muncul dalam filem Mamat.

"Saya tak berani nak janji apa-apa, yang saya tahu saya hanya mahu lakukan yang terbaik. Saya mahu jaga setiap kepercayaan dan sokongan yang telah saya perolehi selama ini. Kalau boleh saya mahu mengelak daripada terjebak dengan benda yang bukan-bukan," katanya terlibat dengan penggambaran filem arahan pengarah prolifik itu sehingga 9 Mei nanti.

Rahsia awet muda Ziana Zain

Posted:

Rahsia awet muda Ziana Zain

Rahsia awet muda Ziana Zain

IBU beranak empat ini beranggapan konsep memahami keperluan tubuh sendiri harus menjadi asas dan keutamaan sebelum mengambil sebarang produk kecantikan.


UMUR penyanyi bersuara lantang ini genap 44 tahun pada 2 Mei ini. Pun begitu, tidak banyak tanda-tanda Ziana Zain sudah dimamah usia. Kejelitaan itu turut membuatkan rezeki penyanyi lagu Puncak Kasih dan Anggapanmu itu semakin bertambah. Tidak hanya dalam dunia nyanyian sahaja, terkini Ziana terpilih menjadi duta sebuah produk kecantikan.

Isteri kepada Armin Zaharin Ahmad Zambri Armin dan ibu kepada empat orang cahaya mata itu berkongsi tip untuk kelihatan kekal kelihatan muda sepertinya.

"Pastinya usaha menjaga kesihatan dan kecantikan harus diberi perhatian. Saya sendiri seorang yang cerewet tentang penjagaan wajah dan tubuh. Jadi, perkara pertama adalah kita perlu faham tentang tubuh sendiri sebelum mengambil apa-apa produk.

"Saya banyak bereksperimen dengan diri sendiri untuk mencari produk terbaik. Banyak juga masa dihabiskan di farmasi semata-mata untuk mendapat maklumat tentang kandungan sesuatu produk.

"Selain mengambil kira soal jenis kulit wajah sendiri, faktor harga juga perlu diambil kira kerana tidak semestinya kosmetik yang mahal itu akan memberi kesan yang baik untuk kita," katanya ketika ditemui ketika pelancaran produk kecantikan berkenaan di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Gosip cinta bukan gimik pelaris

Posted:

Gosip cinta bukan gimik pelaris

Gosip cinta bukan gimik pelaris


HANS ISAAC dan Neelofa masing-masing sepakat untuk tidak terlalu terbuka bercakap mengenai status hubungan mereka, cukup umum tahu mereka memang sedang berkawan rapat.


WANITA demi wanita hadir dalam hidup Hans Issac. Terbaharu, lelaki berumur 42 tahun itu didakwa semakin intim dengan selebriti jelita, Neelofa.

Namun Hans enggan sensasi 'cinta lokasi' bersama heroinnya Neelofa menjadi fokus dalam strategi pemasaran filem terbaharunya Lemak Kampung Santan.

"Saya sedih jika kisah hubungan kami yang lebih-lebih diberi fokus. Tak guna saya buat filem ini dengan sungguh-sungguh jika orang hanya mahu ambil tahu pasal hubungan kami.

"Setakat ini hanya gambar-gambar kami dari lokasi penggambaran yang selalu digunakan oleh pihak media. Selama ini juga saya tolak semua permintaan media untuk menggandingkan kami dalam mana-mana sesi fotografi tapi apabila filem ini sudah sampai masanya untuk dipromosikan, saya tetap kena buat sesi fotografi.

"Macam apa yang kami lakukan hari ini (Isnin lalu). Saya buat pelancaran awal ini dengan harapan menjelang pratonton nanti, fokus dapat diberikan kepada filem, bukan hubungan kami," jelas Hans yang tahu bahawa ramai dalam kalangan media sedia maklum tentang status hubungannya bersama Neelofa.

Kata Hans, dia mahu bersikap tertutup kali ini kerana tidak mahu hanya diingati dengan kisah cinta jika tidak lagi berada di persada seni pada masa hadapan.

"Saya mahu dikenang berdasarkan kerja saya selama ini. Bagi saya yang penerbit menggunakan gosip cinta sebagai gimik untuk lariskan filem mereka ialah penerbit yang kurang berkeyakinan terhadap dengan filem sendiri. Zaman 1980-an memang ada banyak produksi filem menggunakan cara tersebut untuk melariskan filem. Di Hollywood juga tidak terkecuali.

"Tapi sekarang sudah tahun 2013, tidak mungkin saya akan menggunakan cara yang sama untuk pancing penonton ke pawagam," ujar Hans heboh dikatakan bercinta dengan Neelofa sejak pelakon serta pengacara itu terbabit dalam pembikinan filemnya tahun lalu.

Masih seperti Cuci yang meletakkan dirinya sebagai hero filem terbitan dan arahan sendiri, Hans juga berani menyifatkan tiada pelakon lelaki lain yang paling layak untuk watak Ridzuan, hero filem Lemak Kampung Santan itu melainkan dirinya sendiri.

"Saya seorang yang sangat selektif dengan kerja saya. Semasa proses penulisan skrip lagi saya sudah berbincang tentang watak. Setiap pelakon harus ada karakter Ridzuan dan rasanya watak itu kena dengan saya kerana saya sendiri mahu terlibat dalam filem itu. Saya tawarkan watak Ridzuan itu kepada saya, lagi pun ia boleh menjimatkan kos," jelasnya sambil diakhiri dengan nada berseloroh.

Bercakap mengenai pemilihan pelakon pula, Hans mengatakan, dia memilih pelakon yang bersesuai dengan watak, bukannya popular semata-mata.

"Paling penting juga adalah keselesaan untuk bekerjasama. Sebelum watak heroin ditawarkan kepada Neelofa kami sudah ada pelakon lain tapi selepas satu perbincangan bersama, saya tak rasa pelakon wanita itu sesuai. Jadi saya dicadangkan oleh Aziz M. Osman agar memanggil Neelofa untuk diuji bakat," cerita Hans mengenai keterlibatan Neelofa ke dalam produksi dan hidupnya itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved