Rabu, 27 Mac 2013

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


1,001 keunikan UPM

Posted:

1,001 keunikan UPM

1,001 keunikan UPM

Oleh NASRI JAMALUDIN

UMPAMA zoo. Itulah gambaran keadaan ladang rusa di UPM.


POKOK buah-buahan, ladang sayur-sayuran, tumbuhan yang menghijau umpama mengalu-alukan kedatangan tetamu ke Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.

Terletak di tengah-tengah kesibukan antara Kuala Lumpur dan Putrajaya, berkeluasan 1,108 hektar, UPM mempunyai potensi besar menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.

Universiti penyelidikan itu mempunyai banyak lokasi menarik, prasarana dan keindahan landskap serta keunikan alam yang tersembunyi. Bahkan, institusi itu juga mampu membuatkan pelancong teruja meneroka sambil memperoleh ilmu-ilmu baharu.

Taman Konservatori Pertanian, Muzium Anatomi Manusia, Pusat Ekuin, ladang rusa, lembu dan kambing antara sebahagian tarikan yang boleh dikunjungi.

UPM ditubuhkan sebagai sebuah Sekolah Pertanian pada 21 Mei 1931 di kawasan seluas 8.8 hektar di Serdang.

Ketika itu hanya dua program ditawarkan iaitu Program Diploma tiga tahun dan Program Persijilan setahun di dalam bidang pertanian. Tanggal 23 Jun 1947, Sekolah Pertanian tersebut telah dinaik taraf sebagai Kolej Pertanian Malaya oleh Sir Edward Gent, Gabenor Malayan Union ketika itu.

Penubuhan Universiti Pertanian Malaysia tercetus apabila Sekolah Pertanian di Serdang itu bergabung dengan Fakulti Pertanian, Universiti Malaya pada tahun 1973.

Pada 3 April 1997, namanya

ditukar ke Universiti Putra Malaysia. Sebelum ini, institusi pengajian tinggi di negara ini hanya dikunjungi golongan tertentu sahaja seperti pelawat akademik atau ibu bapa yang melawat anak-anak di asrama atau pada hari konvokesyen. Namun seiring dengan perubahan zaman, orang ramai berpeluang meneroka keunikan universiti.

"Melalui edu-pelancongan, pelancong dari dalam dan luar negara bukan sahaja dapat menikmati keindahan dan kemudahan di UPM, malah mendapat ilmu sepanjang lawatan tersebut," kata Timbalan Pengarah Bahagian Sumber Agribio, Putra Science Park, UPM, Profesor Madya Dr. Faridah Qamaruz Zaman.

Edu-pelancong dipelopori oleh UPM yang bermaksud melancong sambil belajar. Menurut Faridah, salah satu tarikan utama ialah Taman Konservatori Pertanian yang berkeluasan dua hektar. Taman ini berfungsi sebagai lokasi penyelidikan, pembelajaran, rujukan dan rekreasi alam.


PELAWAT juga berpeluang memberi lembu tenusu makan, melihat proses memerah susu rumput atau sekadar bergambar.


Menariknya, taman ini mempunyai lebih 500 spesies yang dibahagikan kepada 10 zon iaitu halia, tumbuh-tumbuhan ubatan, paku-pakis, ulam-ulaman, tumbuhan akuatik, orkid liar, periuk kera, keladi, rempah ratus dan tumbuhan wangian.

Berada di taman ini, timbul rasa teruja apabila melihat pelbagai tumbuhan eksotik dan fungsinya.

Adakalanya, tumbuh-tumbuhan tersebut sering kita lihat dan kehadirannya tidak dihargai tetapi apabila berada di taman ini dan mengetahui keistimewaan daripada jurupandu terasa pula rasa menyesal.

"Kalau sekadar berjalan mengelilingi taman ini, setengah jam sahaja sudah cukup tetapi jika mendengar penerangan tentang tumbuh-tumbuhan yang kami berikan pasti lebih satu setengah jam.

"Bagi memudahkan pengunjung, kebanyakan spesies telah diletakkan maklumat mengenainya termasuk nombor tertentu. Selain itu, taman ini turut dilengkapi kemudahan pelayaran internet WiFi bagi membolehkan pelawat mengakses laman web www.acp.upm.my.

"Laman web ini memaparkan maklumat lengkap berserta gambar spesies tumbuhan tertentu dengan memasukkan nombor setiap pokok," kata Penolong Pegawai Pertanian Kanan yang juga penyelaras taman tersebut, Tajuddin Abdul Manap.

Ladang lembu

Kawasan ladang yang luas memberi kelebihan kepada UPM untuk menternak lembu. Terdapat dua ladang lembu iaitu lembu tenusu dan lembu daging.

Tatkala memasuki kawasan ladang ini, keluasan kawasan ladang yang berbukit memberikan suasana pemandangan menarik. Jadi tidak hairanlah, ia menjadi pilihan orang ramai bergambar termasuk pasangan raja sehari, penerbit drama atau filem dan iklan.

Di kandang lembu tenusu, pengunjung berpeluang untuk melihat proses memerah susu, memberi minum susu kepada anak lembu atau sekadar mengambil gambar.

Ladang rusa

Tidak seperti zoo, ladang rusa UPM berfungsi sebagai pusat penyelidikan, pembelajaran, pengeluaran dan untuk dijual.

Terdapat 200 ekor rusa di ladang tersebut. Melihat gelagat rusa mandi-manda di tepi kolam, berkejar-kejaran atau berehat di bawah pokok secara tidak langsung membantu menghilangkan tekanan akibat beban kerja di pejabat.

Jangan terkejut, terdapat dua ekor anak rusa jinak di ladang ini yang mesra pengunjung. Pengunjung juga berpeluang bergambar secara dekat dan memberinya minum susu botol.

MEMBERI anak rusa yang jinak ini minum susu merupakan satu pengalaman menyeronokkan.


Pengunjung juga boleh membeli daging rusa pada harga RM35 sekilogram atau seekor antara RM1,200 hingga RM1,600. Namun, jualan hanya dilakukan jika bilangan rusa berlebihan di ladang tersebut.

Muzium Anatomi Manusia

Adakah anda seorang yang lemah semangat? Jika ya, anda perlu memikirkan sama ada hendak masuk atau tidak ke Muzium Anatomi Manusia. Bagaimanapun, ia sesuatu yang merugikan jika tidak melawat muzium ini kerana banyak maklumat berharga boleh diperoleh.

Di muzium ini, pengunjung berpeluang mengetahui anatomi dan fungsi-fungsi organ seperti jantung, paru-paru dan tulang.

Selain, melihat model-model rekaan, model sebenar manusia yang diawet turut dipamerkan bagi tujuan pembelajaran dan penyelidikan.

Jurupandu atau koordinator muzium terdiri daripada pelajar perubatan atau staf Jabatan Anatomi Manusia, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM bersedia memberikan penerangan berkaitan bahan-bahan pameran. Bagi ibu bapa yang membawa anak-anak, muzium ini secara tidak langsung memberi mereka pendedahan tentang dunia kedoktoran.

Pusat Jualan

Ketika melancong tidak sah jika tidak membeli barangan buah tangan untuk dibawa pulang. Kunjungilah Pusat Jualan Taman Pertanian Universiti yang menawarkan pelbagai barangan jualan termasuk anak benih pokok seperti durian, belimbing dan rambutan.

Di pusat itu juga, pelbagai hasil pertanian keluaran UPM seperti sayur-sayuran, buah-buahan, susu lembu, kambing dan daging dijual pada harga berpatutan.

Bajau Palahu dulu di laut, kini di darat

Posted:

Bajau Palahu dulu di laut, kini di darat

Bajau Palahu dulu di laut, kini di darat

Oleh MOHAMAD AZIM FITRI ABD. AZIZ


BAJAU LAUT menjadikan laut sebagai tempat tinggal dan sumber pendapatan mereka.


SAAT terpandang sekumpulan anak kecil bermain di laut, terlintas di fikiran penulis untuk bertanya kepada pengemudi bot asal-usul kumpulan anak kecil itu. Namun belum sempat penulis bertanya, pemandu bot itu seolah-olah dapat membaca fikirannya terus berkata, itulah perkampungan orang Bajau Laut.

Terdetik rasa kagum penulis melihat perkampungan Bajau Laut yang turut dikenali Bajau Palahu. Rumah mereka didirikan di atas air berhampiran pantai yang dihubungkan titi kayu yang kelihatan berselirat.

Aktiviti manusia juga jelas dengan anak kecil dalam lingkungan umur antara 4 hingga 8 tahun sudah pandai menunjukkan kehebatan berenang di laut, manakala golongan remajanya mahir mengendalikan perahu dan bot ikan. Masyarakat Bajau Laut merupakan golongan nomad laut yang hidup di laut terbuka, tetapi kini beralih kepada kehidupan ke darat selaras dengan arus permodenan.

Di sebuah perkampungan Bajau Laut, yang dikenali sebagai Singamata dengan jumlah 100 penduduk dan diasaskan sejak ratusan tahun lalu, penulis mendapati, walaupun masyarakat ini hidup berpindah dekat ke daratan namun kehidupan mereka masih bergantung kepada laut.

Hidupan laut

Penghuninya bergantung kehidupan kepada hasil laut. Mereka sangat berdikari dan tidak mengharapkan bantuan daripada suku kaum lain.

Menurut seorang penduduk kampung Kapita Masta, 36, rata-rata penduduk Bajau Laut bergantung kepada hidupan laut. Ada antara mereka yang berjinak-jinak dengan industri ternakan ketam dan perusahaan rumpai laut.

Lelaki sasa berkulit gelap itu mewarisi perusahaan rumpai laut keluarga sejak sedekad lalu yang menjadi sumber mata pencariannya.


MASYARAKAT Bajau Laut giat menjalankan perusahaan rumpai laut di Pulau Bum-Bum.


"Dalam sebulan saya memperoleh pendapatan antara RM2,000 dan RM3,000, itu sudah memadai bagi kami," katanya kepada penulis melalui seorang jurubahasa.

Menurut Kapita, rata-rata masyarakat Bajau Laut sudah berhijrah dan tidak tinggal di perkampungan di tengah-tengah laut. Sebaliknya mereka mendirikan perkampungan air seperti di Kampung Bangau-Bangau dan Kampung Halo.

Jika sebelum ini kebanyakan masyarakat Bajau Laut lebih selesa tinggal di perkampungan di tengah laut dan menjalani kehidupan seharian di bot-bot atau perahu kecil, kini trend itu semakin pudar.

Dengan inisiatif kerajaan, masyarakat Bajau Laut di beberapa pulau di Semporna telah berhijrah ke perkampungan air yang didirikan kerajaan.

Kepada Sani Jon, 21, yang menetap di perkampungan Bangau-Bangau sejak berusia 11 tahun, kehidupan lampau keluarganya yang membina penempatan di tengah laut berhampiran Pulau Bum Bum kini tinggal sejarah.

Sani turut menceritakan cara beliau diasuh oleh bapanya mengikut tradisi orang Bajau Palahu.

Semasa berumur tiga tahun dia dicampak oleh bapanya ke tengah laut untuk belajar berenang.

"Itu merupakan tradisi orang Bajau Laut. Mereka akan membiarkan anak-anak mandi di tengah laut, saya jamin kebanyakan orang Bajau Laut memang pandai berenang," ujarnya.

Menurut Sani, apabila umurnya mencecah 10 tahun beliau diajar oleh bapanya untuk mengendalikan perahu dan bot kecil bertujuan menangkap hasil laut.

Kebanyakan orang Bajau Laut kurang mementingkan pendidikan sebaliknya lebih memfokuskan kepada tradisi yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.

Sani sendiri menjadi nelayan seawal usia 17 tahun selepas kematian bapanya, sekali gus mengambil alih tugas untuk menyara keluarga.


PERKAMPUNGAN Air Bangau-Bangau telah dibangunkan sejak 25 tahun untuk pembangunan masyarakat Bajau Laut.


Sementara itu, semasa meninjau perkampungan Bangau-Bangau, penulis sempat melihat beberapa penduduk yang terdiri daripada masyarakat Bajau Laut yang gigih membaik pulih jambatan usang selain membantu membaiki bumbung rumah yang rosak.

Jirikun Borneo, 54, memberitahu, perkampungan air Bangau-Bangau yang dibangunkan sejak 25 tahun lalu membayangkan evolusi yang dilalui masyarakat Bajau Laut itu sendiri.

Ketika diajukan pertanyaan oleh penulis mengenai mitos masyarakat Bajau Laut naik ke darat, kebanyakan mereka akan mengalami pening kepala dan loya, Jirikun tidak menyangkal dakwaan itu.

Beliau menceritakan pengalamannya dan beberapa penduduk asal Kampung Bangau-Bangau ketika berhijrah ke perkampungan baharu itu, beliau mengalami sakit kepala yang teruk dan sering muntah-muntah.

"Semasa tiba di daerah Semporna, saya berjalan terhuyung-hayang, lepas itu saya turut mengalami pening kepala yang amat teruk selama sebulan," katanya.

Dengan peralihan masa, masyarakat Bajau Laut boleh menerima pembangunan di samping tinggal di darat lalu meninggalkan warisan mereka sebagai nomad laut. – Bernama

Westin di tengah-tengah Kuala Lumpur

Posted:

Westin di tengah-tengah Kuala Lumpur

Westin di tengah-tengah Kuala Lumpur

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA


PEMANDANGAN ibu kota Kuala Lumpur boleh dilihat dari bilik Deluxe City View.


TERLETAK dalam kawasan segi tiga emas ibu negara, Hotel Westin Kuala Lumpur merupakan sebuah penginapan bertaraf lima bintang yang menjadi tumpuan para pelancong ke ibu negara.

Berada berdekatan dengan pusat beli-belah Pavilion, jarak Westin Kuala Lumpur dengan tempat-tempat pelancongan signatur lain di ibu negara seperti Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur dan Kompleks Kraf Kuala Lumpur hanya mengambil masa 10 hingga 20 minit dengan berjalan kaki.

Hidangan eksklusif yang menjadi keistimewaan untuk para tetamu iaitu SuperFoodsRx juga menjadi salah satu cara pihak hotel menyambut tetamu dan merasai keserasian ketika menginap di hotel tersebut.

Pakej penginapan di Hotel Westin Kuala Lumpur terbahagi kepada tiga iaitu bilik tetamu, penginapan eksekutif dan penginapan servis eksekutif.

Bagi para pelancong yang ingin menginap di situ, bilik tetamu merupakan pilihan yang terbaik untuk anda.

Terdapat sembilan pakej untuk bilik tetamu iaitu Deluxe City View, Premier City View, Premier Twin Tower, Executive Club, satu bilik Executive Residences, dua bilik Executive Residences, Westin Suites, Presidential Suite dan Chairman Suite.

Setiap bilik dalam pakej mempunyai kelebihan tersendiri dan mengikut kesesuaian anda. Jika anda mahukan pemandangan indah Kuala Lumpur dari bilik anda, bilik Deluxe City View merupakan pilihan yang tepat. Dengan dekorasi bilik kontemporari, bilik dalam pakej itu dilengkapi dengan perabot berwarna serba putih.

Bagi pakej satu bilik Executive Club pula, Westin Kuala Lumpur menyediakan bilik yang berkeluasan 80 meter persegi dan pakej bilik itu bersesuaian bagi pelancong yang ingin menginap lebih lama di ibu negara.

Dengan suasana bilik yang serba canggih, bilik apartmen itu turut dilengkapi dengan alatan dapur, balkoni peribadi, ruang untuk belajar dan katil signatur hotel itu, Heavenly Bed


PELANCONG boleh memilih enam restoran berbeza yang menghidangkan pelbagai hidangan mewah.


Jamu selera

Pelancong juga tidak perlu risau mengenai makanan yang disediakan oleh pihak hotel kerana terdapat enam restoran iaitu Five Sen5es, Prego, Qba Latin, The Living Room, Splash dan Daily Treat yang menawarkan pelbagai pilihan tempat makan kasual.

Antara enam restoran tersebut, anda perlu mencuba makanan di restoran Prego kerana ia merupakan salah satu restoran yang menawarkan hidangan Itali terbaik di ibu kota. Selain itu, pelancong juga berpeluang untuk melihat sendiri cara-cara chef di restoran itu memasak pasta sehingga ia dihidangkan di meja makan.

Aktiviti senaman

Walaupun terletak di tengah-tengah ibu kota, hotel tersebut juga mempunyai kemudahan gimnasium untuk para tetamu iaitu WestinWORKOUT.

Gimnasium itu dilengkapi dengan sauna serta bilik persalinan untuk lelaki dan wanita. Lebih menarik, anda dapat melakukan senaman dengan dapat menikmati panorama Kuala Lumpur.

Tidak hanya tertumpu kepada peralatan gimnasium yang moden, pihak hotel juga menyediakan jurulatih untuk membantu dan memberi nasihat kepada anda berkenaan dengan teknik-teknik terbaik untuk senaman.

Untuk maklumat lanjut mengenai senarai kadar harga pakej Hotel Westin Kuala Lumpur, sila hubungi 03-2731 8333.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved