Rabu, 3 April 2013

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Najib umum bubar Dewan Rakyat

Posted:

Najib umum bubar Dewan Rakyat

Najib umum bubar Dewan Rakyat

Oleh AQMAR ALLADAD dan LUQMAN RIDHWAN MOHD. NOR
berita@kosmo.com.my

NAJIB bersalaman dengan barisan menteri Kabinet selepas mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) untuk diadakan.

Najib berkata, permohonan untuk pembubaran Dewan Rakyat ke-12 itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah setelah beliau menghadap Seri Paduka pagi semalam.

Sehubungan itu, beliau menasihati semua Menteri Besar dan Ketua Menteri agar menghadap sultan dan bertemu Yang Dipertua Negeri bagi mendapat perkenan untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

"Ia bertujuan agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak di seluruh negara," katanya ketika berucap mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya di sini semalam. Ucapan itu disiarkan secara langsung oleh stesen-stesen televisyen Malaysia.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anggota Kabinet lain yang rata-rata berpakaian sut gelap dan bertali leher merah.

DUN Negeri Sembilan telah terbubar secara automatik pada 28 Mac lalu, manakala Sarawak sudah mengadakan pilihan raya negeri pada 16 April tahun 2011 yang menyaksikan Barisan Nasional menang 55 daripada 71 kerusi DUN.

Mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Dewan Rakyat.

Berdasarkan daftar pengundi sehingga Disember 2012, jumlah pemilih berdaftar di seluruh negara ialah seramai 13.3 juta orang.

Sejumlah 222 kerusi Parlimen akan dipertandingkan pada pilihan raya umum kali ini termasuk 31 kerusi di Sarawak, manakala 505 kerusi DUN akan dipertandingkan di peringkat negeri.

Ketika Dewan Rakyat dibubarkan, komposisi di Parlimen menyaksikan BN menguasai 137 kerusi, manakala selebihnya disandang DAP (29), Pas (23) dan Parti Keadilan Rakyat (22).

Parti Sosialis Malaysia memiliki satu kerusi dan Parti Progresif Sabah (SAPP) menguasai dua kerusi, manakala lapan lagi kerusi disandang Ahli Parlimen bebas.

Sementara itu, Najib turut menyeru agar semua parti politik yang memilih untuk terlibat dalam proses pilihan raya kali ini supaya bertanggungjawab dengan mengamalkan demokrasi yang telah diamalkan di negara ini selama lebih lima dekad lalu.

"Amalan demokrasi Malaysia kekal dan berjaya walaupun bersifat sengit dan amat berdaya bersaing, namun pada akhirnya ia berjaya kerana semua pihak menghormati proses dan keputusannya.

"Saya menyeru agar tradisi ini diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan nasional. Janganlah kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat terhadap parti masing-masing maka ada pihak menyemai racun syak wasangka dan seterusnya merosakkan kepercayaan kepada integriti proses pilihan raya yang bakal diadakan," katanya.

Najib turut menyeru rakyat supaya insaf dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di negara-negara lain di mana taktik kotor seumpama itu diguna pakai.

"Kesan akhirnya, proses dan keputusan pilihan raya di negara-negara tersebut tidak lagi diyakini dan mana-mana kerajaan yang dipilih termasuk daripada parti yang mengamalkan taktik-taktik tersebut telah ditolak rakyat.

"Negara akhirnya menjadi tidak stabil, pelabur hilang keyakinan, kemakmuran nasional merudum dan akhirnya rakyat menderita," jelasnya.

Enam negeri bubar DUN semalam

Posted:

Enam negeri bubar DUN semalam

Enam negeri bubar DUN semalam


RAJA NAZRIN SHAH (kanan) menandatangani watikah pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak sambil disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar semalam.


KUALA LUMPUR - Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri dibubarkan semalam serentak dengan pembubaran Dewan Rakyat yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan.

Pembubaran DUN terbabit melibatkan negeri Perlis, Perak, Sabah, Melaka, Terengganu dan Pahang.

Sebelum ini, DUN Negeri Sembilan terbubar secara automatik pada 28 Mac lalu, manakala bagi Sarawak, Pilihan Raya Negeri ke-10 telah berlangsung pada 16 April 2011.

Difahamkan, DUN Johor akan dibubarkan hari ini selepas mendapat perkenan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail.

Bagi negeri dikuasai pembangkang pula, hanya Kedah, Pulau Pinang dan Selangor membubarkan DUN masing-masing hari ini, manakala Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat akan menghadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V untuk memohon perkenan pembubaran DUN di Istana Telipot, Kota Bharu malam ini.

Pembubaran DUN Perlis pula dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Md. Isa Sabu pada pukul 12.50 tengah hari di Kangar.

Kata Md. Isa, beliau menyembah maklum kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail melalui telefon mengenai perkara itu sebaik mesyuarat Exco berakhir pada pukul 12.30 tengah hari dan baginda memberi perkenan.

Pada ketika itu, jelasnya, Tuanku Syed Sirajuddin berada di luar Perlis.

Dalam pada itu, Yang Dipertua negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob menandatangani watikah pengisytiharan pembubaran DUN Melaka kira-kira pukul 1 petang di Ayer Keroh, disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Bagi DUN Perak pula, Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah menandatangani watikah pengisytiharan pembubaran DUN pada pukul 2.30 petang di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

DUN Sabah dibubarkan pada pukul 3.45 petang selepas Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin menandatangani watikah pengisytiharan pembubarannya.

Dalam pada itu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memberi perkenan untuk membubarkan DUN Terengganu malam tadi.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said memberitahu, baginda menandatangani watikah pengisytiharan pembubaran DUN pada pukul 7.40 malam sejurus keberangkatan pulang dari luar negara.

DUN Pahang dibubarkan selepas Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob menghadap Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Mahkota, Jalan Teluk Sisek, Kuantan pada pukul 10.55 malam tadi.

Teka-teki tarikh mengundi PRU-13

Posted:

Teka-teki tarikh mengundi PRU-13

Teka-teki tarikh mengundi PRU-13

KUALA LUMPUR - Dengan terungkainya teka-teki tarikh pembubaran Parlimen semalam, perkara pertama dalam benak pemikiran kita ialah bila rakyat Malaysia akan mengundi.

Selepas pengumuman pembubaran oleh Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak, tumpuan kini beralih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan menentukan tarikh-tarikh penamaan calon dan mengundi.

Banyak pihak meramalkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan berlangsung antara 20 dan 27 April yang jatuh pada Sabtu.

Ia berdasarkan andaian semua Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dibubarkan sama ada semalam atau sehari dua ini kecuali Sarawak yang belum perlu membubarkan DUN dan Negeri Sembilan yang terbubar DUN secara sendiri pada 28 Mac lalu.

Jika SPR tetap ingin mengadakan pilihan raya serentak seluruh negara, ia mesti mengadakannya sebelum 26 Mei iaitu 60 hari selepas DUN Negeri Sembilan terbubar.

Walaupun dalam kes PRU Parlimen, SPR mempunyai tempoh 60 hari sejak semalam untuk mengadakan pilihan raya itu.

Penulis cenderung untuk percaya petunjuk penting bagi penentuan tarikh mengundi banyak dipengaruhi tarikh Sidang Kemuncak ASEAN di Bandar Seri Begawan, Brunei pada 24 dan 25 April.

Ini memandangkan Malaysia adalah antara anggota penting pertubuhan serantau itu dan seharusnya diwakili seorang ketua kerajaan.

Dengan mengambil kira faktor-faktor di atas, banyak pihak meramalkan SPR dalam pertimbangannya akan menetapkan tarikh hari mengundi sebelum 24 April dan banyak pihak percaya hari mengundi mungkin jatuh pada 20 April.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof sebelum ini menyatakan tempoh berkempen tidak akan kurang dari 10 hari dan jika dihitung ke belakang dari tarikh 20 April, hari penamaan calon mungkin jatuh pada Selasa 10 April.

Pemilihan Sabtu untuk hari mengundi difikirkan wajar kerana pilihan raya kali ini tidak diadakan pada musim cuti sekolah dan Sabtu perlu diambil kerana banyak bangunan sekolah akan diguna bagi tujuan menyediakan pusat mengundi.

Apa juga keputusan SPR, kempen untuk PRU-13 sudah bermula sejak setahun lalu. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved