Sabtu, 23 Mac 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Fun. diformat semula

Posted:

Fun. diformat semula

Fun. diformat semula

FUN. mengakui mahu mengadakan konsert solo khas di Malaysia pada tahun depan jika diberi peluang.


NOKTAH selepas ejaan F-U-N itu yang membezakan makna Fun. sebagai sebuah band dan istilah fun sebagai interpretasi mewakili faktor keseronokan tanpa sempadan.

Sebenarnya makna itu juga ironi kepada kemunculan band Fun. yang disifatkan sendiri oleh vokalisnya, Nate Ruess ketika ditemu ramah Kosmo! baru-baru ini.

Kata Nate, sejak awal penubuhan Fun. pada tahun 2009 bersama album sulung, Aim and Ignite, titik tersebut yang membantu mereka menaikkan nama band mereka itu.

"Oleh kerana nama kami dieja F-U-N, kami tidak fikir bahawa peminat dengan senangnya akan mengakses perkembangan kami tanpa titik itu. Jadi untuk mengelakkan kekeliruan saya meletakkan titik di hujung ejaan itu," katanya yang ditemui di belakang pentas sebelum membuat persembahan pada acara Future Music Festival Asia 2013 (FMFA 2013) di Sepang, Selangor hujung minggu lepas.

Fun. bermula selepas Nate membubarkan kumpulan asalnya The Format yang sebelum ini pernah dianggotai oleh Mike Schey, Mark Buzard dan Don Raymond pada tahun 2008.

Nate lalu disertai dua rakannya, Andrew Dost (Anathallo) dan Jack Antonoff (Steel Train) untuk membentuk band yang diberi nama Fun. dan membuktikan mereka bukan sekadar kumpulan muzik anak muda yang biasa-biasa sahaja tetapi diiktiraf atas dasar prestij.

Mereka dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Artis Baharu Terbaik dan Lagu Terbaik (We Are Young) pada majlis Grammy Awards ke-51, Februari lalu.

Ulas Nate: "Perasaan teruja yang bercampur-baur dengan gembira susah diungkapkan dengan kata-kata.

"Hidup kami seperti dijenamakan semula selepas memenangi dua anugerah pada malam itu (Grammy Awards ke-51) dan kenangan itu sukar untuk digambarkan.

"Kami tidak menjangka akan kemenangan itu dan tidak menduga kami terpilih untuk meraikan detik-detik indah itu.


FUN. dianggotai tiga anak muda yang penuh bertenaga (dari kiri), Andrew, Nate dan Jack.


Konsert solo

Sementara itu, Nate yang hadir untuk membuat persembahan sempena parti muzik terbesar Asia Tenggara, FMFA 2013 minggu lalu meluahkan rasa teruja untuk kembali beraksi di Malaysia pada masa akan datang.

"Ini merupakan kali pertama saya datang ke Kuala Lumpur, biarpun hanya dapat melihat kota ini melalui tingkap kapal terbang kami dan tidak sempat pun untuk bersiar-siar, saya berharap untuk kembali semula ke sini untuk konsert solo Fun.," tambahnya.

Anak kelahiran Arizona, Amerika Syarikat ini dalam pada itu memberitahu, Fun. berkemungkinan besar akan mengadakan konsert solo khas di Malaysia tahun hadapan, jika diberi peluang.

Fun. kini dalam rangka promosi menerusi siri konsert jelajah seluruh dunia dan selepas membuat persembahan pada FMFA 2013, mereka kembali ke Amerika Syarikat untuk meneruskan konsert bergerak band ini, yang mana sebelum muncul di Malaysia, mereka telah membuat persembahan konsert di Singapura.

"Tahun ini tiada album baharu daripada Fun., cukup untuk membuat konsert dan berjumpa peminat kami seluruh dunia.

"Selepas ini kami akan berehat seketika, meluangkan masa bersama keluarga atau bercuti sebelum kembali bekerja untuk album berikutnya pada tahun depan," ungkap Nate.


KEJAYAAN memenangi dua anugerah pada Grammy Awards 2013 Februari lalu menyuntik semangat baharu buat Fun. untuk terus berkarya.


Kolaborasi P!nk

Perjalanan karier Nate Ruess yang sudah berkecimpung dalam bidang nyanyian selama 12 tahun pastinya tidak menjadi satu perkara yang mustahil untuk disunting penyanyi terkenal untuk berkolaborasi.

Terbaharu, Nate tampil menyumbangkan vokal mantapnya menerusi lagu duet bersama P!nk untuk album The Truth About Love menerusi lagu Just Give Me a Reason.

Nate sebelum ini pernah berduet dengan Anthony Green dalam album solo kedua penyanyi kelahiran Philadelphia, Amerika Syarikat itu yang berjudul Beautiful Things.

Nate menyifatkan kolaborasi dengan P!nk merupakan satu penghargaan dan perkembangan positif karier seninya.

"Dia seorang penyanyi yang bersemangat dan tidak pernah berputus asa dalam kariernya. P!nk selamba dan saya diberikan peluang untuk menyampaikan lagu itu dalam versi rock.

"Sangat susah sebenarnya untuk saya menyanyi bersama seorang bintang yang sangat terkenal dan berbakat besar. Saya berbangga dapat mengenalinya dan mungkin dia sukakan saya kerana saya pelik!" tutur Nate yang turut menulis lirik untuk lagu Die Young nyanyian Ke$ha.

Lisa hanya percaya ibu

Posted:

Lisa hanya percaya ibu

Lisa hanya percaya ibu


ADA sebab kenapa Lisa memilih untuk tidak bernaung di bawah syarikat produksi milik bersama suaminya iaitu KRU Studios.


SELEPAS memilih haluan untuk menguruskan kerjayanya bersendirian tanpa bernaung dengan sebarang syarikat pengurusan, Lisa Surihani mengakui lebih selesa dan membantunya mempelajari selok-belok dunia hiburan.

Lisa meninggalkan syarikat pengurusannya sebelum ini, Metrowealth Sdn. Bhd. selepas bersama syarikat gergasi milih David Teo itu selama lima tahun.

"Saya melayan individu sekeliling saya dengan lebih berhati-hati dan perlu memilih prioriti apabila berurusan dengan pelanggan.

"Kini sudah tiada lagi orang ketiga yang akan menguruskan kerja saya seperti sebelum ini melainkan ibu saya yang saya sifatkan momager (mom & manager)," kata Lisa yang ditemui ketika sidang akhbar pelancaran drama bersiri Maskara di Red Box Plus, Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lisa bagaimanapun enggan bernaung di bawah syarikat produksi milik suaminya Yusri Abdul Halim iaitu KRU Studios kerana bimbang akan timbul isu pilih kasih.

"Conflict of interest adalah faktor utama kenapa saya tidak mahu bernaung di bawah pengurusan KRU Studios, selain itu saya tidak mahu timbul salah faham memandangkan saya isteri kepada Yusri yang juga salah seorang pemilik syarikat itu. Lagipun, Yusri sependapat dengan saya akan hal ini dan menyokong keputusan saya," ujarnya.

Biarpun menguruskan sendiri kariernya, Lisa tetap mendapatkan pandangan daripada Yusri dan berbincang sebelum membuat sebarang keputusan.

"Dia mempercayai saya sepenuhnya dan kami akan berbincang semua perkara yang baik dan buruk sebelum membuat keputusan," tambah Lisa.

Dalam perkembangan lain, Lisa memberitahu, dia bakal membintangi sebuah filem yang diarahkan oleh suaminya sendiri tidak lama lagi.

Biarpun pernah berlakon bersama Yusri dalam filem Ular yang masih menunggu tarikh tayangan sebelum mereka mendirikan rumah tangga, Lisa mengakui terdetik perasaan takut untuk bekerja di bawah arahan suaminya nanti.

"Kalau sebelum ini kami pernah berlakon bersama tapi kali ini dia akan mengarah lakonan saya pula. Saya sendiri sebenarnya tidak begitu pasti untuk bekerja di bawahnya sebab saya seorang yang manja.

"Yusri pula tegas waktu bekerja. Kalau di rumah pun ketika dia sedang bekerja, muka dia tidak pernah tidak serius. Saya tidak dapat bayangkan situasi di set penggambaran filem itu nanti.

"Kami juga ada bertanya sesama sendiri, apabila berada dalam set bagaimana kami mahu panggil nama masing-masing?" kata Lisa yang sebelum ini pernah menjadi pembantu peribadi Yusri ketika penggambaran filem Vikingdom.

Lisa juga akan muncul dalam dua buah telefilem berjudul Jawa Taiko dan Mama Mama Mia bersama pelakon muda Hanis Zalikha.

Dalam pada itu, berkongsi pengalaman berlakon bersama tiga aktres berbakat besar menerusi drama Maskara iaitu Nasha Aziz, Anzalna dan Andrea Abdullah, kata Lisa, hubungan yang terbentuk berterusan hingga ke luar set penggambaran.

"Nasha, Anzalna dan Andrea ibaratnya sudah menjadi kawan yang sangat rapat sekarang. Bekerja bersama Nasha sebenarnya memberikan perasaan dan pengalaman berbeza berbanding sebelum ini kerana sikap profesionalnya yang membuka mata saya sebagai orang baharu dalam industri," katanya.

Maskara merupakan drama bersiri arahan Nizam Zakaria yang mengetengahkan kekuatan wanita dan bakal bersiaran di TV1 pada setiap Khamis pukul 10 malam bermula April ini. – KHAIRUL AMRI HASSAN

Sheila gesa karyawan mendaftar

Posted:

Sheila gesa karyawan mendaftar

Sheila gesa karyawan mendaftar

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


DARI kiri: Habsah, Sheila dan Adrian pada sidang media MACP bersama PPM dan RPM di Kuala Lumpur baru-baru ini.


PADA bulan Mac 2012 kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah meminda Akta Hak Cipta 1987, salah satunya berhubung dengan kutipan royalti dalam kalangan artis.

Antara pindaan yang dibuat, kerajaan telah memberi syarat agar setiap badan pengutip royalti perlu berdaftar dengan kementerian terlebih dulu serta mendapatkan lesen dan sesiapa yang melanggarnya boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.

Ternyata dengan syarat yang ditetapkan itu telah menjejaskan pengurusan beberapa badan pengutip royalti seperti Music Authors' Copyright Protection Bhd. (MACP), Public Performance Malaysia Sdn. Bhd. (PPM), Recording Performers Malaysia Bhd. (RPM) dan Prism Berhad (Prism)

Bagaimanapun, tiga buah badan iaitu MACP, PPM dan RPM kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan memberi pengiktirafan dengan pemberian lesen menerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) kepada ketiga-tiga badan pengutip royalti berkenaan.

Pengerusi RPM, Datuk Sheila Majid menyatakan, dengan lesen yang dimiliki sejak awal Mac ini akan memudahkan lagi pihaknya mengutip royalti yang sememangnya menjadi hak penyanyi dan pemuzik.

"Sehingga kini RPM sudah memiliki seramai 250 orang ahli yang sudah berdaftar dan menerusi lesen yang telah diberikan ini menyeru supaya lebih ramai lagi yang berdaftar dengan kami.

"Biarpun RPM dilihat sebagai sebuah badan pengutip royalti yang baharu, kami berazam untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan supaya nasib para ahli terbela," ujarnya dalam satu sidang akhbar di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir sama pada sidang akhbar tersebut ialah Pengerusi MACP, Habsah Hassan dan Pengerusi PPM, Adrian Lim iaitu dua buah badan pengutip royalti yang turut diberi lesen oleh kerajaan.

Menurut Sheila, memandangkan, RPM baru sahaja dua tahun ditubuhkan masih lagi banyak perkara yang perlu dipelajari dan antara langkah yang telah diambil adalah dengan menerangkan kepada para penyanyi dan pemuzik tentang hak sebenar mereka apabila mendaftar sebagai ahli.

Jelasnya, dengan keadaan industri muzik sekarang yang tidak menentu serta penjualan album yang semakin merosot, sudah tentu royalti boleh dijadikan salah satu sumber pendapatan kepada mereka.

"Saya sendiri seorang penyanyi dan sudah tentu saya tahu keadaan sebenar yang berlaku dalam industri sekarang. Sebelum ini saya kurang ambil tahu mengenai royalti, tetapi kini ia merupakan satu perkara yang perlu diambil serius agar hak masing-masing terjamin.

"Selain itu, kami bertekad untuk menjalankan pengagihan royalti yang lebih telus. Kami akan menerangkan kepada para ahli tentang cara pengagihan supaya mereka mendapat maklumat yang lebih jelas lagi," jelasnya.

Ujar Sheila, dia sangat berharap agar tiada lagi sebarang masalah kontroversi yang timbul pada masa akan datang memandangkan RPM kini sudah pun mendapat pengiktirafan kerajaan.

Ejen pengutip royalti

Memandangkan RPM masih lagi baru beroperasi sebagai sebuah badan pengutip royalti, mereka telah mengambil keputusan untuk melantik PPM sebagai ejen pengutip royalti bagi pihak mereka.

Pengerusi PPM, Adrian Lim pula menjelaskan, pihaknya sedia bekerjasama dengan RPM secara rasmi sekarang setelah kontraknya sebagai ejen kepada Prism Sdn. Bhd. sudah berakhir dua tahun lalu.

"Baru-baru ini RPM ada menyatakan hasrat mereka tentang kerjasama ini dan kami sudah memulakan tugas mengutip royalti bagi pihak mereka pada bulan ini.

"Dengan pengiktirafan yang telah diperoleh oleh ketiga-tiga badan ini, sudah tentu kami sepakat untuk berganding bahu dan berharap agar kutipan royalti akan meningkat selepas ini," ujarnya.

Sementara itu, Sheila menjelaskan, pihaknya terpaksa melantik PPM sebagai ejen pengutip royalti memandangkan mereka lebih berpengalaman dan sudah ditubuhkan selama 24 tahun.

"Buat masa ini kami akan menyerahkan tugas mengutip royalti kepada mereka terlebih dulu, tetapi bukanlah buat selama-lamanya kerana kami akan mengutip sendiri royalti setelah RPM mampu berbuat demikian," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved