Sabtu, 23 Mac 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Lebih enak, tidak berminyak

Posted:

Lebih enak, tidak berminyak

Lebih enak, tidak berminyak

IMEJ negara Yemen sering tercalar kerana insiden penculikan warga asing serta serangan pengganas yang melibatkan kehilangan nyawa.

Rentetan peristiwa tersebut seakan-akan menyembunyikan ciri -ciri sebenar negara benua Asia Barat itu yang sarat dengan cerita penting sebelum dan selepas kedatangan Islam.

Ironi, Yemen terkenal dengan ketamadunan Islam yang berdiri dalam kelas tersendiri.

Semua pasti mengetahui kisah tentera Abrahah pimpinan Gabenor Yemen, yang ingin menghancurkan Mekah.

Abrahah berharap dengan hancurnya Kaabah, maka orang Arab akan beribadat di gereja yang telah dibinanya di Yemen.

Penduduk Mekah sendiri, apabila mengetahui rancangan Abrahah tersebut tidak memberikan tentangan kerana sedar kekuatan pasukan musuh.

Namun sebelum semua itu terjadi, Allah SWT menunjukkan kekuasaan-Nya dengan menghancurkan pasukan tentera bergajah dengan burung Ababil.

Peristiwa ini dijelaskan di dalam al-Quran yang terdapat dalam surah al-Fil.

Umat Islam pasti menjadikan pemuda yang merupakan golongan pertama yang masuk Islam iaitu Muadz bin Jabal sebagai idola.

Beliau bersama Rasulullah SAW menerima bai'at daripada kabilah Aus dan Khazraj dalam Perjanjian Aqabah kedua.

Muadz telah dilantik menjadi pemimpin masyarakat Yemen sewaktu umurnya belum mencecah 20 tahun.

Tidak lupa, kisah Ratu Balqis dan rakyatnya yang hidup pada era Nabi Sulaiman. Ratu Balqis ialah pemerintah kerajaan Saba' yang terkenal di Yemen.

Ratu Balqis seorang tokoh pemerintah yang bijaksana dan pintar namun menyembah matahari.

Namun, akhirnya beliau beriman kepada Allah hasil dakwah Nabi Sulaiman.

Warisan dunia

Sebenarnya, pada tahun 1986, Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), mengisytiharkan keseluruhan ibu kota Yemen iaitu Sanaa sebagai Tapak Warisan Dunia.


NASI mandi daging kambing di Restoran El Edrus dijual pada harga RM17 sehidangan.


Ini sekali gus memastikan rumah-rumah dan pasar-pasar purba yang ada di sana terpulihara.

Tarikan tersendiri negara itu ialah nasi mandi.

Bukan sahaja enak, cara memasaknya juga berbeza iaitu menggunakan dapur bawah tanah.

Bagaimanapun, anda tidak perlu ke Yemen untuk menikmati makanan istimewa ini kerana terdapat restoran yang menyediakannya di Malaysia.

Menurut pemilik Restoran Al Edrus, Sayed Amir Muzakkir Al-Aydrus, dapur bawah tanah merupakan kemestian bagi rakyat Yemen untuk memasak nasi mandi.

Ini kerana nasi yang dimasak menggunakan dapur sebegitu bersifat kering, tidak berminyak selain cepat kenyang apabila dimakan.

"Ayam dan daging kambing lebih lembut malah daging kambing tidak berbau hanyir dan boleh diracik seperti ayam yang direbus," cerita Sayed Amir yang keluarga mempunyai darah Yemen dan menetap di Terengganu.

Kawasan gurun

Restoran Al Edrus mempunyai beberapa cawangan termasuk di Sungai Buloh dan Taman Melawati di Selangor serta Kuantan, Pahang.

Mengikut penduduk lama Yemen, nasi mandi didakwa mendapat namanya kerana jus daging ayam dan kambing yang direbus di dalam periuk bertingkat melimpah masuk ke dalam periuk nasi yang terletak di bawahnya.

Ia menyebabkan nasi itu seakan-akan berair semasa dimasak. Namun, nasi tersebut ditoskan terlebih dulu sebelum dihidangkan.

Terang Sayed Amir, 30, dahulu rakyat Yemen memasak nasi mandi menggunakan dapur bawah tanah di kawasan gurun.

"Cuma pada zaman moden ini mereka mengorek tanah rumah atau restoran untuk dijadikan dapur tradisional," katanya.

Dapur bawah tanah yang sekali pandang seperti sebuah telaga itu terdapat di semua Restoran Al Edrus. Menurut Sayed Amir, ada beberapa petua yang perlu dipatuhi semasa hendak membuat dapur telaga itu.

Katanya, tanah yang akan dikorek seharusnya tidak mempunyai sumber air bawah tanah.

"Tanah kasar yang dipilih perlu dikorek menggunakan cangkul sekurang-kurangnya sedalam 1.5 meter dengan diameter 1 meter.

"Lantai dan dinding lubang itu disimen. Selepas itu, lubang itu diisi dengan arang.

"Sebaik-baiknya lubang tadi jangan terlalu hampir dengan dapur dan ruang makan kerana ia mengeluarkan haba yang panas," beritahu beliau.

Malah, sebaik sahaja selesai digunakan, lubang itu ditutup sebagai langkah keselamatan dan bagi menjamin kebersihannya.

Jelas Sayed Amir, kaedah memasak menggunakan dapur itu juga mudah. Gas memasak akan disalurkan ke bahagian bawah dapar yang menempatkan arang menggunakan saluran paip yang diubah suai.

"Gas itu dihidupkan dengan kertas sehingga semua arang bernyala. Selepas bekalan gas dihentikan, barulah makanan berkaitan dimasak menggunakan api arang sepenuhnya," kata beliau.


DAPUR bawah tanah perlu digali sedalam 1.5 meter.


Sayed Amir berkata, nasi mandi dimasak di dalam periuk bertingkat di bahagian paling bawah.

"Bekas berisi daging ayam dan kambing terletak di bahagian atas dengan proses memasaknya mengambil masa dua jam," katanya.

Menurut seorang pengurus restorannya, Mohammad Helmy Abdul Moik, nasi itu mampu bertahan selama lima hari sekiranya dimasukkan ke dalam peti sejuk.

Kalau disimpan di luar ia boleh bertahan selama dua hari.

"Nasi mandi kini kian digemari rakyat negara ini termasuk kaum Cina dan India.

"Sebagai contoh cawangan Restoran Al Edrus di Kuantan sering dipenuhi orang Cina," katanya.

Kru Jurnal berpeluang merasai nasi mandi restoran tersebut.

Ternyata apa yang dikatakan Sayed Amir benar. Nasi mandi yang dimasak menggunakan arang rasanya lebih enak berbanding nasi yang dimasak dengan dapur gas.

Ia tidak berminyak dan melekit. Daging kambingnya pula lembut dan tidak berbau.

Selain itu, terdapat tarikan tersendiri di restoran ini iaitu kuahnya seperti sambal belacan yang terasa kepedasannya.

Motivasi perlu berterusan

Posted:

Motivasi perlu berterusan

Motivasi perlu berterusan

Oleh AQMA MOHD. NOOR
aqma.mohdnoor@kosmo.com.my


MOTIVASI tidak terhasil sekadar mengikuti program motivasi tetapi setiap individu perlu terus merubah diri. - Gambar hiasan


PANTANG ada cuti, pasti program motivasi menghiasi kalendar pelajar sekolah terutama untuk adik-adik yang akan menduduki peperiksaan tahun ini.

Menyertai program motivasi yang muncul bagai cendawan tumbuh lepas hujan itu bukanlah sekadar RM50 tetapi ada kursus yang didakwa profesional mengenakan bayaran sehingga RM2,000 untuk satu sesi.

Ada juga kedengaran ibu bapa dan peserta yang berhabis duit menyertai program berkenaan merungut kononnya sudah 'terkena.'

Seorang wakil syarikat perunding motivasi HBJ Warisan yang mahu dikenali sebagai Nasri berkata, program motivasi direka untuk memberi kesedaran kepada golongan pelajar agar mereka mengetahui matlamat hidup masing-masing dengan lebih jelas.

"Kita ajar peserta menghormati kedua-dua ibu bapa. Untuk pelajar di ambang peperiksaan, motivasi lebih kepada memberikan semangat kepada mereka untuk maju dalam bidang pelajaran.

"Program motivasi untuk pelajar biasanya ditekankan dari sudut agama seperti kepentingan solat dan aurat selain membantu menanamkan semangat dalam diri pelajar itu sendiri tentang tugas mereka sebagai anak dan pelajar.

PELAJAR akan lebih yakin diri selepas mengikuti program motivasi. - Gambar hiasan


"Ada yang menyertai program motivasi ini terdiri daripada pelajar golongan berada tetapi jiwa mereka kosong, ada pula datang daripada keluarga susah tetapi bahagia. Tidak semua pelajar yang menyertai program motivasi terdiri daripada pelajar yang bermasalah," ujarnya ketika dihubungi.

Tambah Nasri, program motivasi boleh membentuk diri pelajar melalui kaedah yang digunakan secara perseorangan mahu pun dalam bentuk kumpulan kecil.

"Kaedah yang digunakan lebih kepada konsep kasih sayang bagi menyedarkan mereka tentang tanggungjawab yang perlu digalas.

"Antaranya ialah sesi perkenalan, pengucapan awam, aktiviti riadah, ceramah, latihan dalam kumpulan, bengkel dan aktiviti bermuhasabah diri.

"Kebanyakan program diterapkan melalui pendekatan kasih sayang antara peserta dan fasilitator bagi mengurangkan jurang antara mereka," jelasnya.

Kadar bayaran yang dikenakan kepada seorang pelajar itu merangkumi keseluruhan kemudahan yang disediakan selama program motivasi itu berlangsung, jelas Nasri.

"Kadar bayaran ditentukan mengikut jenis program motivasi yang dianjurkan.

"Keberkesanan program motivasi yang selalunya diadakan selama tiga hari dua malam ini boleh dicapai sekiranya ibu bapa memainkan peranan mereka.

"Persoalan ini semua kembali kepada peranan keluarga itu sendiri kerana jika dilihat mentaliti kebanyakan ibu bapa sememangnya mengharapkan anak mereka berubah sebaik pulang daripada program motivasi perlu diubah," beritahu beliau.

PROGRAM motivasi kini sering diadakan walaupun bukan semasa cuti persekolahan. - Gambar hiasan


Tambahnya, kebanyakan masalah yang dihadapi pelajar-pelajar ini ialah sikap malas belajar, tidak mahu mendengar cakap ibu bapa dan terpengaruh dengan rakan sebaya.

"Anak lebih cenderung mendengar nasihat daripada pihak ketiga kerana mereka seakan-akan menerima semangat baharu apabila bertemu dengan rakan baharu selain suasana yang baharu.

"Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan dalam menyambung kembali tugas fasilitator di rumah bagi memastikan keberkesanan melalui program motivasi itu," kata Nasri.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Dr. Zainal Madon memberitahu, motivasi bermaksud memusatkan matlamat yang ingin dicapai agar tingkah laku sering objektif.

"Proses perkembangan dan pembangunan manusia berlaku secara berterusan baik dari segi pemikiran, emosi dan sahsiah diri.

"Ia boleh menjadi pemangkin dalam menggerakkan motivasi diri seseorang dan proses ini memerlukan tindakan susulan yang teratur dalam memperbaiki diri.

"Seperti program motivasi pelajar ini, selepas program itu tamat ibu bapa dan pihak sekolah perlu melakukan tindakan susulan yang boleh menjadi pencetus kepada perubahan perkembangan diri seseorang," ujarnya.

Tambahnya, selalunya golongan pelajar ini akan mencari sokongan terdiri daripada rakan sebaya yang dapat memahami mereka.

"Kewujudan suasana harmoni, kondusif dan bersikap terbuka yang ditunjukkan oleh keluarga dapat membantu seorang remaja itu berkongsi masalahnya dengan lebih selesa," beritahu beliau.

Wanita lima suami

Posted:

Wanita lima suami

Wanita lima suami


LIMA lelaki ini berkongsi isteri yang sama.


JIKA di kebanyakan tempat, kita sering mendengar kisah lelaki beristeri lebih daripada seorang tetapi di India lain pula kisahnya.

Seorang wanita, Rajo Verma, 21, yang menetap di sebuah perkampungan di wilayah utara India mengahwini lima lelaki dan kesemua lelaki itu merupakan adik-beradik.

Akibat bersuamikan lima lelaki itu, Rajo yang kini sudah memiliki seorang anak terpaksa melayan suami yang berbeza pada setiap malam.

Situasi ini, bagi sebahagian besar daripada kita mungkin sangat aneh dan tidak masuk akal tetapi itu adalah tradisi di perkampungan Dehradun, di negeri Uttarakhand. Tradisi itu membolehkan seorang wanita mengahwini saudara lelaki daripada suami pertama mereka.


RAJO akan tidur bersama suami yang berlainan pada setiap malam.


"Pada mulanya terasa aneh tetapi saya menyayangi semuanya kerana mereka suami saya.

Rajo dan suami pertamanya, Guddu, berkahwin mengikut tradisi Hindu kira-kira empat tahun lalu dan dia kemudiannya berkahwin pula dengan Baiju,32, Sant Ram, 28, Gopal, 26, dan Dinesh, 19.

Dalam tradisi Hindu kuno, wanita bersuami ramai secara serentak atau poliandri pernah dipraktikkan secara umum di India namun, kini amalan tradisi itu sudah semakin pupus.

Situasi seperti ini biasanya terjadi di kawasan yang majoritinya lelaki. Dalam tradisi itu, seorang wanita diharapkan berkahwin dengan semua saudara kandung si suami.

Tradisi ini yang muncul daripada epik popular Mahabharata itu mengisahkan Puteri Mahabharata iaitu anak Raja Pancha, berkahwin dengan lima lelaki bersaudara.

Selain mengamalkan tradisi kuno, cara itu juga dijadikan sebagai jalan penyelesaian supaya tanah milik keluarga akan terus menjadi milik mereka selamanya.


RAJO (berdiri tengah) menyifatkan dia beruntung kerana mendapat perhatian lebih berbanding isteri-isteri lain.


Ia biasa diamalkan oleh masyarakat yang menetap di kawasan berhampiran Himalaya di utara India, serta di negara pergunungan Tibet.

Walaupun arus kemodenan menyaksikan amalan kuno sebahagian besarnya sudah tidak diamalkan di kebanyakan kawasan, tetapi faktor kekurangan wanita di negara-negara seperti China dan India akhirnya membawa kepada jalan penyelesaian kepada masalah lelaki muda dalam mencari seorang isteri.

Selain Rajo, ibunya juga pernah berkahwin dengan tiga orang lelaki bersaudara.

"Saya perlu tidur mengikut giliran dengan setiap suami saya tetapi disebabkan ketiadaan tempat tidur, kami hanya tidur di atas lantai yang beralaskan selimut.

"Saya bahagia dengan kesemua suami saya kerana mendapat lebih banyak perhatian daripada isteri-isteri yang lain," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved