Sabtu, 13 April 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Resort latih individu berkuda

Posted:

Resort latih individu berkuda

Resort latih individu berkuda


TETAMU dapat bermesra dengan kuda di Teratak Nalys.


NAMANYA sudah cukup untuk menggambarkan betapa uniknya Batang Kali yang terletak di Selangor ini.

Ibarat pekan transit, ia menjadi alternatif pengguna jalan raya yang ingin ke pusat peranginan Genting Highlands.

Namun, tarikan utamanya kini ialah sebuah ladang sayur yang menghasilkan sehingga 50 tan metrik sayur-sayuran setiap hari.

Berdasarkan kajian Jabatan Pertanian Selangor, sawi ditanam di kawasan ini merupakan yang terbaik di negara ini berikutan kualiti tumbesarannya yang disokong tanah subur.

Sayur-sayuran seperti kangkung, timun, bayam dan kacang panjang pasti membuatkan pengguna berasa teruja untuk membelinya kerana saiz dan tahap kesegarannya.

Namun sayur bukanlah satu-satunya tarikan yang ditawarkan di Batang Kali.

Teratak Nalys Eco Resort & Equestrian yang terletak di Jalan Hulu Tamu, Kampung Orang Asli menjanjikan pengalaman yang berbeza.

Pengunjung bukan sahaja dapat bermesra dengan kuda yang jinak bahkan landskap alam semula jadi yang belum tersentuh oleh arus pembangunan.

Tetamu turut dapat mandi-manda di sungai, bermain-main dengan arnab yang comel, mengejar ayam kampung dan mendengar bunyi bising kambing tatkala hujan turun.


ITIK yang boleh dipilih sendiri menjadi menu makanan anda sepanjang menginap.


Kuda jinak

Minggu ini, kru Jurnal berkunjung ke Teratak Nalys. Kedatangan kami disambut mesra pemiliknya yang berasal dari Arau, Perlis, Datuk Shuhaini Shafie.

Selesa mengenakan baju-T berkolar dan seluar jean, lelaki ini membawa kami menjengah ladang kuda miliknya yang terletak di resort itu.

Terdapat 14 jenis kuda antaranya jenis Arab, Through Breed dan Warm Blood yang kebanyakannya diimport dari Poland.

Kata Shuhaini, pengunjung boleh menunggang kuda dengan kadar bayaran yang berpatutan malah berpeluang mengikuti kursus intensif berkaitan mamalia itu.

"Ramai yang menganggap kuda jinak dan mesra tetapi sebenarnya ia agresif. Ia kelihatan jinak kerana haiwan ini telah dilatih untuk tujuan rekreasi dan riadah.

"Haiwan ini lebih sesuai untuk tujuan perlumbaan dan jelajah hutan.

"Kami memperkenalkan kursus mengenai kuda bermula daripada penjagaannya, jenis ladang, rumput yang dimakan sehingga cara menunggang yang betul," cerita Shuhaini.

Tambahnya, ramai yang masih tidak mengetahui tabiat sebenar kuda. Haiwan ini dapat mengenali pemiliknya berdasarkan bau dan suara.

"Kuda mengenali penjaganya walaupun jarak antara kedua-duanya jauh. Tetapi, saya sendiri yang telah 10 tahun bergelumang dengan kuda masih terjatuh apabila menunggang kuda kerana sifatnya yang agresif.

"Cara menunggang kuda juga perlu dalam posisi yang betul selain mengikut pergerakan badannya.

"Ramai orang mengatakan mereka yang sering menunggang kuda sombong kerana posisi badannya menegak dan seakan-akan mendada tetapi itu sebenarnya kaedah menunggang yang betul," ujarnya.

Shuhaini juga menerangkan bahawa sukan berkuda bukan semata-mata untuk golongan kaya.

Jelasnya, itu hanya mitos tetapi mengakui kos penjagaan kuda termasuk makanan agak mahal.

Harga seekor kuda ialah antara RM4,000 hingga RM100,000.

Terangnya, walaupun kuda bersaiz besar tetapi amat sensitif dan mudah terkejut.

"Walaupun ayam terbang berhampiran sekali pun, kuda akan terkejut dan menyebabkan penunggangnya terjatuh," kata Shuhaini sambil tersenyum.

Kursus itu mengambil masa sehari dengan bayaran RM500.

Tarikan tersendiri pastinya kuda bernama Nalys yang baharu sahaja lahir pada 1 Mei tahun lepas.

Bagi seorang penjaga kuda, Nik Azlan Sulung yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan, dia telah bekerja selama lebih setahun di resort itu.

Nik Azlan bersyukur kerana pelbagai insentif disediakan majikan kepadanya termasuk kemudahan rumah dan makanan.

"Selain itu, saya dapat mempelajari ilmu tentang kuda," ujarnya.

Terdapat tiga buah ladang kuda bersaiz kecil, sederhana dan besar untuk kemudahan pelanggan.


ARNAB comel yang dibawa pulang pasti menggembirakan tetamu resort terutamanya kanak-kanak.


Ternakan

Bukan itu sahaja tarikan yang terdapat di Teratak Nalys. Konsep resort berdasarkan penternakan dan pertanian yang dipraktikkan membolehkan tetamu memilih sendiri haiwan sebagai menu makanan.

"Mereka boleh memilih haiwan ternakan seperti ayam kampung dan itik di ladang untuk dimasak oleh pihak kami.

"Kebiasaannya kambing akan dimasak barbeku, ayam atau itik pula dimasak rendang atau kari. Terpulanglah kepada cita rasa sendiri," terang Shuhaini.

Setiap haiwan akan disembelih oleh pekerja mengikut syarat-syarat sembelihan Islam.

Menurut seorang pekerja yang hanya ingin dikenali sebagai Salus, dia teruja melihat gelagat pengunjung terutamanya kanak-kanak yang datang melawat kandang haiwan tersebut.

"Kebanyakan pelanggan berasa pelik kerana mereka jarang menemui resort yang mempunyai ternakan sebegini.

"Pelanggan khususnya kanak-kanak dapat mengejar haiwan-haiwan ini sama seperti suasana di kampung," katanya.

Menurut Shuhaini, pengunjung juga boleh membawa pulang arnab secara percuma.

"Tetapi kambing tidak boleh diambil percuma kerana kosnya mahal," katanya.

Harga bagi seekor kambing yang siap dimasak sekitar RM800 manakala bagi ayam kampung seekor RM12 dan itik RM15 tidak termasuk kos masakan.

Telur asin juga diberikan secara percuma. Tambah Shuhaini, tetamu resort juga boleh memberikan makanan seperti kangkung kepada arnab.

"Pengunjung juga dapat mempelajari cara penyembelihan ayam, membuang bulunya dan memasak haiwan itu seperti di kampung," katanya.

Bukan itu sahaja, pengunjung dapat menggunakan semua tanaman yang ditanam untuk dimasak seperti kangkung, pucuk ubi kayu dan limau.

Paling mengujakan, petai, lengkuas dan jering yang ditanam sekitar resort sedia untuk dimakan.

"Terdapat kolam ikan yang mempunyai pelbagai ikan seperti patin, kerapu dan tilapia. Pelanggan hanya memancing ikan dan boleh dimasak mengikut selera masing-masing," jelas Shuhaini.

Resort ini menerima rombongan berskala besar dan harga termasuk penginapan bermula daripada RM50 hingga RM1,000 termasuk makanan.

Masjid lumpur Mali

Posted:

Masjid lumpur Mali

Masjid lumpur Mali

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM


MASJID lama di Timbuktu, Mali dibina dengan lumpur.


IBNU BATUTAH sememangnya dikenali sebagai seorang pelayar dan pengembara yang hebat.

Pemilik nama Muhammad Abdullah Muhammad yang berasal dari Tangier, Maghribi pada 25 Februari 1304 ini sebenarnya lebih popular berbanding Marco Polo dan Christoper Columbus.

Tahap keilmuwannya bukan calang-calang kerana menguasai ilmu perbandingan agama, kesusasteraan dan geografi.

Kononnya, untuk menyembunyikan sejarah dan pencapaiannya yang 'luar biasa' segala artifak dan dokumen mengenainya disembunyikan Perancis semasa menjajah negara Benua Afrika ini.

"Kehebatan Ibnu Batutah hanya dapat disaingi Marco Polo (1254M - 1324M)," ujar seorang pakar sejarah, Brockelmann.

Ironi, Ibnu Batutah mula menjelajah seluruh dunia semasa berumur 21 tahun.

Dalam buku catatannya yang ringkas iaitu Rihlah, lelaki bersemangat waja ini memberitahu, tujuan utamanya mengembara hanya untuk menunaikan haji di Mekah selain menziarahi makam Rasulullah SAW di Madinah.

Tetapi selama hampir 30 tahun, pelbagai negara di benua Afrika, Eropah Selatan, Eropah Timur, Timur Tengah, India dan China berjaya dijejakinya.

Perjalanan sejauh 117,000 kilometer itu hanya mampu ditandingi pelayar lain seperti Christopher Columbus, Vasco de Gama, dan Ferdinand Magellan itupun selepas 125 tahun.

Salah satu lokasi tumpuannya ialah Mali. Beliau menyifatkan kota Timbuktu, Mali sebagai kota kaya terindah yang mampu menandingi Eropah semasa itu.


URANIUM sebagai bahan utama menjana tenaga nuklear.


Timbuktu

Sebelum ini, gambaran kekayaan kota Timbuktu menarik minat penjajah Eropah untuk menguasainya.

Malangnya, orang bukan Islam dilarang masuk ke kota ini. Persatuan Geografi Perancis menawarkan wang yang banyak kepada penjelajah Eropah yang berjaya masuk ke Timbuktu. Tawaran ini disahut Rene Caillie.

Dia menyamar sebagai orang Islam dan berjaya menjadi orang bukan Islam pertama dapat masuk ke Timbuktu.

Pada akhir abad ke-19, penjajah Perancis menguasai Mali sebelum mengisytiharkan penggabungannya dengan negara itu pada 1904.

Namun, negara ini akhirnya mendapat kemerdekaan 56 tahun kemudian.

Kini, Timbuktu hanya sebuah bandar kecil yang miskin namun masih menyimpan ribuan khazanah berharga selain keunikan masjid dan perpustakaan dibina dengan lumpur.

Timbuktu diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia pada 1988 kerana 'nilai' 70,000 manuskrip lama termasuk al-Quran purba.

Malah reka bentuk capal Rasulullah SAW yang kini terkenal di dunia Islam ditemui di Timbuktu melalui manuskrip lama yang dibongkar oleh pakar-pakar sejarah Islam.

Kegemilangan Mali sebagai pusat perkembangan ilmu Islam bermula pada kurun ke-13 hingga ke-17 semasa pemerintahan Askia Mohammad.

Empayar ini merupakan kerajaan terbesar, maju dan kaya kerana perdagangan tekstil, emas dan garam merentas Gurun Sahara pada kurun ke-14.

Uniknya, dalam urusan perniagaan mereka menggunakan emas dan perak sebagai mata wang dalam bentuk dinar dan dirham.

Penggunaan mata wang wajib kerana amalan riba dapat dihindari dan perniagaan yang jujur dapat diadaptasikan.


MALI sarat dengan manuskrip Islam lama yang bernilai tinggi.


Masjid lumpur

Timbuktu juga terkenal dengan Masjid Djinguereber yang dibina 100 peratus daripada lumpur.

Ia dibina oleh Sultan Kankan Moussa selepas kepulangannya pulang menunaikan haji pada 1325.

Sebagaimana Masjid Djinguereber, Masjid Sankore, Timbuktu, Mali dibina mengikut saiz Kaabah di Mekah.

Sementara itu, Masjid Sidi Yahia pula dibina sekitar tahun 1400 dan dipulihara oleh pemimpin Mali iaitu Al Aqib pada tahun 1577 hingga 1578. Ia menempatkan 16 tapak perkuburan dan makam.

Negara Benua Afrika ini kaya dengan sumber galian seperti emas, fosfat, kaolin, bauksit, besi dan uranium.

Bekas penjajah Perancis masih menguasai negara ini untuk bekalan uranium.

Dua pertiga bahan bakar Perancis berasal daripada sumber tenaga nuklear yang berperanan untuk menjana tenaga dan persenjataan bom nuklear.

Mali pengeluar ketiga terbesar emas di Afrika namun malangnya kini merupakan antara negara termiskin di Afrika.

Namun, bintang muziknya Salif Keita sedikit sebanyak mengurangkan suhu politik negara ini yang kerap berlakunya perang saudara yang mengorbankan banyak nyawa.

Bomoh pilihan raya

Posted:

Bomoh pilihan raya

Bomoh pilihan raya

Oleh AQMA MOHD. NOOR


MENGGUNAKAN khidmat bomoh untuk menang pilihan raya menjadi pilihan sesetengah ahli politik. - Gambar hiasan


MENGGUNAKAN khidmat bomoh untuk karier politik bukanlah satu cerita yang baharu. Malah dalam zaman serba teknologi ini, amalan tersebut masih diamalkan.

Di Indonesia, ahli-ahli politiknya, biarpun sudah berada di puncak mahupun calon datuk bandar pasti tidak terlepas menagih magis bomoh. Bekas Presiden Indonesia, Sukarno didakwa mempunyai berpuluh-puluh bomoh yang berkhidmat secara sepenuh masa.

Di Afrika, peranan bomoh dalam politik harian cukup besar. Emperor Bokassa dari Afrika Tengah menggunakan khidmat bomoh siang dan malam. Ini sama seperti apa yang dilakukan oleh Idi Amin Dada di Uganda dan Mobuto Sese Seko dari Congo.

Czar Nicholas dari Russia pula mempercayai Rasputin dalam pentadbirannya kerana beliau yakin bahawa bomoh yang berjanggut panjang itu mempunyai kuasa mistik yang boleh meramal masa depan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah secara terbuka menegur ahli-ahli politik dalam blog rasminya agar tidak mencari bomoh untuk menang dalam pilihan raya kerana bukan bomoh yang boleh memberi kemenangan. Kata Dr. Mahathir, budi baik, tingkah sopan dan keprihatinan terhadap masalah rakyat ialah resipi kejayaan.

Sebuah akhbar sebelum ini turut mendedahkan bahawa ada ahli politik yang ghairah mendapatkan kedudukan, pengaruh dan kuasa melalui jalan pintas. Mereka sanggup menggadai akidah dengan melakukan perkara khurafat dengan mempercayai azimat, wafak, cincin serta amalan pembacaan mantera tertentu.

Kepercayaan karut

Amalan khurafat ini turut diakui oleh Exco Gabungan Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Sharhan Shafie yang memberitahu, beberapa orang ahli politik ada berjumpa dengannya untuk mendapatkan tangkal dan azimat yang bertujuan mendapatkan pengaruh politik.

"Perkara ini ada berlaku di dalam bidang politik terutamanya pada musim pilihan raya dan saya pernah didatangi beberapa orang ahli politik. Bagaimanapun saya menasihati mereka supaya jangan dekati unsur-unsur khurafat.

"Rakyat kini boleh menilai melalui jasa yang dibuat dan ilmu yang ada pada seseorang ahli politik itu dan unsur-unsur khurafat ini tidak perlulah dijadikan landasan hanya untuk mencapai tujuan tertentu.

"Antara azimat yang kononnya dapat membantu melariskan diri mereka ialah kelambu Kaabah dan bulu burung cenderawasih selain besi kuning yang kononnya membolehkan si pemakai menjadi kebal," ujarnya sambil memberitahu, kebanyakan azimat diperoleh dari negara Thailand, Indonesia dan Filipina.

Tambahnya, semakin mahal azimat yang diperoleh, semakin kuat jin yang menjaganya. Dalam nada separa menyindir, Sharhan berkata, azimat paling penting yang harus dipegang oleh ahli politik adalah dengan menjadikan rakyat sebagai orang yang paling dekat dengan mereka.

"Perbuatan seperti ini hanya mengundang kepada perbuatan syirik sahaja selain mengundang kemurkaan Allah," beritahu beliau.

Bagi Yang Dipertua Majlis Bekas-Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Negeri Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar menyifatkan tindakan sesetengah pemimpin politik yang masih percaya kemenangan dalam pilihan raya bergantung kepada bomoh adalah tidak relevan.

"Jika mahu memenangi hati rakyat bukan disebabkan bomoh tetapi berdasarkan kepada khidmat yang diberikan dan tidak perlu menggunakan perkara lain yang tidak relevan serta karut," katanya.

Menurutnya, faktor kemenangan juga bergantung kepada rekod khidmat yang menepati segala janji kepada rakyat.

"Itu merupakan faktor penting dalam memenangi pilihan raya dan hati rakyat daripada menggunakan ilmu sihir kerana kita sudah melalui banyak proses pilihan raya, pasti rakyat boleh membuat pilihan yang terbaik bagi negara dan masa depan generasi akan datang," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan memberitahu, pihaknya menerima kira-kira 15 aduan sejak kebelakangan ini berkenaan amalan yang menjurus kepada perbuatan syirik dan bermotifkan politik.

"Perkara ini terjadi kerana sikap ahli politik yang mahu mendapat tempat dengan cara mudah. Sejak kebelakangan ini, banyak aduan diterima dan perbuatan seperti ini amat sukar untuk dikenal pasti.

"Kita hanya boleh membantu merawat individu yang terlibat dengan membawa mereka ke pusat-pusat rawatan Islam untuk proses pemulihan," ujarnya ketika dihubungi.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved