Rabu, 3 April 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Aqasha buka syarikat produksi

Posted:

Aqasha buka syarikat produksi

Aqasha buka syarikat produksi

AQASHA mengakui dia kini lebih selektif memilih watak yang ditawarkan demi menjaga hati isterinya.


ADA khabar terbaharu tentang aktor kacak pemilik nama Firdee Akassya Rosli atau lebih popular dengan panggilan Aqasha. Dia kini sedang sibuk dengan syarikat produksi filem, Camwerk Studios.

Diam tidak diam, kata Aqasha, sudah mencecah usia setahun perniagaan produksi Camwerk Studios yang diusahakan bersama Sein dan Zain (anggota kumpulan Ruffedge) sejak bulan Mac tahun lalu.

"Selama 13 tahun dalam industri berada di depan kamera, mungkin sekarang sudah sampai masa untuk saya mencari aspek lain dalam industri perfileman atau televisyen.

"Syarikat kami menyediakan khidmat produksi filem, televisyen, dokumentari dan video korporat pada mulanya dan kini semakin berkembang untuk menyediakan kemudahan pascaproduksi," katanya.

Aqasha ditemui pada majlis pelancaran filem Langgar di Restoran Carney Vino, Radius International Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini yang hadir memberikan sokongan terhadap sahabat baiknya, Sein selaku pengarah produksi tersebut.

Dalam pada itu, Aqasha, 32, memberitahu, syarikatnya akan terlibat dengan pembikinan sebuah filem selepas Hari Raya Aidilfitri sekitar bulan Ogos nanti.

Filem genre aksi itu juga merupakan arahan Sein (Syed Hussein) dan Aqasha juga akan menjadi sebahagian daripada pelakon utama.

Profesional dengan Umie

Ditanya perkembangan terkini selain sibuk menguruskan perniagaan yang diasaskan dengan kos ratusan ribu ringgit itu, jawab Aqasha, dia usai menjalani penggambaran telefilem arahan Erma Fatima berjudul, Aku Tahu.

Menerusi telefilem itu, Aqasha akan bergandingan dengan Erra Fazira dan pelakon yang pernah dikaitkan bersama sekitar penghujung tahun 1990-an, Datin Paduka Umie Aida.

"Berlakon bersama nama-nama besar dalam industri adalah penghargaan besar buat saya dan penggambaran berjalan lancar.

"Saya melakonkan watak lelaki simpanan Umie dan tiada masalah untuk melakonkan watak itu kerana masing-masing meletakkan profesionalisme dalam bekerja. Senang untuk saya bekerja dengan dia kembali," ujarnya selepas kali terakhir berlakon bersama Umie menerusi drama Haryati 10 tahun lalu.

Aqasha dalam pada itu meluahkan keterujaan menimang cahaya mata keduanya lima bulan lalu. Katanya, bayi perempuan yang diberi nama Alaena Ayesha melengkapkan keluarganya.

"Alhamdulillah, Allah memberikan kesenangan kepada kami sekeluarga dan rezeki yang tidak pernah putus. Saya bahagia bersama keluarga yang kini semakin bertambah besar," kata bapa kepada Alehandra Ahmad yang kini berusia dua tahun.


AQASHA dan Umie Aida dalam dua babak filem, Embun lakonan mereka.


Hormat isteri

Mengakui kini lebih selektif memilih watak dalam drama mahupun filem, kata Aqasha, dia perlu menghormati perasaan isterinya yang barangkali cemburu melihat dia bermesra dengan aktres lain.

"Dia sedia maklum dan faham tuntutan kerja saya dan saya mahu menjadi seorang suami yang bertimbang rasa. Maka, saya perlu memilih karakter yang sesuai dengan saya.

"Saya rasa watak-watak romantik sudah boleh dilepaskan kepada pelapis baharu dalam industri kita yang tidak kurang bakatnya dan saya sudah sedia untuk memikul watak yang lebih matang.

"Saya akan kurangkan menerima tawaran watak romantik lagi kerana menghormati isteri saya. Bukan tolak terus tapi perlu dibincangkan dengan lebih teliti sejauh mana romantik itu.

"Dia tidak pernah cakap apa-apa tapi saya takut dia simpan dalam dan memendam perasaan. Bimbang sampai masa nanti meletup!" katanya yang kali terakhir melakonkan watak romantik menerusi drama Dejavu Di Kinabalu bersama Tiz Zaqyah tahun lalu.

Edry tepis tohmahan suntik hidung

Posted:

Edry tepis tohmahan suntik hidung

Edry tepis tohmahan suntik hidung

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN

EDRY ada cara tersendiri untuk kelihatan muda.


JIKA dilihat dari segi penampilannya, Edry Abdul Halim masih berjaya mengekalkan ketampanannya biar umur kini sudah mencecah 37 tahun. Meraih populariti bersama KRU pada usia remajanya, Edry kini merupakan anggota kumpulan Mojo.

Edry pernah mengulas tentang pertanyaan media sebelum ini tentang wajahnya yang kelihatan cengkung dan kurus. Dia memberi alasan bahawa perubahan wajahnya itu berlaku seiring pertambahan usia.

Bagaimanapun, sebelum ini timbul desas-desus di internet yang mendakwa Edry melakukan sesuatu pada wajahnya terutama membabitkan bahagian hidung.

Bertemu dengan bapa kepada empat orang cahaya mata ketika sesi ramah mesra bersama media Liga Juara Hot FM - 100 Plus di Restoran Fullhouse Kuala Lumpur semalam, Kosmo! mendapatkan kenyataan balas daripada Edry berhubung perkara itu.

Kosmo!: Timbul spekulasi Edry telah mencucuk hidung untuk kekal kelihatan muda. Adakah perkara tersebut benar?

EDRY: Jelas sekali kenyataan itu tidak benar dan saya tidak pernah dan tidak terfikir untuk melakukannya (suntikan hidung). Saya tidak akan melayan tuduhan tidak berasas seperti ini.

Bagaimanakah Edry melihat dakwaan sebegini dan adakah ia mencalar maruah Edry sebagai seorang individu terkenal dalam industri?

Orang ramai boleh menilai saya dan siapa saya pada hari ini. Saya tidak merasakan ada perbezaan jika timbul tuduhan sebegini dan tiada apa yang perlu saya sembunyikan. Kalau saya tidak melakukannya, tiada apa yang perlu saya cakapkan. Malah, jika saya melakukan suntikan pada wajah pun tiada apa yang nak dimalukan.

Mungkinkah Edry mempunyai alasan lain yang lebih kukuh untuk menyokong kenyataan tersebut?

Corak kehidupan saya berbeza setiap hari dan saya melakukan senaman untuk kekal cergas, sihat dan nampak muda.

Edry akan terbabit sama dalam Liga Juara Hot FM - 100 Plus sepanjang bulan April ini. Apakah peranan Edry sebagai selebriti sempena acara tersebut?

Saya akan turun padang untuk berlawan futsal bersama penyampai radio Hot FM, bintang bola sepak tanah air dan peminat di tiga buah lokasi iaitu Kuala Terengganu, Kota Bahru dan Shah Alam. Langkah ini saya rasakan terbaik untuk saya berinteraksi dengan peminat dan perasaan sangat teruja. Lagipun, sepanjang dua dekad KRU dalam industri, rasanya baru tiga kali kami berpeluang ke sana.

Filem 29 Februari kurang mendapat sambutan dalam kalangan penonton tempatan. Adakah Edry berputus asa untuk mencuba formula yang sama untuk filem akan datang?

KRU Studios mempunyai banyak filem dalam tangan untuk ditayangkan antaranya Vikingdom, Ular, Malaysia Masuk World Cup dan Hantu Tok Mudim dan kesemuanya berbeza dari segi genre dan jalan cerita.

Sudah pasti kita mahu ke depan dan menjadi lebih baik tapi adakalanya kita perlu toleh ke belakang dan perlu mengikut rentak pasaran semasa.

Mungkin saya telah menghasilkan filem yang bukan penonton mahu tengok tapi saya tidak berminat untuk menghasilkan filem ringan untuk menjaga maruah dan label syarikat yang telah dibina.

Saya masih menunggu masa yang sesuai untuk filem-filem itu ditayangkan dan sesuai dengan tahap intelektual serta apresiasi penonton.

Penilaian ketat Raja Lawak 7

Posted:

Penilaian ketat Raja Lawak 7

Penilaian ketat Raja Lawak 7

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


BARISAN peserta yang bakal bersaing dalam gelanggang Raja Lawak 7.


SERAMAI 11 peserta berkumpulan dan tiga peserta solo berjaya memasuki program realiti popular Astro, Raja Lawak untuk musim ketujuh.

Sebelas peserta berkumpulan yang bertanding adalah Bora, Kintan, Pahat, Gamat, Taras, Okay, Sakan, Wala, Tuah, Xtra dan Ganu serta tiga peserta solo iaitu Ali, Emy dan Boy.

Menariknya, Raja Lawak musim terbaharu itu juga buat pertama kalinya membuka penyertaan kepada warga Singapura untuk memeriahkan lagi program tersebut.

Dua peserta dari Singapura yang berjaya menyertai Raja Lawak 7 ialah kumpulan Bora dan Ali.

Ali atau nama sebenarnya Muhammad Ali Abdul Manab dilihat bakal memberi saingan hebat kepada peserta-peserta lain berikutan kepandaiannya meniru gaya ramai artis terkenal termasuk Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Sharifah Aini.

Raja Lawak 7 bakal bersiaran pada setiap hari Jumaat, pukul 10 malam bermula 12 April ini menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Menurut Ketua Kumpulan Premium Astro, Nizam Sani, pemilihan peserta pada musim ini adalah lebih ketat kerana mereka perlu menjalani bootcamp untuk dinilai sebelum layak beraksi di gelanggang sebenar.

Jelasnya, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan peserta yang dipilih berkualiti tinggi sekali gus ia dapat mengekalkan standard dan kandungan yang disampaikan mengikut peredaran industri semasa.

"Adalah menjadi hasrat kami untuk membuka mata orang ramai bahawa komedi merupakan satu industri yang serius dan berada di aras tinggi.

"Sempena slogan yang kami perkenalkan tahun ini iaitu Takkan Lawak Hilang Di Dunia, ia juga menggambarkan komitmen kami dalam menyampaikan kandungan program yang lebih segar dan berkualiti," jelasnya ketika ditemui di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengulas mengenai barisan juri untuk Raja Lawak musim terbaharu itu, kata Nizam, sesuai dengan temanya, barisan juri juga akan membariskan pelawak-pelawak legenda yang akan menjadi pengkritik.

Bagaimanapun, barisan juri hanya akan didedahkan pada minggu pembukaan program itu untuk memberikan elemen kejutan buat penonton.

"Barisan juri bukan sahaja bertindak sebagai pengkritik tetapi juga melatih para peserta untuk menjadi pelawak yang berkaliber," ujarnya.

KUMPULAN Bora dari Singapura dijangka memberikan saingan hebat.


Masih relevan

Ditebak soalan adakah program Raja Lawak masih relevan diadakan, ulas Nizam, program realiti itu masih lagi diterbitkan berikutan ia mendapat permintaan yang tinggi daripada penonton.

Malah, Raja Lawak berjaya mencapai rating yang memberangsangkan sepanjang enam musim lalu.

"Pihak kami membuat kajian penonton tentang Raja Lawak dan mereka mahu program ini dikekalkan. Peningkatan peserta menghadiri uji bakat yang diadakan setiap tahun juga mencatat angka membanggakan selain jumlah undi yang diterima kami adalah konsisten.

"Untuk tahun ini, lima buah negeri yang kami pergi untuk sesi uji bakat mendapat sambutan hangat daripada peserta apabila hampir 400 orang menghadirkan diri di setiap lokasi," ujarnya lagi.

Raja Lawak musim terbaharu itu masih mengekalkan format terdahulu yang mana sistem pemarkahan para peserta ditentukan sepenuhnya kepada undian penonton menerusi khidmat pesanan ringkas.

Musim terbaharu itu juga masih mengekalkan Johan dan Zizan sebagai pengacara.

Juara program Raja Lawak bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM50,000 dan RM30,000.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved