Khamis, 11 April 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Demi bola sepak Johor

Posted:

Demi bola sepak Johor

Demi bola sepak Johor

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my

Sultan Ahmad Shah


TINDAKAN yang saya ambil adalah untuk kebaikan dan kemajuan sukan bola sepak negeri Johor."

Demikian penjelasan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim mengenai tindakan baginda menarik balik keputusan meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berkuat kuasa serta-merta.

Dalam kenyataan dua perenggan yang dihantar kepada semua media malam tadi, Tunku Ismail bertitah, baginda bersetuju menerima semula jawatan sebagai Presiden PBNJ setelah menghadap Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah di Istana Pahang minggu lalu yang meminta baginda menarik balik keputusan meletak jawatan.

"Nasihat serta pandangan baginda (Sultan Ahmad Shah) juga mendapat titah perkenan ayahanda saya, Sultan Ibrahim Ismail Su1tan Iskandar," kata baginda.

Baru-baru ini, Sultan Ahmad Shah memaklumkan bahawa Tunku Ismail menerima semula jawatan sebagai Presiden PBNJ selepas dipujuk oleh baginda sendiri, selain turut mendapat restu Sultan Ibrahim dalam pertemuan hampir sejam yang turut disertai oleh Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Tunku Ismail sebelum ini digantung selama enam bulan dan denda sebanyak RM18,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana mengkritik mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M), dan hukuman itu berkuat kuasa sejak 8 Mac lalu.

Baginda turut dipalit dengan kontroversi selepas didakwa duduk di bangku simpanan pemain sewaktu aksi Liga Super antara Johor Darul Takzim FC (JDT FC) menentang Terengganu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 30 Mac lalu ketika hukuman berkenaan masih berkuat kuasa sebelum Tunku Ismail membuat keputusan melepaskan jawatan sebagai Presiden PBNJ 3 April lalu.

Baginda dikatakan berbuat demikian kerana mahu menumpukan tugas selaku Tunku Mahkota Johor, dan tidak mahu terikat dengan undang-undang FAM.

Tunku Ismail turut mengumumkan baginda akan menjadi penaung PBNJ manakala jawatan Presiden PBNJ akan disandang Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil.

Mengulas lanjut, baginda menjelaskan bahawa pendekatan yang dilakukannya itu demi para penyokong Johor yang sentiasa memberi sokongan padu kepada skuad bola sepak negeri tersebut.

"Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan bahawa pasukan Johor Darul Takzim (DT) telah mengambil pengajaran daripada kesilapan lalu, dan akan diperkukuhkan daripada segenap aspek," titah baginda.

Skuad Johor DT juga akan mengharungi fasa baharu apabila pasukan itu bakal menyaksikan kemasukan pemain-pemain tempatan yang baharu, serta pengambilan beberapa pemain import yang berkualiti.

Sejak Tunku Ismail menerajui PBNJ, bola sepak Johor dilihat kembali meriah apabila penyokong semakin ghairah membanjiri stadium setiap kali skuad dari selatan tanah air itu beraksi.

PBNJ memiliki dua wakil dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dengan Johor DT beraksi dalam Liga Super dan Johor FA pula bersaing dalam Liga Premier.

Setakat ini, Johor DT menduduki tempat ketiga Liga Super dengan 19 mata manakala Johor FA juga berada di tangga ketiga Liga Premier dengan 22 mata.

Nizaruddin dalam radar ATM

Posted:

Nizaruddin dalam radar ATM

Nizaruddin dalam radar ATM

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


NIZARUDDIN hampir pasti beraksi dengan pasukan ATM.


BEKAS penyerang kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof menjadi buruan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum jendela pendaftaran pemain Liga Malaysia (Liga M) ditutup pada 22 April ini.

Pengendali ATM, B. Sathianathan memberitahu, kehadiran Nizaruddin dijangka memberi lebih banyak pilihan buat beliau dalam mengenal pasti jentera serangan terbaik The Gladiators bagi mengharungi baki saingan Liga Super selepas ini.

"Ketika ini, proses bagi mendapatkan khidmat Nizaruddin sedang berjalan lancar dan jika tiada aral, dia akan menyertai kami sebelum jendela pendaftaran pemain ditutup," katanya kepada Kosmo! semalam.

Untuk rekod, Nizaruddin, 33, sebelum ini pernah bersama Selangor, Negeri Sembilan dan Perlis sebelum dilepaskan Selangor PKNS musim lalu.

Anak jati Sentul, Kuala Lumpur itu juga pernah menyarung jersi pasukan kebangsaan apabila kali terakhir mencetak gol bersama Harimau Malaya ketika membelasah Afghanistan 6-0 pada Pestabola Merdeka edisi 2008.

Apa yang pasti, kehadiran Nizaruddin seolah-olah membayangkan resipi Sathianathan yang kekal menaruh kepercayaan terhadap kemampuan tonggak 'kuda tua' apabila memiliki penyerang berusia seperti Hairuddin Omar dan Marlon Alex James.

"Saya percaya Nizaruddin masih memiliki sentuhan penyudah yang berkesan dan bakal menjadi antara watak penting buat kami pada musim ini," katanya.

Mengulas pertemuan menentang Kelantan di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu malam esok, Sathianathan mengakui tugas berat menanti anak-anak buahnya apabila mereka kehilangan Shukor Adan, Fitri Omar, G Jeevananthan dan R. Surendran yang digantung perlawanan gara-gara didapati bersalah bertelagah dengan pemain Selangor pada pusingan pertama Piala FA baru-baru ini.

"Saya juga terpaksa merombak pasukan apabila kehilangan Irwan Fadhli Idrus dan Bruno Martelotto yang masih belum pulih daripada kecederaan.

"Prestasi semasa Kelantan juga tidak kurang hebatnya, jadi kami perlu berwaspada," katanya.

Malaysia pilih jumpa Asia

Posted:

Malaysia pilih jumpa Asia

Malaysia pilih jumpa Asia

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my


GANDINGAN Chan Peng Soon (kiri) dan Goh Liu Ying akan terus diberi kepercayaan menggalas cabaran negara dalam acara beregu campuran.


SKUAD negara mempunyai peluang yang lebih cerah untuk melangkah ke final sekiranya diundi menentang Pilihan Bintang Asia (Asia) pada majlis undian aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Piala Axiata 2013 hari ini.

Jurulatih beregu kebangsaan, Paulus Firman berkata, beliau percaya prestasi skuad negara ketika menentang Asia dan Thailand pada peringkat kumpulan boleh dijadikan 'petunjuk' untuk aksi akan datang.

Terdahulu, Malaysia sekadar terikat 2-2 dengan Thailand pada aksi kedua kejohanan di Surabaya pada 22 Mac lepas, sebelum bangkit menewaskan Asia dengan keputusan 3-1 sembilan hari kemudian di Kuala Lumpur.

Berdasarkan pencapaian di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras itu, Paulus berkata, beliau berharap undian yang akan dijalankan pada hari ini bakal mempertemukan skuad negara dengan Asia.

"Saya harap Malaysia akan diundi menentang Asia kerana berdasarkan keputusan yang lepas, kami meraih mata yang lebih baik jika dibandingkan ketika menentang Thailand.

"Ini kerana peluang dilihat lebih baik tetapi jika keputusan undian berbeza mereka juga harus beraksi dengan baik supaya dapat mara ke final," kata Paulus.

Malaysia berada di tangga kedua peringkat kumpulan Piala Axiata selepas meraih 21 mata di belakang Indonesia selaku pemimpin kumpulan dengan 22 mata.

Kedua-dua pasukan ini akan diundi sama ada menentang Thailand (21) atau Asia (16) yang menghuni tempat ketiga dan keempat.

Malaysia menyenaraikan 12 pemain untuk kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$1 juta (RM3.04 juta) itu, antaranya Datuk Lee Chong Wei, Liew Daren, Chong Wei Feng, Sonia Cheah Su Ya, Tee Jing Yi, Koo Kien Keat, Tan Boon Heong, Chan Peng Soon, Goh Liu Ying, Lim Yin Loo, Hoon Thien How dan Tan Wee Kiong.

Begitupun, Chong Wei tidak akan beraksi kerana dia mahu meluangkan masa bersama isterinya, Datin Wong Mew Choo yang dijangka melahirkan anak pertama mereka pada hari ini.

Ketiadaan Chong Wei sekali gus menceriakan pasukan Indonesia, Thailand dan Asia kerana perseorangan lelaki mereka tidak perlu berhadapan dengan jaguh No. 1 dunia itu.

Sementara itu, pengurus pasukan Asia, Greg Kim Hong Gi percaya Indonesia dan Malaysia akan lebih rasa tertekan menjelang aksi separuh akhir esok.

"Saya tidak mahu membebankan pemain-pemain saya dengan tekanan kerana saya yakin yang sedang tertekan bukan kami tetapi pasukan-pasukan lain.

"Bagaimanapun, kami akan lihat dahulu undian itu nanti sama ada bertemu Indonesia atau Malaysia dan kami juga tidak boleh lari daripada kedua-dua pasukan ini," kata Greg.

Dalam pada itu, Pengarah Hal Ehwal Luar Negeri Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI), Bambang Roedyanto berkata, Indonesia mempunyai peluang mempunyai peluang lebih baik daripada Malaysia.

"Jika kami bertemu Malaysia di final, jadi kami akan cuba untuk memenangi semua perlawanan. Kemenangan beregu Indonesia (Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan) menewaskan Kien Keat-Boon Heong pada Terbuka Australia telah meningkatkan keyakinan kami.

"Kami belum menentukan barisan pemain tetapi saya pasti pemain yang terbaik akan berada di gelanggang," kata Roedyanto.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved